Saya masih ingat lagi pada petang Ahad 25 Februari 2018, ceramah jelajah Pakatan Harapan membuka tirai di Alor Gajah, Melaka. Saya masih ingat lagi sambutan malam itu “hanya boleh tahan”. Mungkin 2,000, mungkin 3,000 yang datang atau mungkin kurang. Dalam hal kira mengira ini saya kurang arif.
Saya masih ingat lagi dua bulan kemudian, pada malam 4 Mei. ceramah jelajah membuat ‘grande finale’ di Bukit Katil, Melaka. Di negeri bersejarah Melaka jelajah bermula, maka di Melaka jelajah berakhir.
Saya masih ingat lagi pada malam itu yang datang telah melaut. Berpusu- pusu, berasak-asak. Warga Melaka semua mahu tercatat dalam sejarah bahawa mereka ada bersama Mahathir untuk menjatuhkan Najib dan United Malays National Organisation.
Yang buta datang berpimpin.
Yang pekak datang bertanya.
Yang muda datang bermotor.
Yang cun datang berbalak.
Yang kaya datang ber-Mercedes.
Yang taikun datang ber-body guard.
Yang muda bujang janda dan sida.
Semua ada semua bersedia.
Saya cukup yakin PRU14 telah dimenangi oleh Pakatan. Sebenarnya keyakinan saya ini telah lama wujud. Tapi kali ini, dari apa yang saya saksikan di Melaka, saya limpahkan fakta dan sebab musabab keyakinan saya ini kepada pak cik dan mak cik, kepada abang dan kakak yang kurang arif membaca tanda dan makna politik.
Saya tidak memiliki kepayahan untuk memahami politik kita - politik Dunia Ketiga. Politik Malaysia amat senang untuk dihadam. Amin.
Dari pentas tetiba saya terdengar bunyi gendang yang dipalu oleh tim India yang diatur khusus memukul tabuh dan gendang untuk memeriahkan suasana. Muncul Rafidah Aziz dengan baju merahnya. Dia terus naik ke pentas. Sorakan gempita kedengaran. Sebenarnya saya telah diberitahu awal ‘rahsia’ Rafidah akan bersama di Melaka. Rafidah telah belot.
Tetiba gendang dipalu lagi. Orang ramai tertanya-tanya siapa lagi yang akan datang. Dari atas pentas saya ternampak sosok berseluar hitam, bercapal dan berbaju putih. Perhati punya perhati rupa-rupanya Tun Daim juga telah belot.
Wahai pak cik dan mak cik Bani Melayu:
Bila Tun Daim belot ini adalah adalah tanda yang paling sahih lagi afdal bahawa Najib dan United Malays National Organisation akan bungkus.
“Isham, Daim ini orang niaga. Bila dia nampak peluang, dia mencelah masuk.”
Ini kata-kata kawan saya yang tak begitu arif politik. Saya datang bersama dia dari Kuala Lumpur. Sah. Ini pandangan tepat lagi saintifik.
'Hebat orang kaya ini'
Jangan lupa pada PRU12 Daim lebih awal telah meramalkan yang BN akan hilang lima negeri. Wow! Hebat orang kaya ini.
Apabila Tun Daim naik ke pentas maknanya Najib wajib turun dari takhta.
Malam ini untuk pertama kali saya bersalaman dengan Daim. Kami tak banyak cakap. Ketika tangan masih dipegang, Daim berkata,”We have to do something, kita wajib lakukan sesuatu.’
Saya tahu apa yang dimaksudkan oleh Daim dengan perkataan “lakukan sesuatu”. Daim pasti tahu saya datang dari mazhab politik jalan raya. Justeru saya amat gembira kerana sosok yang ini pun telah faham dan sedar bahawa garis jalan raya akan memainkan peranan yang amat penting untuk mencapai kejayaan.
“Yes Tun, we will work for it.”
Kami sesama faham apa yang terucap dan apa yang tersimpan. Amin.
Dalam semua sejarah peperangan, pembelotan memainkan peranan penting. Sila baca Sejarah Melayu dan rujuk kembali babak pembelotan Sang Rajuna Tapa. Si pembelot ini telah membuka pintu Kota Singapura untuk membolehkan Betara Majapahit membolos masuk membawa laskar dan pahlawan Jawa untuk menumpaskan Raja Iskandar Shah.
Seratus tahun dari hari ini pasti ada pelajar sejarah yang ingin mengkaji kembali sebab musabab yang membawa keruntuhan United Malays National Organsiation. Maka saya yakin pembelotan wajib menjadi naratif tulang belakang.
Dari zaman Onn Jaafar, Harun Idris, Tengku Razaleigh, Anwar Ibrahim dan termasuk Mahathir Muhamad, semua ini adalah watak-watak pembelot. Ada yang memiliki dendam kesumat. Ada yang tidak puas hati. Ada yang gagal kecewa. Sebab musabab bukan persoalan. Apa yang penting sosok-sosok ini telah belot dan bersekongkol dengan musuh politik untuk menjatuhkan parti lama mereka.
Daim dan Rafidah hanya permulaan. Yakinlah ribuan lagi akan belot terutama apabila United Malays National Organisation telah hilang kuasa. Gula yang dah jadi garam tidak akan menjemput semut mahupun lalat.
Di Bukit Katil malam itu, umum melihat Rafidah Aziz membogelkan parti lamanya. Dengan menggunakan dua biji alat pembesar suara Si Rafidah melakar sejarah pincang pentabiran Najib. Warga Melaka gegak gempita menyambut Rafidah.
Hebat. Rakyat Melaka berasak-asak ingin mendengar buah butir ceramah. Pentas dan sistem suara bukan yang terbaik pada malam itu. Saya yakin ramai yang hanya dapat melihat dan tidak mendengar buah butir ceramah. Tetapi semangat nak menerajang Najib cukup kuat. Semangat warga Melaka hadir untuk membuat sejarah cukup kuat.
Bila Mahathir berucap dia terpaksa berpusing-pusing kerana pentas telah menjadi pulau dalam lautan manusia.
Selesai ceramah saya diberitahu bahawa antara puluhan ribu yang hadir termasuk pemilik hotel lima bintang terkemuka di negara ini. Saya diberitahu tauke kaya ini memasang telinga dari dalam kedai dengan dijaga oleh empat orang pengawal peribadi. Ini satu lagi tanda sahih yang Najib akan lingkup.
Cukong beralih kiblat
Bila cukong beralih kiblat, ini maknanya taufan akan sampai. Amin.
Dua hari kemudian penyokong Najib menuduh gambar ceramah jelajah di Melaka yang tular bukan gambar asli. Mengikut Najib gambar jelajah Melaka ini dihasilkan oleh ‘teknologi’.
Hingga ke hari ini saya masih lagi mencari siapakah yang memberi nasihat ini. Saya bukan nak lempang penasihat ini. Tidak. Tidak. Saya nak hadiahkan seikat petai kerana nasihat bodoh ini telah menaikkan semangat marah dan benci warga Internet terhadap Najib.
Penasihat yang memberi nasihat ini telah menjadikan Najib cukup Lokman Adam di mata netizen. Amin.
Balik ke Kuala Lumpur saya memberi laporan kepada war room PKR. Satu persoalan timbul, persoalan yang menakutkan. Umum tahu PDRM telah membuat simulasi pasca-PRU14 yang “sosok Najib atau sosok PM telah diselamatkan” dari rusuhan.
Ini sebenarnya teater perang saraf, dilihat bertujuan membantu menakut-nakutkan orang ramai agar jangan melakukan apa-apa walaupun telah ditipu dalam PRU14.
Pada hemat saya, perang saraf ini cuba menangkis hasutan saya. Tagline dari sebuah hotel - Pakatan menang PRU14 kecuali ditipu - kini telah menular. Intel dan SB dari PDRM pasti telah juga membaca hasutan saya yang sedang menyediakan suasana untuk orang ramai turun ke jalan raya.
Tidak cukup dengan teater simulasi ini pada 9 April 2018, Ketua Polis Negara Fuzi Harun telah membuat kenyataan di Terengganu. Kenyataan ini juga bertujuan untuk membantu Najib. PDRM telah mengeluarkan kenyataan tentang senarai 1,131 orang yang telah dikenal pasti berpotensi membuat huru-hara sesudah pengundian berjalan.
Nama-nama ini termasuk dalam apa yang dipanggil Projek SMLA - serangan mengejut di saat akhir. Saya yakin nama ke-31 itu adalah nama saya. Tapi saya tidak ambil pot kerana saya telah berjanji pada diri saya sendiri yang saya akan melakukan apa sahaja untuk menetaskan perubahan.
Kita semua akan mati. Persoalannya, bagaimana kematian itu datang? Kalau tidak pada PRU14, bila lagi?
Tapi dalam war room PKR, berita senarai PDRM ini telah melahirkan kegusaran. Malah ada pandangan yang mengaitkan perang saraf PDRM ini selari dengan MKN - Majlis Keselamatan Negara.
War room PRU13 PKR dan war room PKR PRU14 agak berbeza. Ketika PRU13 dahulu, saban hari akan muncul angka kemenangan. Ada sahaja maklumat yang diterima. Awalnya hanya 100 kerusi. Kemudian bertambah menjadi 116 kerusi.
Ada saja maklumat dari intel soldadu (military inteligence) atau maklumat SB. Saya hanya tersenyum. Kerana saya juga terdidik dari sekolah intel. Saya juga membaca kitab yang sama yang dibaca dan ditelaah oleh SB dan intel soldadu.
Perang saraf maklumat salah
Cuba fikirkan secara rasional, kepala hangguk apa pula ketua SB macai Najib bersuka hati datang memberi maklumat kepada war room PKR. Apa hutang pegawai risik tentera hingga mahu memberi maklumat kepada musuh?
Sebenarnya semua ini adalah perang saraf. Ini projek misinformation. Memberi maklumat salah agar musuh melakukan tindakan salah. Akhirnya dalam PRU13 kerana salah baca maka tindakan salah telah diambil.
Justeru dalam PRU13 tidak ditimbulkan konsep JANGAN CONCEDE - jangan terima keputusan. Hanya pada saat saat akhir saya dapat mengajukan “jangan concede” sebagai strategi. Ini sudah terlambat. Malah malam bantahan di Padang Kelana Jaya, strategi jangan concede ini tidak diutarakan secara tuntas. Hanya sebagai pandangan sampingan.
Dalam war room PKR kali ini tidak ada mat songel yang berlabun tentang berapa kerusi yang akan dimenangi oleh Pakatan. Jangan concede - jangan terima keputusan PRU14 - kini menjadi strategi induk.
Justeru lima hari sebelum membuang undi bukan berapa kerusi yang akan dimenangi. War room tidak lagi membincangkan pengundian. Kami menapis maklumat - sahih atau palsu - terutama dari Sabah dan Sarawak.
Tiga hari sebelum membuang undi apa yang war room lakukan? Tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.