Paling Popular
Terkini

Tulisan kali ini ialah liputan seputar tragedi Tok Guru yang diganggu serangan jantung tanggal 22 Julai 2004 pada usia 73 tahun.

Sejurus sebelum beliau ditolak ke dewan bedah untuk menjalani rawatan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN), saya telah diminta meninggalkan sesuatu. Ini berikutan celoteh kami pada malam sebelum itu mengenai isi dan matan penting yang terkandung dalam kitab Hikam karangan Syekh Ibnu Atha'illah, mursyid ketiga dari Thariqah Syadziliyah.

Keesokan harinya, dari Jalan Stonor saya bergegas dengan teksi pada pagi itu untuk menunaikan sebuah janji. Rupanya dia serius. Dia benar-benar menunggu.

Setibanya di IJN saya termengah-mengah mengejarnya yang sedang ditolak. Dalam lembut tetapi tegas, beliau meminta staf IJN yang menolak kerusi rodanya agar berhenti.

Saya lalu menyerahkan kitab itu dan mengesahkan yang saya memang membawanya dari Kota Bharu. Dia lalu membelek dan memerhati lama pada satu lembaran yang tidak dapat saya cam setepatnya halaman itu.

Setelah berlamaan menatap, dia senyum memandang saya sambil tunduk sedikit; seakan matanya ingin memberitahu yang dia akan diuji sebentar lagi – sengit nanti di sana.

Aduh, alangkah sayunya saya di ketika itu. Cukup berat untuk saya melepaskannya. Sesudah itu, dengan seizin-Nya - masya Allah - Tok Guru masih “dibangunkan semula” .

Kuliah sulung seusai rawatan

Memecahkan kesunyian di Kota Bharu kira-kira sebulan kemudian, saya masih ingat detik beliau memulakan kuliah sulung selepas pembedahan itu.

Tok Guru dipakaikan dengan busana kuning manja memimpin kuliah Jumaat itu. Kali ini - sedikit menyalahi adat - kuliah berkenaan tidak diadakan seperti selalu di Medan Ilmu, Jalan Dato’ Pati sebaliknya diatur di JKR 10 iaitu kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan di Jalan Kampung Sireh.

Tidak pernah saya melihat orang menunggu, berdiri, duduk-duduk dan bersila rapat-rapat serapi pagi itu yang di sambut mentari samar yang seakan merestui. Dan, tidak pernah lagi saya menyaksikan khalayak tunduk sesayu itu – diam sungguh dan khusyuk sungguh.

Sampai ke hari ini, tiada bahasa yang mampu saya ungkapkan untuk menggambarkan suasana berkenaan. Mungkin hingga sampai ke bila-bila saya tidak akan menemui kata-kata untuknya.

Suasana insaf dan ikhlas yang menyelubungi sela-sela orang bersila berlaga lutut di kala itu menyebabkan angin pagi yang berhembus halus itu seakan terhenti. Alam bagai bersatu; masing-masing seakan akur merestui kehadiran sesusuk tubuh untuk menghantar salam rindu.

Seusai bermukaddimah, dengan suara yang cukup rendah Tok Guru memulakan. Untuk kali ini, demi memudahkan jangkauan izinkan saya menulis dalam bahasa Melayu baku. Inilah matan-matan penting kata-katanya pada waktu itu:

“Saya telah diisytiharkan mati melalui SMS yang dibiarkan beredar liar, merebak di angkasa oleh sesetengah pihak. Bagaimanapun, rupanya takdir Allah mengatasi tadbir keruh yang diatur oleh musuh. Allahu Akbar!

"Sambil mematuhi proses rawatan seperti yang diatur jadualnya oleh pakar-pakar jantung di Hospital Perdana, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, IJN di Kuala Lumpur, fikiran saya masih tidak henti-henti merenung akan tujuan setiap pihak yang selama ini amat kelihatan memusuhi saya.

"Datuk Seri perdana menteri misalnya pernah menghantar kawat dari Perancis mengarahkan pakar jantung terbaik dari Kuala Lumpur diterbangkan ke Kota Bharu untuk memberikan rawatan terbaik kepada saya.

"Rencana tetap di dalam Mingguan Malaysia yang sangat sinis terhadap saya selama ini - entahkan bagaimana - sedia membuat temu ramah dengan beberapa pemimpin Umno dan menurunkan respon yang cukup bersahabat mengenai saya.

"Ia berbunyi begini:

  • Mursyidul Am Pas itu mempunyai banyak jasa kepada agama, bangsa dan Negara - Abdul Kadir Sulong, Kubang Kerian, Kelantan
  • Sebagai seorang Muslim, saya berdoa kepada Allah agar mengembalikan kesihatan Nik Aziz supaya beliau dapat terus memimpin ummah. Beliau masih diperlukan - Datuk Shafie Daud, Gong Kiat, Kuala Terengganu
  • Saya juga berdoa kepada Allah agar Nik Aziz cepat sembuh dan dapat kembali berkhidmat sebagai Menteri Besar Kelantan seperti sedia kala - Timbalan Pengarah JASA Terengganu, Abdul Hamid Ahmad

"Petikan kata-kata ini boleh disemak dalam Mingguan Malaysia bertarikh 25 Julai 2004.

"Ringkasnya, saya baru diberi peluang dan mula dibanjiri pujian setelah cemas bersabung nyawa. Begitu rupanya nasib manusia pembangkang di Malaysia!

Keluar kepala hilang ekor

"Saya melihat perkembangan ini dalam dua kemungkinan. Satu, dengan berpandangan baik dan satu lagi agak ragui layanan pihak berkuasa.

"Jika berpandangan baik, ia boleh jadi begini: Boleh jadi, saya sememangnya tidak salah menegur kerajaan. Saya memang berhujah. Semua pendirian dan teguran saya yang dibina berdalilkan al-Quran dan as-sunnah. Tak pernah menyeleweng.

"Boleh jadi selama ini Umno menolak dan mengherdik saya; ada kalanya menyekat, menyembunyi malah memutuskan saya daripada terus berkomunikasi dengan rakyat; bukan sangat kerana dakwah saya songsang. Boleh jadi hati kecil mereka berkata: “ya” tetapi kerana dendam (baghyan), dengki (hasadan), dan sengaja suka berbuat jahat (‘adwan) – mereka terpaksa mengatakan “tidak”.

"Oleh sebab itu, tidak hairanlah apabila saya sentiasa diserang di atas apa jua kenyataan yang saya keluarkan. Semua yang saya kata akan ditafsirkan terbalik.

"Lebih malang apabila saya dinafikan langsung hak untuk berhujah, menjelas dan mempertahankan diri dengan selesa. Jika dikeluarkan sekalipun, keluar ekor hilang kepala. Keluar kepala, hilang ekor!

"Saya berani mengatakan bahawa setiap isu yang saya jawab sering ditutup atau diredakan serta-merta apabila terlihat mata panah jawapan saya mengenai batang hidung Umno dan sekutunya.

"Boleh jadi juga, Umno sudah tidak mampu lagi melawan arus pengaruh yang dibawa oleh pemimpin PAS. Mereka terpaksa mengakuinya, suka atau tidak. Dalam keadaan pengaruh PAS yang tidak mati-mati, Umno sedar bahawa menyekat dan bertindak terlebih dan keterlaluan boleh memusnahkan Umno.

"Dalam kesempatan saya yang keuzuran ini, Umno cuba menyarung imej baru - sebagai parti yang penyayang dan penuh kasihan belas. Mereka tentu sedar bahawasanya jika saya terus diremehkan, masyarakat Malaysia akan semakin membenci mereka.

"Menyekat pengaruh PAS dalam suasana ini boleh melemaskan mereka. Umno akan dilihat zalim, tidak logik, dan hilang kewarasan jika masih degil menyerang saya atau menyembunyikan saya daripada pemberitaan. Menekan saya secara berterusan bererti merosakkan imej Umno secara berpanjangan.

"Perkataan-perkataan berupa harapan dan penghargaan daripada pemimpin Umno dalam Mingguan Malaysia seperti yang saya telah petik tadi benar-benar membuktikannya. Umno sudah tidak mampu menolak.

"Jadi, jika saya diiktiraf seorang yang banyak jasa, didoakan agar cepat sembuh dan kembali semula menjadi menteri besar dan mursyidul am, maka dapatlah kita lihat di mana letaknya gesaan pemimpin-pemimpin Umno negeri yang selalu memperlekehkan saya sebelum dan selama ini.

"Mana satu yang jujur? Mereka jujur mahu saya tinggalkan jawatan kerana kononnya tidak mampu, atau kembali mengetuai pemerintahan untuk menyambung kerjaya mulia saya - menabur jasa bakti kepada rakyat seperti yang diiktiraf sendiri olen pemimpin Umno juga. Mana satukah?

"Kunjungan Ku Li menziarahi saya misalnya mengukuhkan lagi andaian saya bahawa kehadiran pembangkang cukup penting untuk mengimbangi kuasa dan mengawal penyalahgunaan kuasa Umno daripada berleluasa dalam kerajaan.

"Sebaliknya, jika saya membaca perkembangan layanan terhadap saya dari sudut negatif, ia boleh pula dilihat begini. Pertama, kenapa baru sekarang menghargai saya? Lambat benarkah untuk menilai sumbangan pemikiran? Kenapa harus tunggu setelah saya tenat untuk memuji dan menghargai? Kenapa tidak dari awal apabila saya meminta Umno kembali kepada al-Quran dan hadis?

"Alangkah bermanfaatnya negara ini jika menerima saranan untuk kembali kepada petunjuk dan pimpinan dari langit. Ubah sedikit perlembagaan Umno dan ubah Perlembagaan Persekutuan. Letakkan al-Quran dan hadis secara bertulis mengatasi segala sesuatu. Dari situ, kita pun senang untuk bekerjasama.

Berdosa atau tidak

"Saya bimbang, Umno cuba meniru seorang Abdullah bin Ubay. Orang ini pernah membina sebuah masjid yang dinamakan Masjid Dhirar. Walaupun membina masjid itu baik, tetapi apabila tujuannya tidak baik, maka ia tetap tidak baik.

"Ia lalu diarah untuk dibakar oleh Rasulullah SAW. Di sini, tokoh munafik ini berbuat baik untuk menudung kejahatan. Apabila ditegur oleh Rasulullah, dia berdalih malah bersumpah (halaf) bahawa dia sedang mengusahakan kebaikan.

"Sebenarnya, dia hanya bermaksud mahu diterima kepimpinannya sedangkan dia masih tetap mahu mengkhianati Islam. Kerja ini hampir sama dengan kerja pemimpin Umno.

"Umno isytihar Malaysia negara Islam tanpa apa-apa perubahan. Nampak macam mahu negara ini diislamkan. Tentulah ini sangat baik, tetapi al-Quran dan Hadis tidak mahu terima. Ini Islam jenis apa? Mahu terap Islamlah, mahu Islam Hadharilah.

"Dalam keadaan yang kononnya mahukan Islam itu, kenapa disekat bantuan perkapita kepada semua sekolah agama rakyat? Lesen arak dan premis judi tak terkawal.

"Mengeluarkan lesen judi dan kadang-kadang kerajaan sendiri, malah Tabung Haji sendiri pun terlibat sama dalam kerja 'berjudi'. Ini berdosa atau tak berdosa? Ini jenis kerja mahu majukan Islam atau mahu jahanamkan Islam? Oleh sebab itu, kita ditimpa bencana demi bencana.

"Malaysia sudah ada lebih sejuta penagih dadah. Khabarnya, 70 hingga 80 peratus penagih adalah anak-anak orang Islam. Zina, rogol, liwat, anak luar nikah, sumbang mahram, ragut, sogok, peras ugut, bakar, culik, rasuah, pecah amanah, fitnah orang, bunuh orang. Macam-macam kerenah!

