Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia minggu lepas (3 Mei 2018), saya mengambil kesempatan untuk pusing sekitar Lembah Klang meninjau kempen-kempen pelbagai parti politik yang mengambil kesempatan mengisi baki kurang seminggu dari tarikh membuang undi.

Antara “agenda” tinjauan peribadi yang saya lakukan termasuklah “menyibukkan diri” bertemu calon-calon “favourite” yang sememangnya tiada masa untuk melayan peninjau tidak bertauliah seperti saya.

Seperti seluruh rakyat Malaysia, sebagai pemimpin NGO saya juga mempunyai calon “favourite” saya sendiri tanpa mengira latar belakang dari parti mana yang diwakili. Dan kayu ukur calon “favourite” saya sudah tentu mereka yang pernah bersama masyarakat menggerakkan NGO dalam memperjuangan idealisme perjuangan murni yang mereka percaya.

Maka, sempena tanggal keramat semalam, saya mengambil kesempatan untuk bertemu dua calon “favourite” yang mempunyai latar belakang yang hebat dalam memperjuang hak kebebasan bersuara – Puan Maria Chin Abdullah (calon P 105 - parlimen Petaling Jaya) dan Prof Dr Shaharuddin Badaruddin (calon N 32 – DUN Seri Setia).

Masakan tidak, kedua-dua tokoh ini pernah meringkuk dalam tirai besi kerana memperjuang hak kebebasan bersuara dan demokrasi. Maria Chin Abdullah beberapa kali ditahan termasuk menerusi undang-undang SOSMA kerana memperjuangkan agenda menuntut pilihan raya yang bersih dan adil menerusi platform BERSIH 2.0. Begitu juga Dr Shaharuddin Badaruddin yang tidak terlepas dari mendaftarkan diri sebagai “alumni” ISA pada era Reformasi 1998 dahulu.

Namun, mana-mana pasungan sama sekali tidak pernah melunturkan semangat mereka malah pada malam semalam dengan tegar mereka masih lantang mendesak kebebasan bersuara dan hak demokrasi diberikan kepada rakyat.

Perjuangan Maria Chin Abdullah yang berpendidikan dari University of London sebenarnya adalah hasil dari inspirasi dari arwah suami beliau allahyarham Yunus Lebai Ali, yang pernah ditahan oleh pemerintah pada tahun 1974 akibat dari aktivisme membela rakyat miskin selain Operasi Lalang pada tahun 1987. Arwah juga pernah terlibat secara langsung dengan Palestine Liberation Organization (PLO) menentang agenda Zionis serta menjadi pengawal peribadi kepada Yasser Arafat.

Pemergian arwah suami menguatkan lagi semangat Maria untuk tidak menandakan noktah akhir kepada perjuangannya, sebaliknya meneruskan perjuangan arwah suami dalam siri perjuangan rakyat. Keberanian seorang wanita Muslim yang digelar “iron lady” ini telah diiktiraf masyarakat antarabangsa, antaranya termasuklah apabila diberikan anugerah “Asia Democracy and Human Rights Award 2017” yang disampaikan oleh presiden Taiwan sendiri Tsai Ing-Wen selain “Gwangju Prize for Human Rights 2016”.

Ketokohan Maria Chin turut diakui oleh gabungan pembangkang lain iaitu Gagasan Sejahtera dan PAS apabila pemimpin PAS secara terbuka menawarkan Maria Chin untuk menjadi calon.

Begitu juga dengan Dr Shaharuddin yang menghabiskan zaman mudanya untuk gerakan dakwah dan aktivisme masyarakat di dalam negara serta di pentas antarabangsa. Dalam menggerakkan masyarakat, beliau pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam NGO Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebagai timbalan presiden dan setiausaha agung serta bergerak aktif dengan NGO lain seperti Majlis Belia Malaysia (MBM), Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), serta Wadah Pencerdasan Umat (WADAH).

Sebagai bekas pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) selama lebih tiga puluh tahun, beliau giat menulis dalam pelbagai tema menyentuh agenda memartabat kedudukan Islam, orang Melayu dan Bumiputera dan antara buku-buku yang ditulis beliau termasuklah “Islam & Politics”, “Agenda Melayu dan Perpaduan Kebangsaan”, “Gerakan Islam antara Dua Paradoks” sebagai landasan utama misi pencerahan kepada masyarakat.

Kedudukan beliau sebagai naib presiden PKR membuka ruang kepada beliau untuk menggunakan pengalaman selama lebih tiga puluh tahun berkhidmat di institusi bumiputera untuk mengangkat agenda Melayu dan Bumiputera sebagai teras dalam dasar pembangunan Negeri Selangor serta perancangan dasar Pakatan Harapan di peringkat kebangsaan.

Kepakaran beliau amat diperlukan oleh Kerajaan Persekutuan apabila beliau pernah dilantik sebagai Fellow Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) serta Ketua segmen Politik dan Antarabangsa Institute for Youth & Research (IYRES), sebuah Institut yang dinaungi oleh Kementerian Belia dan Sukan. Kini beliau aktif menggerakkan agenda pendidikan masyarakat menerusi platform Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan (APDK) yang beliau tubuhkan selain bersama Kerajaan Negeri Selangor dalam memimpin Institut Darul Ehsan.

Berdasarkan “track record” kedua-dua sahabat yang saya kenali secara peribadi ini, keyakinan saya terhadap kredibiliti kedua-dua tokoh ini sukar untuk disangkal. Namun, itu bukan faktor untuk saya selesa, lantas saya akhiri pertemuan semalam dengan peringatan buat kedua-dua mereka untuk terus mengutamakan agenda rakyat dan hak demokratik dari segalanya apabila menang dalam Pilihan raya ke-14 kelak.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ adalah setiausaha agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS