Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images

Satu gerakan besar yang paling tepat pada ketika ini untuk mengambil alih Putrajaya ialah Kempen Nyah Najib. Nyah Najib ini adalah satu projek mengolah persetujuan yang paling strategik dan masuk akal untuk menghadapi PRU14.

Kita lihat bagaimana Mahathir Muhamad dengan jelas dan tuntas telah menyatakan bahawa Najib ini seorang pencuri. Mahathir tidak menggunakan perkataan seperti kleptokrasi. Perkataan ini tidak dihayati oleh mak cik dan pak cik Felda.

Untuk mereka yang tidak ke Oxford, perkataan kleptokrasi ini bukan saja susah untuk disebut malah mereka tidak memahami apa ertinya.

Pencuri, lanun Bugis, penyangak curi duit untuk bini, bini yang boros – ini adalah ayat-ayat yang senang difahami dan dihayati oleh orang ramai terutama oleh mak cik dan pak cik Felda yang kini menjadi penentu undi PRU14.

Sayugia diingatkan, Felda hari ini memiliki 52 kerusi parlimen dan 92 kerusi DUN. Tergelincir undi United Malays National Organisation daripada Felda bermakna Najib akan dinyahkan.

Hakikatnya apabila orang ramai telah memahami dan menghayati siapa pencuri, langkah seterusnya ialah kita bersatu menyahkan beliau.

Perhatikan bagaimana kita terus mendengar ucapan dan isi ceramah Mahathir hanya dengan satu tujuan asas - menjatuhkan Najib dari tampuk kuasa. Mahathir hanya menyerang Najib, tidak yang lain.

Laras senapang Mahathir hanya ditujukan kepada Najib.Tidak pada si polan yang ini atau pada si polan yang itu, hanya Najib seorang.

Kerana ini, untuk saya Nyah Najib dan Selamatkan Malaysia adalah laungan perjuangan yang amat tepat. Ini sama seperti di tahun-tahun 40-an dahulu apabila para nasionalis yang menentang Inggeris melaungkan Merdeka. Amin.

Saya yakin pasti ada kumpulan NGO atau pakar pemikir dari Pakatan Harapan jenis Lokman Adam atau para Akademik dan para kangkung yang akan berhujah bahawa laungan slogan nyahkan Najib ini tidak mencukupi. Pasti ada NGO yang akan berhujah bahawa Pakatan Harapan perlu ada perubahan struktur. Pakatan Harapan wajib mengajukan cadangan gantian yang menjamin masa depan Malaysia. Nyah Najib tidak cukup.

Dalam tulisan ini biar saya terangkan kenapa yang kita perlukan di Malaysia ini hanya strategi nyah Najib.

Dalam membuat propaganda, dalam mengolah persetujuan, kita bukan berniat nak tunjuk cerdik atau tunjuk bijak. Justeru kita tidak perlu menggunakan perkataan yang tidak dihayati umum.

Kalau DOJ Amerika menggunakan perkataan kleptokrasi, kita tidak diwajibkan oleh Allah untuk mengikutinya. Kita wajib mencari perkataan yang dihayati orang ramai. Tabik untuk Mahathir kerana dia hanya menuduh Najib sebagai pencuri.

Strategi kaum Marxis

Dalam strategi menyerang musuh kita tidak perlu membuka banyak laman perang. Kita tidak perlu menembak guna peluru penabur. Arahkan senapang kita kepada dada seorang musuh utama saja. Ini cara Mahathir menyerang. Dia hanya menyerang Najib.

Dalam perang kita mengurangkan musuh. Dalam perang kita memperbanyak kawan. Dalam perang kita mengenal musuh utama dan musuh sampingan. Dalam perang kita mendirikan barisan bersatu atau united front. Ini sedang dilakukan oleh Mahathir. Semua ini adalah cara berfikir, taktik dan strategi kaum Marxis.

Tapi Mahathir bukan penganut fahaman Marxis. Justeru, apa yang berlaku ialah Mahathir sedang menggunakan alat pertukangan kaum Marxis untuk menyerang Najib. Amin.

Malaysia kita ini adalah sebuah negara Dunia Ketiga. Ayat ini amat amat penting dalam analisis politik. Penting dalam analisis ekonomi. Penting dalam melakar strategi perjuangan politik. Gagal memahami ciri dan pola negara Dunia Ketiga maka kita akan gagal dalam strategi perjuangan politik.

Politik negara Dunia Ketiga ini tidak sama dengan politik Australia, New Zealand, Kanada, United Kingdom atau Belgium. Ini negara Dunia Kedua dan Negara Dunia Pertama.

Politik kita sama dengan politik Filipina, Indonesia, Kenya, Ghana atau Barundi. Politik kita sama dengan 49 negara-negara Komanwel – bekas tanah jajahan British.

Politik dan ekonomi negara Dunia Ketiga berwatak negara pascakolonial, bekas tanah jajahan. Justeru Malaysia ini masih lagi berwatak setengah kolonial dan setengah feudal. Negara Dunia Ketika wujud di pinggir sistem kapitalis global. Berniaga sebagai pengeluar, sebagai pembekal bahan mentah. Menjadi pasaran produk senjata, produk budaya dan bahan berteknologi tinggi dari negara Pertama dan Kedua.

Satu pola yang amat-amat penting di Malaysia ini ialah super struktur kita masih lagi setengah feudal dan setengah kolonial. Jika tidak memahami hakikat ini maka segala kerja politik akan gagal.

Apakah tanda Malaysia kita ini masih setengah feudal? Di sini saya buktikan dengan tuntas.

Mustahil tidak melihat sandiwara politik yang sedang terpapar di hadapan mata kita sekarang. Satu dunia sedang menyaksikan bagaimana Sultan Johor muncul dengan kenyataan yang jelas, tuntas dan masuk akal dalam kes mesin basuh Islam.

Ini berlaku apabila pemimpin pentadbiran negara - Najib, Zahid Hamidi dan kaum kerabat para menteri yang semuanya berhaji dan berlebai tidak berani bersuara. Saban tahun para menteri Islam daripada United Malays National Organisation akan berbuih-buih mulut berdoa depan Batu Hitam ketika berumrah. Tetapi ketika ini mereka tidak berani mengeluarkan pendapat salah atau benar tentang mesin basuh Islam.

Lalu muncul sultan. Titah Sultan mendapat sokongan padu dari rakyat. Rakyat tidak mempedulikan Jakim, JAIS, JAWI, Japon atau Japeng atau Menteri Jual Agama dan suku sakatnya. Ini tandanya Malaysia kita ini adalah negara Dunia Ketika. Negara setengah kapitalis setengah feudal.

Memahami semua ini adalah wajib. Pemahaman kita ini akan memperkukuhkan lagi gerakan kita untuk nyahkan Najib dari tampuk kuasa.

Pusat kuasa

Apa yang wajib kita lakukan untuk nyahkan Najib?

Apakah kita hanya nyahkan Najib seorang? Bagaimana dengan yang lain. Mereka juga penjenayah. Mereka juga menjarah negara ini. Mereka juga merompak dan melanun. Apakah mereka kita lupakan?

Untuk menjawab perkara ini, kita wajib merujuk kembali kepada ciri dan pola Malaysia sebagai negara Dunia Ketiga.

Dalam negara Dunia Ketiga semua lembaga daulah, semua jentera daulah terpusat bawah kuasa pemimpin ulung. Di Malaysia ini semua kuasa terpusat kepada Najib.

Najib ialah presiden kepada United Malays National Organisation. Najib ialah pengerusi BN dan kaum kerabatnya. Najib ialah pemegang kunci peti besi ekonomi. Najib juga pemegang kunci penjara Sosma. Paling terbaru Najib juga pemegang kunci Majlis Keselamatan Negara.

Ini adalah ciri dan pola politik negara Dunia Ketiga. Pemusatan kuasa itu cukup jelas. Kuasa politik, kuasa ekonomi dan kuasa polis dan kuasa tentera semuanya terpusat pada sosok yang bernama Najib. Ini ciri dan pola yang berlaku di Indonesia, di Filipina, di Iraq, di Kazakhtan dan di negara sejenis dengannya.

Demokrasi yang diamalkan di Malaysia hanyalah prosedur demokrasi. Demokrasi bentuk ini menuliskan dengan jelas lagi cantik dalam perlembagaan akan konsep pemisahan kuasa.

Dalam perlembagaan dengan jelas dilakar kuasa pembuat undang-undang dipisahkan dari kuasa si penguat kuasa undang-undang. Tapi dalam negara Dunia Ketiga semua ini hanya skrip sandiwara. Dalam negara Dunia Ketiga tidak wujud lembaga semak dan imbang.

Di Malaysia ini semuanya disemak oleh Najib dan diimbang oleh Rosmah.

Contoh terbaik untuk membuktikan kesahihan hujah saya ini ialah dengan melihat tindak-tanduk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lembaga ini sedang ke hulu ke hilir tangkap menangkap. Tetapi kes rasuah yang paling besar di bumi Allah ini sekarang - kes Najib dan duit 1MDB - tidak akan diusik oleh SPRM. Mustahil SPRM akan melawan tauke.

Dalam negara Dunia Ketiga lembaga seperti SPRM atau SPR atau apa sahaja lembaga daulah semuanya akan tunduk akur menyembah pemimpin ulung negara.

Sosok yang bernama Najib ini adalah wilayah pemusatan kuasa. Justeru jika dinyahkan Najib maka segala lembaga, segala sekutu, segala macai, segala kroni, segala jentera daulah, segala aparacik akan runtuh terbarai.

Saya amat yakin jika tiada pemusatan kuasa, akan muncul pegawai polis yang berani bersuara menyatakan siapa memberi arahan membunuh Altantuya. Saya juga yakin akan muncul bukti tentang arahan untuk membunuh Kevin Morais.

Saya juga yakin mungkin akan ada anggota polis yang akan muncul dengan fakta untuk menunjukkan hubungan intim bekas ketua polis dengan penjenayah.

Jika Najib dinyahkan...

Saya juga yakin dalam masa beberapa bulan sesudah Najib dinyahkan maka Jho Low akan ditangkap oleh Interpol. Mungkin beberapa hari sesudah Jho Low ditangkap maka Riza Aziz pula akan dihantar ke Los Angles untuk dibicarakan.

Sebaik sahaja Najib berjaya dinyahkan maka akan muncul tuan-tuan hakim dan peguam yang mengakui bahawa kes liwat Anwar Ibrahim adalah satu penipuan. Sebaik sahaja Najib dinyahkan seorang peguam tersohor akan cabut lari - gulung tikar bantal pindah ke India.

Sebaik sahaja Najib dinyahkan daripada Putrajaya, rakyat Malaysia akan dapat melihat rantai intan berlian merah jambu milik “isteri Malaysian Official 1” yang didakwa dibeli dengan duit 1MDB, seperti dakwaan DOJ.

Sebaik saja Najib dinyahkan satu dunia, wartawan satu dunia akan datang untuk mula mengira berapa banyak koleksi beg Birkin isteri pemimpin negara.

Ini politik negara Dunia Ketiga. Semuanya tertumpu kepada sosok presiden United Malays National Organisation. Semua bergantung kepada sosok Najib. Najib ialah tembok yang perlu dipecahkan dan dinyahkan.

Jika Najib dinyahkan maka semua perjanjian dengan China Merah akan dilupuskan. Apabila Najib dinyahkan maka Tanah Melayu akan diselamatkan dari menjadi tanah jajahan China Merah. Tanah Melayu akan bebas dari dinjak-injak dan dibuli oleh China Merah.

Justeru dalam politik negara Dunia Ketiga yang perlu kita lawan hanya satu. Hanya satu sosok, iaitu Najib. Lalu timbul persoalan bagaimana cara terbaik untuk kita nyahkan Najib? Tunggu minggu hadapan. END


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS