Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Anak semua bangsa, bangsa semua agama, warga Malaysia telah berjaya menghumbankan United Malays National Organisation ke dalam tong sampah sejarah. Ini satu kemenangan. Justeru saya wajib menulis untuk merakamkan detik-detik kemenangan ini.

Parti United Malays National Organisation yang ditubuh pada 11 Mei 1946 dan didukung oleh Inggeris akhirnya telah dapat ditumpaskan dan dinyahkan dari kuasa oleh gerakan anak semua bangsa - bangsa semua agama.

Saya amat gembira apabila melihat Najib dan Rosmah tidak melarikan diri pada 12 Mei 2018. Pesawat jet peribadi yang dikatakan dihantar dari Jakarta telah dikepung oleh anak anak muda di lapangan terbang Subang.

Saya akan dituduh munafik jika saya tidak mengakui betapa gembiranya saya apabila melihat Razak Baginda, Arul Kanda, Habibul Rahman dan puluhan orang-orang jahat suku sakat Najib yang didakwa cuba menghilangkan diri, atau mula menenggelamkan diri dari diketahui orang ramai.

Saya amat amat gembira bila musuh saya dalam kesusahan. Saya gembira bila musuh saya dalam kesakitan. Saya gembira bila musuh saya masuk ke dalam penjara. Jangan salah baca, pilihan raya ialah perang tanpa senjata. Perang bersenjata berlaku apabila politik undi mengundi gagal.

Kegembiraan dari saya ini bukan dendam. Saya tidak memiliki sifat dendam. Gembira melihat Najib masuk penjara bukan bermakna berdendam.

Pada hemat saya hidup membawa dendam pasti satu hidup yang amat berat - mengheret dendam ke hulu ke hilir. Hishamuddin Rais tidak berdendam. Hishamuddin Rais hanya gembira apabila Najib dan Rosmah masuk penjara. Amin.

Para pembaca akan menipu diri sendiri apabila tidak mengakui bahawa kita semuanya bergembira apabila Najib dan Rosmah ditangkap, didakwa dan akhirnya masuk penjara.

Kegembiraan yang lahir ini adalah watak dan ciri-ciri gerakan politik. Di mana-mana pun dalam dunia ini apabila berlalu perubahan sosial ciri yang sama berlaku. Apabila yang zalim dijatuhkan, ppabila yang jahat dapat ditewaskan, apabila penyamun dapat ditangkap, maka kegembiraan adalah jawapannya.

Ketika Czar Nicholas dibunuh dalam Revolusi Bolshevik pada tahun 1917 warga kota Moscow gembira. Ketika kepala Louise ke14 dipenggal kepalanya di Paris pada 21 Januari 1793, ramai warga kota Paris menari, bertandak dan menyanyi mabuk gembira.

Saya amat yakin warga Indonesia pasti gembira melihat Suharto jatuh pada tahun 1998. Saya amat yakin warga Iran gembira apabila melihat Shah Reza Pahlavi melarikan diri dari Tehran pada 16 Januari 1979.

Di Tanah Melayu semenjak Inggeris mengangkat United Malays National Organisation, semenjak gerombolan Ketuanan Melayu ini mengambil alih kuasa dari British, Tanah Melayu telah dilanggar malapetaka.

Pada Rabu, 9 Mei 2018, malapetaka atau nakba dalam bahasa Arab telah dinyahkan. Menyahkan Najib dan Rosmah bermakna warga Malaysia telah berjaya menyahkan malapetaka yang selama 60 tahun ini telah menghempap berat kehidupan anak semua bangsa di Tanah Melayu.

9 Mei malapetaka tercabut

Rabu 9 Mei 2018 malapetaka tercabut. Malaysia menjadi ringan. Udara menjadi nyaman. Hidup menjadi aman. Tanah Melayu membuka sejarah baru. Sabah dan Sarawak membuka sejarah baru. Maka kita - anak semua bangsa di Malaysia berhak untuk terus bergembira.

Saya sering menulis bahawa detik sejarah itu juga memiliki sejarah dan latar. Saya juga pernah menulis untuk menolak dan mengenepikan pandangan yang sering mengatakan bahawa sejarah ditulis oleh orang yang menang.

Untuk saya sejarah ditulis oleh orang yang rajin menulis. Jika kita malas menulis walaupun menang ia tidak memiliki makna.

Saya telah merakamkan semua babak babak sebelum PRU14. Menolak pelbagai bentuk pandangan bodoh yang tak masuk akal. Dan mengajukan garis dan taktik untuk membawa pencerahan.

Dua bulan sebelum PRU14 saya membuat ramalan kemenangan.

Dalam masa yang sama saya juga ada menulis beberapa pandangan yang pada hari ini dilihat salah, pandangan yang silap, pandangan yang terbukti melanggar apa yang berlaku ada 9 Mei.

Pada hemat saya ini lumrah. Kerana mustahil saya dapat melihat kesemua hasil politik masa depan dengan jelas dan tuntas.

Walau apa pun akhirnya kita semua dapat melihat Najib dan Rosmah terkurung dalam rumah sendiri. Yang ini telah saya nujumkan berbulan bulan lebih awal.

Dalam suasana kegembiraan, ketika melihat kembali apa yang pernah saya tulis – yang tepat dan yang salah. Maka ada beberapa perkara yang wajib saya tuntaskan. Perkara yang wajib saya rakamkan untuk rujukan sejarah, babak-babak yang wajib diumumkan secara hitam putih untuk bahan sejarah.

Seratus tahun dari hari ini jika ada anak pelajar yang menggali sejarah kejatuhan United Malays National Orgnisation pada Rabu 9 Mei 2018, maka apa yang saya tulis ini akan menjadi bahan.

PERTAMA: Kemenangan PRU14 oleh Pakatan Harapan pada Rabu 9 Mei 2018 adalah kerana faktor Mahathir. Dalam BI - The Mahathir factor.

Mahathir adalah penyebab utama yang telah berjaya - mengumpul semua tenaga anak semua bangsa - untuk mengalahkan gerombolan Najib dan konco-konconya.

Jika di zaman REFORMASI dahulu faktor Anwar Ibrahim menjadi juragan dan jurumudi. Anwar menjadi ikon yang berjaya mengumpul gerakan jalan raya untuk menjatuhkan Mahathir.

Dalam PRU14 juragan dan jurumudi ialah Mahathir.

The Mahathir factor ini memerlukan kajian yang lebih rapi. Kenapa dan mengapa anak semua bangsa mahu beralih memilih Pakatan apabila Mahathir meneraju pucuk pimpinan.

Langkah bunuh diri

Kajian ini penting untuk kita sesama kita terus bergembira.

Tiga bulan sebelum hari mengundi kita terdengar bagaimana kemungkinan DAP disingkir dari pendaftaran. Jabatan Pendaftaran telah memberi pelbagai masalah kepada DAP. Kemudian kita dengar pula BERSATU menghadapi perkara yang sama.

Segala jentera kerajaan - SPR, SPRM, PDRM, Peguam Negara, Mahkamah dan, dan, dan…telah digunakan untuk memupuk kekuatan kuasa dirinya.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) juga tidak ada bezanya. Ketika ini Jabatan Pendaftaran menjadi aparacik setia yang memperkukuh kuasa Najib dan Rosmah. Secara bijak pendaftaran parti BERSATU dibatalkan.

Sekali imbas langkah ini dilihat bijak. Tetapi sebenarnya ini adalah langkah membunuh diri. Kerana jawapan dari Mahathir menggegarkan politik Malaysia.

Tup-tup, langkah paling radikal telah diambil oleh empat parti gabungan Pakatan. Semua bersetuju untuk menggunakan satu logo.

Inilah bukti faktor Mahathir yang mungkin ramai terlepas pandang. Tetapi inilah pencapaian politik paling unggul dalam sejarah 60 tahun politik Malaysia. Fakta ini ialah: Penggunaan satu logo.

Menggunakan satu logo ini - persetujuan menggunakan satu logo ini - hanya dapat dilakukan bawah kepimpinan Mahathir. Saya yakin Anwar Ibrahim pun tidak ada keupayaan untuk menuntaskan perkara ini. Satu logo ini adalah faktor Mahathir yang membawa pukulan maut kepada Najib dan Rosmah.

KEDUA: Mahathir Muhamad sebagai agen komunikasi yang cukup baik. Ucapan ceramah Mahathir tidak beretorik. Tidak menaikkan semangat untuk turun ke jalan raya. Dalam ceramah si Mahathir tidak pernah bercerita yang dia kenal dengan Putin atau kenal Tony Blair. Atau pernah ke Universiti Havard. Atau pernah membaca buku itu dan ini.

Malah ceramah Mahathir agak mendatar. Tetapi Mahathir telah berjaya menyampaikan maklumat dengan cemerlang kepada orang ramai.

Mahathir TIDAK menggunakan perkataan yang besar-besar, yang susah untuk disebut. Dan susah untuk dieja. Mahathir TIDAK menggunakan perkataan Inggeris atau Arab. Dalam ceramah Mahathir tidak berselindung dengan ayat Quran atau hadis nabi untuk memperkukuh hujah.

Perkataan curi, samun , tipu senang difahami maknanya oleh mak cik dan pak cik Felda. Di sinilah kejayaan Mahathir menterjemahkan konsep politik yang kompleks dengan penerangan yang senang untuk difahami.

Kepada Mahathir Najib ialah pencuri. Perkataan pencuri ini difahami oleh mak cik Felda. Berbeza dengan menggunakan perkataan kleptokrasi. Satu habuk pun orang tak faham. Dalam ceramah Mahathir memilih pencuri, lanun atau penyangak untuk menerangkan siapa si Najib ini.

KETIGA: Perubahan sosial akan berlaku apabila elit politik, elit ekonomi dan jentera daulah mula pecah.

Cukong lari dari Najib

Sama ada cukong yang bernama Robert Kuok memberi dana kepada pembangkang atau tidak satu persoalan lain. Apa yang tersirat dari berita Robert Kuok (bawah) ialah gambaran tentang elit ekonomi, para cukong telah mula melarikan diri dari Najib. Ini adalah faktor Mahathir.

Kesampaian Rafidah Aziz dan Rais Yatim masuk ke dalam saf Mahathir adalah salah satu tanda bahawa elit politik juga telah pecah. Apabila Rais dan Rafidah dibuang dari parti maka jelas elit politik sedang beramuk.

Kemudian saf Mahatir di masuki oleh Daim Zainudin dan Syed Hamid Albar. Semua ini adalah faktor Mahathir yang berjaya memecahkan elit politik

Kemudian Mahathir menulis surat surat terbuka kepada PDRM, tentera laut, darat dan udara. Hanya Mahathir yang memiliki wibawa sedemikian. Hanya Mahathir yang berupaya menulis surat ini.

Apabila Laksamana Angkatan Laut menjawab dan menerangkan kepada anak semua bangsa bahawa angkatan tentera laut tidak menyebelahi parti sesiapa pun. Jawapan ini tidak membolehkan Najib melakukan huru-hara untuk mempertahan kuasa. Satu cabang tentera telah enggan jadi alat Najib.

Sebelum Mahathir menulis surat, seorang pemimpin tentera darat didakwa menyatakan soldadu menyokong kerajaan. Ini bermakna tentera darat akan mempertahankan Najib.

Perbuatan bangang ini telah ditibai oleh rakyat kiri dan kanan. Jeneral kaki bodek Najib ini terduduk dan membuat kenyataan baru.

Semua ini petanda yang jentera kerajaan tidak lagi menyebelahi Najib. Hanya PDRM yang tidak bersuara. Hingga ke saat kemenangan tercapai maka barulah ketua PDRM menerima hakikat bahawa Pakatan Harapan ialah kerajaan baru.

Dalam kita merayakan kemenangan ini. Dalam kita bergembira. Maka jangan lupa kita wajib terus berwaspada. Orang-orang jahat wajib terus diburu, ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara.

Kalau di zaman kerajaan Melayu Melaka, orang jahat akan disula.

Saya tidak mencadangkan mereka disula kerana ini akan mengotorkan buluh.

Tetapi hakikatnya, meminta mereka disula ini tidak mungkin saya tulis satu bulan dahulu. Kini saya boleh menulis dengan hati terbuka kerana kemenangan yang telah dibawa oleh faktor Mahathir. END


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS