Dalam budaya Melayu kampung - ketika saya membesar - tanda anak lelaki meninggalkan alam kanak-kanak untuk masuk ke alam dewasa ialah melalui adat bersunat. Kalau kita membaca buku - A Long Walk to Freedom oleh Mandela - kita juga terjumpa budaya bersunat warga Zulu Afrika.
Untuk negara - bukan bersunat sebagai tanda mendewasa. Tidak ada apa yang nak disunat oleh negara. Tidak ada kepala yang hendak dipotong.
Justeru, di Malaysia - tanda negara bangsa kita telah dewasa ialah keupayaan kita sesama sendiri membincangkan persoalan nasional secara rasional. Selagi persoalan nasional ini tidak tuntas kita belum mendewasa. Anak semua bangsa - bangsa semua agama - jangan hairan dan jangan terkejut jika kita akan terus berhadapan dengan Mei 13 Bahagian 2, Mei 13 Bahagian 3 atau Mei 13 hingga ke Bahagian 3000. Ini jika persoalan nasional belum tuntas.
Pada ketika ini dengan wujudnya media baru - dengan bantuan teknologi - berita karut, berita angin dan berita palsu tersebar luas. Zaman surat layang telah berlangsung.
Zaman saya mengulang tiru tulisan Dr Mahathir kepada Tunku selepas Mei 13 dengan niat untuk menyebarkan lebih banyak telah tamat. Kini dalam sekelip mata berita boleh diolah dan disebar ke seluruh negara malah ke seluruh alam. Alam maya milik kita semua. Terima kasih Ronald Reagan.
Saya ulangi - pada hemat saya jika anak semua bangsa masih lagi takut untuk membincangkan persoalan nasional maka kita belum dewasa. Keupayaan berbincang secara rasional wacana persoalan nasional ini adalah petanda kedewasan kita sesama kita.
Apa dia Mei 13?
Ada yang menulis tarikh ini satu tragedi. Ada yang menganggap ini sejarah hitam negara kita. Ada menganggap ini tanda perkauman. Ini tanda politik perkauman. Semua ini betul. Semua ini tepat. Tetapi apa yang menyebabkan Mei 13 berlaku.
Untuk saya mencari sebab musabab lebih penting dari memahami dan memberi nama si manifestasi. Hanya dengan memahami sebab musabab maka manifestasi dapat dilawan.
Sebab musabab wajib diketahui jika tidak kita hanya melawan gejala. Kita hanya melawan manifestasi tidak menumpaskan kuman induk yang melahirkan manifestasi ini.
Hantu pendatang zionis
Contoh terbaik untuk memperkukuhkan hujah saya ialah dengan melihat apa yang telah, yang sedang dan yang akan berlaku di Palestin. Sesudah perang dunia kedua - pada tahun 1948 Yahudi dari Eropah telah dibawa masuk ke Palestin. Semenjak dari 15 Mei 1948 Nakba atau malapetaka telah menimpa Palestin itu.
Dunia dan politik Arab berubah. Dunia Islam diganggu. Politikal Islam muncul. Kewujudan ‘orang asing yang lain ’ dalam kelompok asal telah melahirkan ketegangan.
Opsss silap besar bukan ketegangan tapi perang besar. Bukan hanya perang berterusan di Palestin tapi melimpah ke negara Arab yang lain. Malah perang ini juga melimpah masuk ke negara-negara bermajoriti Islam.
Hantu pendatang baru ini bernama Yahudi dan Zionis Israel. Hantu ini sedang menghantui dunia. Bukan hanya dunia Arab. Hantu Zionis Israel ini sedang menghantui dunia termasuk kita di Malaysia.
Kuasa imperial Amerika sedang memaksa kita semua menutup mata. Perang Palestin dan perang Arab Israel mengikut analisa Amerika bukan kerana kemasukan Yahudi ke bumi Arab. Perang ini dituduh berpunca kerana negara Arab tidak ada demokrasi.
Jelas hingga ke hari ini punca utama - sebab musabab ini cuba dihindarkan. Sebab dan penyebab perang di benua Arab dikalih dan dikambus.
Hasil pengaruh kuasa imperial Amerika membolehkan dunia menafikan sebab utama yang melahirkan konflik di Palestin. Pelbagai analisa cuba memviagarakan hujah lemah lagi lembik bahawa Bani Yahudi Eropah berhak datang ke Palestin.
Pelbagai hujah dan analisa bertaburan dalam dunia ini. Semuanya bertujuan untuk menafikan kedatangan pendatang baru dari Eropah inilah yang membawa malapetka ke dunia Arab.
Hakikatnya Nakba - malapetaka ini bermula apabila Zionis Yahudi datang merembat tanah dan wilayah Palestin. Kedatagan orang asing ini adalah ibu punca krisis di Timur Tengah.
Negara pendatang
Justeru saya sarankan - kita jangan jadi bebal. Kita jangan mengikut hujah yang sama. Kita wajib menerima hakikat bahawa Singapura telah jatuh ke tangan pendatang dari benua China. Bangsa Cina telah menubuhkan apa yang saya tafsir sebagai negara pendatang - settler state.
Singapura ini sebagai settler state sama seperti Amerika, New Zealand, Canada dan Australia. Pada satu ketika dahulu di Afrika Selatan. Kini Afrika Selatan telah diselamatkan oleh anak watan.
Apa yang saya rakamkan di sini bukan satu yang salah. Yang salah ialah kita menafikan fakta sejarah ini. Ini bukan bermakna Hishamuddin Rais mahu menyerang dan merampas Singapura. Tidak ini bukan niat saya.
Apa yang wajib kita lakukan ialah kita jadi matador. Kita hadapi lembu jantan itu. Kita pegang tanduknya. Kita patahkan lehernya. Ini cara dan amalan yang diajukan oleh Hishamuddin Rais bila menghadapi persoalan nasional.
Mengakui dan memaparkan sejarah bukan tanda perkauman. Menuliskan bahawa Singapura itu adalah sebahagian dari Tanah Melayu bukan satu jenayah. Ini satu fakta. Amin.
Mengumumkan kepada dunia bahawa Isreal ialah penyebab utama berlakunya kacau bilau dalam benua Arab ialah menyatakan kebenaran. Mengumumkan kepada generasi hari ini bahawa Singapura itu adalah sebahagian dari Tanah Melayu bukan rasis. Dalam dunia yang zalim lagi ganas menyatakan kebenaran ialah tindakan revolusiner.
Kemarahan kaum tertindas
Justeru - hasilnya - kita juga boleh memberi analisa Mei 13 dari kaca mata kelas. Mei 13 ialah kemarahan kelas miskin terhadap kelas kaya. Kelas miskin ialah Bani Melayu manakala kelas kaya ialah Bani Cina. Justeru benterokan Mei 13 boleh dibaca sebagai kemarahan kaum tertindas.
Pertama - hujah kelas ini tidak dimunculkan kerana kelas sebagai hujah dilarang digunakan. Ramai warga tidak sedar bahawa - larangan menggunakan analisa kelas - tertulis dalam hukum hukam dan perlembagaan negara.
Kedua - yang mengajukan garis kelas ialah Parti Komunis Malaya (PKM) yang terus dibaca sebagai musuh negara hingga ke hari ini. Walhal PKM dan garis kiri adalah kumpulan dan kaum kerabat yang paling setia memperjuangkan hak tertindas. Di Tanah Melayu yang tertindas ialah Bani Melayu.
Mari kita lihat dan fahami apa yang berlaku di Perancis hari ini. Gerakan jilets jaunes - jaket kuning - sedang berdemo dan memberontak. Ini telah berjalan selama dua minggu di seluruh Peranchis.
Di Paris anak muda, kaum kiri, kaum anarkis, feminis, LGBT , buruh dan tani keluar berdemo. Mereka membakar kereta. Memecah dan membakar kedai ‘chic’ lagi lumayan di lebuh Champs Elysees Paris. Perancis gempar. Eropah gugup. Kemarahan meluap-luap terhadap Presiden Macron wakil kaum pemodal tidak dapat dibendung.
Yang bangun melawan ialah Bani Perancis. Pemilik kedai ialah Bani Perancis. Yang membakar kereta dan kedai ialah Bani Perancis. Maka gerakan jilets jaunes ditakrif sebagai perlawanan kelas tertindas.
Pada Mei 13 kereta yang dibakar kereta milik Bani Cina. Kedai yang dibakar kedai Bani Cina. Yang membakar Bani Melayu. Ini ditakrif sebagai rasis - perkauman. Cis kepala bana apa hujah ini.
Justeru saya menolak hujah perkauman ini. Hujah rasis adalah cara tersenang untuk memahami politik tanah air kita hari ini.
Hujah semua rasis ialah hujah dan analisa malas dari kumpulan malas yang berfikir malas. Malas untuk melihat sebab musabab yang menjadi kuman induk. Melayu menentang Cina bukan semuanya rasis. Ada sebab musabab lain.
Justeru saya juga menolak hujah rasis apabila yang datang ke demo Bersih 4 dan Bersih 5 adalah anak muda dari Bani Cina. Mereka dituduh rasis kerana menyokong perjuangan yang dikatakan di belakangnya Bani Cina. Mereka datang menyokong Bersih kerana mereka anti kerajaan Melayu.
Terbukti - rasis ini adalah bom atom yang menakutkan. Apabila digenggam maka ramai akan bertaburan lari. Para kangkong, para imam, para pemikir cetek akan menggunakan bom atom sebagai ancaman tanpa melihat gajah di belakang bom atom ini.
Kaji dan baca dari pandangan ajaran kiri di belakang bom atom ini ialah ekonomi. Sumber ekonomi dan punya pengeluaran adalah induk segala induk. Di belakang semua ini adalah harta kekayaan. Perebutan punca ekonomi ini adalah punca pergeseran. Punca perbalahan. Punca pergaduhan.
Melayu terpencil
Setiap perjuangan adalah perjuangan kelas. Setiap penindasan iaah penindasan kelas. Hidup manusia ini ialah perjuangan kelas.
Dalam analisa klasik Marxis Bani Melayu dibaca terpencil - terisolasi dalam tanah air sendiri. Pada tahun 1969 - tidak ada kedai Melayu di Kuala Lumpur. Saya masih ingat lagi pada tahun 1971 - di hadapan Panggung Colosium - hanya ada bazar Melayu menjual baju t dan kain batik dan songkok. Ini sahaja. Harta kekayaan kota Kuala Lumpur dimiliki oleh Bani Cina.
Awas. Waspada. Ingat. Bani Melayu jangan menyalahkan Bani Cina apabila harta kekayaan menjadi milik mereka. Jangan lupa apa yang ditulis oleh Mario Puzo dalam buku Godfather - di belakang harta kekayan ini adalah jenayah. Kenapa saya berkata - jenayah. Biar saya terangkan.
Dalam youtube seminggu dua ini amat banyak ceramah sebelum perhimpunan Icerd. Penceramah menerangkan kenapa Melayu marah terhadap Icerd. Hujah mengaris hitam kepada jalur anti Cina - anti yang bukan Melayu dan bukan Islam. Saya berpendapat semua ini salah dan tidak tepat.
Saya katakan tidak tepat kerana negara ini terjual kepada Bani Cina ada puncanya. Penyebab dan punca ialah pembelotan United Malays National Organisation. Parti Ketuanan Melayu- parti budak suruhan Inggeris ini telah membawa malapetaka kepada Tanah Melayu bermula pada malam 31 Ogos 1957. Ini sama seperti Nakba yang menghempap warga Palestin yang bermula pada 15 Mei 1948.
Tanah rizab Melayu terjual bukan kerana Cina. Tanah bandar terjual bukan kerana kuasa DAP. Bukan kerana Lim Guan Eng jadi Menteri Kewangan. Tanah kampung tergadai bukan kerana Cina. Singapura tergadai bukan kerana DAP. Forest City jadi milik Cina Merah bukan kerana Pakatan Harapan.
Di belakang semua malapetaka pengadaian Tanah Melayu ini ialah United Malays National Organisation. Selama 60 tahun benggolan dari parti ini telah menjual, menjarah dan mengadaikan Tanah Melayu.
Justeru - ketika ini Pakatan Harapan sedang membongkar segala jenayah yang telah dilakukan oleh benggolan Ketuanan Melayu ini. Yang ditangkap, yang didakwa. Siasatan berterusan. Apakah ini akan menamatkan kemunculan Mei 13. Jawabnya Mei 13 akan muncul lagi.
Kalau muncul lagi apa yang wajib disunatkan? Tunggu minggu hadapan.
BACA BERKAITAN:
Persoalan nasional (mukadimah)
HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.