Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Satu Malaysia sedang menunggu Najib mengumumkan pembubaran parlimen. Suasana pilihan raya umum ke-14 (PRU14) telah sampai. Umum mengetahui bahawa Najib wajib mengadakan pilihan raya pada tahun ini atau selewat-lewatnya hingga ke pertengahan tahun hadapan.

Malaysia kita ini adalah negara Dunia Ketiga. Malaysia diheboh-hebohkan sebagai negara contoh yang mengamalkan Demokrasi Raja Berperlembagaan.

Saya tidak menafikan tentang demokrasi Parlimen Beraja Malaysia. Tetapi saya mahu memberi takrifan yang lebih tepat dan betul. Takrifan saya hanya menyifatkan Malaysia ini sebenarnya hanyalah negara pengamal prosedur demokrasi.

Takrifan saya ini memberi makna Malaysia memiliki tanda-tanda dan lembaga demokrasi. Malaysia ada Perlembagaan Beraja, ada gedung parlimen, ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan ada wakil rakyat.

Warga Malaysia boleh mengundi lima tahun sekali untuk memilih wakil mereka pergi ke parlimen. Semua ini adalah lembaga, tanda-tanda dan prosedur demokrasi.

Sebenarnya prosedur demokrasi mengambil tempat di semua negara Dunia Ketiga bukan hanya di Malaysia. Ia berlaku di Myamar atau Indonesia atau Sri Langka atau Kenya di Afrika atau Colombia di Amerika Latin.

Dalam negara Dunia Ketiga yang mengamalkan prosedur demokrasi, yang wujud hanyalah prosedur. Intipati semangat dan nilai hakiki demokrasi tidak wujud. Atau lebih tepat bukan demokrasi yang wujud tapi hampeh demokrasi yang wujud.

Manifestasi demokrasi

Bagaimana pula demokrasi di negara maju saperti di Eropah, atau di Amerika Utara? Bukankah di Eropah ada pilihan raya? Apakah suara hati warga Eropah betul-betul bebas untuk ditakrif sebagai demokratik?

Pada saat ini - dan perkembagan terakhir ini membuatkan saya berani mengatakan bahawa di Eropah juga demokrasi sedang menuju ke jalan gagal.

Sayugia diingatkan bahawa wujud pilihan raya dan adanya pemilihan wakil melalui undian bukan ertinya demokratik. Pengundian atau membuang undi itu hanya sebahagian daripada proses demokrasi.

Saya memiliki pandangan bahawa pilihan raya itu bukan bererti demokrasi. Atau jika ada pilihan raya ertinya ada demokrasi. Pilihan raya dan hak mengundi hanya manifestasi dalam satu proses demokrasi untuk memilih perwakilan.

Ada banyak cara yang demokratik yang boleh dijadikan lembaga untuk memilih perwakilan. Angkat tangan pun boleh, berbincang kemudian melantik wakil pun boleh - seperti pemilihan ketua adat, atau ketua kampung.

Hakikatnya demokrasi secara kasar difahami sebagai menghormati suara ramai. Ertinya suara ramailah yang akan menjadi nakhoda untuk mengemudikan arah syarikat, arah jemaah atau arah negara.

Apa yang sedang berlaku?

Saya sedang melihat bagaimana suara ramai makin dipinggir malah diinjak-injak.

Justeru pada ketika dan saat ini saya memperkukukan lagi pandangan bahawa mengundi itu jika boleh mengubah apa-apa maka mengundi itu akan diharamkan. Pilihan raya jika boleh mengubah apa-apa maka pilihan raya akan diharamkan.

Apakah kata-kata dan pandangan saya ini betul? Apakah ini pandangan yang rasional dan masuk akal? Mana nas, mana surah dan hadis yang boleh menyokong pandangan saya ini?

Untuk memperkuatkan dan mensahihkan pandangan ini maka saya akan membawa pembaca ke politik terkini. Situasi yang berlaku hari ini juga akan dibantu oleh babak-babak sejarah yang lalu untuk membuktikan bahawa jika undi boleh mengubah apa-apa maka mengundi itu akan diharamkan.

Pungutan suara Catalan

Surah Catalan - Sepanyol adalah negara persekutuan sama saperti Malaysia - Raja Berperlembagaan. Ada 17 wilayah autonomi dalam Sepanyol. Ada wilayah Basque, Catalan, Galicia selain dari Sepanyol. Mereka semua memiliki bahasa dan budaya yang berbeza.

Pada 1 Oktober 2017 yang lalu warga Catalan - salah satu wilayah Sepanyol - telah mengadakan pungutan suara. Warga Catalan - ibu kotanya adalah Barcelona - mahu berpisah daripada Sepanyol.

Ertinya rakyat Catalan mahu bebas merdeka. Jalan yang sopan dan paling demokratik ialah membuat pungutan suara.

Niat untuk berpisah daripada Sepanyol juga wujud di wilayah Basque. Tahun-tahun 70’an dahulu hingga akhir 90’an kita lihat gerila Basque ETA (Euskadi Tak Askatasuna) berjuang menuntut merdeka.

Hari ini telah ada penjanjian damai antara ETA dengan kerajaan Sepanyol. Basque masih belum merdeka. Hakikatnya cara warga Catalan menuntut merdeka ialah dengan pungutan suara - bukan dengan serangan gerila.

Sebelum pungutan suara dilakukan perdana menteri Sepanyol telah melarang pungutan suara ini dijalankan. Kuasa politik dari Madrid telah menentang apa saja bentuk pungutan suara.

Pada minggu sebelum mengundi polis dan soldadu telah dihatar untuk ‘membedil’ tempat-tempat membuang undi. Kawasan dan bilik mengundi telah dikepong soldadu Sepanyol.

Tetapi warga Catalan tetap keluar mengundi. Seramai 2.3 juta pengundi telah datang mengundi. Ini adalah 97% dari jumlah pengundi Catalan. Seramai 177,547 atau 7.99% telah menentang Catalan untuk merdeka.

Sebanyak 2,044,038 atau 92.01% pula telah mengundi untuk kemerdekaan Catalan. Ini fakta bukan propaganda anti-pilihan raya daripada Hishamuddin Rais.

Angka 92.01% ini adalah suara majoriti. Seharusnya dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi - sistem suara ramai - maka minggu lalu Catalan telah merdeka.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu seharusnya telah menerima masuk sebuah lagi negara baru. Tidak. Ini tidak berlaku. Catalan masih lagi menjadi tanah jajahan Sepanyol.

Keadaan masih bergolak. Raja Sepanyol mula masuk campur. Undang-undang darurat mungkin dikenakan ke atas Catalan. Malah Ketua Menteri Catalan dan para pemimpin pro-Merdeka mungkin ditangkap.

Inilah surah pertama dari saya untuk membuktikan jika undi boleh mengubah apa-apa maka undi akan diharamkan.

Brexit di Eropah

Surah Brexit - Mari kita beralih ke United Kingdom. Negara ini dikatakan telah mengamalkan 700 tahun demokrasi berparlimen. United Kingdom negara Raja Berperlembagan. Negara inilah yang telah melakar Perlembagaan Tanah Melayu kita.

Pada 23 Jun 2016 yang lalu United Kingdom (UK) telah mengadakan pungut suara. Agendanya - UK keluar dari Kesatuan Eropah. Warga UK diminta memilih untuk terus bersama Kesatuan Eropah dibawah Brussels atau keluar bersendirian.

Sejumlah 72.02 % warga UK telah turun membuat pilihan. Seramai 51.9% telah membuat keputusan membawa UK keluar dari Kesatuan Eropah. Nampaknya cukup jelas bahawa warga UK tidak mahu dipimpin oleh Brussel. Rakyat UK mahu hak kedaulatan sendiri.

UK telah diberi masa untuk mengurus perjalanan keluar. Pada 29 Mac 2019 - mengikut tarikh yang telah dipersetujui - maka UK dan secara rasmi bukan lagi ahli Kesatuan Eropah.

Betul ini akan berlaku? Apakah suara orang ramai ini akan dikotakan?

Saya kurang yakin suara ramai warga UK ini akan dihormati. Saya telah mula terbaca bagaimana elit politik dan para peguam secara gelap dengan berahsia telah mula mencari jalan untuk memandulkan niat dan cita-cita 51% suara majori warga UK.

Komplot dan cabal-cabal yang pro Kesatuan Eropah sedang giat berusaha melalui undang-undang serta melalui hukum-hakam untuk membatalkan Brexit.

Elit politik, elit ekonomi dan kelas pemerintah UK tidak sekasar Madrid yang melarang pungutan suara dilakukan. Kelas pemerintah UK tidak menggunakan soldadu. Kelas pemerentah UK lebih licik, lebih berpengalaman dan tahu akibat apabila rakyat bangun memberontak.

Jangan sesekali kita lupakan Raja Charles Pertama telah dipenggal kepalanya pada 30 Januari 1649 sebelum kepala Louis ke-14 dipenggal pada 21 Januari 1793. Justeru kelas pemerintah di UK - kuasa kolonial terakhir - telah mengumpul pengalaman dan tahu cara untuk mengurus kuasa dalam negara dan juga di tanah jajahan.

PRU14 di Malaysia

Jadi apa yang dapat kita fahami dari Surah Catalan dan Surah Brexit?

Dua surah ini membuktikan bahawa jika undi dapat mengubah apa-apa maka undi itu akan diharamkan. Lalu timbul persoalan - bagaimana dengan pilihan raya yang sering dijalankan di UK dan di Sepanyol?

Jawabnya cukup senang. Pilihan raya yang dijalankan di UK dan di Sepanyol itu tidak mengubah apa-apa. Pilihan raya itu tidak mengubah sistem yang sedia wujud. Yang berubah hanya parti politik mana yang akan menguruskan sistem yang sama.

Bank of England masih Bank of England. Kaum kapitalis masih membuat untung. Ratu Elizebeth masih menjadi Raja United Kingdom. Raja Filipe V1 masih lagi raja Sepanyol. Elit politik, kaum feudal dan kelas pemerintah masih saperti sediakala. Tidak ada yang berubah.

Di UK ada Parti Buruh dan Parti Konservatif. Di Sepanyol pula ada Parti Popular dan Parti Buruh. Setiap kali ada pilihan raya, rakyat di UK atau di Sepanyol dibenarkan memilih Coca Cola atau Pepsi Cola. Pilih mana sahaja parti kerana tidak ada apa-apa perubahan hakiki. Sistem lama - sistem ekonomi kapitalis tetap selamat.

Pilihan raya jenis ini, mengundi jenis ini tidak akan dihalang - malah digalakkan. Ini bertujuan untuk memberi ilusi kepada orang ramai bahawa mereka telah membuat pilihan. Memilih Coca Cola atau Pepsi Cola dan merayakan pilihan raya.

Tetapi kali ini ada perbezaan. Warga Catalan mahu merdeka - mahu berpisah daripada Sepanyol. Warga UK mahu UK keluar daripada Kesatuan Eropah - berpisah daripada Brussels. Pemilihan dan undi yang seperti ini akan diharamkan. Akan ditentang. Inilah yang sedang berlaku di Catalan dan di UK.

Undi yang membawa satu perubahan ini pasti akan diharamkan. Pemilihan yang menghasilakan perubahan akan dibatalkan. Elit politik dan elit ekonomi dan kelas pemerintah tidak akan membenarkan perubahan berlaku.

Perubahan yang akan menjejaskan kepentingan ekonomi mereka akan ditentang. Akan diharamkan.

Maka persoalan timbul untuk kita warga Malaysia yang akan berhadapan dengan PRU14. Dalam pilihan raya ini nanti rakyat Malaysia akan dibenarkan memilih antara dua kumpulan parti politik - Barisan Nasional atau Pakatan Harapan.

Apakah kita rakyat Malaysia akan dibenarkan untuk membuat pilihan ini? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS