Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Dalam dewan hotel di Petaling Jaya, keadaannya sibuk, sibuk, sibuk. Ada tiga ruang. Satu untuk pucuk pimpinan. Satu dewan tengah yang luas untuk para YB dan penyokong.

Di sini juga dijadikan dewan makan untuk minum teh dan kopi. Satu lagi dewan – kecil sedikit daripada dewan makan - dengan terpampang skrin besar untuk menonton keputusan PRU14.

Saya mundar-mandir. Dari skrin itu saya perhatikan saluran televisyen kerap dialih-alih kerana ramai kurang sabar menunggu keputusan. Ketika itu sabar bukan komoditi yang laris.

Apabila saja diumumkan keputusan saya terdengar sorak gegak-gempita. Ertinya calon Pakatan Harapan telah menang. Kira-kira jam 10 malam semakin jelas Pakatan Harapan ialah kerajaan baru. United Malays National Organisation, Najib dan Rosmah telah lingkup.

Saya amat yakin ketika itu  para gedebe dan malaun di RTM atau TV3 pasti hilang pedoman. Tidak tahu apa yang wajib diumumkan di kaca televisyen. Pengerusi SPR hilang dari skrin televisyen.

Semua 'gembira'

Penasihat Najib pasti gelabah. Ini berbeza dengan suasana kami di hotel di Petaling Jaya itu. Kami semua terseringai senyum melihat televisyen. Kami terus bersalaman sesama sendiri. Entah siapa yang saya salami saya pun tidak kenal tetapi hakikatnya – semua gembira.

Di ruang tempat terletak skrin besar televisyen itu, terdapat ramai pekerja parti dengan komputer. Mereka sedang menerima keputusan dari sana-sini melalui komputer.

Teknologi oh teknologi. Semua pantas dan tuntas. Hanya keputusan dari Sabah dan Sarawak agak lambat dan samar.

Saya berlegar sambil mengambil gambar. Dalam fikrah saya – ini adalah detik-detik yang sama seperti Sepuluh Hari Mengoncang Dunia – tulisan John Reed tentang Revolusi Bolshevik 1917.

Tapi ada beza. Di Moscow Oktober 1917 sejuk dan lapar. Di dewan hotel ini pada 9 Mei 2018 suhu enak dan makanan melimpah.

Untuk para wartawan dan pengamal media mereka menunggu dalam dewan dan tingkat yang lain.

Awal petang Rabu 9 Mei 2018 saya telah memastikan lori besar bersama skrin telah di pasang betul-betul di Padang Timur di hadapan Amcorp Mall. Semua sistem pembesar suara teratur.

Lewat petang orang ramai - penyokong Pakatan Harapan - telah mula datang ke Padang Timur. Di padang itu, saya tauliahkan kepada dua sosok anak muda yang amat saya yakini kerja dan tugas politik mereka. Seorang bernama Jonah dan seorang lagi bernama Kecik.

Dalam budaya gerakan kiri atau dalam perjuangan angkat senjata, nama samaran wajib digunakan. Justeru dunia hanya mengenal nama Che, Tito, Amado Guerrero, Abu Ammar atau Abu Nidal.

Di belakang nama samaran ini ada nama asli yang lain. Ini dilakukan untuk keselamatan. Tapi sekarang dengan kerajaan baru – saya rasa kita semua sudah selamat - maka nama dua anak muda ini boleh diumumkan.

Surat ke Istana Negara

Jonah ialah Khairul Anuar Ahmad Zainudin dan Kecik ialah Fiqtriey Al-Hakimiey. Mereka berdua ini terlatih dari Universiti Bangsar Utama. Mereka memainkan peranan yang penting dalam detik-detik peralihan kuasa ini.

Delegasi ke Istana Negara telah bergerak. Mereka membawa surat yang akan disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Isi surat ini jelas – menobatkan Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketujuh dan Dr Wan Azizah sebagai timbalannya. Surat ini telah ditandatangani oleh Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu, Dr Wan Azizah dan Tan Kok Wai.

Kami di dewan hotel menunggu. Masa berjalan melintasi jam 11. Berita sampai mengatakan bahawa agong masih belum muncul. 

Mustahil Agong boleh meleser ke Chow Kit. 

Baginda pasti berada di Istana Negara. Hakikatnya berita yang mengatakan Agong tidak ada dalam istana pasti berita palsu.

Berita ini menimbulkan suasana tegang antara kami di hotel. Persoalan hakiki timbul lagi.

Apakah Najib akan menggunakan Majlis Keselamatan Negara? Apakah Najib akan menggunakan Sosma? Saya yakin bukan saya seorang sahaja yang berfikrah sedemikian.

Awal-awal lagi Ketua Polis Negara Fuzi Harun telah mengumumkan senarai lebih 3,000 sosok yang berpotensi menimbulkan huru-hara sesudah pengundian dijalankan.

Suasana menjadi tegang kerana wujud satu kumpulan orang ramai dilaporkan sedang berhimpun di Putrajaya. Kawat-kawat berduri telah dipasang.

Mereka di Putrajaya terkeluar dari kawalan war room Pakatan Harapan. Malah war room langsung tidak mengetahui siapa mereka ini. Dari mana mereka datang? Siapa memimpin mereka?

Saya berlegar dan terserempak dengan Bro Sam. Sosok ini adalah sosok penting yang memainkan peranan di belakang tabir. Sam tahu apa yang sedang berlaku. Jika ada sosok yang 'incognito' bermain di belakang tabir Sam-lah orangnya.

Saya mengenali Sam semenjak era Deklarasi Rakyat - satu tahun yang lalu. Sam ini ialah sosok muda yang amat-amat diyakini oleh Tun Dr Mahathir Muhamad.

Ketika kempen Jelajah berjalan saya terserampak dua kali dengan Sam. Satu kali di Perak dan satu kali lagi di Melaka.

"Bro, macam mana sekarang?" soalan yang amat luas dari saya untuk memulakan labun.

"Kita dah menang," jawab Sam ringkas dan jelas.

"Betul ke Najib nak gunakan NSC?" tanya saya.

"Ada. Tapi gagal, dia panggil semua datang tapi IGP hantar wakil," dakwa Sam lagi.

"Hantar wakil. Biar betul? IGP hantar tok sarjan ke?" soal saya.

Dalam menerima berita gembira ini saya sadurkan dengan lawak. Kami sesama terbarai ketawa.

Ketua polis negara hanya hantar wakil. Ini adalah berita baik. Ini bermakna elit politik telah pecah.

Ini sama seperti apa yang berlaku di Manila ketika rakyat berdemo menghalau Marcos (gambar atas).

Leftenan Jeneral Fidel Ramos dan Menteri Petahanan Juan Enrile enggan menghantar kereta kebal untuk membedil orang ramai yag sedang berdemo di jalan raya.

"Betul ke ni?" soal saya mahu kepastian daripada Sam.

Jika ini telah berlaku maka hari-hari akhir Najib semakin jelas. Lalu saya teringat kembali pertemuan war room kali terakhir dengan Mahathir.

Bakal perdana menteri ketika itu menyebut satu nama yang dianggap orang jahat. Siapa malaun ini wallah hualam bissawab tidaklah hamba mengetahui.

Tetapi daripada kata-kata Mahathir sosok ini ialah orang jahat yang didakwa dibayar Najib untuk memastikan Najib dan Rosmah terus berkuasa sesudah PRU14.

Apakah sosok ini akan muncul? Nampaknya tidak. Amin.

Lewat jam 12 malam delegasi dari Istana Negara pulang. Dewan gempar kerana tetiba beberapa jantan segak masuk dengan senjata di tangan.

Muka jantan jantan ini ketat-metat. Mereka tidak pula memakai pakaian polis atau tentera.

Akhirnya saya diberitahu bahawa jantan-jantan ini ialah suku-sakat Sirul dan Azilah. Kini mereka bertugas mengawal keselamatan bakal perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pada malam ini – pada awal pagi 10 Mei 2018 - Mahathir Mohamad masih lagi bakal PM untuk kerajaan Pakatan Harapan. Delegasi ke Istana Negara telah gagal. Tidak ada angkat sumpah malam itu.

Ada riwayat di belakang sejarah

Sebaik sahaja delagasi pulang dari Istana Negara satu sidang akhbar telah diadakan. Sidang akhbar ini hanya mengumumkan bahawa esok sekali lagi pemimpin Pakatan Harapan akan ke Istana Negara.

Tidak dijelaskan kenapa gagal dan apa terjadi di Istana Negara.

Sebenarnya ada kisah di belakang kisah. Ada riwayat di belakang sejarah. Ada fakta tersorok lagi terbenam. Apa yang berlaku malam itu lebih licik daripada licik. Lebih jahat daripada jahat.

Maka menjadi tugas saya untuk menggali dan mengumumkan kepada orang ramai apa sebenarnya telah berlaku. Jika saya tidak menuliskan apa yang telah berlaku maka saya mengkhianati perjuangan rakyat.

Jika saya menenggelami babak-babak dengan niat untuk mendapat jawatan atau kedudukan maka saya bukan lagi sosok yang bernama Hishamuddin Rais.

Hidup saya sebagai manusia telah sia-sia – hanya mengotorkan oksigen sahaja. Zaleha Sidek dan Rais Manaf akan menolak saya sebagai anak kandung jika saya tidak berani berkata benar.

Jika saya gagal menulis kebenaran maka saya adalah pembelot dan pengkhianat terhadap cita-cita rakyat untuk mewujudkan agenda reformasi.

Jika saya belot maka Sang Kelembai wajib menyumpah saya agar saya menjadi batu. Amin.

Perawi sahih

Babak-babak ini saya pungut daripada perawi sahih. Apa yang berlaku pada malam itu datangnya daripada mulut Mohamad Sabu dan Dr Mahathir Mohamad. Mereka berdua ini perawi saya.

"Apa jadi malam itu? Surat itu disampaikan atau tidak kepada Agong? Surat yang dibawa oleh Wan Azizah?" Pertanyaan jelas daripada saya kepada Mat Sabu satu minggu sesudah dia menjadi menteri pertahanan.

"Surat itu tidak dibincangkan. Tak buka pun surat itu. Agong nak lantik Wan Azizah," dakwa Mat Sabu.

Dakwaan Agong mahu melantik Dr Wan Azizah Wan Ismail ini diperkukuh oleh laporan kenyataan Anwar Ibrahim beberapa hari kemudian.

Bagaimana ini berlaku? Apa intrik dalaman ketika ini? Projek siapa ini?

Pada Selasa 5 Jun 2018, saya telah bertanya perkara yang sama kepada Dr Mahathir Mohamad.

"Tun, malam itu apa terjadi? Surat itu dibincangkan atau tidak?" soal saya.

"Agong ingin melantik Wan Azizah kerana dia ada majoriti. Surat itu tidak pun dibincangkan. Terbengkalai di situ." Ini kata Mahathir kepada saya tuntas dan jelas.

Ajaib lagi halimunan

Agong ingin melantik Dr Wan Azizah? Surat tidak dibuka untuk dibincang. Untuk saya ini pelik lagi menghairankan. Ini ajaib lagi halimunan.

Bagaimana dan kenapa ini berlaku?

"Beta difahamkan parti Datuk Seri Wan Azizah telah mendapat kerusi majoriti. Maka beta merasakan Datuk Seri boleh beta angkat untuk menjadi perdana menteri."

Ini isi bunyi kata-kata Agong pada malam itu yang disampaikan kepada saya.

Maka babak ini menimbulkan persoalan hakiki. Persoalan yang fundamental untuk sejarah bangsa kita. Soalan yang wajib kita semua tanya dan bersama-sama mencari jawapan.

Amat jelas lantikan Mahathir Mohamad pada malam 9 Mei 2018 telah cuba disailang.

Pelantikan Mahathir telah digagalkan. Siapa punya projek menyailang Mahathir. Soalan sejarah yang memerlukan jawapan yang jujur. Jika benar babak ini, siapa bertanggungjawab mencucuk?


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS