Guru, pemikir, ahli falsafah pascamoden counter culture Slavoj Zizek dari Slovenia pernah berkata, dia kecewa, terganggu dan susah hati apabila melihat orang bodoh gembira.
Gua kurang faham kenapa si Zizek (bawah) ini terganggu? Kenapa ahli falsafah tersohor ini ini merasa gusar dan risau? Apa yang merisaukannya? Kenapa susah hati apabila ada orang bodoh gembira?
Tidak bersetuju. Amat jelas, gua Hishamuddin Rais tidak bersetuju dengan pandangan ahli falsafah ini. Gua seratus peratus menolak pandangan Zizek. Gua adalah orang pertama dalam dunia ini yang mengalu-alukan sosok bodoh. Gua mahu merayakan mat bodoh dan minah bebal.
Gua akan mendakwah. Gua akan menulis. Gua akan berhujah. Gua akan menghasut sesiapa sahaja agar orang ramai menyambut saranan gua untuk merayakan mat bodoh dan minah bebal.
Lagi bangang minah dan mat bebal ini lagi wajib kita rayakan mereka.
Pada tahun 1884 – seratus tujuh puluh tahun dahulu – Karl Marx (bawah) dan Friedrich Engels dalam Manifesto Komunis telah mengeluarkan slogan berbunyi: “Kaum buruh sedunia bersatulah, kamu tidak hilang apa-apa kecuali tali penindasan.”
Pada tahun 2018 ini, Hishamuddin Rais mengeluarkan slogan: “Sang bangang sedunia bersatulah, tidak akan hilang kebodohan kamu.”
Slogan inilah yang akan gua arak ke hulu ke hilir untuk untuk merayakan mat bodoh dan minah bebal.
Tidak adalah kegembiraan yang menggembirakan melainkan melihat mat bodoh dan minah bebal dalam keadaan yang amat bodoh. Justeru Profesor Zizek yang tersohor itu tidak seharusnya bersusah hati. Bodoh akan membawa gembira.
Mungkin pada hemat setengah orang bangang dan bodoh ini bertahap-tahap. Ada bodoh yang lebih bangang. Dan ada bodoh yang lebih bodoh dari bangang. Ada bebal yang bangang. Ada bangang yang lebih bebal.
Apakah benar bodoh dan bangang ini bertahap-tahap, bertingkat-tingkat? Ada yang lebih bodoh dan ada yang lebih bangang. Apakah ada bodoh yang lebih bangang dari bebal? Apakah ada bangang yang lebih baghal dari bodoh? Perkara ini gua tak berapa jelas.
Untuk memperhalusi pengkajian, mari kita bersama selidiki perkataan bodoh ini. B-O-D-O-H adalah konsep. Dalam masa yang sama bodoh juga ialah kata sifat. Ini menjadikan perkataan dan konsep bodoh ini cukup menarik. Justeru berkemungkinan perkataan bodoh ini jika diatur dengan baik boleh dibaca ‘cool’.
Hakikatnya dalam konsep/kata sifat ini ada perkataan bodoh, bangang, bebal, baghal, bahlul dan ngok. Semua membawa makna bodoh. Semuanya menunjukkan konsep dan perangai dan sifat seseorang.
Bodoh bukan kurang cerdik
Gua tak mahu menggunakan perkataan ‘kurang cerdik’ untuk memahami apa itu bodoh. Pada hemat gua jika kurang cerdik digunakan ini satu kesalahan yang amat besar. Jangan sesekali dihubungkan perkataan bodoh dengan cerdik. Jangan.
Kalau kita gunakan kurang cerdik untuk memahami bodoh maka ini sama seperti kita menggunakan perkataan kurang kurus dan kurang cun untuk menggambarkan rupa bentuk, susuk badan dan muka Datin Seri Rosmah Mansor.
Begitu juga dengan bodoh. Jika kita melihat mat bebal itu bangang maka kita katakan mat bebal ini bangang. Kita wajib berkata benar, jujur tepat dan ikhlas.
Kadang kala kita terdengar juga perkataan baghal. Ini maknanya bodoh. Baghal ini ialah sejenis binatang kacukan keldai dengan kuda. Baghal ini tidak wujud di gugusan pulau-pulau Melayu. Baghal adalah warga asli negara padang pasir.
Justeru gua rasa konsep bodoh baghal ini hanya menjelma dalam budaya Melayu setelah Bani Melayu berjumpa dengan warga Saudi. Bila Melayu bertemu Saudi, maka baghal mula muncul. 'Kebaghalan' Bani Melayu ini muncul bila bertemu dengan warga Saudi.
Ngok juga bermakna bodoh. Gua rasa ini perkataan baru. Ketika gua membesar dahulu gua tak bertemu atau tidak pernah terdengar perkataan ngok ini. Mungkin dulu ngok belum diolah lagi.
Ngok mungkin perkataan baru seperti kantoi, cun, pot dan gian. Mungkin ngok ini lahir dari budaya anak muda yang mahu menerangkan makna bodoh di kalangan anak-anak muda yang sedang bodoh. Atau ngok ini singkatan dari perkataan bongok yang juga membawa makna bangang.
Harus kita sedari bahawa ada lagi istilah bangang dan bodoh yang hanya digunakan di wilayah-wilayah tertentu sahaja. Mungkin ada perkataan istimewa untuk bodoh dan bangang di kalangan Bajau Laut di Lahad Datu. Atau mungkin ada konsep dan perkataan bodoh yang lagi membodohkan di kalangan warga Bidayuh atau Iban di Sarawak. Dalam hal ini gua kurang arif.
Contoh terbaik ialah di Kelantan, bodoh dipanggil bengong. Orang Kelantan jika bertutur tidak akan lupa dengan bengongnya. Perkataan bengong ini bila sampai ke Jelebu Negeri Sembilan berkalih menjadi pantengong. Nah! Inilah contoh perjalanan perkataan bodoh dan bangang dari wilayah ke wilayah.
Pasti ada pembaca yang akan bertanya. kenapa pada tahun 2018 ini gua beriya-iya sangat mengeluarkan propaganda untuk merayakan mat bebal dan minah bengong? Apa untungnya dan apa faedahnya. Apakah perlu kita rayakan mat bangang dan minah bebal yang bodoh lagi baghal?
Jawapannya cukup senang, menjadi bodoh, bangang, bebal, bengong, baghal dan ngok adalah hak asasi seseorang. Menjadi bodoh adalah hak asasi. Tidak ada sesiapa - individu, kerajaan atau daulah - yang boleh menafikan hak seseorang untuk menjadi bodoh.
Kita sebagai warga negara yang bertanggungjawab wajib menghormati hak individu atau hak-hak kelompok atau hak persatuan untuk menjadi bodoh dan bangang. Bodoh adalah hak asasi.
Riwayat Mat Bebal tak suka nasi goreng
Sekali lagi gua katakan, menjadi bodoh ialah hak asasi seseorang. Jangan ganggu dan jangan gugat jika ternampak mat bebal dan minah bodoh sedang beraksi.
Sayugia gua ingatkan bahawa bodoh dan bangang ini bukan satu penyakit berjangkit. Justeru kita tidak perlu risau. Jika seseorang itu bangang dan sedang melakukan perkara yang bodoh, yakinlah ia tidak akan berjangkit. Ini kerana bodoh dan bangang tidak membawa kuman atau virus.
Belum pernah tercatat kes mati disebabkan bodoh. Atau wabak bodoh merebak seperti wabak SARS.
Contohnya, ada seorang mat mebal menginap di Flat 223, Blok D, Perumahan PPRT Pantai Dalam. Mamat ini memang terbukti bebal lagi bodoh. Tapi warga Kuala Lumpur tak perlu risau. Kebebalan mamat ini tidak akan merebak dari Lembah Pantai. Malah dalam Blok D pun ia tidak akan berjangkit ke Flat 222 atau ke Flet 224. Kita semua selamat dari mamat bebal ini.
Gua juga mahu memberitahu dunia bahawa bodoh, bangang, bebal, ngok, bengong bukan satu jenayah. Bukan satu kesalahan melanggar undang-undang jika menjadi mat bebal yang bodoh atau menjadi minah bangang yang bebal.
Di Malaysia setakat ini bodoh dan bangang belum ditafsirkan sebagai satu kesalahan jenayah dalam hukum kanun negara. Malah dari apa yang gua baca belum ada sebuah negara pun dalam dunia ini yang menganggap mat bebal dan minah bodoh sebagai penjenayah.
Setelah gua terangkan semua ini maka gua rasa kita tidak perlu menyimpan syak wasangka terhadap mat bebal dan minah bangang. Jika kita terbaca apa-apa tentang kelakuan atau tentang saranan atau tentang pandangan mat bebal dan minah bangang, anggaplah semua itu sebagai satu hak asasi mereka untuk jadi bangang.
Sebelum gua mengundur biar gua bersurah tentang Riwayat Mat Bebal untuk menjadi panduan kita semua.
Pada satu malam hujung minggu gua bersama beberapa rakan telah duduk di warung untuk makan malam. Ada kawan minta mi goreng, nasi ayam, mi bandung. Gua minta nasi goreng. Bersama kami terselit seorang Mat Bebal.
Bila ditanya mahu makan apa, Mat Bebal ini terus bersuara:
“Tak suka nasi goreng.”
Jawapan ini gua faham. Ini hak asasi Mat Bebal untuk tidak menyukai nasi noreng. Adalah hak Mat Bebal ini untuk tidak berminat terhadap nasi goreng. Gua hormat akan keputusan itu.
Lalu gua bertanya lagi, “Kalau tidak suka nasi goreng, suka apa?”
Si bebal ini menaikkan suara dan terus berkata: “Aku tak suka nasi goreng”.
Suaranya agak meninggi. Seorang minah cun dengan balaknya di meja sebelah menjeling melihat kami.
'Aku mahu Anwar jadi PM'
Lalu gua bertanya lagi dengan sopan.
“Aku tak suka nasi goreng, tak faham ke?”
“Gua faham. Kalau tak suka nasi goreng, suka apa?”
“Aku tak suka nasi goreng,” si bebal ini mula menjerit.
Para pelanggan warung mula memasang mata ke arah kami.
Tetiba Mat Bebal ini mula beratip, mengulang-ulang kata-katanya.
“Aku tak nak nasi goreng. Aku tak minat nasi goreng. Aku tak mahu nasi goreng. Tak nak. Tak minat. Tak mahu. Aku tak hendak nasi goreng.”
Gua bersuara, “Jadi kamu mahu apa?”
Mat Bebal berkata, “Aku mahu Anwar Ibrahim jadi perdana menteri.”
Gua tersenyum dan terus menjawab.
“Anwar masih dalam penjara.”
Apakah bodoh sangat si mamat bebal ini untuk memahami bahawa si Anwar ini masih lagi seorang banduan.
Mat Bebal terus melaung, “Aku tak suka nasi goreng. Kalau kau makan nasi goreng aku akan pecahkan pinggan nasi goreng kau.”
Gua bangun tersenyum dan terus berkata kepada semua yang mahu mendengar.
“Inilah Riwayat Mat Bebal lagi bodoh, bebal lagi bengong, bagal lagi ngok. Bila ditanya nak apa, bila ditanya nak siapa, Mat Bebal ini hanya mahu pecahkan pinggan.”
Tapi yakinlah dunia kita terus jadi indah dengan wujudnya mat bebal dan minah bengong di sekeliling kita. Tanpa mereka, gua akan menjadi macam Zizek, resah gelisah tak senang hati. Tanpa mat bebal dan minah bengong, gua susah untuk gembira.
Terima kasih mat bebal dan minah bangang kerana menghiburkan hati gua. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.