Paling Popular
Terkini

Sewaktu berada dalam Pas dan menjadi salah seorang setiausaha allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz, saya kerap kali digesa rakan-rakan seusrah untuk membukukan jalan fikiran beliau.

Ia seputar pelbagai lontaran dalam usrah tertutup bulanan yang dihadiri puluhan pimpinan Islam terpilih dari seluruh Negeri.

Saya keberatan - bahkan segan sebetulnya - untuk menyambut cadangan itu memandangkan masih ada ustaz-ustaz kanan yang saya kira lebih petah dan lebih prolifik untuk mencatit.

Namun, setelah ditelek, diperhati reaksi dan kesungguhan mereka yang jelas tidak nampak keghairahan untuk memikulnya, untuk kali itu, saya menggagahkan diri mencatat nota-nota pendek daripada rumusan kata-kata Tok Guru.

Inilah yang saya istilahkan sebagai sikap allahyarham menyentuh pejuang mukmin. Ia seakan bersifat sebuah nota yang tertinggal.

Bunyinya kira-kira begini:
Bukan saya tidak kisah kepada perjuangan PAS, tetapi saya lebih kasih kepada perjuangan Islam. Kita bukan pejuang PAS di atas sifat PAS sebagai sebuah parti, tetapi kita adalah pejuang Islam. Kita berjuang dalam PAS kerana unsur Islam yang dibawanya.

Selagi kita berjuang untuk Islam, kita akan terus kekal kerana Islam itu tetap kekal hingga sampai ke hari kiamat. Dalam semangat itulah, saya akan membuat perubahan dalam pimpinan parti pada pagi esok (Sabtu).

Dalam semangat itulah juga saya mengharapkan penerimaan, wala' dan sokongan. Elakkan prasangka dan salah sangka. Kita perlu melangkah ke hadapan. Hentikan atau kurangkan cakap-cakap yang tiada faedah. Tumpukan perhatian untuk bermuhasabah, berzikir, berfikir dan bertahannuth.

Berkhidmatlah untuk menampilkan wajah Islam yang mesra dan sejahtera mulai sekarang kerana sememangnya itulah Islam. Jangan leka untuk menjejaki gerak-geri musuh baik dari dalam mahu pun dari luar. Musuh boleh datang dari nafsu jahat di dalam diri kita sendiri.

Musuh juga boleh muncul daripada golongan munafik yang mungkin boleh terdiri daripada kalangan kita. Kita perlu mengatasi dan menangani musuh-musuh dalaman ini sementara menghadapi musuh Islam sebenar yang telah sama-sama kita kenal.

Rekaan nafsu semata-mata

Kita perlu masuk ke dalam Islam secara kaafah (sepenuhnya) kerana Allah SWT telah berfirman dengan maksud: Hai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”(al-Baqarah : 208)."

Terdapat hanya dua perkara di hadapan kita sekarang. Sama ada kita menjadi orang beriman yang memasuki dan menerima Islam secara keseluruhan dengan menjadi mukmin sebenar, atau menurut separuh-separuh kerana mengikuti jejak langkah syaitan.

Pilihlah sama ada kita mahu menurut Allah keseluruhan atau mengambilnya separuh-separuh yang sudah dikira menurut syaitan. Dalam ruh ayat ini, tidak menerima Islam secara keseluruhan itu pun sudah dikira menolak Islam dan mengambil syaitan.

Kita perlu ingat pula bahawa syaitan itu boleh terdiri dari kalangan syaitan asli atau juga syaitan dalam bentuk pemikiran yang karut-marut dengan segala macam pengaruh dari isme buatan manusia. Di sini, samada kita menurut kehendak Allah atau menurut kehendak syaitan.

Kehendak ketiga - atau yang disebut juga sebagai atas pagar - itu tidak ada. Itu rekaan nafsu semata-mata.

Janganlah kita sekali-kali menyimpang dari jalan ini kerana Allah SWT telah memberi amaran dengan firman bermaksud: Tetapi jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Perkasa (berkuasa untuk bertindak) lagi Maha Bijaksana (untuk memberi nasihat). “(al-Baqarah : 209).

Anggaplah ujian yang kita sedang lalui pada musim ini dan akan datang sebagai kelaziman bagi orang beriman. Ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasul (sendiri pun) dan orang-orang beriman bersamanya: “Bilakah datang pertolongan Allah?” Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (al-Baqarah : 214).

Mari kita terus berkorban kerana Allah SWT telah berfirman dengan maksud: Dan antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya.” (al-Baqarah : 207).

Kita tidak boleh lari dari terus berkorban demi mencari keredaan Allah. Perbetulkanlah hati. Perbetulkan niat. Perbetulkan amal. Beristiqamahlah. 'Pulau itu' milik kita, insya-Allah.

Menyentuh tentang kejayaan, pejuang Islam telah disediakan dengan pelbagai unsur kekuatan. Jika kekuatan itu datang daripada kebendaan, telah lama Rasulullah SAW memilih tawaran harta benda Abu Jahal untuk membeli undi dan sokongan.

Begitulah juga dengan pangkat dan kedudukan. Hakikat kita miskin dan ditekan oleh pihak yang lebih berkuasa dan berkedudukan menandakan yang kita menyerupai ciri-ciri pejuang Islam yang sebenar.

Mari kita semak, siapa yang mempunyai kuasa dan menyalahgunakan kuasa? Siapa yang kaya dan menyalahgunakan kekayaan dan wang rakyat untuk membeli undi serta sokongan?

Jika jawapannya tidak berada “di dalam kita”, bahkan amat nyata berada di dalam parti yang melawan kita, maka kita tidak perlu bimbang. Pihak yang bergantung kepada duit, media, kuasa, akta dan auta sesungguhnya berada d pihak yang lemah.

Kita kuat. Dia yang lemah. Cuma kita gagal untuk menyusun dan mengadunkan kekuatan kita. Ini soal masa dan ramuan yang tepat. Masanya sahaja belum tiba untuk kita menumbangkan mereka.

Di sini, saya mahu mengajak semua pejuang Islam, termasuk saya untuk menyemak kekurangan diri. Sudahkah kita menggunakan segala kekuatan dan “senjata orang mukmin” yang disediakan oleh Allah SWT?

Sudahkah kita memiliki syarat-syarat yang cukup untuk dianugerahkan kemenangan? Mungkinkah kemenangan tipis kita di Kelantan ini adalah satu bentuk “teguran dari langit” untuk mengejutkan sesiapa jua yang leka?

Dengan kelekaan itulah barangkali, kemenangan besar kita masih tertangguh. Kemenangannya masih digantung di langit awan.

Izinkan saya mengajak semua orang untuk menyemak diri dan orang-orang yang berada di sekeliling diri. Wallahua’lam.”

Ringkasnya taqwa

Itu adalah petikan yang saya notakan dari matan pemikiran Tok Guru sewaktu beliau memimpin usrah Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan pada 12 Safar 1425 bersamaan 2 April 2004 di Dewan Zulkifli, Kota Bharu, Kelantan.

Catatan ini kemudiannya disemak dan disesuaikan sendiri oleh beliau pada 4 April 2004 yakni dua hari kemudian.

Mungkin antara banyak persoalan yang diangkat oleh allahyarham, pertanyaaan berupa pilihan yang berbunyi sama ada “ingin menerima Islam secara keseluruhan dengan menjadi mukmin sebenar atau turut separuh-separuh kerana mengikuti jejak langkah syaitan” menjadi perkara yang paling teras.

Jika diwakili oleh satu sahaja perkataan maka perkataan itu ialah taqwa. Dengan taqwalah hati seseorang mukmin itu akan duduk dalam keadaan yang selalu beringat serta berjaga-jaga saat mematuhi segala hukum baik ia bersifat suruhan atau larangan.

Soalan latih tubi:
Setelah merenung tinggalan kata-kata yang berusia 13 tahun ini; ditemukan pula dengan apa yang sedang berlaku sekarang ke atas PAS, rata-rata orang seakan-akan terasa yang mereka tak semena-mena tercampak dari sebuah bahtera yang dahulunya mereka yakin selamat mengenderainya.

Dulu, mereka terasa terpimpin dan sedang berada di tangan kapten kapal yang jujur dan nekad mahu ke pulau. Perihal yakin dan selesanya mereka berada di dalam kapal yang selamat itu sehinggakan mereka boleh tidur dengan nyenyak.

Sekarang kenapa tidak demikian?

Mungkinkah PAS sudah kekeliruan memandang pulau tempat tuju dan sudah tidak mengenali siapa seteru asal mereka? Di atas motto ciptaan baru politik matang dan politik sejahtera, mereka sudah tidak sensitif bahkan sudah enggan mengenali siapa “parti yang melawan kita”, seperti yang pernah diistilahkan oleh almarhum bekas mursyidul amnya.

Tajam sungguh firasat Tok Guru sehinggakan sejak 13 tahun lampau pun, beliau telah melontarkan keraguan ini yakni, “sudahkah kita memiliki syarat-syarat yang cukup untuk dianugerahkan kemenangan?”

Tahun 2017 menjelang pilihan raya umum ke-14, dengan segala isu yang membebankan parti lawan, PAS sepatutnya tiada masalah menunggang badai yang sedang melanda. Lalu, berpegang kepada motto asal “Pas for all”, mereka sepatutnya boleh mengungguli kudrat menjadi teraju ombak yang mampu mengepalai.

HARAPAN adalah kuda gagah di depan tangganya, manakala DAP, PKR dan AMANAH boleh dijadkani bala tenteranya.

Kegagalan Pas ialah terkeliru membaca rentak seteru lalu dikelirukan lagi strategi yang memperagakan 'akidah' cash is king sebagai ulu kerisnya.

Itu cukup mengesahkan lagi telahan Tok Guru seterusnya iaitu: “Kita gagal untuk menyusun dan mengadunkan kekuatan kita. Ini soal masa dan ramuan yang tepat (walau pun) kita memiliki syarat-syarat yang cukup untuk dianugerahkan kemenangan.”

Sering dipermain budak-budak

Menyentuh tentang kemenangan yang ditangguh dan perangkap musuh yang menabur dedak sebagai habuan serba guna, Tok Guru berani bertegas yang “pejuang Islam telah disediakan dengan pelbagai unsur kekuatan. Jika kekuatan itu datang dari kebendaan, telah lama Rasulullah SAW memilih tawaran harta benda Abu Jahal untuk membeli undi dan sokongan. Begitulah juga dengan pangkat dan kedudukan.”

Maka, tidak hairanlah gerakan Islam yang berada di hujung ekor serban allahyarham sentiasa berhiaskan quwwah dan ‘izzah. Dalam keadaan tunduk dan kelihatan seakan lemah secara fizikal sekalipun, saf pejuang cukup mendapat perhatian; bahkan sering diberi laluan justeru disegani.

Tidak kedengaran sedikit pun tohmah tentang sogokan dan penerimaan RM90 juta misalnya daripada presiden parti lawan sehingga mulai dilihat lalai berkawan.

Orang tidak terlintas sedikitpun untuk mempercayainya jika tuduhan yang sebegini cuba dijerut ke leher pemimpin PAS pada era Nik Abdul Aziz.

Ini yang dikatakan serjana sebagai perkara yang menyentuh keyakinan massa, soal reputasi dan soal integriti.

Dalam status Facebook dan pelbagai perkumpulan WhatsApp, soalan yang sama sering dijadikan viral: “Adakah PAS hari ini sama dengan PAS dahulu?”

Sukar untuk PAS mempertahankan yang mereka kekal beristiqamah dari dahulu hingga kini apabila mereka yang sudah kelihatan terlalu cair dilunaki Umno, terlalu keras menyikapi bukan Islam dan mulai konservatif dengan faham Melayu yang ada kalanya sikap kiasunya boleh mengalahkan para samseng ultramelayu!

Dengan sikap yang sukar diduga dan payah untuk diajak berunding, PAS terkini ialah PAS yang cuma percaya kepada lidah pengarang Harakah - akhbar parti yang dikarangnya sendiri. Sikap “sendiri masak dan sendiri puji ” sering dipermainkan budak-budak di mana-mana.

Apa boleh buat, nasiblah. Kebetulan, anak-anak muda ini akan menjadi pengundi majoriti menjelang PRU ke-14 tidak lama lagi.

Pernah saya berborak tentang warna kegemaran dengan anak-anak muda.

Kebanyakan mereka berkata: "Jika saya ke Salim Aziz dan abang beri duit untuk saya beli kain, saya akan tetap elakkan dua warna, iaitu hijau dan biru. Bang, saya malu.”


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam dunia seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS