Keputusan PRU14 kali ini Pakatan Harapan (HARAPAN) akan menang. Kecuali ditipu. Tanda kemenangan semakin jelas. Tapi awas penipuan telah dijalankan. Penipuan sedang dijalankan. Penipuan akan dijalankan. Telah, sedang dan akan.
Tulisan ini akan menghuraikan tanda-tanda kemenangan yang muncul dari luar dan yang lahir dari dalam.
Najib bersama gerombolan ketuanan Melayu dan kuncu-kuncunya dalam Barisan Nasional hanya akan menang dengan jalan tipu.
Sayugia saya ingatkan kembali bahawa PRU14 kali ini adalah kemenangan kali kedua untuk Pakatan. Kali pertama Pakatan Rakyat menang 52 peratus undi rakyat dalam PRU13. Jangan lupa akan fakta ini. Pakatan telah menang dalam PRU13 tetapi ditipu.
Kemenangan Pakatan Rakyat pada PRU13 telah mengajar Najib untuk merancang dan menipu dengan lebih licik lagi.
Pada bulan April 2018 ini tanda kemenangan untuk HARAPAN semakin kuat. Semakin kuat pula aparachik Najib - Suruhanjaya Pilihan Raya - menjalankan penipuan. Jentera daulah - alat alat kerajaan - juga sedang bekerja kuat untuk memastikan Najib selamat. Amin.
Membaca politik di negara dunia ketiga seperti di Malaysia ini memerlukan pengalaman dan pengamatan yang kuat. Ini kerana media Malaysia ini tidak bebas untuk melapor berita. Analisa babak dan tanda politik pun kurang tuntas dan kurang berilmu.
Kadang kala si politikus terlepas cakap - ada sesuatu tidak kena dengan pimpinan Najib. Atau tetiba ada suara sumbang kedengaran mengkritik Najib.
Bila ini berlaku sang politikus akan menuduh media salah lapor. Menafikan laporan berita ini. Berita dikatakan muncul atas kesilapan wartawan, pemberita atau pengamal media.
Seni ampuh ilmu bodek
Ini juga tanda. Tanda bahawa di Malaysia ini media yang kukuh semuanya berjenis bodek. Bodekoloji - ilmu bodek - telah menjadi satu seni yang ampuh. Bodekoloji kini telah memainkan peranan yang amat penting dalam proses membodohkan warga.
Pembodohan warga ini - terutama projek membodohkan bani Melayu - amat penting. Jika bani Melayu mula sedar dan bijak berfikir maka parti ketuanan Melayu a.k.a United Malays National Organisation akan lingkup. Amin.
Dalam tulisan ini saya akan cuba menerangkan tanda-tanda perubahan yang sedang berjalan. Tanda-tanda yang jelas menunjukkan parti ketuanan Melayu ini akan lingkup.
Pertama - tanda dari luar. Apa makna laporan media luar negara tentang politik, ekonomi dan Najib. Kenapa media luar negara hampir setiap bulan ada sahaja berita tentang Malaysia yang melibatkan Najib.
Tidak habis-habis berita 1MDB dibocorkan oleh media dan majalah antarabangsa yang amat berpengaruh dalam dunia. Lebih daripada 55 buah akhbar harian dan majalah dunia telah membuat laporan tentang 1MDB dan peranan Najib sebagai pencuri.
Paling akhir pembocoran media antarabangsa pada 8 April 2018 - malam Ahad minggu lalu. Tarikh ini pasti dipilih tepat satu bulan sebelum rakyat Malaysia keluar mengundi.
Stesen Saluran9 televisyen Australia dalam rancangan 60 Minutes telah membocorkan tentang keterlibatan Najib dalam kes pembunuhan Altantuya.
Program ini menggunakan format rencana dan dokumentari. Program ini mengupas suasana politik Australia dan politik kontemporari global. Rancangan ini telah berjalan di Australia selama 30 tahun. Kini stesen televisyen di New Zealand juga mengambil sebahagian daripada isi program ini.
Induk 60 Minutes ialah CBS Amerika Syarikat (AS). Rancangan ini paling popular di AS. Muncul untuk pertama kalinya pada 24 September 1968 - ketika Perang Vietnam meledak.
Selama 12 minit Saluran9 ini telah memaparkan Dirty Secret atau Rahsia Kotor kepada penonton. Seperti di AS dan di New Zealand - 60 Minutes - telah menjadi candu televisyen yang amat popular.
Untuk pertama kalinya kita - terutama warga Malaysia - diberitahu bahawa Sirul telah dijanjikan RM15 juta dan sebuah rumah di Sydney Australia. Sirul diminta bercakap untuk dirakam bahawa Najib tidak terlibat dalam pembunuhan Altantuya.
Laporan itu menyebut Najib telah menghantar orang perantaraan untuk membuat perjanjian ini. Dakwaan perjanjian ini ditemui oleh wartawan Australia dan dibocorkan dalam Rahsia Kotor.
Dalam Rahsia Kotor ini untuk pertama kalinya kita telah diberitahu bahawa Sirul juga telah berhubung dengan Dr Mahathir untuk minta bantuan. Kenyataan ini keluar dari mulut Mahathir sendiri yang ditemu bual oleh wartawan 60 Minutes.
Mahathir bantu Sirul dapat suaka
Malah Mahathir sendiri mengakui yang dirinya telah membuat amal jariah untuk membantu Sirul mendapatkan suaka perlindungan di Australia.
Sekilas ikan di air bukan sahaja saya tahu jantan betinanya. Malah saya tahu di mana ikan ini tidur, makan dan bersenggama. Mustahil kita tidak faham, niat dan cita-cita program Rahsia Kotor ini.
Kenapa sekarang ditimbulkan sekali lagi kes pembunuhan Altantuya? Jawabnya senang sahaja. Media dunia - dengan segala bentuk jaringan - sedang berusaha untuk menyingkirkan Najib dari peta politik dunia.
Sebelum 60 Minutes ke udara, sebuah lagi majalah yang berpengaruh di Indonesia, Majalah Tempo telah memperlekehkan sistem pilihan raya di Malaysia. Majalah ini membocorkan rancangan penipuan Najib untuk menang dalam PRU14.
Lidah pengarang Tempo ini telah menjadikan pak duta kita di Jakarta tersemput-semput mencari Viagra untuk menjawab demi menegakkan kebaikan dan kesucian pilihan raya di Malaysia.
Manakala sesudah Rahsia Kotor ke udara di Australia, pak duta kita di Canberra - senyap sepi sejuk kecut. Tidak ada Viagra kendati pun Tongkat Ali yang dapat membantu mengeraskan hujah bahawa Najib tidak terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya.
Yang saya lakar di atas adalah tanda dari luar. Kini saya lakar tanda kedua - tanda dalaman. Tanda dalaman ini akan membuktikan hari-hari akhir Najib semakin dekat.
Membaca tanda dalaman ini memerlukan penghayatan dan penelitian. Kadang kala, satu demi satu berita muncul dan kemudian hilang lesap. Tidak diketahui hujung pangkalnya.
Sebenarnya semua berita memiliki latar, konteks dan sejarah. Tidak ada satu pun berita yang mucul dalam vakum. Justeru kenapa tiba-tiba heboh berita mengatakan bahawa undi kita rahsia atau undi kita tidak rahsia.
Kenapa berita ini muncul. Apa latarnya. Bekas pengarah SPR sendiri - yang kini telah belot untuk menjadi calon HARAPAN telah menyatakan bahawa undi kita rahsia. Kenapa hal rahsia mengundi ini timbul.
Untuk memahami perkara undi rahsia itu sila renungkan dan sila tanya dari mana Husam Musa mendapat maklumat tentang pemimpin parti Islam PAS menerima berjuta ringgit duit daripada Najib.
Husam memiliki maklumat yang tuntas. Nama pemberi, nama penerima dan juga nombor akaun bank diumumkan oleh Husam. Bila duit ini masuk dan bila duit ini dikeluarkan. Dan siapa yang mengambilnya - semua diumumkan.
Seperti biasa parti Islam PAS bersilat lidah. Tetapi akhirnya mengakui duit ini bukan dedak tetapi duit derma. Duit ini bukan derma Tok Arab tapi derma Tok Najib. Amin.
Belum pun reda kes parti Islam dapat dedak - tetiba Husam sekali lagi membocorkan bahawa syarikat projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) milik China Merah telah mendapat pelepasan GST.
Bila berita ini meledak, bani Melayu mula naik minyak. Warga miskin kota, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, mak cik dan pak cik Felda, mek warung, tauke ikan, penjaja, penoreh getah - semua dikenakan GST.
Celaka haram jadah kenapa syarikat China Merah dikecualikan? Ini bunyi suara bani Melayu sebaik sahaja Husam Musa membocorkan berita ini.
Ada tiga perkara yang amat penting bila menganalisa berita ini. Pertama jelas menunjukkan bahawa Najib kini telah diperangkap oleh China Merah melalui hutang. Yang menjadi cagaran ialah bumi Tanah Melayu.
BACA: Najib nafi jual negara kepada China
Najib berhutang akibat mencuri duit 1MDB yang dirancang oleh Jho Low yang kini menjadi ejen China Merah. Justeru Jho Low tinggal selamat di Shanghai dipelihara oleh China Merah walaupun dicari oleh CIA dan FBI.
Najib sedang gadai Tanah Melayu
Kedua, berita syarikat China Merah mendapat pelepasan GST membuka mata Bani Melayu. Mereka semakin sedar bahawa apa yang dinyatakan dan dikempenkan oleh HARAPAN tentang Najib dan China Merah adalah tepat, betul, tuntas dan sahih. Najib sedang menggadaikan Tanah Melayu.
Ketiga, untuk saya inilah kunci penting berita ini. Soalan kurun ini - siapa yang membocorkan maklumat sahih ini. Husam mendapat maklumat daripada siapa?
Pembocoran daripada Husam tidak dinafikan. Najib diam menikus dan mengelak menjawab walaupun si Najib ini menteri kewangan.
Seorang pegawai kastam telah menjadi macai Najib untuk menerangkan alasan syarikat China Merah ini mendapat pelepasan cukai GST. Tipu lagi. Ini betul betul 'auta'.
BACA: Kastam: Pelepasan GST kepada ECRL manfaatkan rakyat
Nasib baik ada pegawai kastam ini untuk jadi jurucakap Najib. Kalau pegawai kastam ini tidak wujud siapakah yang akan jadi barua Najib untuk menjawab kemarahan bani Melayu ini? Mungkin Azeez Tabung Haji? Kah kah kah.
Undi tidak rahsia. Undi kita rahsia. Maklumat bocor. Apa sebenarnya yang saya cuba paparkan di sini?
Jawabnya, saya mahu menerangkan berita-berita ini adalah bukti bahawa kaki tangan kerajaan, pegawai tinggi kerajaan telah mula berpaling tadah. Makin ramai menyokong HARAPAN.
Pegawai kerajaan inilah yang telah membocorkan maklumat kepada Husam. Hanya pegawai kerajaan yang tahu maklumat parti Islam PAS terima duit dari Umno.
Buktinya cukup senang, mustahil Husam Musa memiliki penyiasat peribadi yang boleh membongkar maklumat bank.
Sahih 'orang dalam' yang membocorkan maklumat. Pegawai kerajaan - malah pasti dalam jabatan kastam juga - yang membocorkan maklumat tentang syarikat China Merah mendapat pelepasan cukai GST.
Justeru pasukan perang saraf Najib - jentera daulah telah mewarwarkan bahawa undi kita tidak rahsia. Ini taktik jahat untuk menakut-nakutkan kaki tangan kerajaan dan pegawai tinggi kerajaan supaya tidak menyokong HARAPAN.
Berita 'undi tak rahsia' ini merupakan tanda dalaman yang membuktikan sokongan bani Melayu - majoriti kaki tangan kerajaan ialah Melayu - kini telah beralih ke Pakatan Harapan. Sah dan sahih dalam PRU14, HARAPAN akan menang kecuali ditipu.
Menang kecuali ditipu? Masih ada yang tak percaya apa yang saya tulis ini? Tunggu minggu hadapan saya akan paparkan sejelas mungkin kes penipuan PRU13.
HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.