Tulisan ini ialah kesinambungan kepada artikel saya yang terdahulu bertajuk Akar Bangsa Malaysia yang diterbitkan pada awal Jan lalu.
Rangka negara bangsa yang dibina adalah berasaskan demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan. Inggeris sebagai penjajah tidak dapat menghapuskan sistem pemerintahan tradisi tempatan yang sudah turun-temurun diamalkan oleh masyarakat di negara ini.
Melalui perundingan dan perbahasan dengan pelbagai pihak, wajah negara bangsa yang akan merdeka adalah kombinasi sistem politik moden dan tradisi.
Rangka inilah yang perlu dipelihara bagi memastikan kerukunan hidup bersama pelbagai kaum dapat dinikmati.
Tiang pembentukan falsafah Perlembagaan Persekutuan pula ialah persoalan bahasa, agama, kewarganegaraan dan hak keistemewaan Melayu dan bumiputera.
Kesemua tiang perlembagaan itu sebenarnya persoalan budaya. Bukan semata-mata persoalan politik, kaum atau agama.
Kaum Melayu mempunyai kelebihan sebagai kaum pentakrif budaya kepada rupa wajah negara bangsa baru. Kaum Melayu bersedia menyesuaikan identiti dan tanah kandungnya kepada identiti yang baru tanpa menjejaskan teras-teras penting.
Rinci dan mendalam
Inilah sifat orang Melayu yang sangat dinamik dengan perubahan yang berlaku. Namun perubahan sebesar mana sekalipun, ia tidak akan mencabut akar umbi orang Melayu.
Istilah budaya adalah kombinasi dua patah kata iaitu budi dan daya. Ia mempunyai sifat fizik dan metafizik.
Dalam kata nama umum, kebudayaan adalah konsep yang sangat luas dan meliputi hampir keseluruhan hidup manusia. Secara umumnya, kebudayaan mempunyai unsur-unsur penting.
Unsur itu ialah sistem agama atau kepercayaan, sistem politik, ilmu pengetahuan, bahasa, kesenian, ekonomi dan teknologi.
Tujuh unsur utama itu mempunyai pecahan unsur yang lebih rinci dan mendalam.
Suatu budaya wujud melalui pertumbuhan idea, gagasan, norma, nilai yang kompleks dalam masyarakat. Segalanya akan melalui beberapa tahap sehingga sampai ke titik yang dapat disepakati sebagai sebuah idea atau nilai yang diterima dalam masyarakat.
Idea pembentukan negara bangsa Malaysia tidak berlaku dalam tempoh yang singkat. Ia berlaku melalui pertembungan budaya yang pelbagai.
Kewujudan Bangsa Malaysia adalah utopia. Pembinaan budayanya tidak berjalan berterusan. Ia dicipta British demi kelangsungan kolonialisme dalam bentuk baru selepas merdeka.
Setelah merdeka, penguasa baru menghadapi masalah perpecahan yang berpunca daripada kegagalan rakyat mencari asas-asas perpaduan dan persefahaman yang berpanjangan atau berkekalan.
Pakej politik yang rapuh
Ini disebut oleh Francis Fukuyama dalam bukunya The Origin of Political Order pada bahagian mukadimah.
Dengan mengambil contoh negara-negara Melanesia seperti Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon, Fukuyama menyatakan kesukaran dalam membina negara moden dalam kepelbagaian yang ada.
Begitu juga halnya di Malaysia.
Mencari titik pertemuan dalam keragaman masyarakat bagi membentuk semangat kenegaraan dan perasaan kekitaan sejati adalah sukar ditemui.
Konsep negara bangsa dalam negara yang pelbagai bangsa dan budaya adalah pakej politik yang rapuh. Ia lebih daripada sekadar gerakan politik bagi mencapai matlamat politik.
Setelah matlamat diperolehi - seperti selepas mendapatkan kemerdekaan - warganya akan kehilangan arah.
Sewaktu nasionalisme memuncak selepas Perang Dunia Kedua, Britishlah yang beria-ia menaja dan mempelopori gerakan tersebut di negara-negara Asia.
Dalam usaha menjatuhkan kerajaan khalifah Uthmaniah yang korup ketika itu, semangat nasionalisme dinyalakan. Lawrence of Arabia - si diplomat Inggeris di Arab itu - memainkan semangat bangsa Arab dan bangsa Turki.
Bukanlah soal bangsa itu yang menjadi matlamat perjuangannya tetapi bangsa itu hanyalah alat untuk memecah- belahkan kuasa Uthmaniah. Ternyata, pendekatan itu berkesan.
Tetapi semangat nasionalisme di Malaya sangat berbeza. Ia bukan semangat kebangsaan orang Melayu tetapi semangat kebangsaan orang Melayu bersama kaum pendatang yang bersetia untuk hidup bersama.
Nasionalisme di Malaya ialah persoalan kebangsaan yang luas maknanya.
Tiang membina negara bangsa
Masyarakat ketika itu mempunyai kesepakatan bagi mewujudkan gerakan bersama membina ‘rumah besar’ pada masyarakat yang pelbagai kaum.
Mereka ialah masyarakat politik. Masyarakat politik yang dibina atas satu budaya yang sangat terbuka, toleran dan terbuka.
Menurut Rustam A Sani, sebuah negara bangsa itu pada asasnya merupakan sebuah masyarakat politik yang bersifat simbolik. Penduduknya pula terangkum dalam sebuah wilayah yang mempunyai simbol-simbol kewibawaannya yang simbolik.
Simbol-simbol tersebut dijadikan asas untuk memupuk nilai-nilai patriotisme, kebanggaan dan jati diri negara-bangsa dalam kalangan warganya.
Antara simbol tersebut ialah perlembagaan, rukun negara, bahasa, agama, budaya dan unsur-unsur sosial lain yang dapat membentuk kesepaduan dalam kalangan warganya. Inilah tiang-tiang seri kepada pembinaan negara bangsa.
Pandangan ini lebih bersifat pensejarahan. Ada yang berpandangan dari sudut perundangan semata-mata. Melihat masyarakat Malaysia dalam konteks perlembagaan tanpa mengaitkan dengan sejarah adalah kebenaran yang tidak muktamad.
Dalam konteks masyarakat Malaysia, ikatan primodial yang kuat dengan sistem tradisi seperti kekeluargaan, kaum, bahasa dan agama.
Perbezaan ini jika tidak diurus dengan bijak boleh menjadi persaingan dan konflik yang berpanjangan dan berulang-ulang.
Ternyata dalam perkembangan politik terkini, Malaysia masih terkurung dalam lingkaran yang sama.
Permasalahan ini timbul kerana kepelbagaian yang ada lebih dilihat sebagai satu ancaman kepada kesatuan politik dan pembangunan masyarakat baru.
Idea kewujudan negara bangsa Malaysia adalah idea politik. Idea politik ini berdasarkan perjanjian sosial yang dibuat demi sesuatu matlamat politik.
Masyarakat semasa bersepakat untuk merdeka dengan nilai-nilai yang dipersetuju sama. Jika matlamat dan nilai-nilai itu longgar dan tercabut, idea politik itu pun akan turut terkubur dan bangkit satu lagi idea politik yang baru.
Semasa pembentukan Malaysia, eleman-elemen yang memperkukuhkan negara bangsa seperti terkandung dalam rukun dan perlembagaan negara yang berasaskan sejarah perjalanan negara ini menjadi asasnya.
Elemen-elemen inilah yang menumpahkan rasa kasih sayang terhadap negara kita secara tulus dan abadi.
Rustam seterusnya menyebut bahawa keseluruhan upaya dalam pembinaan negara bangsa ini tidaklah semata-mata merupakan usaha pemantapan wilayah politik sahaja.
Usaha keintelektualan dalam mengungkapkan citra politik buat masyarakat berdasarkan suatu tafsiran sejarah dan tradisi masyarakat itu sendiri.
Ini adalah tugasan utama para intelektual bangsa. Intelektual di sekolah, di universiti, di pasar dan di jalanan atau di mana saja berada.
DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.
Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.