Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images

Saya telah membuka babak sejarah bagaimana saya telah cuba menghubungi 'orang Tun' dalam usaha mewujudkan united front (barisan bersatu) untuk menjatuhkan Najib Razak dan United Malays National Organisation.

Saya telah mengadakan perbicangan dengan 'orang Tun' dengan niat ingin bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad walaupun bentuk kerjasama ini belum jelas. 

Saya wajib menunggu jawapan daripada 'orang Tun'. 

Saya juga telah menulis bagaimana saya telah membantu wartawan Ms Louise Story daripada The New York Times (NYT). Wartawan ini datang ke Kuala Lumpur untuk merisik dan membuat cerita Jho Low dan 1MDB.

Wartawan NYT ini berada di Kuala Lumpur pada awal tahun 2014. Mengikut Louise berita 1MDB ini akan muncul pada musim daun gugur di Amerika. Ertinya dalam bulan Oktober atau November 2014.

Lepas PRU13 keletihan politik meresap

Kesabaran saya diduga. Saya diwajibkan menunggu. Menunggu jawapan dari Orang Tun. Menunggu laporan yang akan muncul hasil dari siasatan Louise Story dalam NYT. 

Semua ini berlaku pada awal tahun 2014. Saya menunggu dalam suasana politik malap. Ini kerana dalam PRU13 Najib dan United Malays National Organisation telah gagal dinyahkan. Keletihan politik telah mula meresap. 

Tiba-tiba satu petang seorang kawan wartawan yang merisik 'orang Tun' memberitahu bahawa 'orang Tun' hendak jumpa sekali lagi. Saya gembira kerana satu penantian yang saya tunggu-tunggu telah sampai. 

Saya yakin kemungkinan bekerjasama dengan 'orang Tun' ini cerah. Tapi saya masih tidak tahu apa bentuk kerjasama ini.

Pertemuan kali kedua ini saya demokratikkan. Saya ajak Maria Chin dan juga YB Tian Chua datang bersama.  Ini untuk memperkukuhkan niat kerjasama. Kami berjumpa di sebuah kafe di Petaling Jaya. 

"Dari kami.. tak ada masalah untuk kerjasama," kata-kata 'orang Tun' ini adalah ledakan kegembiraan. Dalam kepala saya perjumpaan kedua ini bukan hanya untuk memperkukuhkan hubungan. Dalam kepala saya ialah BERSIH 4.

Apa yang ada dalam kepala tidak saya nyatakan kepada Maria Chin yang kini telah menggantikan Ambiga sebagai Pengerusi BERSIH. Amin.

Satu ledakan telah meledak. Saya wajib menunggu satu lagi ledakan dari New York. Hari menjadi minggu. Minggu menjadi bulan. Bilakah agaknya berita yang saya hebohkan sebagai "bigger than big" ini akan meledak. 

Suasana politik makin sepi. Daripada pengalaman suasana politik sepi sebegini akan memperkukuhkan kedudukan Najib. 

Dari sudut strategi politik wajib disusun dan diatur satu demonstrasi seperti BERSIH 3 yang pasti akan menaikkan semula semangat lawan para aktivis. 

Lagi ganas, lagi cun suasana politik

Najib wajib dipersusahkan. Perlawanan pasti akan menyemarakkan suasana politik.

Dalam politik semuanya berlaku kerana diatur dan disusun. Tidak ada perlakuan atau babak politik terjadi dengan sendiri.

Lagi ganas Najib menyerang lagi cun suasana politik. Pada hemat saya yang terbaik adalah mengadakan BERSIH 4. Turun ke jalan raya ini pasti akan merancakkan perlawanan. Suasana politik yang lembik akan jadi tegang. 

Jamal Baju Merah dan sekutunya wajib diaktifkan.

Musim panas tahun 2014 sampai dan berlalu. Saya menunggu musim daun gugur atau musim autumn di New York. Bulan Oktober sampai dan berlalu. 

Bulan November masuk dan berlalu. Tidak ada apa berita dari NYT. Kemudian hari perayaan Maulud Nabi Isa sampai. Masih tidak ada berita dari NYT.

Saya tidak berani menghubungi Louise. Saya yakin jentera daulah dan 'Pak Cik Habibul' pasti sentiasa mengintip untuk tahu apa perancangan seterusnya daripada kami yang hendak menjatuhkan Najib dan Rosmah Mansor.

Cis, tahun baru 2015 sampai. "Bigger than big" tidak juga muncul-muncul. Saya tidak tahu apa yang berlaku.  Kenapa satu berita mengambil masa satu tahun untuk digarap?

Ada rasa kecewa. Untuk menenangkan perasaan saya menyakinkan diri bahawa si Louis  ini menggarap dengan berhati-hati agar tidak disaman.

Tiba-tiba pada 8 Febuarari 2015 nama Louise Story menjadi trending di Malaysia. Semua hendak tahu Louise ini ‘hantu kopek’ dari mana. 

Ini kerana The Malaysian Insight telah membuat pecah berita. Portal ini telah mengutip laporan  Louise dalam NYT. Malaysiakini dan portal lain terus memungut laporan dari NYT.

Ha ha.. tulisan garapan Louise Story meletup dan meledak. Satu Malaysia, opps, satu dunia kini berkisah tentang Jho Low.

Semua tertanya-tanya siapa dia si tembam ini. Si tembam ini menjadi tarikan lebih daripada berita dana 1MDB yang disonglap.

Tembam ini menjadi tarikan kerana mamat ini dilaporkan dan digambarkan selalu beronggeng dan bertandak dengan minah cun Paris Hilton. 

Bagaimana yang lansing lagi cun berminat dengan yang tembam lagi gemuk - hanya Guru Nanak sahaja yang mengetahui.

Malaysia jadi heboh. Ini heboh yang lebih heboh daripada Jom Heboh. Dari warung ke parlimen ke rumah urut semua berlabun tentang si tembam Jho Low.

Watak-watak sampingan wujud dalam laporan berita NYT hampir tidak dipedulikan.

Pada satu malam di sebuah kafe di Brickfields, ketika bersantai dan bersembang kosong dengan kawan-kawan saya lambungkan idea BERSIH 4.

Tengok punya tengok, cari punya cari saya ternampak tarikh cun iaitu pada 29, 30 dan 31 Ogos 2015.  

Mata saya terpancar idea untuk membuat satu pembaharuan cuti 31 Ogos membolehkan demonstrasi disusun panjang. Sabtu dan Ahad cuti hujung minggu ditambah dengan  cuti 31 Ogos. Ini bermakna kita boleh berdemonstrasi lebih dari sehari. 

Apa yang perlu saya lakukan ialah memasukkan jarum ke dalam kepala Maria Chin untuk mengadakan BERSIH 4. 

Berita dari NYT ini membuatkan kerja saya untuk menghasut NGO jaringan BERSIH turun ke jalan raya agak lebih mudah. Saya dibantu pula oleh Najib yang bersilat lidah.

Usaha Najib untuk memadamkan laporan berita 1MDB dari NYT ini tidak meyakinkan. Lagi banyak Najib menjawab lagi senang saya menghasut. 

Hakikatnya Najib membantu saya mengolah persetujuan jaringan NGO BERSIH yang konservatif dan takut untuk turun ke jalan raya.

Keterlibatan Najib anak beranak menjadikan kes 1MDB ini lekat di hati pembaca. Ini ditambah pula dengan perencah ala aji-nomoto oleh para blogger dan media baru, Facebook dan Twitter yang semakin ampuh memperlekehkan kerajaan Najib.

Sayugia diakui bahawa kerajaan Malaysia mengawal media. Ini juga terjadi dalam banyak negara dunia ketiga. Untuk saya ini bukan seratus peratus tidak baik. Ada baiknya.

Kongkongan ini menjadikan laporan media tempatan kurang diyakini. Isi dan laporan berita dari akhbar dan televisyen tempatan diperlekeh oleh anak semua bangsa. 

Ucapan menteri dilihat lawak bodoh

Laporan media arus perdana amat jarang dipercayai. Ucapan menteri mahu pun perdana menteri dilihat sebagai lawak bodoh - masuk ke telinga kiri keluar ke lubang hidung. 

Warga Malaysia anak semua bangsa  amat yakin dan percaya kepada laporan berita dari luar negara. Berita dari BBC, CNN atau ABC amat dipercayai berbanding dengan berita RTM atau TV3.

Justeru laporan berita Jho Low dan 1MDB oleh NYT amat amat diyakini. Warga Malaysia lebih percaya kepada laporan orang asing dari laporan orang dalam.

Tiba-tiba setelah dua minggu muncul pula berita 1MDB ini dalam bahasa Melayu (BM). Ini terjemahan. Siapa menterjemah hanya Guru Nanak yang tahu. Apabila muncul dalam BM maka hati saya mula berdetik. Fikrah saya mula bertanya.

Menterjemah ke dalam BM pasti satu perkara yang telah difikirkan oleh penerbit NYT. Pasti telah dibincangkan oleh sidang pengarang. 

Pasti NYT tahu dan sedar bahawa bani Melayulah yang wajib menjadi sasaran berita ini. Selagi bani Melayu bonsai fikrahnya selagi itu Najib akan terus bekuasa.

Saya angkat topi  - cekap amat cekap NYT ini. Lalu saya mula terfikir dan berangan-angan bahawa pasti ada satu agenda yang lebih besar.

Menterjemahkan ke dalam BM ini saya pada hemat saya hanya rintik-rintik hujan. Ada naga kepala tujuh yang akan keluar.

Saya teringat bahawa kaum kiri di Amerika memperlekeh NYT. Akhbar ini dianggap sebagai akhbar arkib penyimpan berita untuk CIA dan para perisik Amerika Syarikat.

Kendati pun, dua penungguan saya telah selesai. Satu lagi projek gelap saya sedang berjalan. Secara senyap-senyap saya mula memasukkan jarum untuk meracun Maria Chin dan Mandeep Singh agar mereka menerima idea BERSIH 4.

Mandeep (gambar) tidak susah untuk dihasut. Ini kerana dia memahami tanpa jalan raya tidak mungkin Najib akan jatuh. Dengan Maria Chin saya belum ada kepastian. 

Saya masih teringat lagi bagaimana susahnya untuk menyakinkan Ambiga supaya mengadakan BERSIH 2 dan BERSIH 3.

Sejarah akan dirakam tentang fakta bahawa bukan semua NGO jaringan BERSIH bersetuju dengan politik jalan raya.

Betul hari ini sesudah kemenangan 9 Mei ramai yang bangga bahawa mereka telah turun ke jalan raya bersama BERSIH. Baju-t kuning menjadi barang simpanan dan harta  peninggalan ke anak cucu. Amin.

Berjaya itu berayah bonda, gagal pula yatim piatu

Tetapi begitulah kebiasaannya, bila berjaya banyak yang mengaku saudara dan bila gagal jadilah anak yatim piatu.

Kejayaan bererti memiliki ramai ayah bonda, kaum kerabat dan sahabat kenalan, manakala kegagalan ialah anak yang dilahirkan tanpa dikenali ibu dan bapa.

Kegagalan bermakna tidak ada saudara mara. Kegagalan adalah hidup sebatang kara menumpang di tepi muara.

Sebagai sosok yang mengajukan jalan raya sebagai pilihan untuk merubah kerajaan saya wajib terus menjalankan jarum untuk memastikan BERSIH 4 akan lahir. 

'Orang Tun' telah datang bersedia. Louise Story telah menghantar nota pendek di FB saya, "now its up to Malaysian to make the change."

Aduh! Ini tugas sejarah yang wajib saya teruskan. Lalu saya bertemu Maria Chin untuk mengajukan BERSIH 4. Apa lagi yang dirancang? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

BERKAITAN:

Merakam sejarah: Dalam politik semua dirancang

Merakam sejarah: Faktor Mahathir

Merakam sejarah: Wawi bonda kandung
Merakam sejarah: Abang Mat Sabu
Merakam Sejarah: Anwar Ibrahim
Merakam sejarah: Babak belakang tabir
Merakam sejarah: Lagi kisah belakang tabir
5 hari menjelang 9 Mei
Merakam sejarah: Kes Altantuya
Merakam sejarah: Apa jadi malam itu?
Merakam sejarah: Projek 'sailang' Mahathir
Merakam sejarah: Lagi projek sailang Mahathir
Merakam Sejarah: Projek memalukan


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS