Saya tidak berlaku adil jika saya tidak menulis dan bersurah babak ini. Malah saya tidak jujur kepada diri saya sendiri dan kepada anak semua bangsa yang telah berjaya menjatuhkan Najib pada 9 Mei 2018 yang lalu.
Babak-babak di belakang tabir wajib saya lakar untuk diketahui umum. Saya lakukan ini agar satu hari nanti bila anak cucu cicit kita membuka sejarah maka mereka akan terserempak dengan fakta, surah dan babak latar yang membantu kemenangan rakyat menjatuhkan Najib dan Rosmah.
Minggu lalu saya telah menulis tentang peranan media luar dan media barat yang sama berusaha untuk menjatuhkan Najib. Minggu ini saya akan buka satu lagi babak. Kali ini projek filem dokumentari bikinan dari barat.
Tiba-tiba pada suatu petang di pertengahan tahun 2015 saya mendapat panggilan talipon dari Steven Ng. Saya kenal sosok ini kerana peranan beliau membuka kesah Taib Mahmud menjarah balak di Sarawak.
Steven ini terlibat dalam pembikinan dokumentari Inside Malaysia Shadow State. Dokumentari ini diterbitkan oleh NGO Global Witness pada Mac 2013.
"Ada kawan dari London nak jumpa malam ni.. boleh?"
"Siapa?”
"Jumpa dulu… nanti cerita panjang."
Bila nada sebagini maka saya faham apa yang akan saya hadapi. Seperti biasa saya ajukan kafe di Brickfeild.
"Tak boleh… mereka Mat Saleh… Hotel sebelah ada roof top bar. Tak ramai orang di sana."
Teringat Louise Story dari NYT
Wow. Saya pun tidak tahu rupa-rupanya di sebelah kafe di Brickfield ada lagi tempat sulit. Saya tahu hotel ini telah bertukar pemilik dan diperbaharui. Bar di atas bumbung ini tergelicir daripada pengetahuan saya.
Jam 10.00 malam saya sampai ke kafe di Brickfield. Steven menunggu dan terus membawa saya ke tempat yang dijanjikan.
Dalam bar saya diperkenalkan dengan Andy Stewart dan Alex Helen. Andy dalam lingkungan 50an manakala Alex masih lagi anak muda. Mereka berdua ini datang dari Global Witness.
Andy membuka surah menyatakan tujuan mereka datang untuk membuat dokumentari tentang 1MDB dan Jho Low. Bila nama Jho Low timbul maka saya teringat kepada Louise Story dari The New York Times (NYT).
Andy membuka telefon pintarnya dan terus menayangkan beberapa klip Jho Low. Ada potongan video Jho Low memberi dana bantuan kepada yayasan kanser.
Klip Jho Low sedang bercanda-canda dengan Paris Hilton. Ada klip Riza Aziz dengan Jho Low. Klip-klip ini tidak pernah saya lihat.
"Wow. Intresting clip. Where do you get it?" Saya ingin tahu dari mana mereka dapat klip ini.
"Kami sudah buat penyelidikan panjang. Kami datang ke sini untuk membuat dokumentari."
"Ini projek siapa? Dana dari mana?"
Ini soalan wajib dari saya yang ingin tahu ini dan itu. Saya ingin tahu agar saya sedar tangan dan kaki saya akan tenggelam di mana.
Andy menerangkan yang mereka dari Global Witness yang telah membuat dokumentari tentang Sarawak. Tapi dalam hal dana Andy tidak bersuara.
Curiga kesahihan pembuat dokumentari
Saya graduan sekolah filem maka saya terus bertanya tentang konsep dokumentari, berapa panjang dan bila akan disiapkan. Untuk saya ini adalah asas. Pertanyaan saya ini hasil dari ilmu yang saya dapat ketika belajar membuat dokumentari.
Sayang sekali soalan-soalan saya ini tidak pula mendapat jawapan yang tuntas. Saya hairan. Dari kehairanan ini saya menjadi waswas apakah sahih mereka ini pembuat dokumentari atau mereka ada kerja lain.
Waswas dan curiga saya ini memiliki asas. Sesiapa sahaja yang memiliki kesedaran politik di era perang dingin akan terbaca bagaimana pembuat dokumentari telah menjadi ejen perisik yang ditaja oleh CIA.
Mitos popular yang sering terdengar ialah bagaimana tim dokumentari National Geography telah digunakan sebagai cara halal untuk menerobos masuk ke pelusuk pendalaman sesebuah negara. Atas niat membuat filem dokumentari. Atau dengan tujuan kajian ilmu alam.
Tim dokumentari dari London ini selain dari membuat filem tentang Taib Mahmud ada juga menyebut Pussy Riot (gambar) dan The Square.
Pussy Riot ini kumpulan pemuzik punk yang ditindas di Rusia. Manakala The Square ialah dokumentari kisah perjuangan menjatuhkan Presiden Mubarak Mesir tahun 2011.
Bila mendengar nama-nama filem ini ditaburkan maka saya menjadi yakin terhadap Andy dan Alex. Saya bersetuju untuk membantu.
Steven menjadi pengurus mencari watak-watak yang diperlukan. Saya juga mencari nama dan menelefon sosok-sosok yang mahu ditemui bual. Setelah beberapa minggu tim ini pulang ke London.
Saya rasakan mereka telah mendapat ‘footage’ yang cukup. Maka mereka pulang ke London untuk menyunting. Amin.
Tidak. Saya silap. Beberapa bulan kemudian mereka muncul kembali untuk membuat rakaman. Ini sesudah Deklarasi Rakyat diumumkan pada 4 Mac 2016.
Berulang-ulang datang merakam
Kali ini juru kameranya diterbangkan dari Australia. Ini menimbulkan persoalan kepada saya kenapa perangai membuat dokumentari ini sedemikan.
Berulang-ulang datang merakam. Pasti menjadikan kos bertambah. Syak wasangka ini saya kebumikan. Saya terus membantu.
Pada suatu petang 26 Mac 2016, Zaid Ibrahim telah membuat program Selamatkan Malaysia di Shah Alam.
Tiba-tiba saya ternampak juru kamera Andy ada datang ke program ini. Saya mengelak daripada bercakap dengan mereka. Saya sedar geng Najib dan Habibul Rahman sentiasa mengintip.
Esok malam pada program Rafizi Ramli di Pandan Indah saya ternampak juga tim ini. Saya perhatikan dari jauh. Saya sedar mereka datang secara ‘haram’ membuat rakaman ini. Jika Habibul Rahman tahu pasti mereka akan digodam.
Jangkaan saya tepat dan betul. Jaringan kawan-kawan dari Jakarta memberi tahu bahawa gambar muka Andy dan Alex telah muncul. Mengikut maklumat sumber, mereka sedang dicari.
Bila saja maklumat ini sampai saya hubungi Steven. Dengan pantas Steven menyelamatkan mereka ke Singapura.
Beberapa bulan kemudian saya difahamkan tim ini datang lagi. Kali ini saya difahamkan Alex menyewa rumah untuk jangka panjang. Nah! Waswas saya makin menebal.
'Jual maklumat kepada Najib'
Tapi saya masih berharap dokumentari ini akan membantu kempen memburukkan Najib dalam PRU14.
Justeru saya terus membantu apa yang dapat. Saya memasang niat agar dokumentari ini siap dan sempat ditayangkan sebelum PRU14.
Tup tup. Saya mendapat pesanan ringkas dari Steven. Footage dokumentari telah dicuri.
Laporan dari Sarawak Report mengatakan bahawa tim dokumentari ini membuat risikan dan menjual maklumat rakaman kepada Najib. Celaka.
Tapi saya sabar menunggu. Lebih setahun saya menunggu. Ini sama seperti saya sabar menunggu ledakan tulisan Louise Strory dalam NYT.
Tidak ada apa-apa berita sahih bila filem ini akan selesai diedit. Saya mendengar desas-desus saman menyaman di London. Saya juga mendengar ada perebutan siapa pemilik filem ini.
Nasib punya nasib saya sampai ke London. Pada 22 Julai 2018 saya menghubungi Andy di London. Dalam sebuah restoran Moroko di Kings Road, London, Andy membuka surah.
Tim asal telah dikeluarkan. Malah mereka telah dibuang. Andy dan tim asal tidak puas hati. Kini filem bukan lagi Andy yang mengarah. Louise Story dari NYT telah mengambil alih.
"When the documentry be ready?” Saya bertanya bila dokumentari ini akan siap.
"I have no idea..." Andy tidak tahu bila.
Barisan bersatu mazhab kiri
Untuk wartawan dan pembuat dokumentari dari London atau New York - akidah dan niat mereka menulis tentang 1MDB atau Najib atau membuat filem berbeza dengan saya.
Untuk mereka ini peningkatan kerja. Dari pengarang naik ke atas untuk menjadi ketua pengarang. Dokumentari dibuat untuk mendapat hadiah dan glamor.
Nama-nama ini penting untuk mereka. Mereka mencari nama. Walhal saya mahu menjatuhkan kerajaan.
Saya memiliki akidah dan niat yang lain. Saya membantu pembuatan dokumentari ini kerana saya memegang mazhab kiri yang mengajukan dasar united front - barisan bersatu.
Musuh kepada musuh saya ialah kawan saya. Wartawan barat atau pembuat dokumentari barat - antara saya dan mereka ada titik pertemuan.
Saya mahu propaganda memburukkan Najib. Mereka membuat dokumentari untuk menaikkan nama mereka. Kerja mereka berpotensi memburuakan Najib. Di sinilah titik pertemuan kami.
Akhir-akhir ini kita terbaca bagaimana pertikaian Claire Rewcastle Brown dari Sarawak Report dengan Tom Wright pengarang buku Bilion Dolar Whale. Dua pengarang Eropah ini membuat buku tentang skandal 1MDB.
Claire mengakui bahawa dirinya pemecah berita - yang pertama membuat berita 1MDB. Justeru mengikut Claire seharusnya Tom Wright memberi kredit kepada Sarawak Report.
Untuk saya semua ini tidak penting.
Buku-buku ini dikeluarkan sesudah PRU14. Sesudah kerajaan Pakatan Harapan didirikan.
Untuk saya yang penting buku, artikel, laporan berita atau dokumentari wajib digunakan untuk mendobrak Najib. Sesudah Najib jatuh untuk saya semua ini hanyalah menangkap ikan di pasar Chow Kit. Saya tidak ambil pot.
Saya bertemu Andy di London sesudah kemenangan Pakatan Harapan. Saya nyatakan rasa kecewa kerana dokumentari gagal muncul sebelum PRU14. Andy tidak ada pilihan melainkan bersetuju dengan saya.
Saya juga tidak ingin masuk campur tentang kes saman-menyaman. Atau menyebelahi mana-mana pihak. Untuk saya apa yang wajib saya lakukan telah saya lakukan. Apa yang perlu saya bantu telah saya bantu.
Dari mana datangnya dana?
Kali ini Andy lebih terbuka berbanding kali pertama kami berjumpa di Brickfeild. Sambil menghirup teh daun pudina dalam suasana nyaman musim panas di Kings Road saya mengulangi pertanyaan.
"Where do you get the fund?" Saya ingin tahu siapa yang mengeluarkan dana untuk dokuementari ini.
"Seorang dermawan… I pitch and got his support…’
"How much?"
"One million pound." Satu juta pound dari pak cik dermawan sebagai bajet dokumentari. Ini bermakna RM5 juta.
Wow. Rupa-rupanya dokumentari ini adalah wayang tajaan seorang dermawan.
Minggu ini saya mendapat pesanan ringkas. Saya diberitahu filem dokumentari ini akan ditayangkan pertama kali kepada dunia di IFC Greenwich Village New York pada 9 November depan.
Pengarahnya Sam Hokingson dan Louise Story kini menjadi penulis dan penerbit.
Sesudah wayang pak cik dermawan ini ada lagikah kisah di belakang tabir? Ada pasti ada. Tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.