"Saya tidak terkejut apabila perdana menteri sendiri “kesal, sedih dan kecewa dengan trend peningkatan kes-kes jenayah di Malaysia terkini.” (rujuk Berita Minggu 1 Ogos 2004). Habis, apa usaha Umno menangani gejala keruntuhan moral menggunakan kaedah iman dan takwa?

"Saya sebut tentang pahala dosa pun boleh menimbulkan kemarahan. Saya dilabel cuba memberi rasuah pahalalah. Apa ni?

Disuruh duduk, duduk

"Dalam hubungan ini, saya menyokong keputusan mesyuarat mufti-mufti yang memutuskan konsert Sure Heboh sebagai haram. Itu saya petik berita pada 30 Julai 2004. Hari ini pula, saya sudah mula nampak yang ia mula dikendurkan.

"Esok, tengoklah nanti apa yang akan terjadi. Pertimbangan agama akan tunduk dan patah pada lazimnya. Ia akan diatasi oleh Perlembagaan Persekutuan yang memang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan tapi Islam yang dari jenis modify yakni yang tak bercanggah dengan hawa nafsu.

Islam dari jenis yang bukan memerintah tetapi diperintah. Disuruh duduk, duduk. Disuruh bangun, bangun. Disuruh diam, diam. Disuruh baring, baring.

"Dalam hal terpaksa mengiktiraf saya sebagai ulama berjasa, saya masih nampak hajat yang keruh akhbar-akhbar di Malaysia, khususnya bertarikh 25 Julai 2004.

Semasa wartawan Mingguan Malaysia memuji saya, ia cuba pula mengehadkan skop kepimpinan saya yang cemerlang dari aspek “ketokguruan” saya saja. Ini pemikiran tidak betul. Inilah cara orang sekular berfikir. Agama itu dikira suku (sebahagian) daripada pemerintahan dan kerajaan. Mana boleh!

"Sebenarnya, masa saya bertazkirah, saya seorang tok guru. Berceramah, saya tok guru. Berjemaah, saya tok guru. Saya meninjau kuil dan bercakap-cakap dengan sami, saya tok guru. Mempengerusi mesyuarat, saya tok guru. Bercakap merasmikan minggu sains, saya tok guru. Menghadiri mesyuarat Majlis Raja- raja, saya tok guru dan berbahas di sidang DUN pun, saya tok guru.

"Orang menghargai saya bukan kerana nama saya Nik Abdul Aziz, tetapi kerana tiada pemimpin yang diberi kesempatan memimpin lalu memerintah dan berusaha untuk patuh kepada titah perintah Allah SWT. Demokrasi telah memberi kuasa kepada ulama untuk berkuasa, kita nak buat macam mana?

"Saya pula tidak mengkhianati amanah kuasa yang berikan itu. Saya terima amanah Allah untuk memerintah berasaskan kitabullah. Dah, salah di mana ?

Istiqamah stail Tok Guru

"Mana-mana yang disekat Umno untuk dilaksanakan maka saya cari jalan dan ikhtiar. Untuk makluman sesetengah orang dalam Utusan Malaysia, masyarakat Malaysia serta rakyat Thai yang berada di empat wilayah menghargai saya kerana mereka tahu saya sedang memainkan peranan ini.

"Saya lebih banyak menasihat, menegur dan mengkritik daripada membangkang Umno secara membabi buta. Sesyumul Islam, saya menegur dan bergiat dalam semua lapangan walaupun dihalang. Di samping itu, kami buktikan komitmen kami melalui pelaksanaan Islam di Kelantan secara hikmah dan berperingkat-peringkat mengikut kemampuan.

"Kami serius walau pun kami dilihat perlahan. Ertinya, di samping saya berkempen dan berdakwah, saya juga beramal dengan Islam dalam tugas-tugas memerintah. Kami membangun kerajaan yang membangun bersama Islam. Bendanya begitu.

