Dalam tulisan saya yang terdahulu berjudul “Rusia, yang hilang di Kota Bharu” saya telah mencatatkan perihal Raja Senik atau dikenali secara rasmi dengan gelar Sultan Muhammad IV (1899-1920) dari Kelantan sebagai raja yang ketakutan oleh ancaman Siam. Untuk menyelamatkan takhta baginda dari terlepas ke tangan kerabat yang resah, dan juga menghindar musuh terdekat iaitu Siam, baginda telah mengundang bantuan British.
Untuk itu baginda terpaksa melepaskan banyak bahagian dari jajahan baginda, antara lain yang berada di bawah pentadbiran Kerajaan Patani seperti Sungai Padi dan Tabal diserah kepada Siam. Jeli iaitu bahagian dari kerajaan Legeh (di bawah Patani) bagaimanapun diserapkan ke dalam negeri Kelantan.
Sultan Muhamad IV dikenang dan diraikan oleh ramai ulama kerana beliau bertanggungjawab menubuhkan Majlis Agama Islam Kelantan, institusi keagamaan pertama untuk mengawal hal-ehwal Islam pada 17 Safar 1334 bersamaan 24 Disember 1915.
Apa yang kurang diketahui oleh pendukung institusi ulama dan raja pada waktu itu ialah bukanlah baginda Sultan Muhammad IV yang patut diberi kredit dalam hal penubuhan Majlis Agama Islam Kelantan ini. Sebaliknya, pencinta negara Islam di Malaysia hari ini perlu ‘berterima kasih dan mensyukuri’ penjajah Inggeris.
Kehadiran British di Kelantan, yang bertujuan menakutkan Siam, juga bermakna campur tangan Inggeris. Penasihat British di Kota Bharu pada waktu itu WA Graham (1905-1909) berpandangan undang-undang Islam adalah remeh temeh, terkebelakang dan mengakibatkan pertindihan kuasa yang merimaskan. Graham mencadangkan agar Kelantan mempunyai mahkamah dan hakim tersendiri dengan tujuan untuk membuat penentuan yang jelas apakah yang boleh dan tidak boleh dicampuri oleh Sultan Muhammad IV dengan alasan agama dan adat Melayu adalah bawah jagaan dan kawalan baginda.
Pengganti Graham, JS Mason (1909-1919) melakukan reformasi besar-besaran terhadap sistem perundangan di Kelantan pada waktu itu dan dalam tempoh pentadbiran atau atas nasihat beliau, pendanaan untuk mahkamah syariah, gaji para kadi dan imam masjid semuanya ditentukan oleh British.
Bahkan mufti Kelantan pada waktu itu Wan Musa Abdul Samad perlu meminta keizinan dan belanjawan daripada British untuk mendirikan surau dan mengupah orang berkhutbah Jumaat.
Muhamad Ali dalam Islam and Colonialism menyatakan penginstitusian agama oleh British ini menyebabkan Islam di Tanah Melayu menjadi agama yang tertumpu pada hal fikah, undang-undang tetek-bengek dan ritualistik seperti yang kita lihat hari ini:
“British Residents and Advisers came to Malaya with an understanding of law, and they were keen to reform the legal system of the colonies. They defined Muslim judicial theory and adat in terms of the British judicial ideals. Administratively, the British sought to unify and centralise the legal system, but they had to recognise and accommodate different systems of law – as long as these remained in conformity with law and order. The impact of the British legal reform in Malaya, and in Kelantan in particular, was that Islamic religion came to be institutionalised in a compartmentalised manner; Islam became primarily jurisprudential and ritualistic, often in coincidence with the form of Islam that the kaum tua taught to Malays.”
Mohamedan Law
Saya pernah menulis dalam satu karangan lain yang mufti-mufti lantikan penjajah British ini akan diminta merujuk antara lain buku-buku yang disediakan oleh Inggeris; Howard’s Translation of the Minhaj al-Talibin dan Digest of Mohamedan Law tulisan Neil BE Bailie.
Ini juga bermakna, menyokong pandangan Muhamad Ali di atas, British bukanlah naif seperti yang disangka dalam hal ehwal Islam. Pegawai-pegawai British yang bertugas di Timur sudah lazim dengan “Mohamedan Law” yang dikemukakan oleh Syed Ameer Ali (1849-1928). Beliau merupakan seorang sarjana undang-undang di Universiti Islam Aligarh. Beliau juga adalah pengasas Liga Islam India.
Ramai yang mungkin tidak tahu, bahawa Syed Ameer adalah seorang penganut Syiah. Akan tetapi uniknya, Mohamedan Law tidak menumpukan kepada sumber Syiah sahaja. Syed Ameer seorang yang sangat terbuka, dan tidak merujuk satu mazhab sahaja, apatah lagi hanya merujuk sumber Ja’fari (Syiah). Syed Ameer hanya merujuk fikah Jafari dalam undang-undang wakaf sahaja. Dalam masa yang sama pandangan beliau dalam pelbagai aspek kehidupan meliputi hak asasi manusia, pembukaan pintu ijtihad dan penekanan hal-hal akhlak, etika dan moral dianggap segar dan disambut dengan baik oleh sarjana Barat, khusus penjajah British.
Mufti Kelantan, Wan Musa Abdul Samad yang saya sebutkan lebih awal di atas adalah contoh terbaik hubungan akrab institusi diraja dan agamawan di dunia Islam. Untuk menjadikan ia lekat, ia turut berbumbukan kesetiakawanan dengan penjajah. Tatkala tercetusnya Perang Dunia Pertama pada bulan Ogos 1914 pihak British sangat khuatir jikalau orang-orang Melayu mengambil kesempatan menentang British. Perang tersebut melibatkan dua blok iaitu Britain, Perancis dan Rusia di satu pihak dan Jerman serta Austria di pihak yang lain.
British bagaimanapun boleh mengurut dada tanda lega kerana kerajaan British amat berpuas hati apabila Sultan Muhamad IV mengirim telegram kepada King George IV untuk menyatakan sokongannya. Sultan pergi setapak lebih jauh iaitu dengan menitahkan supaya masjid di Kelantan berdoa agar kemenangan memihak kepada British. Terdapat dokumen sejarah yang menyatakan semua orang alim di Kota Bharu hendaklah berdoa untuk kemenangan British dan bagi sesiapa yang ingkar, mereka akan dihukum.
Kerabat tolak British
Padahal pada masa itu, sebahagian besar rakyat Kelantan termasuk kaum kerabat menolak hubungan Kelantan dengan British. Ini misalnya terserlah dalam satu laporan berita oleh The Straits Times bertarikh 8 April 1908 dengan judul The Sultan of Kelantan.
Seperti yang telah saya nyatakan dalam tulisan terdahulu, British menghantar seratus orang askar Sikh untuk melindungi takhta Sultan, maka tidaklah menghairankan baginda memberi kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Inggeris. Oleh sebab itu, kita harus menghujahkan, Sultan bukan sekadar menerima nasihat Inggeris tetapi memang mendamba, dan duduk bertakhta bawah bayang-bayang Inggeris. Hal ini boleh dibaca dalam laporan berjudul The Governor and Kelantan yang tersiar di The Straits Times bertarikh 9 September 1902.
Rekod-rekod surat khabar juga menunjukkan baginda Sultan Muhammad IV pada waktu itu sering ke Singapura menemui British. Bahkan dalam satu laporan Malaya Tribune bertarikh 15 April 1914, Sultan Kelantan disebut menghadiri satu temasya tari-menari di Geylang Serai Singapura, anjuran Haji Mohamed Hakim. Di majlis itu baginda disajikan persembahan wayang kulit, joget ronggeng dan tarian gelek dari Mesir. Baginda turut diiringi oleh putera mahkota.
Kembali kepada mufti Wan Musa, beliau adalah mufti Negeri Kelantan ketiga dan merupakan anak ulama terkenal Kelantan, Tuan Tabal. Ketika beliau menjadi mufti, Wan Musa dikenali sebagai seorang ulama alim yang "pongoh".
Mufti ini juga dikatakan pernah menentang kelonggaran undang-undang memaksa orang sembahyang di Surau Besar pada hari Jumaat. Beliau bimbang kelonggaran yang diberikan itu akan menyebabkan orang ramai melengah-lengahkan sembahyang Jumaat dan paling penting akan mengurangkan wang denda yang diperoleh oleh Jabatan Agama. Wan Musa juga berfatwa yang "fasal saman orang yang meninggalkan Jumaat itu mengikut bagaimana notis dahulu hanya dikecualikan di dalam masa hujan bah sahaja ...".
Meskipun akur untuk mendoakan British dan melayan perangai Sultan Muhamad IV, jawatan Mufti yang disandang Wan Musa tidak kekal lama kekal. Pada tahun 1915, Wan Musa disingkirkan oleh sultan kerana memberi fatwa dan memutuskan satu kes perebutan tanah dan harta yang tidak memihak kepada ibu saudara sultan, Tengku Puteri binti Al-Marhum Sultan Tengah.
Tengku Puteri, emak saudara kepada Sultan Muhammad dikatakan enggan memulangkan harta yang diamanahkan kepadanya oleh Tengku Embong binti Al-Marhum Raja Patani dari Kampung Kota Baham. Apa yang berlaku adalah Tengku Embong menunaikan haji dan meminta hartanya dijaga dan sebaik pulang telah berkahwin dengan orang kebanyakan bernama Samsuddin dari Lundang di Jajahan Kota Baharu. Keputusan mahkamah mufti Wan Musa yang tidak memihak kepada saudara maranya menyebabkan Sultan Muhamad IV murka.
Harus dinyatakan di sini pada tahun 1949, Istana Kelantan memutuskan menolak perkahwinan mana-mana puteri dari kerabat diraja Kelantan dengan orang biasa, melainkan orang biasa tersebut adalah seorang Syed. Keputusan ini seperti dilaporkan The Straits Times pada 2 Ogos 1949 dengan tajuk Kelantan Royal Marriage Ban dititahkan agar keturunan diraja Kelantan kekal sejati dan bersih dari sebarang campuran.
Wan Musa juga adalah mufti ketika terjadi kekacauan yang menyebabkan seorang penentang bernama Mohd Hassan bin Munas bersama-sama pengikutnya terbunuh di Pasir Putih. Tentu keadaan yang ekstrem dengan pilihan-pilihan ekstrem akan mendorong penentangan yang juga ekstrem daripada Mohd Hassan atau Tok Janggut.
Saya akan menulis perihal kejadian tersebut dalam tulisan mendatang.
FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Bahagian 1: Rusia, yang hilang di Kota Bharu