Pada 7 April lalu dunia gempar dengan berita tentera Amerika telah melancarkan serangan roket berpandu terhadap Syria. Presiden Donald Trump telah mengarahkan Tentera Laut Amerika dari Laut Tengah untuk melancarkan tembakan peluru berpandu.
Serangan Amerika ini dilakukan kerana dilaporkan Presiden Bashar al-Assad telah menggunakan senjata kimia untuk menyerang musuh politiknya.
Penggunaan senjata kimia oleh Bashar - walaupun tidak ada bukti yang kukuh - telah dijadikan alasan oleh Trump untuk membuktikan kejantanan Amerika. Menurut Trump rejim Bashar telah melintasi ‘garis merah’.
Untuk memahami dengan tuntas apa yang sedang berlaku dalam dunia hari ini, kita semua memerlukan pencerahan. Tanpa pencerahan mustahil kita dapat memahami babak-babak yang sedang berjalan di hadapan mata kita.
Babak-babak ini memiliki latar dan sejarah. Ia wujud sebab musabab. Dalam politik - apa sahaja yang berlaku - semuanya diatur dan disusun. Dalam politik tidak ada perkara berlaku secara tak sengaja. Atau berlaku tanpa dirancang. Atau berlaku dengan sendiri.
Justeru apabila Trump melancarkan serangan peluru berpandu terhadap Syria, semuanya memang telah dirancang. Semuanya telah diatur. Tentera laut Amerika hanya menerima perintah daripada Panglima Agong Tentera Amerika - Donald Trump.
Perintah daripada Trump ini juga ada latar dan ada sejarah. Justeru untuk kita memahami apa yang sedang berlaku kita juga wajib mengetahui latar dan sejarah untuk memahami kenapa Trump menyerang Syria.
Susuk halimunan daulah terpendam
Tentera darat, tentera laut atau tentera udara Amerika dipanglimakan oleh Presiden Amerika. Sebenarnya di belakang panglima ini ada lagi kuasa. Kuasa yang lebih berkuasa. Kuasa inilah yang mewujudkan dasar. Kuasa inilah yang melakar garis politik Amerika. Kuasa ini memiliki kuasa yang lebih daripada yang berkuasa. Kuasa ini bergerak di belakang tabir.
Inilah kuasa yang dikenali sebagai deep state atau daulah terpendam. Untuk memahami dunia politik kontemperori adalah wajib untuk kita semua memahami apa itu daulah terpendam.
Kita dapat melihat kuasa daulah terbuka dan memahami dari mana ianya muncul. Kita melihat susuk perdana menteri, para menteri, ketua menteri atau para yang berhormat. Mereka ini diundi untuk mendapat kuasa. Mereka membuat undang-undang dan akta melalui parlimen.
Hukum-hakam yang mereka buat di parlimen akan dijalankan oleh jentera daulah.
Polis, askar, mahkamah, penjawat awam - ini adalah contoh jentera daulah. Kita tahu siapa jadi kepala dan siapa jadi ekor. Kita mengenali mereka semua. Mereka boleh dipakai, boleh ditemu bual oleh media dan mereka boleh ditamatkan khidmatnya.
Ini berbeza dengan daulah terpendam. Kita tidak mengenali siapa mereka. Susuk-susuk daulah terpendam semua halimunan. Siapa mereka tidak diketahui. Lebih tepat daulah terpedam ini wujud seperti konsep "wujud tapi tidak dapat dilihat".
Daulah terpendam bersangkut rapat malah lahir daripada budaya rahsia. Ianya wujud kerana menjalankan rahsia kerajaan. Ianya bersangkutan dengan risikan, intel, siasatan sulit dan kerja-kerja politik yang diluar mata kasar.
Hakikatnya semua kerajaan memiliki deep state. Daulah terpendam ini adalah cabang pentabiran negara yang wujud tapi halimunan. Ianya bebas daripada badan eksekutif.
Dengan bajet yang tidak pernah diketahui wujudiah lembaga ini tidak diketahui atau diakui oleh parlimen atau kongres. Malah tidak diketahui siapa kepala dan siapa ekor.
Daripada tugasan awal untuk risikan dan kerja-kerja sulit ‘bawah tanah’ kini di Amerika daulah terpendam telah ikat-berikat dengan kepentingan bank, gedung perniagaan dan industri senjata.
Hakikatnya daulah terpendam menjadi badan/lembaga yang menjalankan dasar negara dari belakang tabir.
JFK mangsa daulah terpendam
Kali pertama ‘perkara pengaruh’ daulah terpendam ini dilaporkan secara terbuka ialah pada 1961. Dalam ucapan akhirnya kepada rakyat sebelum berundur, Presiden Einshenhower telah memberi ingatan kepada rakyat Amerika tentang kuasa gedung senjata - military industrial complex.
Menurut presiden itu pengaruh industri senjata semakin meluas dan mempengaruhi arus politik dan pentabiran Amerika.
Presiden ke-34 Amerika ini tahu dengan jelas tentang amaran beliau kepada rakyat Amerika. Presiden ini adalah bekas seorang jeneral sebelum menceburi politik.
Peranan daulah terpendam sekali lagi timbul dalam trajedi pembunuhan JF Kennedy pada 1963. Pelbagai teori muncul. Yang paling afdal hingga ke hari ini ialah bagaimana daulah terpendam telah menamatkan JFK kerana Presiden ini enggan menyerang Cuba - musuh Amerika.
Peranan daulah terpendam juga muncul dalam ledakan WTC pada 11 September 2001. Hingga ke hari ini saya peraya semua ini kerja orang dalam - kerja daulah terpendam.
Kini kita kembali kepada Presiden Trump yang sedang bertempur dengan daulah terpendam. Serangan peluru berpandu ke atas Syria itu dilakukan kerana Trump ingin membuktikan bahwa dia bukan sahabat Rusia, jauh sekali di bawah telunjuk Putin.
Trump kena pulas telinga
Serangan itu untuk membutikan bahawa Trump mendahului kepentingan Amerika. Trump juga ingin memberitahu ‘gerombolan’ daulah terpendam bahawa dia bukan "anak butir Putin" atau dia budak suruhan Rusia.
Serangan peluru berpandu Trump terhadap Bashar itu membuktikan bahawa daulah terpendam berjaya membawa Trump 'ke jalan yang benar’. Budak degil Trump telah dipulas telinga dan kini menurut kata.
Daulah terpendam Amerika melihat sesiapa sahaja yang cuba berbaik-baik dengan Rusia sebagai murtad. Trump pada awalnya telah dilihat malah memiliki niat untuk berbaik-baik dengan Rusia.
Ketika berkempen - sebelum menang - Trump telah menyuarakan bahawa adalah logik untuk Amerika mengendurkan sekatan ekonomi terhadap Rusia. Malah adalah molek untuk Amerika dan Rusia menjadi rakan perniagaan.
Pandangan Trump - seorang ahli perniagaan - untuk berbaik-baik dengan Rusia memang masuk akal.
Ketika Trump membuat ucapan sedemikian, elit media dan elit politik Washington DC tidak ambil pot. Mereka memperlekeh Trump. Mereka amat yakin bahawa Hillary akan berpindah ke Rumah Putih.
Harapan gerombolan anti-Trump ini meleset. Apabila Trump menang mereka berkumpul dan memulakan serangan secara teratur dan tersusun. Serangan bertubi-tubi ini menjadikan kabinet Trump kelam-kabut. Ia juga menjadikan presiden itu gelabah.
Pada Julai lalu Kongres Amerika berjaya meluluskan satu resolusi memperketat sekatan ekonomi terhadap Rusia. Presiden Trump tidak ada pilihan. Dirinya telah masuk dalam ‘raga’ daulah terpendam. Maka pada 2 Ogos lalu resolusi ini menjadi undang-undang.
Resolusi ini juga telah menafikan hak Presiden Amerika untuk mencair atau memansuhkan sekatan yang amat ketat ini. Trump telah menandatangani undang-undang ini.
Perlukan musuh yang jelas
Rakan perniagaan Amerika di Eropah seperti Jerman dan Kesatuan Eropah berasa kecewa. Mereka berniaga dengan Rusia. Malah Jerman membeli bahan bakar - gas dan minyak - dari Rusia. Sepanyol dan Itali mengekspot sayur dan buah kepada Rusia.
Apa sebenarnya yang berlaku?
Setiap daulah memerlukan musuh. Ini hukum politik. Musuh politik digunakan untuk mengolah persetujuan orang ramai. Musuh politik diwujudkan bertujuan untuk mencari sokongan.
Di Amerika pun sama. Malah sebagai sebuah empayar Pax Americana memerlukan musuh yang jelas.
Pada satu ketika dahulu Amerika memusuhi negara sosialis, gerakan komunis dan gerakan kiri kaum buruh. Alasan Amerika ialah gerakan sosialis dan komunis bercanggah dengan kebebasan dan demokrasi.
Sebenarnya kebebasan dan demokrasi ini hanyalah gula-gula. Yang menaburkan gula-gula ini adalah daulah terpendam. Daulah terpendam di Amerika kini mewakili kepentingan bank, kepentingan Wall Street, kepentingan kilang senjata, kepentingan syarikat perubatan, kaum pemodal antarabangsa.
Hakikatnya daulah terpendam mewakili kepentingan sistem ekonomi kapitalis.
Dalam kes Amerika Syarikat daulah terpedam mewakili kepentingan Pax Americana. Mewakili kepentingan kuasa imperialis Amerika yang mencengkam dunia kita hari ini.
Dalam sistem ekonomi kapitalis dan falsafah kuasa imperial melawan musuh adalah wajib. Jika musuh tidak wujud maka adalah tugas daulah terpendam mewujudkan musuh.
Justeru sesudah kaum sosialis dan kaum kiri dicap sebagai musuh, kini buat sementara Islam pula dijadikan musuh. Islam dan keganasan kini menjadi musuh baru Pax Americana.
Amat mencolok mata apabila Islam dijadikan musuh kerana yang memberi dana, latihan ketenteraan dan yang memberi senjata kepada pengganas Arab/Islam ialah Amerika sendiri.
Trump sudah tunduk
Malah dunia tahu 19 orang jantan Arab yang menyerang WTC pada 9/11 adalah warganegara Arab Saudi. Saudi ini adalah sarang pengganas. Saudi juga menyokong segala bentuk kumpulan pengganas atas nama Islam. Tetapi Saudi tidak pernah mendapat kritikan dari Amerika.
Jika seorang pelajar dipenjara di Pulau Maldives maka Amerika dan segala jenis NGO termasuk Amnesty International akan heboh. Tetapi apabila setiap hari Jumaat ada kepala dipenggal di hadapan masjid di Jeddah, tidak ada suara bantahan terdengar.
Ini bukan bermakna Saudi itu adalah sebahagian dari daulah terpendam Amerika. Apa yang dimaksudkan ialah kita melihat bagaimana daulah terpendam Amerika merancang dan menggunakan Islam.
Ini juga bermakna idealogi Islam Saudi itu amat bersesuaian untuk kepentingan daulah terpendam Amerika.
Kini Trump telah tunduk kepada daulah terpendam. Hari ini Rusia masih lagi dinobatkan sebagai musuh utama Amerika.
Musuh Amerika ditambah pula dengan Korea Utara, China dan Iran. Negara-negara ini wajib dijadikan musuh rakyat dunia mengikut istilah Pax Americana.
Hasilnya, semua pemilik kilang senjata, pembuat dan pengeksport senjata terus tersenyum berjalan ke bank. Kilang mereka akan terus beroperasi membuat senjata-senjata baru untuk melawan musuh Amerika.
Bagaimana pula negara lain? Bagaimana dengan Malaysia - apa hubungan daulah terpendam Amerika dengan Malaysia?
Diberitakan Najib akan berjumpa Trump. Apa maknanya ini? Apakah ini kerja daulah terpendam? Tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.