"Dalam keadaan saya yang terlantar dan sakit-sakit ini pun, saya masih enggan berhenti untuk menegur dan menyatakan kebenaran. Dari birai katil, saya masih merangka sesuatu untuk mendaulatkan kebenaran lalu bagi pihak rakyat, saya bersuara.

"Saya sebenarnya terharu dan ingin menjunjung kasih yang tidak terhingga kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Sultan Kelantan dan Raja Perempuan Kelantan, Sultan Kedah serta perdana menteri yang menunjukan simpati.

"Juga buat timbalan perdana menteri dan isteri, menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri serta semua rakan-rakan dari parti pembangkang.

"Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh lapisan rakyat tanpa mengira kedudukan, keturunan, bangsa dan bahasa.

"Walaupun saya menghargai semua itu, namun saya masih tetaplah beristiqamah. Beginilah saya – tidak akan berganjak untuk menegakkan keadilan dan kebenaran. Saya tidak akan tutup mulut saya daripada menegur mana yang salah kerana inilah jalan yang dilalui Rasulullah.

"Ini bukan kerana saya degil tetapi saya kuat mempercayai bahawa Malaysia ini hanya akan selamat jika sedia kembali kepada Allah.

"Malaysia tidak akan menjadi Islam hanya dengan permainan istilah. Ia akan hanya berubah dengan ikhtiar dan kesungguhan setiap pemimpin untuk melaksanakan Islam.

Terbaring pun akan bingkas

"Kita boleh terus berbeza pendapat. Anjurlah majlis untuk bermuzakarah. Insya-Allah, kami akan hadir untuk bekerjasama. Islam memberi peluang yang seluas-luas untuk berdialog sama ada dengan orang orang Islam atau bukan Islam.

"Sama ada engkau yang benar atau kami yang benar (wainna au iyya kum). Ini ruhnya dan ini semangatnya.

"Akan tetapi, Allah SWT sangat berpesan kepada kita bahawa “jika kita berselisih dan berbeza pendapat, kita hendaklah kembali kepada kitab Allah dan rasul-Nya” dan bukan setakat perlembagaan negara.

"Selagi kita sedia berdialog untuk akhirnya kembali kepada petunjuk langit, saya tidak ada masalah. Jika tidak, dalam terbaring dihujung katil ini pun, saya akan tetap bingkas dan tidak mengalah. Biar gelung-gelung wayar ini menjadi saksi akan istiqamah seorang pemimpin parti pembangkang yang tetap enggan menyerah."

(Sebahagian dari catatan ini saya sempurnakan di tepi katil Tok Guru di Wad CCU, Tingkat 1, IJN Kuala Lumpur. Beliau bertutur dalam keadaan berbaring dan saya menulis hampir segalanya. Terkadang, disuruhnya saya berhenti untuk membancuh kopi, jika takdirnya saya dahaga. Uncang-uncang teh sentiasa ada di dalam lacinya!)

Demikian, Tok Guru Nik Abdul Aziz sesudah keluar dari saat cemas yang cukup menguji jantungnya. Dia masih bingkas walau bertongkat. Dia masih sudi berkongsi, mengeluarkan sesuatu daripada saki baki ilmunya.

Dia menghadiahkan kita daripada apa sahaja yang berdegup di jantungnya. Ini contoh istiqamah sesungguhnya. Dia menghiris setiap helai tali kepalsuan yang cuba memasung kebebasan massa berpandukan ayat-ayat wahyu dengan sejujurnya.

Setiap simpulan kemungkaran yang berpintal, cuba dijerut seteru dan dikalungkan ke leher rakyat telah dirombak dan disimpulkan semula. Kata-kata di pusingan ini lebih mahal berbanding harga sekalung marjan.

Dalam pemergiannya, dia telah sempat menyimpan sesuatu yang luhur buat kita. Antara rajin dan tekun - terpulanglah kepada kita untuk tajam menggali dan memerhati; mengasing antara antah dan butir padi, antara kelapa dan sabut.

Ini bagai yang dipesan oleh Lao Tzu :To see things in the seed, that is genius.

Selebihnya, terpulang.


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam dunia seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS