Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tun kata
hanya makanan dan bunga
sebagai hadiah
kroni pun bagi wagyu masak kicap
buat umpan tahan lukah
(tahu dek Gordon Ramsay mampus kena marah).

Entah tahun bila, kami dan Abdullah Hamdan - seorang lagi Dollah yang kini kembara entah ke mana - berkunjung ke sebuah pejabat kerajaan atas urusan orang lain.

Kami diminta oleh seorang kawan yang berada di luar kawasan untuk memguruskan satu hal mengenai tanah. Kami datang awal pagi dan di pejabat berkenaan masih tidak ada ramai pelanggan.

Kami ke kaunter dan memberitahu kakitangan yang ada tentang hajat kami. Lalu kami pun diminta menunggu.

Lamaaaaaaaaaaaa kami menunggu dan kami masih tidak diberitahu sama ada urusan kami itu akan diuruskan atau kami dikehendaki menunggu lagi.

Sekonyong-konyong kami ternampak seorang perempuan datang ke pejabat berkenaan dengan menjinjit beberapa beg plastik berisi ayam goreng menjilat jari itu.

Baunya membuatkan kami lapar dan marah pada masa serentak. Almaklumlah, kami belum sarapan kerana mahu segera sampai di pejabat berkenaan untuk mengelak kesesakan yang khabarnya memang terkenal di mana-mana pejabat kerajaan.

(Sejak ada UTC, urusan memang menjadi sedikit ringan dan kami lega. Kami sesungguhnya mengatakan bahawa hanya kerana ini, Najib Razak akan dimasukkan ke sorga. Semoga beliau diberi perlindungan atas kebijaksanaan yang satu ini.)

Untuk makluman, urusan yang perlu kami bereskan hanya boleh diselesaikan di ibu pejabat berkenaan. Cawangan di UTC tidak diberikan kuasa menyelesaikannya. Jika tidak, pasti sudah kami selesaikan di UTC saja.

Balik kepada cerita kami dan kakak ayam goreng tadi.

Dengan membimbit beg ayam goreng pada kedua belah tangannya, perempuan itu terus masuk ke ruang pejabat berkenaan dan beliau disambut mesra kakitangan jabatan selayaknya seorang kenalan mereka yang akrab.

Ayam goreng bertukar tangan dan kakak ayam goreng pun keluar dari ruang pejabat lalu terus ke kaunter urusan dan menghulurkan borang.

Jangkaan kami, beliau mestilah sudah biasa dengan pejabat berkenaan sehingga boleh terus masuk tanpa sebarang sekatan.

Rupanya kami silap, kerana daripada perbualan antara beliau dan kakitangan di kaunter, beliau rupanya seperti kami juga. Tidak dikenali dan datang untuk berurusan. Beliau bukan kenalan sesiapa di pejabat itu. Beliau cuma pelanggan seperti kami juga.

Bezanya cuma, beliau datang membawa ayam goreng dan kami bawa telor seorang dua butir.

Pulang talam kosong

Beliau selesai semua urusan, daripada membawa ayam goreng ke dalam pejabat sehingga semua borang yang dibawanya disahkan dalam masa kurang dari satu jam.

Kami syak masa yang sama juga diambil oleh kakitangan jabatan berkenaan untuk menghabiskan ayam goreng yang berbau harum itu.

Kami masih menunggu dan langsung tidak dipelawa makan ayam goreng sedangkan walaupun pintu bahagian dalam pejabat berkenaan ditutup, bau dan kemeriahan mereka sedang meratah ayam goreng tersebut dapat dihidu dan didengar oleh kami.

Setelah beberapa lama, kami diberitahu yang kami perlu ke cawangan pejabat berkenaan di daerah lain dan kemudian datang semula ke situ untuk pengesahan.

Kami pergi sarapan dan menelefon teman yang meminta tolong itu. Kami maklumkan kepada dia, kami gagal.

Waktu Tun memberitahu media mengenai larangan menerima hadiah oleh kakitangan kerajaan - kecuali makanan dan bunga - kisah di atas datang kembali kepada kami.

Waktu itu kami terfikir tentu ada cara bagi orang yang sudah biasa memberi dan menerima habuan ini melepasi halangan tersebut.

Kami menggodak otak mencari apa agaknya bunga dan makanan yang mahal yang bakal dijadikan hadiah oleh mereka.

Lalu tersebar berita daging lembu mahal dihidangkan di parlimen. Kemudian kamu semua dengar penjelasan bagaimana hidangan daging lembu wagyu dimasak kicap itu adalah sumbangan dari pihak luar dan bukannya datang daripada perbelanjaan kerajaan.

Wagyu masak kicap satu hal, membenarkan pihak luar menjamu ahli parlimen satu hal yang lain pula.

Itu parlimen, ruang paling atas dalam pentadbiran negara. Mengapa dibenarkan penajaan yang sembarangan?

(Mengenai pak cik yang tular di parlimen tempoh hari, kami OK saja dengan cara berpakaian beliau. Kita wajar meraikan kepelbagaian. Cuma nanti jika ada pak haji bersemutar dan berkain batik mahu masuk juga ke bangunan mulia itu, izinkanlah.)

Kita ini manusia. Siapa pun berbuat baik akan kita hargai dan dalam menghargai ini kadang-kadang kita terlepas pandang.

Hari ini orang bagi wagyu dalam dulang, esok waktu memulangkan talam, tentu tidak sopan dibiarkan kosong tanpa balasan.

Seeloknya, tutup semua pintu peluang kepada sesiapa pun untuk berlaku zalim kepada diri mereka sendiri.

Temuduga datuk pencen

Membenarkan makanan dan bunga - walau dilihat sebagai jalan selamat menghargai penjawat awam - hendaklah disekat. Penjawat awam dibayar gaji sesuai dengan jawatan masing-masing.

Tidak ada penjawat awam yang dizalimi dalam hal gaji. Mereka semuanya dibayar mengikut kelulusan yang ada tanpa satu orang pun dianiaya.

Mahu gaji mahal, belajar lebih tinggi. Ini sifir dalam sistem makan gaji. Semua orang hafal sifir ini.

Kerana itu, mereka patut melakukan tugas seperti mana yang dibebankan ke bahu masing-masing tanpa ada rasa perlu mereka diberikan imbuhan tambahan oleh pihak luar.

Kerajaan sendiri boleh memberi imbuhan tambahan kepada penjawat awam jika berasakan mereka telah melakukan kerja dengan cemerlang. Dan sememangnya selalu mereka dilakukan begitu.

Pada kesempatan ini kami cadangkan bonus 12 bulan diberi kepada semua penjawat awam kerana jasa mereka menukar kerajaan. Hah, tepuk!

Kita yang sering berurusan dengan penjawat awam ini juga harus rajin berterima kasih kepada mereka. Ucapkan selamat apabila mula berurusan dan akhiri dengan terima kasih yang sungguh-sungguh.

Mungkin ucapan selamat dan terima kasih ini tidak mungkin akan boleh ditukar dengan tudung Neelofa atau satu set golf terbaru, tetapi sekurang-kurang kedua-dua pihak telah saling menghargai.

Hari ini kebanyakan jabatan kerajaan sangat cemerlang dalam menjalankan tugas. Sudah agak sukar kita temui petugas kaunter yang bermuka masam mencuka ketika bertugas, dan untuk menjadikannya lebih baik, tentu kita mahu mereka tidak disabitkan dengan kegiatan menerima hadiah dalam apa bentuk sekali pun.

Memang akan ada kacang hantu di mana-mana namun mereka ini tentu akan sukar untuk tumbuh subur bila kita tidak membaja kegiatan jahat mereka itu.

Terlanjur bercakap fasal jabatan kerajaan, kita sudah boleh berhenti daripada melantik Datuk-Datuk pencen sebagai panel penemuduga untuk memasuki jabatan kerajaan kerana mereka hanya sibuk bertanya kamu anak siapa, mak ayah kamu undi siapa, nombor ahli partai kamu berapa.

Kita sudah melewati zaman itu.

Akhirnya kami ingin nyatakan sekali lagi rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Najib yang mewujudkan UTC.

Kamu semua tentu tidak boleh menafikan bahawa semua agensi dalam sebuah bangunan ini telah memudahkan hidup kamu.

Jika dikira wang dan masa yang dijimatkan dengan adanya UTC, tentu ianya melebih nilai RM2.6 bilion yang kamu geger dok habih-habih tuh!


ABDULLAHJONES adalah penulis, penyair, pelukis dan jurufoto yang kerana menjaga kesihatannya hanya memakan daging wagyu (bakar) selang seminggu.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS