Paling Popular
Terkini

“Kalau dia sudah pegang, saya mesti bunuh anak saya,” kata Haji Hassan Poshtun yang kami kenal baik.

Beliau seorang Muslim yang bagus, cuma terbawa-bawa oleh amalan kaum yang dianggap sebagai hukum yang wajib ditaati.

Haji Hassan berkata demikian apabila ditanya mengapa beliau tidak membenarkan anak perempuannya berkerja.

Beliau bimbang jika anak perempuannya ‘dirosakkan’ jika dibenarkan keluar dan bergaul.

Anak perempuan beliau tinggal di Pakistan sementara Haji Hassan sendiri sudah berpuluh tahun tinggal mencari rezeki di Malaya ini.

Beliau adalah bai karpet yang kamu boleh lihat mundar-mandir ke merata-rata alam menjual segala barang dengan cara berhutang.

Beritahu sahaja apa yang kamu mahu - daripada permaidani hingga telefon bimbit, TV dan mesin basuh, bahkan jika kamu mahu, pakaian dalam sekali pun - akan beliau sediakan.

Honour killing adalah masalah besar bagi negara negara seperti India, Bangladesh, Pakistan serta banyak negara Arab. Dan tentu sekali yang menanggung malu besar ialah umat Islam.

Kebodohan dibiar berleluasa

Amalan yang dianggap sebagai menjaga maruah keluarga bagi sesetengah penduduk negara itu dilihat sebagai sebahagian daripada Islam, sedangkan ia adalah amalan khusus satu-satu negara atau bangsa.

Membunuh ahli kelurga - biasanya anak perempuan yang disangka membawa malu kepada keluarga kerana lari untuk mengikut teman lelaki, misalnya - tidak dikhaskan kepada umat Islam di negara-negar yang disebutkan tadi. Ia adalah budaya setempat tanpa mengira agama.

Di India, misalnya, ahli keluarga yang mendatangkan malu dengan berkahwin di luar kasta ianggap halal untuk dibunuh demi mempertahankan maruah.

Hal ini sentiasa berlaku dan akan terus berlaku selagi sisitem kasta terus diamalkan sambil kebodohan dibiarkan berleluasa.

Namun amalan ini - yakni honour killing - diandaikan sebagai amalan khusus umat Islam.

Haji Hassan bersungguh-sungguh mengatakan yang beliau akan membunuh anak perempuan beliau waima hanya dipegang oleh mana-mana lelaki yang bukan mahramnya.

Sedangkan tidak ada langsung peruntukkan dalam Islam yang membenarkan beliau berbuat demikian.

Yang lebih malang tentunya apabila beliau berasakan yang tindakan beliau itu selari dengan ajaran Islam.

Bukan milik baju berwarna

Tidak sedikit mereka yang mengaku mewakili Islam untuk menghalalkan apa juga tindakan bodoh mereka.

Berbangga kononnya menjadi champion dalam mempertahankan kesucian agama tinggi ini.

Terbaru, semestinya suara-suara sumbang yang mengatakan bahawa umat Islam di negara ini marah jika gambar atau apa sahaja yang anjing digunakan sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Kita sebagai umat Islam tidak pernah diminta pandangan oleh mereka yang melantik diri sendiri sebagai polis moral Islam di negara ini.

Ikut kepala tok dia sahaja untuk menghalal dan mengharamkan apa sahaja yang pada mereka adalah perjuangan dalam memertabatkan agama.

Kami menjadi malu apabila kebodohan ini dipihakkan kepada kami.

Islam bukan milik kumpulan baju merah, baju kuning atau Unit Amal atau sesiapa sahaja yang kerjanya tiada lain daripada berpiket dan menjeritkan slogan kebencian.

Islam tidak perlukan pembelaan dengan jalan bodoh.


Baca Tunggang (langgang) agama


Kita dikelirukan dengan perjuangan yang dikatakan sebagai membela Islam.

Apa saja yang dilakukan oleh mereka yang bukan Islam kita anggap sebagai agenda untuk melemahkan keimanan kita.

Mempamerkan gambar anjing, makan babi di khalayak ramai, mabuk dan mengganggu, serta apa sahaja amalan yang maksiat kita anggap sebagai musuh yang menghadang jalan kita menuju sorga, sedang kita langsung tidak berbuat apa-apa selain menjeritkan kebencian.

Masjid kosong lagu tu juga.

Kita rasa apabila Cina berhenti makan babi, maka amanlah agama kita. Kita rasa Cina atau sesiapa sahaja yang bukan Islam itu memang tidak ada kerja selain menggangu kehidupan beragama kita.

Kita mengaku kuat beragama, tapi takut dengan amal yang langsung tidak memberi bekas kepada amalan peribadi semasa mengamalkan agama.

Kita pula, celik sahaja daripada tidur tidak ada lain kecuali mencari salah orang saja. Kemudian sebarkan dan mendabik dada sebagai si syahid yang menunggu mati.

Selain itu sibuk menganggap diri sendiri sentiasa menjadi mangsa.

Apabila diumumkan yang gambar anjing itu sensitif bagi umat Islam, kita pun angguk setuju. Kita biarkan imej Islam yang sudah sedia buruk, dihodohkan lagi oleh kebodohan sendiri.

Jika pun kita marah, kita salahkan orang bukan Islam. Kita tidak mahu melihat di dalam diri sendiri yang setiap hari kerja kita cuma mencari jalan untuk bermusuh.

Kemudian apabila kita baca tulisan ini di Malaysiakini, kita pun kata: alahhhh... Dolloh tu dah makan dedak Cina DAP. Mestilah dia sokong Cina.

Entah bila masa Cina DAP bayar Malaysiakini.

Kita jadi bodoh begitu kerana kita ini selamanya dibudakkan dengan sentimen: sokong, atau kamu bukan daripada kalangan kami.

Cuba jemput Si Dollah ini menulis di Harakah misalnya, dan tengok lagu mana. Mana tahu terbuka hati dia untuk mengundi partai Islam Malaya itu.

Tapi bayaran kena mahal laaaa... tukar partai khennnnn...


Abdullahjones ialah penulis, penyair, pelukis serta jurufoto yang pernah mengembara di Palwal, India bagi mendalami ilmu pehlwani, sejenis seni gusti mempertahankan diri.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS