Apartheid adalah perkataan Afrikaans, salah satu daripada bahasa Afrika Selatan, yang bermaksud “keadaan pemisahan” (Ing apart-hood). Ia merujuk kepada sistem diskriminasi secara ras dan pengasingan kaum yang telah didirikan di Afrika Selatan.
Seperti di banyak negara, pengasingan kaum bermula di Afrika Selatan semasa zaman penjajahan, pertama di bawah Belanda dari akhir abad ketujuh belas dan kemudian di bawah British yang mengambil alih kuasa pada tahun 1795. Tetapi, baru kemudian pada tahun 1948 bahawa pengasingan kaum menjadi dasar rasmi.
Pemerintahan minoriti putih Afrikaner ditubuhkan melalui undang-undang oleh Parti Kebangsaan yang memerintah Afrika Selatan dari 1948 sehingga 1994.
Di bawah undang-undang apartheid di negeri itu penduduk dibahagikan ke dalam empat kumpulan kaum, iaitu, putih, berwarna, India dan hitam.
Jutaan orang Afrika Selatan bukan putih dipaksa keluar dari rumah mereka dan berpindah ke kawasan-kawasan yang terpisah daripada kawasan perumahan orang putih. Tiada perwakilan politik untuk orang bukan putih.
Sistem apartheid memang menafikan kewarganegaraan orang Afrika di Afrika Selatan. Sebaliknya, mereka dijadikan "warganegara" kawasan pemerintahan sendiri yang dinamakan bantustan.
Orang bukan kulit putih menjadi penduduk yang berasingan dan tidak setara di Afrika Selatan, dengan sedikit hak dan akses yang kurang baik kepada perkhidmatan dan kemudahan awam.
Apartheid berakhir dengan pemilihan Nelson Mandela sebagai presiden hitam pertama Afrika Selatan pada 1994. Walaupun istilah apartheid pada umumnya dikaitkan dengan Afrika Selatan, perbandingan telah dibuat dengan Israel.
Ramai cendekiawan dan penulis telah berusaha untuk membandingkan perlakuan Israel terhadap rakyat Palestin dengan perlakuan orang kulit putih terhadap orang bukan kulit putih di Afrika Selatan pada zaman apartheid.
Mereka yang menerapkan analogi apartheid kepada Israel mengatakan bahawa institusi kawalan seperti pos pemeriksaan tentera (military checkpoints), undang-undang perkahwinan yang ketat, akses yang tidak sama rata kepada tanah dan sumber-sumber lain dan, sesungguhnya dinding Tebing Barat itu sendiri, membuktikan bahwa sejenis apartheid menentukan kehidupan orang Palestin.
Ahli bahasa, ahli falsafah dan pengkritik politik Amerika Noam Chomsky berkata tentang Wilayah Pendudukan (Occupied Territories) bahawa "apa yang dilakukan oleh Israel adalah lebih buruk daripada apartheid ... Apa yang berlaku di Wilayah Pendudukan lebih teruk [daripada di Afrika Selatan].
Terdapat perbezaan penting. Nationalisasi Afrika Selatan memerlukan penduduk hitam. Itu adalah tenaga kerja mereka ... Hubungan Israel dengan Palestin di Wilayah Pendudukan sangat berbeza.
Mereka hanya tidak mahu mereka. Mereka mahu mereka keluar, atau sekurang-kurangnya dalam penjara."
Apa kemungkinan satu sistem sosial yang mirip apartheid muncul dan berkembang di Malaysia?
Kebanyakan ahli sejarah dan ahli sosiologi yang telah mengkaji dunia Melayu pra-penjajah bersetuju bahawa perpecahan kaum yang mencirikan Malaysia hari ini jauh lebih sedikit sebelum kedatangan orang-orang Eropah.
Terdapat banyak asimilasi kepada budaya Melayu dan perkahwinan campuran, dari mana kita mendapat orang Baba dan Jawi Peranakan. Tetapi, penjajah Malaya memperkenalkan rasisme dan sistem perkauman yang mempunyai ciri-ciri apartheid.
Sebagai contoh, Kelab Selangor pada zaman penjajahan adalah pertubuhan putih sahaja. Penduduk tempatan, bersama anjing dan binatang peliharaan lain, tidak diizinkan masuk.
Suasana sedemikian membolehkan orang-orang Inggeris dan Eropah lain untuk mengekalkan ilusi kemurnian dan keunggulan ras, untuk melupakan bahawa mereka berada di Timur, dan untuk bergaul dengan jenis mereka sendiri.
Pemisahan secara fizikal ditemani oleh pandangan rasis yang orang Inggeris mempunyai terhapap orang Melayu. AR Wallace, ahli naturalis abad kesembilan belas, berkata dalam karyanya, The Malay Archipelago, bahawa "intelek bangsa Melayu nampak agak kekurangan.
Mereka tidak mampu berbuat apa-apa di luar kombinasi ide yang sederhana dan mempunyai selera atau tenaga sedikit sahaja untuk mendapatkan pengetahuan."
Mungkin stereotaip yang paling terkenal adalah mengenai orang Melayu. Mereka distereotaip sebagai malas dan tidak mahu melakukan kerja keras.
Penelitian perintis Syed Hussein Alatas, Mitos Pribumi Malas, menuntut bahawa pencirian orang Melayu dan orang pribumi yang lain seperti Jawa dan Filipina sebagai malas adalah sebahagian dari justifikasi atau pembenaran secara ideologi orang Eropah untuk memerintah tanah jajah mereka serta mengimport buruh asing.
Orang Cina di Tanah Melayu sering disebut sebagai "Cina tamak" yang boleh didapati di mana sahaja di mana terdapat peluang untuk menghasilkan wang.
Pandangan Eropah terhadap kaum India sangat penting, memandang mereka sebagai penduduk yang jinak yang mudah dieksploitasi sebagai sumber buruh murah. Dalam sistem penjajahan, pengasingan kaum tidak berlaku secara total. Lebih tepat kita merujuk kepadanya sebagai sistem apartheid mini yang ditubuhkan berdasarkan sikap rasis terhadap orang-orang bukan Eropah.
Sekarang kita harus waspada akan kemungkinan pemikiran mini-apartheid perkenalkan semula ke Malaysia dalam bentuk yang berbeza, iaitu agama.
Ia berasal dari rasa tidak bermoral dan ketakutan pencemaran yang hanya mencerminkan perasaan ketidakamanan sosial dan politik yang dialami oleh sesetengah orang Melayu di Malaysia.
Dalam suasana seperti itu, ada keperluan untuk hidup dengan cara yang membesar-besarkan identiti Islam supaya orang Melayu dapat merasakan bahawa tidak semuanya yang hilang.
Penekanan pada kod pakaian “Arab” adalah contoh kecenderungan memperkuat identiti agama. Sudah tentu bahawa orang akan cuba menekankan keislaman mereka jika mereka merasakan diri mereka terancam secara ekonomi atau politik.
Walau bagaimanapun, apa yang menakutkan adalah percubaan di kalangan kepimpinan politik dan agama untuk memanfaatkan ketakutan ini dengan memperkenalkan tindakan-tindakan berbau apartheid.
Apa yang tidak boleh diterima ialah percubaan membezakan antara warga Malaysia melalui undang-undang yang akan mengasingkan orang.
Dua tahun yang lalu diumumkan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mempertimbangkan suatu cadangan yang tidak masuk akal. Cadangan itu adalah untuk mengasingkan penggunaan troli bagi barangan halal dan tidak halal di pasar raya.
Ini seolah-olah untuk mengurangkan rasa takut umat Islam mengenai pencemaran makanan yang mereka beli oleh barangan bukan halal.
Adalah dicadangkan bahawa yang beli barangan bukan halal boleh menggunakan troli merah manakala yang beli barangan halal akan menggunakan troli warna lain.
Katakan troli untuk barangan halal adalah hijau. Ini bererti umat Islam menggunakan troli hijau dan bukan Islam menggunakan troli merah di seluruh pasaraya Malaysia. Seolah-olah rakyat Malaysia tidak cukup berpecah, apakah kita harus memperkenalkan satu penanda identiti yang baru, penolak troli?
Apakah pengasingan berhenti dengan troli pasar raya? Apakah akan muncul cadangan oleh sesetengah orang bahawa orang Islam merasa tersinggung atau tidak selesa melihat barang-barang tidak halal seperti "daging babi" yang dijual di pasar raya.
Mereka mungkin juga tidak selesa melihat alkohol dijual di hadapan mata mereka. Mereka mungkin akan meminta supaya jaringan pasar raya khas untuk orang Islam ditubuhkan di Malaysia. Permintaan ini juga boleh diperluaskan kepada kedai runcit.
Baru-baru ini ada kes sebuah premis kedai dobi layan diri di Muar, Johor yang membataskan pelanggannya kepada orang Muslim sahaja.
Ada juga pendapat di kalangan umat Islam Malaysia bahawa mendapatkan khidmat gunting rambut di kedai bukan Islam, menghantar anak ke sekolah kelolaan bukan Islam dan juga memberikan ucapan Selamat Hari Krismas adalah haram.
Seruan untuk pengasingan akan meningkat untuk merangkumi lebih banyak arena kehidupan kita agar pengguna Muslim tidak akan bimbang lagi tentang pencemaran. Ahli politik dan pemimpin agama Melayu perlu mengambil keputusan.
Mereka boleh memilih untuk bermain di arena pemikiran sempit dan perkauman dan mengambil kesempatan daripada obsesi sesetengah orang Islam yang tidak terdidik. Mereka boleh memilih untuk memanfaatkan kejahilan beberapa segolongan penduduk Islam Malaysia.
Atau, mereka boleh menjadi pemimpin dengan mendidik orang Islam tentang cara menjalani kehidupan Islam yang baik, iaitu, dengan kepekaan multikultural, yang tidak ditentukan oleh keraguan dan ketidakamanan.
Surah Al-Quran yang terakhir, yang berjudul Nas atau Manusia, meminta manusia untuk mencari lindungan Allah dari kejahatan syaitan, pembisik kejahatan (al-waswas) ke dalam hati manusia.
Dengan cara ini, Iblis cuba memusnahkan kepercayaan dengan menanam kebimbangan psikologi di kalangan umat Islam, yang mempengaruhi kesucian iman dan cara hidup mereka. Tugas umat Islam adalah untuk melawan ketidaktenteraman ini dan hidup secara harmoni dalam konteks kepelbagaian kaum, bangsa dan agama.
Semangat Islam semacam itu dicontohi oleh Sayyidina Ali ibn Abi Talib (karramallahu wajha), ketika beliau menasihati gubernurnya, Malik al-Ashtar, supaya semaikan hatinya dengan rasa belas kasihan, kasih sayang dan baik hati kepada rakyatnya, kerana “mereka adalah saudara seagama dengan kamu atau mereka adalah makhluk Tuhan seperti kamu”.
SYED FARID ALATAS adalah profesor di Jabatan Sosiologi di Universiti Nasional Singapura.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.