Paling Popular
Terkini

Siasatan Jabatan Kehakiman (DOJ), Amerika Syarikat, mengenai 1MDB telah dilaksanakan oleh Kleptocracy Asset Recovery Initiative, yang ditubuhkan pada tahun 2010 oleh jabatan itu.

Memahami istilah kleptokrasi adalah sangat penting untuk memahami perbezaan antara negara yang hanya dipengaruhi oleh rasuah, daripada negara yang dikuasai oleh rasuah.

Istilah negara kleptokratis merujuk kepada negara yang dikuasai oleh maling atau pencuri harta rakyat.

Sebuah kleptokrasi merupakan pemerintahan oleh pencuri yang menyamar sebagai pegawai negara yang jujur. Ciri utama kleptokrasi adalah ia sejenis jenayah negara.

Rasuah ditakrif sebagai pencurian melalui penipuan terhadap badan pemerintah, syarikat swasta ataupun orang awam dan terdiri daripada tiga komponen, iaitu, penyuapan, pemerasan dan nepotisme.

Penghubung bagi tiga jenis rasuah ini, adalah, penempatan kepentingan masyarakat umum bawah kepentingan peribadi serta pengkhianatan kepercayaan.

Menurut Syed Hussein Alatas dalam buku beliau bertajuk Korupsi: Sifat, Sebab dan Fungsi, ciri rasuah yang penting adalah dwifungsi pada mereka yang terlibat dalam kegiatan rasuah.

Contohnya, ketika seorang pegawai disuap oleh pihak yang menawarkan pemberian supaya mengeluarkan lesen perniagaan, perbuatan mengeluarkan lesen itu merupakan fungsi, baik pun daripada segi jawatannya mahupun daripada segi kepentingan peribadinya.

Rasuah terdapat di semua negara, tetapi bukan semua negara yang dikuasai oleh daya rasuah.

Negara yang dikuasai rasuah dapat digelar sebagai kleptokrasi. Istilah kleptokrasi berasal daripada dua perkataan, iaitu, klepto (mencuri) dan krasi (pemerintahan).

Negara seumpama ini dikuasai oleh para kleptokrat yang melibatkan diri dalam amalan rasuah untuk mengumpulkan modal yang utama.

Kleptokrat-kleptokrat yang utama tidak terdiri daripada pekerja perkhidmatan awam yang memeras atau menerima suapan untuk membiayai hidup mereka, tetapi daripada elit-elit politik dan birokrasi yang menggunakan rasuah sebagai cara mengumpulkan modal.

Rasuah sebagai cara dan alat pengumpulan modal tidak diamalkan hanya melalui pemerasan perbendaharaan negara.

Dalam negara kleptokratis, elit-elit dan pegawai-pegawai negara mempergunakan jawatan awam untuk memajukan kepentingan ekonomi peribadi dan memperkayakan diri sendiri.

8 ciri negara kleptokratis

Penerimaan lesen-lesen, francais, insentif dan konsesi cukai dimudahkan melalui hubungan penaung dan yang dinaungi dan seringkali juga melibatkan nepotisme.

Sebuah kleptokrasi itu dikuasai oleh pegawai negara dan ahli politik yang amat egoistik.

Tujuan mereka dalam melakukan rasuah bukan untuk membantu kaum keluarga dan sahabat disebabkan oleh perasaan kewajipan moral dan timbal-balik.

Tekanan untuk membantu kaum keluarga seringkali didorong oleh kepatuhan kepada apa yang difahami sebagai norma masyarakat.

Bagi pihak lain, rasuah dalam konteks kleptokrasi berasaskan kepada keinginan untuk keuntungan peribadi.

Perbezaan ini membolehkan kita mengkritik teori kebudayaan rasuah yang mengatakan bahawa amalan rasuah itu selaras dengan nilai tradisional, apabila orang tua membantu anggota keluarga yang muda.

Tambahan pula, dengan kemunculan masyarakat moden, ukuran baru digunakan untuk mempertimbangkan dan mengadili amalan-amalan lama yang sekarang dirujuk sebagai rasuah.

Negara-negara kleptokrasi dihinggap rasuah egoistik ketika ikatan kepuakan dan keluarga besar tidak berpengaruh atau wujud lagi.

Istilah kleptokrasi digunakan buat kali pertama oleh ahli sosiologi, Stanislav Andreski, tanpa keterangan lanjut tentang ciri-cirinya.

Pelbagai perkara dianggap ciri negara kleptokratis termasuk:

(i) ia sejenis jenayah negara;

(ii) hubungan rasuah adalah antara ahli politik dan birokrat pada satu pihak, dengan ahli kelas pemodal pada pihak lain;

(iii) rasuah merupakan salah satu alat pengumpulan modal yang utama dan dapat dianggap faktor pengeluaran dalam bidang ekonomi;

(iv) ia berasas kepada peranan dwifungsi negara dalam proses pembangunan;

(v) ia berdasarkan kepada permintaan dan penawaran pertolongan;

(vi) kleptokrasi adalah transistemik, iaitu, terdapat di kedua-dua negara demokratis dan autoriter;

(vii); dalam sebuah negara kleptokratis, kebanyakan pegawai negara terlibat dalam rasuah, sekurang-kurangnya secara berskala kecil, supaya status quo dapat dikekalkan. Pertikaian dan pertentangan daripada dalam negara dielakkan;

(viii) negara kleptokratis itu merupakan oligarki, iaitu, negara itu dikuasai oleh segolongan kleptokrat egoistik yang kecil.

Kurang didik rakyat

Oleh kerana negara memain peranan yang amat penting, khususnya di negeri-negeri membangun, negara kleptokrasi dapat membawa kesan yang amat buruk terhadap ekonomi, termasuk kehilangan pendapatan pemerintah, kekurangan kecekapan, herotan dasar-dasar kerajaan, dan penumpuan modal.

Ada yang berhujah rasuah dapat menambahkan kecekapan kerana pekerja yang menerima wang segera akan menjadi lebih produktif tanpa tambahan gaji.

Pemerhatian ini kurang tepat kerana wang segera biasanya tidak membeli kecekapan, tetapi hanya suatu perkhidmatan yang tidak akan diberi tanpa insentif kewangan itu.

Pemerintahan kleptokratik juga menyebabkan penyimpangan dasar-dasar kerajaan.

Sesuatu dasar yang bertujuan memanfaatkan segolongan tertentu dalam masyarakat akhirnya dimanfaatkan golongan-golongan lain.

Contohnyanya, di sebuah negara di Asia Tenggara beberapa tahun yang lalu, pemerintah memperuntukkan 20,000 ekar untuk sebuah syarikat besar sedangkan tanah itu dikhaskan untuk 20,000 keluarga.

Rasuah juga mengakibatkan penumpuan modal. Rasuah dan, khususnya, nepotisme memain peranan yang penting dalam penumpuan modal.

Ini merujuk kepada sejauh mana segolongan kecil syarikat menguasai industrinya daripada segi jumlah pengeluaran dan guna tenaga.

Contohnya, kadar penumpuan modal dianggap agak tinggi jika 75 peratus daripada guna tenaga dalam industri adalah dalam lima syarikat terbesar.

Negara kleptokratis amat berbahaya. Kesedaran tentang rasuah dan kesan buruknya terhadap pembangunan ekonomi dan politik seharusnya dipertingkatkan sehingga muncul gerakan sosial menentang kleptokrasi.

Malangnya, selain segolongan kecil sarjana seperti Syed Hussein Alatas, Peter Evans dan Bjorn Beckman, yang mengambil perhatian tentang dimensi rasuah dalam pengkajian negara, masih ada kekurangan usaha mendidik rakyat tentang bahaya fenomena negara kleptokratis.


SYED FARID ALATAS tenaga pengajar di Jabatan Sosiologi, Universiti Nasional Singapura. Beliau boleh dihubungi di [email protected].

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS