Najib terus dikepung. Najib terus diasak. Najib terus terpinggir. Suara menuntut Najib dinyahkan semakin nyaring. Gerakan nyah Najib semakin merebak. Gerakan ini sedang berjalan dalam dan juga di luar negara.
Sentimen nyah Najib ini telah berjaya menjalar masuk ke lubang telinga ahli parti United Malays National Organisation. Ini jelas sedang berlaku.
Secara senyap-senyap ahli parti telah mula ‘berbisik-bisik’ sesama sendiri. Sohseh sohseh tung tang tung tang telah mula kedengaran. Najib ini dikatakan lebih banyak membawa bala dari membawa laba. Najib ini akan menjadi beban penolak undi dalam PRU14 nanti.
Bukan sahaja undi bukan Melayu yang menolak Najib. Kes Najib yang bertampuk-tampuk ini telah juga menghakis banyak undi Melayu. Ini dibuktikan dengan tertubuhnya parti BERSATU.
Kalau Parti Keadilan Nasional wujud pada tahun 1999 bermula dengan bencikan Mahathir yang membuang Anwar, BERSATU pula lahir pada tahun 2017 kerana bencikan Najib yang didakwa mencuri duit.
Ahli-ahli parti United Malays National Organisation dalam gelak hilai berseloroh tentang betapa beratnya memikul beban Rosmah di mata pengundi. Kini ditambah pula dengan beban memikul seorang yang didakwa mencuri.
Tetiba sebuah laman pro parti ketuanan Melayu telah menulis berita dalam Bahasa Inggeris - Kepala Bapak Building Gateway Home on Koh Samui Island. Apakah makna tulisan - Kepala Bapak Membuat Rumah untuk Lari di Pulau Koh Samui? Apakah Kepala Bapak telah bersedia hendak lari. Kenapa lari ke Siam tidak ke Shanghai?
Sayangnya berita ini belum sempat dipungut oleh Malaysian Insider atau Malaysiakini telah menjadi 404 - hilang lesap. Bila dicari tajuk berita ini Lebai Google akan menjawab - Sorry the page you were looking for in this blog does not exist. Khalas. Apakah dedak telah bertukar tangan? Walahhualam.
Sesiapa pun yang diserang bertalu-talu seperti ini akan berjiwa kacau. Jiwa kacau akan melahirkan sakit jiwa. Sakit jiwa ini telah dimanifestasikan dengan jeritan - “kepala bapak kau”.
Sebenarnya sesiapa pun boleh menjeritkan “kepala bapak kau”. Malah jeritan ini bukan satu yang baru atau satu yang unik. Ia juga bukan jeritan sakral. Tetapi apabila Najib menjeritkan “kepala bapak kau”, ia membawa makna lain.
Malah tempat si Najib menjeritkan “kepala bapak kau” ini juga wajib difahami dan diteliti.
Hakikatnya, “kepala bapak kau” ini adalah jeritan orang sakit jiwa. Ini tanda-tanda sakit jiwa yang maha sangat. Jika seseorang tidak sakit jiwa, dia tidak akan menjerit. Sosok yang dilamun kebahagiaan akan tersenyum lebar hingga ke telinga.
Saya tidak perlu mengulangi kembali kenyataan Jabatan Keadilan Amerika (DOJ) atau kenyataan peguam negara Switzerland. Atau berkisah tentang kes Scorpene Najib yang telah bermula di mahkamah Paris. Atau kes jenayah 1MDB di mahkamah Los Angles. Atau kes tertangkap, tertuduh dan terpenjara beberapa orang pegawai bank di Singapura. Semua ini telah beberapa kali kali saya tulis.
Telan Prozac
Semua ini pasti menyesakkan nafas Najib. Semua ini pasti menjadikan jiwa kacau. Dalam keadaan sedemikian saya yang tidak berijazah dalam bidang kedoktoran tidak dapat membantu apa-apa.
Kalau kena migrain saya tahu jawabnya ialah Panadol. Kalau diserang sakit jiwa saya hanya mendengar khabar bahawa Prozac boleh membantu. Berapa botol Prozac wajib ditelan hanya Guru Nanak sahaja yang maha mengetahui.
Kemudian muncul lagi babak terkini. Babak ini amat amat menarik. Ini babak baru. Bukan babak akhir atau babak penutup. Maksud saya ini babak Najib melawat Vietnam untuk Persidangan APEC yang baru berlangsung pada 10-11 November 2017.
Apa yang menarik media dunia ialah kehadiran presiden Trump di Vietnam. Presiden Trump yang sedang dipertikaikan kewarasannya terus menjadi sasaran untuk digodam oleh media.
Dalam parlimen apabila Najib ditanya tentang ‘kejayaan lawatan’ ke Rumah Putih. Si Najib dengan bangganya mengatakan bahawa ketika melawat Rumah Putih, dia telah bermain golf dengan Trump.
Ini betul-betul labun mat temberang. Sebenarnya Najib main golf dengan Trump sebelum Trump menjadi Presiden. Ketika itu Trump akan main golf dengan sesiapa sahaja termasuk dengan Lokman Adam jika Lokman Adam boleh membawa peluang perniagaan.
Kerana itu tidak ada gambar Najib main Golf dengan Trump ditularkan. Jika ada pasti gambar resmi akan dikeluarkan oleh Rumah Putih.
Di Amerika ketika ini jika Trump terkentut pun pasti akan jadi berita. Bayangkan jika Trump main Golf dengan Najib, satu padang golf itu akan dipenuhi oleh media Amerika. Van stesen TV, helikopter dan drone media pasti sibuk cuba membuat ‘breaking news’. Ini berita paling ‘hot’ di Amerika - Presiden Amerika bermain golf dengan 'pencuri'.
Najib melabun. Melabun, berbohong dan membuat temberang adalah juga ciri dan pola-pola serangan sakit jiwa.
Pada Jumaat 10 November sebelum Persidangan Apec bermula, harian The Guardian London telah membuat berita mengenai lawatan Trump ke Asia. Tajuk: Trump’s tricky talks: Five world leaders meeting to watch at Apec summit.
Salah seorang dari lima pemimpin itu ialah Najib. Dalam kes Najib media dunia telah diberi ingatan untuk memerhati bagaimana Trump akan cuba mengelak dari dilihat terlalu ramah dengan Najib.
Media dunia dikatakann telah diberi tahu lebih awal tentang bagaimana Najib akan cuba ‘masuk frame’ untuk dilihat mesra dengan Trump. Najib akan cuba masuk frame dengan tujuan agar media dunia melihat bahawa kes dakwaan curi duit 1MDB tidak mengganggu hubungan dirinya dengan Trump.
Pada hemat saya, laporan The Guardian ini adalah bukti agenda nyah Najib dari luar negara. Jika tidak yakin apa yang saya tulis ini sila rujuk kepada The Guardian London. Saya bukan penjaja tohmah atau fitnah.
Klip dari TV Vietnam
Saya menimbulkan berita dari The Guardian ini kerana ada satu klip dari TV Vietnam telah menular. Ini gambar jamuan makan malam di akhir persidangan APEC. Tetamu negara semuanya telah siap siaga duduk bersembang. Tetiba masuk Rosmah dan Najib.
Presiden Jokowi, Putin dan Xi Jin Ping sedang bersembang. Najib melintasi sebelah belakang Trump. Tapi sayangnya Si Trump ini tidak ambil pot. Malah seperti biasa Trump berpeluk tubuh. Ini betul-betul bahasa badan yang kurang ajar.
Setelah melihat klip ini saya terfikir betulkah Si Trump ini kaki golf Najib? Jika rakan golf sekurang-kurang berilah senyuman. Si Trump langsung tidak peduli.
Saya agak si Trump tidak berani dilihat mesra dengan Najib kerana takut ditibai oleh media Amerika. Tetapi berilah senyuman kepada si Rosmah yang memakai baju merah renda-renda dengan disalut oleh anting-anting intan berlian.
Kurang ajar betul presiden Trump ini. Mentang-mentang isterinya Melania cantik, langsing dan bergetah.
Atau apakah ini ditujukan kepada Kim Jong-un? Apa yang sahih laporan BBC ini telah dinafikan oleh si Trump.
Jeritan sakit jiwa “kepala bapak kau” ini telah juga meledak dalam parlimen pada minggu lalu. Semuanya macam telah dirancang. Macam wujud satu konspirasi.
Pada minggu lalu dalam parlimen Menteri Kesihatan Dr S Subramaniam telah memberi laporan kesihatan negara. Menteri ini bukan memberi laporan demam denggi, atau laporan kepialu, atau penyakit barah. Tidak. Tidak. Tidak.
Menteri Kesihatan Dr S Subramaniam telah memberi laporan statistik pesakit jiwa dalam Malaysia. Menurut laporan menteri ini, 29.2 peratus penduduk Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas mengalami sakit jiwa. Peratus ini telah ditemui melalui Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan tahun 2015.
Ini juga bukan fitnah Hishamuddin Rais. Jika tidak yakin sila rujuk kepada hansard Parlimen November 2017.
Kenyataan menteri kesihatan disambut oleh YB Zuraida dari parlimen Ampang yang memperakui data ini. Malah mengikut YB Ampang statistik ini pasti bertambah. Tanda terkini tentang serangan sakit jiwa ini ialah jeritan “kepala bapak kau”. Para YB dalam parlimen terbarai ketawa. Kasihan pada Najib dan penasihatnya, dua-dua ponteng parlimen.
Sila ambil perhatian, menteri kesihatan bukan pro-Pakatan Harapan. Menteri ini dari parti Malaysian Indian Congress. Justeru persoalan sakit jiwa minggu lalu bukan dirancang oleh Pakatan Harapan.
Mungkin persoalan sakit jiwa dalam parlimen minggu lalu telah dirancang secara sulit oleh pegawai kerajaan atau ‘orang dalam’ yang ternampak peluang untuk menambahkan lagi sakit jiwa kepada Najib. Walhahuallam bissawab.
Apa yang jelas data dari parlimen ini membuktikan bahawa sakit jiwa ini bukan satu yang asing di Malaysia. Kes Najib menjeritkan “kepala bapak kau” ini bukan ganjil.
Jika Mat Felda atau minah kilang yang menjeritkan “kepala ayah kau”, kita boleh tersenyum atau ambil sikap tidak peduli. Tetapi apabila Najib menjeritkannya, ini bermakna kita dalam bahaya.
Bahaya apa? Tunggu minggu depan.
HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.