Petang 11 November 2017. Di dingin hujan renyai petang itu, saya bermalam sehari dua di Tanabendang; sebuah chalet milik sepupu di Pulau Langkawi.
Ada ketika, agak penat menulis, saya melempar pandangan, jauh dari arah jendela terbuka, mengimbas ingatan kepada satu peristiwa lama di pertengahan bulan Disember 2008.
Memandang anak-anak padi yang terbentang; bergerak-gerak sesekali di sambar bayu – petang saya cukup nyaman.
Ingatan pun lekas menyambar kenangan; terimbas sikap allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, meramahi golongan masyarakat yang berlainan agama dan berbeza bangsa.
Dasar ayat yang selalu Tok Guru pakai mudah:
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat ayat 13).
Tulisan Cina di papan tanda
Isu utama yang meletup ketika itu adalah keputusan kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng mahu meletakkan tulisan Cina pada papan-papan tanda selain menggunakan Bahasa Malaysia. Apa lagi, Umno menjadikannya sebagai ulamlah untuk dicicah ke sambal dengan penuh nafsu.
Dalam ceramahnya di Tasik Puteri, Rawang, Selangor pada 20 Disember 2008 ketika isu galak digelegakkan, Tok Guru selamba melipat:
“Di Malaysia ni, kita izin Cina buat surat khabar Cina. Buat siaran radio Cina. Tahu-tahu kita larang mereka tulis tulisan mereka kat papan tanda. Kan pelik? Eh, terciptanya bangsa ni bukanlah atas kehendak diri masing-masing.
"Bangsa-bangsa ni atas kehendak Tuhan.Tidak ada orang dilahirkan sebagai bangsa Melayu disebabkan diri sendiri minta menjadi Melayu. Tidak ada orang dilahirkan Cina disebabkan dia sendiri minta menjadi Cina. Begitulah seterusnya.
"Apabila berbeza bangsa, sudah pastilah ada perbezaan dari segi bahasa. Ini merupakan nikmat dan tanda kekuasaan Allah."
Tolong pakat dengar firman Allah pula, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” (Surah Ar-Rum ayat 22).
Ertinya hidup dalam keadaan berbilang kaum, ini keputusan Tuhan. Yang kita buat pandai-pandai nak jadikan perkauman, kerana apa?”
Ketuanan Melayu
Kita di Malaysia ni, suka sangat sebut ketuanan Melayu sebab Melayu bangsa asal tetapi, kita lupa bahawa bumi ini adalah kepunyaan Allah.
Sepatutnya, kita kena sebut ketuanan Allah. Sepatutnya, lagu ni cara berfikir orang-orang beriman. Jika diminta hujah, ini sandarannya, tegas Tok Guru.
“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa.” (Surah al-A’raf ayat 54).
Tok Guru menyambung: "Apabila Allah mencipta bumi, tidak selayaknya kita mendakwa bahawa bumi ini adalah kepunyaan bangsa tertentu bahkan ianya perlu disebut sebagai kepunyaan Allah.
Memandangkan bumi ini adalah kepunyaan Allah, selayaknya segala perundangan, cara hidup dan semuanya merujuk kepada Islam yang merupakan ajaran Allah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad SAW dan nabi-nabi-Nya.
Tidak dinafikan, bahawa Malaysai ini adalah kepunyaan bangsa Melayulah berdasarkan kepada fakta sejarah. Pun begitu, adalah satu tindakan yang biadab kepada Maha Pencipta, apabila kita sekadar mendakwa bahawa bumi ini kepunyaan kita, tanpa kita melaksanakan tuntutan dari Yang Maha Pencipta itu.”
Apa tuntutan Allah?
Tuntutan yang Allah mahu adalah mendaulat hukumnya, dan meletak kalimat-Nya, paling tinggi. Sandarannya duduk di sini:
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat; sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi seorang khalifah di muka bumi.”(Surah al- Baqarah ayat 30).”
Apa pula makna khalifah di muka bumi?
Tok Guru menegaskan bahawa khalifah mengikut tafsiran ulama-ulama Ahli Sunnah al Jamaah adalah “mereka yang melaksanakan agama dan mentadbir bumi berdasarkan agama.”
Melaksanakan agama dan mentadbir bumi dengan agama merupakan tuntutan Allah yang wajib dilaksanakan oleh semua manusia bernama pemimpin.
Tidak ada guna manusia itu berada di bumi, tetapi dalam masa yang sama tidak berusaha mahu mendaulatkan agama.
“Pemikiran Ketuanan Melayu bawaan Umno adalah pemikiran yang berasaskan faham nasionalis yang bercanggah dengan Islam. Acap kali, ia menggunakan kaedah pecah dan perintah.
"Inilah punca kepada pelbagai masalah. Apabila saya sentuh mendaulatkan Islam, maka di sinilah pada akhirnya akan terlibatnya perkara hudud. Jika ada sesetengah pemimpin bukan Islam belum faham dan dia tolak, kita kena beri fahamlah. Inilah cabaran dakwah. ” Demikian sikap Tok Guru.
Langkat mayat sebelum hudud
Lantaran itu, kita dapat lihat Tok Guru masih mengambil sikap yang lunak terhadap mendiang Karpal Singh walau pun Karpal sewaktu hayatnya pernah membentak keras, “langkah mayat saya dulu sebelum kamu buat hudud.”
Nah! Dengan sikap yang segarau itu pun, Tok Guru masih sedia lembut berselamba. Beliau masih sudi berkunjung ke rumah Karpal di suatu majlis sambutan hari jadi.
Tok Guru pura-pura tak kisah. Dipotongnya kek hari jadi dalam semangat berlapang dada.
Ini kerana, beliau masih percaya yang orang Cina atau India atau lain-lain; baik dalam MCA, MIC, PPP atau DAP hatta yang tidak berparti sekali pun tetap merupakan sasaran dakwah dan rakan sepersaudaraan.
Pada beliau, amanah yang dipertanggungjawabkan ke bahu orang Islam berbangsa Melayu bukan perkara kebetulan. Ia sejenis tuah yang harus dipikul sepanjang waktu.
Sikap Tok Guru cukup dilihat konsisten di hari pemergian Karpal pada petengahan bulan April 2014. Ini boleh disaksikan ketika beliau mengemukakan reaksi.
Respons beliau berbunyi, “saya terkilan kerana mendiang Karpal Singh tidak sempat untuk diberikan pemahaman tentang hudud.”
Katanya, beliau amat yakin, individu seperti Karpal Singh jika diberikan kefahaman yang sebenarnya tentang undang-undang ini, tidak akan mempunyai sebarang sebab untuk menolak undang-undang hudud.
“Saya sifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan kepada dunia politik tanah air kerana beliau amat dikenali sebagai seorang yang berprinsip dan sukar digugat pendiriannya.” (Berita FMT Astro Awani, 17 April 2014).
Islam agama persaudaraan
Tok Guru meneruskan dengan memetik surah al-Baqarah ayat 269: “Allah menganugerahkan al hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan barang siapa yang dianugerahi hikmah, dia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak.”
Di peringkat ini, saya tak pastilah respons pemimpin Islam lain yang ada sekarang, jika takdirnya mereka diminta mengulas pemergian Karpal di tengah-tengah persoalan RUU 355 hudud yang katanya masih gagal dibentangkan sehingga ke hari ini.
Umum mengetahui betapa indahnya hidup bernegara tanpa syak wasangka. Tok Guru bukan setakat menyebut tentang kepentingan persaudaraan tetapi telah membuktikan keyakinannya melalui amalan.
Di era kepimpinan beliau, Kelantan telah menginstitusikan jawatan penghulu tanpa mukim. Kebanyakan jawatan ini diisi oleh pemimpin berbangsa Cina, Siam dan India. Ini termasuklah juga mengiktiraf pemimpin Orang Asli.
Jelas di sini, Tok Guru adalah pemimpin yang mampu mencantum berbagai pemikiran. Beliau mahir mengadun pelbagai sumber dari dalam dan luar, akademik dan non-akademik.
Tok Guru cekap merangkum segala perkara, lalu mahir membentuk sesuatu yang relatifnya baharu pada setiap masa.
Lantas, semua itu seakan-akan handmade dari air tangannya - dituangkannya ke dalam persekitaran, sesuai dengan suasana setempat demi merombak pelbagai simpulan tali yang kusut.
Dakwahnya mengalir. Ia fluid. Ini keistimewaan luar biasa dan inilah yang sukar ditandingi oleh kawan dan seteru. Lantaran itu sepanjang memikul tugasan, belum pernah lagi saya dibisikkan oleh non-Islam yang mereka mencurigai hikmah kepimpinan yang diterajui Tok Guru.
Mengiktiraf bangsa Cina
Jika ada yang meragui kebolehannya sekali-sekala justeru dilihat stail Tok Guru yang sedikit parochial dan provincial, mereka cepat-cepat membetulkan kenyataan mereka dengan perkataan, “tapi, tak mengapa kerana Tok Guru dikelilingi profesional yang berkebolehan dalam pelbagai bidang dan disiplin ilmu. Dia pun dari jenis pandai berkawan, terbuka, merendah diri dan mudah didekati sekali gus.”
Bahkan, mengungguli pemikiran, Tok Guru pernah mengiktiraf kekuatan pemikiran kaum Tionghua dari segi kecerdikan. Mari kita dengar ayat-ayat yang sering dipakai oleh beliau:
“Orang Cina ni, saya sebut lebih cerdik daripada orang Melayu. Kesihatan orang Cina lebih baik daripada orang Melayu. Kekayaan orang Cina lebih tinggi daripada orang Melayu. Orang yang begini kalau boleh bimbing Islam saya kata lebih baik.
"Biar orang Cina( Islam) memimpin Islam di Malaysia, biar orang Melayu ikut. Bagi saya tidak mengapa. Bagi saya, orang Cina, orang Melayu adik-beradik semuanya, anak (nabi) Adam semuanya.
"Tidak ada dalam kepala saya Cina, Melayu. Saya jalan tengok Islam, masyarakat Cina, Melayu. Cina yang mempunyai pengalaman lebih banyak daripada orang Melayu, kesihatannya lebih baik, kekayaan dia lebih tinggi, pengalaman dia lebih luas, Cina Muslimlah yang memimpin Islam.”
Menyesal jadi Melayu?
Ini tidaklah pula bermakna Tok Guru tak suka, malu atau menyesal dilahirkan Melayu. Jika diperhatikan makan-minum, hias-pakai, tutur kata, sentimen perasaan, fe’el perangai, tunduk-bangun dan tingkah-laku beliau keseluruhannya adalah sepenuhnya Melayu.
Bahkan, ada pada ketikanya, Tok Guru meluahkan perasaan kasihnya yang mendalam kepada cara hidup murni dan budaya kesedaran beragama orang Melayu asli yang dulu-dulu.
Ini boleh kita saksikan dari beberapa patah kata-kata Tok Guru melalui ayat-ayat di bawah ini:
“Sebelum ini orang Melayu hidup dalam suasana iman dan taqwa serta betul-betul hidup dalam suasana sedar tentang pahala dosa, batas iman dan kufur serta syurga dan neraka.
"Paksi kehidupan orang Melayu sangat jelas iaitu hidup sementara untuk mencari bekalan ke akhirat dengan sebanyak-banyaknya.
"Akhirat tempat hidup kekal abadi yang menjadi tujuan mereka. Apa punca berlakunya kekacauan dalam pegangan aqidah orang Melayu?” (Dipetik dari buku Telaga Budi, Anbakri, halaman 41).
Bila saya tanya tentang sandaran yang mempengaruhi orang Melayu, sepantas kilat Tok Guru mengutip petikan surah dari ayat al-Quran seperti berikut:
“Negeri akhirat itu, yakni surga (Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri di muka bumi) dengan melakukan kezaliman (dan tidak pula berbuat kerusakan) dengan melakukan perbuatan-perbuatan maksiat.
"(Dan kesudahan yang baik itu) yakni yang terpuji (adalah bagi orang orang yang bertakwa) maksudnya bagi orang-orang yang takut kepada azab Allah, yaitu dengan melakukan perbuatan-perbuatan ketaatan kepada-Nya.” (surah al-Qasas ayat 83).
Persoalannya, kenapa orang Melayu yang begitu beradab, pernah berabad-abad berada dalam suasana itu di suatu masa telah kini menjadi sedemikian lesu? Ini salah orang Melayu atau salah pemimpin Melayu yang sengaja memberi tuba kepada orang Melayu ?
Islam untuk semua
Persoalan yang cukup sensasi sekarang ialah ke mana perginya harapan Islam untuk semua?
Jika di era Tok Guru Nik Abdul Aziz, perkara ini mudah dikesan kehadirannya melalui contoh teladan yang dipelopori oleh Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS, tetapi kini kita boleh lihat betapa cepat lunturnya ruh kesedaran ini.
Ia hampir hilang lenyap dalam sekelip mata, ditenggelami oleh sikap dan bawaan pemimpin PAS sendiri.
Ini cukup terasa kebenarannya apabila rakyat bukan Melayu merasa terhambat dengan pelbagai kenyataan perkauman yang dilontarkan saban waktu.
Jika Tok Guru cukup setia dengan pakatan pembangkang justeru beliau serius mencari punca-punca yang boleh menserasikan nilai-nilai keislaman demi membina common stand misalnya, hal ini langsung tidak terjadi di bawah kepimpinan terkini.
Apa yang terjadi adalah pendirian untuk keluar dari Pakatan Rakyat lalu cuba membina taawun dengan parti yang diisytiharkan musuhnya selama ini. Entah? Katanya, inilah politik matang dan sejahtera.
Sikap berkecuali atau setepatnya bersama dalam Bajet 2018, saat 59 rakan-rakan ahli parlimen Pakatan Harapan mengambil sikap menolak, cukup menjelaskan PAS yang ada sekarang - tidak lagi bersifat inklusif.
Bertolak dari pangkalan blok ketiga dan menggunakan topeng istiqomah, dia masih percaya bertaawun dengan Umno tetapi dalam masa sama katanya, tetaplah mereka itu masih melawan Umno. Aneh kan?
Keadaan krisis identiti yang setenat ini tidak pernah berlaku di zaman Tok Guru kerana Tok Guru tidak akan pernah izinkan.
Ini kerana beliau sentiasa percaya yang orang bukan Islam dan bukan Melayu di luar sana adalah sasaran dakwah yang ada harga, sekali gus menjadi rakan kongsi yang boleh diharapkan untuk menumbangkan kezaliman pemikiran cash is king.
Jika Tok Guru dengar kenyataan Umno yang berbunyi, “biar mereka rasa yang setiap biji nasi yang mereka makan adalah hasil perjuangan Umno” misalnya; dan dia di waktu itu masih Menteri Besar Kelantan, nescaya dia akan arah setiausaha politiknya mengatur sebuah sidang akhbar tergempar.
Pandailah Tok Guru pulas tengkok penuturnya. Ini yang menjadikan Nik Aziz, sentiasa dipandang realistik.
ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam dunia seni termasuk penulisan dan muzik.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini