Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Rabu 9 Mei 2018 adalah hari anak semua bangsa turun mengundi di Malaysia. Cuaca hari itu molek.

Dari awal pagi media sosial, blog dan portal seperti Malaysiakini telah melaporkan bagaimana dari awal pagi orang ramai telah mula beratur di tempat mengundi.

Sebenarnya suasana heboh mengundi telah rancak sebelum pagi Rabu lagi. Semenjak hari Isnin, portal dan blog telah heboh dengan berita lapangan terbang KLIA telah melimpah.

Ada yang hendak pulang ke Sabah dan Sarawak. Ada yang sampai dari Hong Kong, Jepun, Korea, Australia dan entah dari mana lagi.

Air Asia telah dikatakan belot. Awalnya syarikat ini telah memberi tiket ‘spesial’ untuk pulang mengundi. Air Asia juga akan memperbanyakkan penerbangan pulang untuk warga dari luar.

Entah apa terjadi tetiba Air Asia menayangkan logo Najib dan membatalkan beberapa penerbangan. Orang ramai kecewa. Mereka menyumpah dan meludah muka Tony Fernandez.

Hanya pramugari Firefly yang terus dengan baju warna AMANAH. Syukur.

Tambak Johor berasak

Ada berita melaporkan warga yang memburuh di Singapura tidak putus-putus bertali-arus melintas sempadan untuk ke Johor dan pulang mengundi. Tambak Johor berasak-asak.

Pemeriksaan pasport jadi lambat. Malah ada berita melaporkan kemungkinan ini sengaja dilakukan untuk menafikan warga agar tidak sempat pulang ke kampung masing-masing.

Warga Malaysia yang bekerja di luar negara dan pulang mengundi wajib kita berikan ucapan tahniah. Kita angkat topi untuk mereka. Ini satu tanggung jawab yang telah mereka tuntaskan.

Ini juga kejayaan BERSIH dan propaganda BERSIH. Setiap demonstrasi - BERSIH 1.0 hingga Bersih 5.0 - telah menjadi berita dunia.

Keganasan jentera penindas kerajaan Najib yang mereka lihat di kaca televisyen dari luar negara telah mempengaruhi mereka untuk pulang mengundi.

Terima kasih juga kepada BERSIH Global. Amin.

Gambar warga beratur ke bilik mengundi semakin galak muncul. FB dan media sosial menjadi penghantar berita spontan. Ertinya pesta mengundi berjalan dengan lancar.

Petang sampai. Dari apa yang saya baca masih ramai yang belum sempat masuk ke bilik undi. Saya menjadi risau kerana masih ramai yang masih beratur.

Tetiba Pengerusi SPR membuat pengumuman jam 5 petang semua bilik mengundi akan ditutup.

Saya sedar ini sebahagian daripada tugas SPR yang tidak henti-henti menjalankan taktik untuk memastikan Najib terus berkuasa.

Saya risau warga yang beratur dan tidak dapat mengundi akan naik minyak. Saya ingat lagi apa yang berlaku di Gombak pada PRU12.

Bakal pengundi marah kerana bilik mengundi telah ditutup pada jam 5 petang. Huru-hara timbul.

Akhirnya masa mengundi dipanjangkan ke jam 8 malam.

Bilik mengundi tutup

Dalam PRU14 ini, Pengerusi SPR terbukti 'orang suruhan' Najib. Dia berdegil dan bilik mengundi akan ditutup tepat pada waktunya.

Daripada apa yang saya diberitahu proses mengundi pada awalnya diperlambatkan.

Kini apabila melintasi jam 3 petang para petugas ejen pengiraan dan ejen pusat mengundi(PACA) pilihan raya Pakatan Harapan bergegas mempercepatkan proses mengundi. Amin

Mengundi hampir selesai. Saya menunggu arahan rasmi daripada war room untuk mengumumkan dan menjemput orang ramai berkumpul di Padang Timur, berhampiran Amcorp Mall.

Keputusan telah dibuat. Tapi saya mahu arahan rasmi. Akhirnya lewat petang Mat Sabu telah membuat keputusan. Dengan pantas saya mengiklankan seluas mungkin.

Timbul masalah. DAP enggan campur. DAP tidak akan beri arahan kepada ahlinya untuk datang berhimpun.

Saya amat faham akan perangai DAP ini. Mereka berwaspada kerana takut dituduh pencetus huru-hara.

Sebagai parti yang dimomokkan oleh gerombolan Ketuanan Melayu sebagai parti Cina yang anti Melayu maka DAP sentiasa berhati-hati.

Untuk rakaman sejarah biar saya beritahu. Sesudah PRU13 dahulu Pakatan Rakyat telah juga menang tetapi ditipu.

Pakatan Rakyat mengadakan himpunan bantahan di Stadium Kelana Jaya sesudah PRU 13. Dalam himpunan itu DAP dan pemimpian DAP tidak hadir. Ini fakta sejarah.

Pada PRU14 kali ini dalam suasana enggan dan takut-takut ini, saya telah diberitahu DAP akan meminjamkan lori treler untuk dijadikan pentas ceramah. Parti ini juga akan menyediakan sistem pembesar suara dan skrin besar. Terima kasih.

Para penyokong Pakatan Harapan ada yang bertanya kenapa war room beralih ke hotel di Petaling Jaya.

Saya masih ingat lagi bagaimana pada hari Selasa pada jam 2 pagi, saya telah dipanggil untuk melihat pelan dan rajah war room yang akan beroperasi dari dalam ruangan di bangunan Amcorp Mall.

Kenapa beralih? Rasionalnya di hotel akan ada teh dan kopi. Selesa untuk makan dan berehat. Jika di Amcorp Mall kita wajib membawa masuk makanan. Saya terima lojik ini. Khalas.

Hakikatnya di Kuala Lumpur pada malam Rabu 9 Mei 2018 Pakatan Harapan ada dua tempat berkumpul.

Pemimpin dan bakal wakil rakyat berkumpul di hotel itu yang tidak jauh dari tempat orang ramai berkumpul di Padang Timur. Dua tempat ini ada skrin besar untuk melihat keputusan undi.

Tetiba saya diberitahu ada satu lagi perhimpunan di Putrajaya. Saya hairan lagi pelik. Ini kumpulan daripada parti mana? Daripada kabilah siapa?

Kepala bana siapa yang mengepali himpunan ini? Saya yakin dan pasti tidak ada arahan daripada war room Pakatan Harapan untuk berkumpul di Putrajaya.

Malah daripada media sosial telah muncul gambar dawai berkawat berduri telah dirintang di beberapa jalan di Putrajaya. Apa maknanya ini? Ini projek siapa?

Malam sampai. Satu demi satu keputusan masuk. Setiap kali keputusan dibacakan orang ramai akan bersorak. Ini berlaku di Padang Timur. Dan ini juga berlaku dalam dewan khas di hotel itu. Semua bergembira. Semua tersenyum.

Bacaan Mat Sabu tepat, sebelum jam 9 malam kita akan tahu kalah menang. Daripada keputusan yang sampai semakin jelas United Malays National Organisation (Umno) telah lungkup.

Penyokong Pakatan Harapan terseringai ketawa. Saya pula? Saya gelabah memikirkan apa langkah yang akan diambil oleh Najib.

Di dewan hotel itu, pintu masuk dikawal. Hanya yang dipilih sahaja boleh masuk. Tetapi ini pun menjadikan dewan penuh dengan wakil rakyat yang baru menang, calon wakil rakyat yang menunggu menang dan juga penyokong setia.

Media menunggu di bilik berasingan. Teh, kopi dan makanan terhidang.

Senarai tangkapan, MKN

Pada kegembiraan para penyokong sebenarnya saya merasa tegang. Berita senarai tangkapan timbul sekali lagi. Beberapa bisikan kedengaran tentang hal senarai ini.

Ini diikuti pula oleh berita Najib sedang mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melakukan sesuatu.

Daripada mana punca berita ini wallahu alam. Tapi semuanya sampai ke telinga saya. Saya menjadi gusar. Risau ada, gentar pun ada. Apa akan berlaku?

Di Malaysia selama 60 tahun belum pernah terjadi peralihan kuasa kerajaan. Semenjak Inggeris mengundur parti United Malays Ntional Organisation (Umno) telah berkuasa.

Saya berjabat tangan dengan Datuk Kadir Jasin. Kali pertama saya berjabat salam dengannya dalam satu program forum di JB tahun 2016.

'Jalan keluar si Najib'

Bila bertemu Kadir kali pertama dia berkata, ‘… dia ni dulu musuh saya..’ Sekarang kami sekapal dan boleh duduk semeja dan berbincang hal politik negara. Dunia telah berubah. Lawan jadi kawan.

Lalu saya berkata kepada Kadir, "kita berilah si Najib ni jalan keluar... jangan beri dia peluang … nanti dia buat kacau-kacau... satu bilion itu kira halal dunia akhirat..." Ini cadangan saya untuk mengelak berlaku bentrokan.

Saya menyuarakan cadangan dalam bentuk lawak. Orang Puteh kata - touch and go. Saya ingin melihat apa reaksi sosok yang mendengar.

"Kami sudah beri dia peluang dulu... tapi dia reject..." Ini jawapan Kadir yang kini ahli Majlis Tertinggi BERSATU. Saya kurang arif dalam hal ini. Bila agaknya peluang Najib mengundur telah diberi.

Saya tuturkan perkara yang sama kepada Dr Zul (Zulkefly Ahmad) daripada AMANAH yang baru diumum menang. Dia sedang dikelilingi oleh ‘geng AMANAH’.

Dr Zul tidak menjawab. Dia hanya memandang muka saya. Mungkin kegembiraan menang sedang melanda hingga tidak ambil pot apa yang saya tuturkan.

Kemudian saya pergi bertemu dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya tuturkan perkara yang sama seperti apa yang saya katakan kepada Datuk Kadir Jasin dan Dr Zul.

‘Tak boleh… tak boleh… Mana boleh bebas begitu saja… Najib wajib dibawa ke mahkmah….’ Ini jawapan tegas daripada Muhyiddin.

Saya tidak meneruskan pertanyaan saya kepada yang lain. Saya takut juga dianggap ‘lembik’ dan sedia berkompromi dengan orang jahat seperti Najib.

Malam berlarutan dan melintasi jam 10. Keputusan semakin jelas bahawa Pakatan Harapan telah menang. Satu demi satu kerusi bertambah. Satu demi satu negeri milik BN jatuh untuk menjadi wiayah Pakatan Harapan.

Pengerusi SPR tidak muncul lagi di kaca televisyen. Ke mana dia menghilang malam itu wallahu alam.

Saya difahamkan pada malam itu juga kerajaan Pakatan Harapan akan ditubuhkan. Tidak boleh dilengahkan. Jika dilengahkan ini mengundang bahaya.

Sila ingat kembali pilihan raya Negeri Sarawak pada 2011. Si Taib Mahmud masuk angkat sumpah sebaik saja dia mendapat majoriti. Malam itu juga Taib angkat sumpah hingga dia tidak sempat memakai stokin. Babak tak sempat pakai stokin ini hingga sekarang menjadi babak lawak sejarah.

Malaysia negara dunia ketiga. Apa sahaja boleh dilakukan oleh Najib. Lambat angkat sumpah akan mengundang bahaya.

Surat rasmi HARAPAN kepada Agong

Jam melintasi sebelas malam. Surat diketik. Ini surat rasmi daripada Pejabat Majlis Presiden HARAPAN, bertarikh 10 Mei 2018. Surat ini ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Surat itu ditandatangani oleh Dr Wan Azizah, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tuan Haji Mohamad Sabu dan Saudara Tan Kok Wai.

Surat ini meminta Agong melantik Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ke 7 Malaysia. Surat ini akan dibawa kepada Agong pada malam ini juga. Delegasi ke Istana Negara sudah bersedia.

Pucuk pimpinan Pakatan harapan akan pergi ke Istana Negara untuk penubuhan kerajaan baru dibawah Pakatan Harapan.

Delegasi meninggalkan hotel di Petaling Jaya menuju Istana Negara.

Saya sempat mengambil satu salinan surat bersejarah ini. Salinan surat yang ada pada saya tidak bertandatangan. Surat bersejarah ini tersimpan dalam peti besi saya.

Apa terjadi di Istana Negara. Apa terjadi dengan surat daripada kepimpinan Pakatan Harapan ini? Tunggu minggu hadapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS