Saya bekerja sebagai wartawan Utusan Melayu (M) Berhad mulai tahun 2001 hingga 2009, meninggalkan syarikat itu pun kerana 'dihalau' buang kerja dan tak mungkin meletak jawatan dengan sendirinya.
Tidak dinafikan, saya menimba banyak pengalaman sebagai wartawan di syarikat tersebut selain memulakan kehidupan berkerjaya dalam erti kata yang sebenar bersama rakan-rakan Utusan di seluruh negara.
Semuanya menjadi pengakhiran setelah saya mengepalai Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) cawangan Utusan Melayu yang akhirnya menyebabkan saya dibuang kerja atas 'kesalahan' memfitnah syarikat dalam isu pembelian tiang gol RM360,000.
Saya berani katakan bahawa tak mungkin saya meninggalkan syarikat itu jika tidak kerana dibuang kerja pada 2009 kerana Utusan syarikat yang 'maha' hebat. Kenapa saya kata Utusan hebat?
Masalah kewangan Utusan
Saya mulakan jawapan ini dengan berkongsi rasa 'kagum' dengan Utusan setelah menjenguk laporan tahunan syarikat itu tahun 2016, baru-baru ini dan mendapati syarikat itu mencatatkan kerugian sebelum cukai selama lima tahun berturut-turut.
Dalam laporan tersebut, ia memetik Utusan rugi lebih RM16 juta pada tahun 2012, diikuti rugi lebih RM20 juta tahun 2013, terus rugi RM83.65 juta pada 2014, rugi lagi lebih RM16 juta pada 2015 dan meneruskan trend kerugian tahun lalu dengan RM66.7 juta.
Di sebalik terus mengalami kerugian tersebut, Utusan terus beroperasi dengan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo dan Kosmo Ahad selain pelbagai majalah antaranya Wanita, URTV, Harmoni, Al Islam, Mastika, Saji dan Infiniti.
Walaupun jumlah edaran beberapa akhbar dan majalah keluarannya semakin hari semakin menurun, Utusan terus gah dengan jenamanya yang berusia berdekad lamanya serta sering dilabel dengan pro-kerajaan semata-mata.
Dengan menerbitkan produk berkenaan, ia menjadi periuk nasi kepada ribuan tenaga kerja syarikat itu yang diletakkan di seluruh pelusuk negara dalam jabatan pengarang, pengurusan dan pengilangan termasuk Sabah dan Sarawak walaupun bukan semua adalah propemerintah.
Utusan terus gah
Jadi, Utusan itu hebat kerana, walaupun mencatatkan kerugian terkumpul lebih RM200 juta dalam tempoh lima tahun tetapi masih mampu beroperasi dengan kapasiti maksima tanpa sehari pun, akhbar-akhbar atau majalah keluarannya tidak berada di pasaran.
Utusan juga hebat kerana walaupun mencatatkan kerugian terkumpul lebih RM200 juta tetapi tidak pernah membuang pekerja secara beramai-ramai mahupun menawarkan VSS atau skim pemberhentian sukarela bagi mengurangkan kos operasi.
Utusan lagi hebat kerana walaupun mencatatkan kerugian terkumpul lebih RM200 juta tetapi mampu mendepani kos guaman dan membayar denda ratusan ribu ringgit apabila kes fitnah membabitkan syarikat itu kalah di mahkamah.
Terbaru, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi Utusan tempoh 48 jam untuk memohon maaf berhubung artikel muka depan akhbar itu yang bertajuk 'Azmin benar pesta arak'.
Dalam hal ini, saya cukup yakin Utusan tidak akan meminta maaf dan sanggup berdepan Azmin di mahkamah walaupun syarikat itu mencatatkan kerugian terkumpul RM200 juta sejak lima tahun lalu.
Utusan juga terus gah dan mampu membayar gaji semua kakitangannya tepat masa pada setiap bulan (hanya sekali, dua sahaja yang terlewat sebelum ini) walaupun berhabis duit untuk membayar peguam dan denda yang dikenakan.
Timbulnya persoalan
Justeru, ramai yang sama seperti saya, menyimpulkan bahawa Utusan itu hebat kerana mampu terus beroperasi pada kapasiti maksima dan masih terus mempunyai perancangan untuk mengambil pekerja baru.
Tidak kurang juga di kalangan mereka yang bertanya kepada saya, bagaimana Utusan mampu mencapai tahap begitu dalam aktiviti perniagaan walaupun boleh dikatakan tenat dari segi kewangan.
Mereka ini yang rata-ratanya golongan usahawan tertanya-tanya bagaimana Utusan mampu untuk melangsaikan kos bulanan terutama gaji para pekerja sedangkan jumlah edaran akhbar tersebut semakin hari makin berkurangan.
Mereka tertanya-tanya, apakah Utusan sebagai sebuah syarikat senaraian awam ada menerima sumber kewangan lain yang tidak dilaporkan kepada Bursa Malaysia sehingga menjadikan syarikat itu terus gah beroperasi.
Atau soalan yang lebih tepat, siapa atau apa yang 'memayungi' Utusan dan atas tujuan apa menyalurkan dana jutaan ringgit sebulan walaupun atas kertas Utusan dianggap kronik dan gagal dalam perniagaan.
Mungkinkah Utusan masih menjadi pembentuk pendapat umum atau shaping people opinion sehingga pihak yang memayungi syarikat media tersebut mendapat manfaat daripada berita-berita yang disiarkan oleh akhbar atau majalahnya.
Apapun jawapan atau realitinya, hanya Allah Taala sahaja yang mengetahui dan merencanakan perjalanan ini sehingga Utusan terus gah di persada media negara walaupun terus rugi selama lima tahun dan dihambat persaingan akhbar dan portal media lain.
AMRAN AHMAD NOR adalah bekas pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas presiden Cuepacs dan naib pengerusi DAP.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.