Seperti yang telah saya ketengahkan dalam dua siri sebelumnya, “Rusia yang Hilang di Kota Baharu” dan “Mufti Sultan yang Mendoakan Penjajah”, Raja Senik atau dikenali secara rasmi dengan gelar Sultan Muhammad IV (1899-1920) dari Kelantan mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan penjajah British. Malah, baginda dapat dihujah bertanggungjawab memberi ruang kepada Inggeris untuk bertapak di negeri tersebut. Ini adalah dengan alasan untuk melemahkan kuasa Siam. Tindakan baginda itu, seperti yang telah kita lihat berdasarkan fakta sejarah, sedikit sebanyak mendapat penentangan dari kerabat diraja iaitu paling kurang dari tujuh bapa-bapa saudara baginda.
Salah satu peristiwa penting yang terjadi ketika pemerintahan Sultan Muhammad IV ialah kekacauan di Pasir Putih yang dicetuskan oleh Mat Hassan bin Munas. Beliau turut dikenali sebagai Tok Janggut. Terdapat tiga sisi untuk melihat kekecohan (sesetengah pihak menggunakan kata kebangkitan) yang ditimbulkan oleh Tok Janggut.
Pertama, beliau bangkit atas sebab-sebab peribadi iaitu untuk menuntut bela kematian abangnya, Mat Tahir oleh “budak raja” (hamba Raja) yang kematiannya digambarkan sebagai “mati tikam tandan” atau meninggal dunia dalam usia remaja tanpa usul periksa.
Kematian Mat Tahir itu mengakibatkan bapa Tok Janggut, Munas membalas dendam dengan menodai (memperkosa) salah seorang gundik kepunyaan Tengku Seri Maharaja Tua Jeram (salah seorang kerabat) bernama Wan Serang Bulan. Hal ini ada diungkapkan dalam Manuskrip Sejarah Peperangan Tok Janggut:
“Hatta setelah sampai separuh jalan, Munas pun melakukanlah perkara ditidaknya baik ke atas diri Wang Serang bulan. Yang mana tak upaya gundik itu hendak mengelaknya daripada kekejaman Munas itu. Yang akhirnya terpaksa juga turut masuk di dalam gaung kehinaan lagi ditegah oleh agamanya, tetapi hendak kata apa.”
Kejadian itu mendorong Raja Jeram menitahkan pula agar Munas ditangkap dan dibunuh oleh Pak Sulung Bulat, orang suruhan Raja Jeram. Kejadian ini berlaku ketika Tok Janggut di Mekah, sepulang beliau dari tanah suci, perasaan marah Tok Janggut mendidih dan mendorong kekecohan yang terjadi di Pasir Putih.
Kedua, sisi lain ialah Tok Janggut adalah seorang yang semberono atau ekstrem. Dalam Manuskrip Sejarah Peperangan Tok Janggut juga dinyatakan beliau “sangat bengis kepada barang siapa yang berbuat zalim” dan beliau pernah “menikam dan membunuh orang yang membuat zalim dengan kerisnya”.
Gambaran tersebut sejajar dengan buku tulisan Yahya Abdullah Peperangan To’ Janggut atau Balasan Derhaka yang dikatakan menghukum penjenayah dengan undang-undang sendiri selain membunuh pesaingnya ketika bersabung ayam dan laga lembu. Sebelum bertolak ke Mekah, dalam usia 28 tahun, Tok Janggut diceritakan pernah membunuh lapan orang lantaran kebengisannya.
Ketiga, sesuai dengan selera kebangkitan golongan konservatif di Malaysia hujung tahun 1990-an, terdapat satu naratif dimasyhurkan, iaitu kebangkitan Tok Janggut adalah satu perang jihad.
Bantahan kenaikan cukai
Harus dinyatakan, Nik Anuar Nik Mahmud dan Hanapi Dollah yang mula-mula menawarkan ‘teori’ ini dalam tahun 1999, tidak memberi sebarang bukti atau fakta sejarah untuk disandarkan. Malah Nik Anuar dalam tahun 1972 pernah menulis sebuah kajian yang menyifatkan kebangkitan itu semata-mata kerana bantahan terhadap dasar cukai British yang melampau. Soal jihad belum cukup fashionable tatkala itu.
Bantahan kenaikan cukai ini sesuai dengan tafsiran yang pernah diketengahkan dalam buku teks sejarah negara ini, antara lain oleh Wan Shamsuddin dalam Sejarah Tanah Melayu dan Sekitarnya (1969) dan Sejarah Tingkatan 2 oleh Zainal Abidin bin Abdul Wahid. Terdapat banyak lagi kajian yang turut mengungkapkan kebangkitan itu adalah semata-mata kerana rasa tidak puas hati terhadap dasar Inggeris.
Cheah Boon Kheng dalam tahun 2006 dengan kajian beliau To’ Janggut (Old Long Beard): Legends, Histories and Perceptions of the 1915 Rebellion in Kelantan untuk National University of Singapore menyimpulkan andaian Tok Janggut berjihad adalah lemah.
Apa pun niat Tok Janggut, sama ada beliau seorang yang cerewet dan ekstrem, atau seorang yang pendendam, atau memang ingin melawan British; terdapat satu pertanyaan yang jelas, apakah tanggapan para agamawan dan Sultan Kelantan sendiri terhadap Tok Janggut tambah-tambah jika benar beliau memang ingin berjihad.
Mufti Kelantan ketika kekacauan ini tercetus di Pasir Putih adalah Haji Wan Musa. Beliau dikatakan telah meletakkan jawatan muftinya pada bulan Jun 1916. Akan tetapi seperti yang telah saya jelaskan dalam artikel sebelum ini, "Mufti Sultan yang Mendoakan Penjajah", peletakan jawatan itu adalah kerana rasa tidak puas hati baginda Sultan Muhammad IV terhadap mufti tersebut ekoran ada pertikaian mengenai tanah yang tidak memenangkan ahli keluarganya. Dalam erti kata lain, Wan Musa tidak meletakkan jawatan sebagai membantah layanan terhadap Tok Janggut, yang selepas dibunuh oleh askar upahan British telah digantung terbalik di tengah Kota Baharu.
Ini dapatlah dikatakan aneh memandangkan terdapat dakwaan Tok Janggut terilhamkan penentangannya berdasarkan fatwa mufti kerajaan Othmaniyyah pada waktu itu, Shaikh Khairi Effendi. Malah, dalam artikel sebelum ini, "Mufti Sultan yang Mendoakan Penjajah" para agawaman mendoakan Inggeris, dan bukannya mendoa puak lawan mereka dalam Perang Dunia Pertama.
Selain Haji Wan Musa, yang dikenal sebagai seorang ulama islah. Seorang ulama lain yang cukup terkenal adalah Tok Kenali. Kita mengetahui Tok Kenali memang ada di Kelantan kerana beliau telah pulang dari belajar di Mekah pada tahun 1911 dan mengasaskan pondok Kenali. Malah Tok Kenali dikatakan menjadi guru agama di Masjid Besar Al-Muhammadi, Kota Bharu ketika tahun 1915 tersebut. Beliau juga rapat dengan istana.
Soalnya, tidak ditemukan sebarang tulisan rasmi yang dapat menunjukkan bantahan para ulama ini terhadap kejadian di Pasir Putih dan cara menangani jenazah Tok Janggut di Kota Baharu setakat ini. Saya cuba mencari rekod sejarah yang menunjukkan misalnya, Tuan Guru Dato’ Haji Muhammad Nor Ibrahim Penambang, tokoh yang dikatakan kedua tersohor setelah Tok Kenali pada waktu itu, jika ada sebarang penentangan atau solidariti untuk Tok Janggut. Saya belum menemukan.
Pendekatan Kaum Muda
Apakah para ulama waktu itu memandang Tok Janggut sebagai pemberontak melawan raja? Harus diingatkan doktrin Ahli Sunah wal Jamaah yang melarang pemberontakan terhadap raja atau pemerintah beragama Islam. Dalam Manuskrip Sejarah Peperangan Tok Janggut ada dinyatakan Tok Janggut menyatakan perlawanan beliau itu tidak harus “ditakutkan kerana kita tidak bersalah dan derhaka kepadanya Tuanku Sultan, hanya kita buat angkara ini ialah terbit dari kezalimannya pemerintah Ketua Jajahan Encik Latif”.
Atau adakah para ulama era itu tidak pun menganggap Tok kenali sebagai ulama. Bahkan rekod yang ada menunjukkan Tok Janggut juga seorang yang pembengis. Atau lebih dahsyat adalah, para ulama ini tidak pun mempedulikan apa yang terjadi pada waktu itu iaitu kenaikan cukai yang mendorong bantahan besar penduduk Pasir Putih.
Terdapat sebuah kemungkinan lain iaitu agamawan Kelantan tatkala itu menolak pendekatan keras dan ekstrem Kaum Muda, dan dalam hal ini sudah tentu menolak gerakan perlawanan yang boleh menumpahkan darah seperti yang diuar-uar dan diketuai Tok Janggut.
Huzaimah Ismail dari UiTM dan pengkaji dari Universiti Malaya, Rahimin Affandi Abd. Rahim mungkin menjawab persoalan ini dalam kertas mereka berjudul Tajdid Ulamak Kelantan: Satu Penilaian.
Mereka menegaskan “ulama Kelantan berjaya mendidik masyarakat Kelantan menolak pendekatan ekstrem”. Sebarang isu kontroversial “yang melampau memang pernah ditimbulkan oleh golongan Kaum Muda yang merupakan proto-gerakan salafi” ditolak dan tidak disambut oleh umat Islam di Kelantan pada waktu itu.
Suka atau tidak suka, karya Ahmad bin Abdul Rahman seperti yang terbentang dalam Manuskrip Sejarah Peperangan Tok Janggut merupakan satu sumber yang paling autentik dan terperinci mengenai kekacauan di Pasir Putih.
Meskipun Tok Janggut tidak menganggap dirinya sebagai penderhaka, jelasnya pihak establishment berpandangan beza. Malah Manuskrip Sejarah Peperangan Tok Janggut menyatakan perintah untuk mengarak dan mengaibkan jenazah Tok Janggut dilakukan atas titah Sultan Muhammad IV.
Saya petik beberapa perenggan dari manuskrip ini:
“Tiba sahaja di Kota Baharu, penuh sesaklah segala orang di bandar Kota Baharu, hendak melihat bagaimana upacara yang akan dibuat nanti oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan. Oleh Baginda Sultan diperintahnya arak mayat itu ke merata-rata pekan di dalam bandar itu, menunjukkan kepada rakyat semua. Itulah balasannya orang yang derhaka kepada raja dan negerinya. Maka mayat itu pun diarak oranglah merata-rata pekan dan lorong di dalam Kota Bharu. Setengah-setengah penonton ada yang menangis teresak-esak, kerana kasihan melihat akan mayat Panglima Tok Janggut yang handalan itu. Setengahnya pula berkata, 'Sepatut sudah kerajaan berbuat demikian, kerana melawan kerajaan.' Pendeknya, macam-macamlah desas-desus bunyi cakapnya orang ramai terhadap Panglima Tok Janggut itu. Setelah rata bandar Kota Baharu itu diarak mayat Tok Janggut dengan kereta lembu itu dan setamatnya di kelilingnya Padang Bank, hadapan Istana Sultan selama tiga kali, maka mayat itu pun diperintah sait di tengah-tengah Padang Bank. Adapun makna sait itu pada loghat Melayunya Kelantan iaitu digantungnya mayat itu kaki ke atas dan kepala ke bawahnya, selama satu jam.”
Tokoh misterius
Mungkin kedahsyatan pengalaman di atas turut menjelaskan mengapa para agamawan tidak pun berkutik mengenai perjuangan Tok Janggut.
Oleh sebab itu, tidaklah menghairankan Tok Janggut hari ini menjadi tokoh misterius yang boleh diwarnakan dengan pelbagai mitos dan legenda. Seseorang mangsa (siapa pun dia) yang diperlakukan sedemikian buruk tentu sahaja menimbulkan pelbagai fenomena.
Hujung tahun 1915, tahun berlakunya kekecohan di Pasir Putih dan pembunuhan Tok Janggut, para agamawan dihimpunkan bawah sebuah institusi agama, dan seperti rekod akhbar Singapura menunjukkan, baginda Sultan Muhammad IV terus melangsungkan hubungan akrab dengan penjajah.
FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Bahagian 1: Rusia, yang hilang di Kota Bharu
Bahagian 2: Mufti sultan yang mendoakan penjajah