Sewaktu awal krisis antara negara Arab, kandungan khutbah antaranya menyentuh tentang kesetian kepada negara melebihi segalanya. 'Watan' mesti dipertahankan biar dengan nyawa.
Semua negara di dunia menekankan kesetian kepada negara, termasuk dalam ikrar Rukunegara, kesetian kepada raja dan negara.
Kerana itu dalam kehangatan suasana politik di tanah air, saya terbaca mengenai ikrar seorang politikus bertaraf menteri kepada bosnya yang juga politikus, untuk terus setia dan tidak akan menggulingkan bos walau mungkin satu dunia menganggap bos kleptokratiknya bertaraf perompak.
Kesetian kepada politikus bertaraf pemimpin tentunya penting untuk survival mereka yang memerintah. Perdana menteri akan melantik mereka yang setia memegang pelbagai jawatan penting.
Kesetian melebihi kelayakan lain yang lebih penting untuk bekerja demi negara. Tidak hairan kita melihat ramai menteri kabinet dan penjawat awam seakan badut yang hanya mengikut skrip semata-mata.
Terutama menteri yang bercakap seperti mereka yang IQ-nya rendah dan CGPA tidak sehebat 3.85.
Ada soalan-soalan 'maut' yang tidak dibenarkan di parlimen dengan pelbagai alasan bodoh hanya semata-mata mahu menutup kemaluan besar bos.
Kesetian mereka kepada bos melebihi kesetiaan kepada raja dan negara. Apalagi Rukunegara juga ada ikrar, kepercayaan kepada tuhan dan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Kalau mengikut aksi para politikus yang bermaharajalela memperbodohkan diri demi survival masing-masing, semua ikrar Rukunegara jauh ke laut!
Begitu juga apabila kami mengkritik kerajaan, adalah suara-suara sumbang mengatakan kami memburukkan negara.
Apakah mereka tidak tahu perbezaan antara negara dan kerajaan?
Negara tidak akan berubah, manakala kerajaan boleh bertukar ganti.
Yang lebih membangangkan, ramai politikus yang berkuasa memerintah sebagai kerajaan tidak dapat membezakan antara kerajaan dan parti. Antara harta kerajaan dan harta parti.
Mereka menyalahgunakan harta kerajaan seperti harta parti, dan lebih teruk harta mak bapak mereka.
Tiada calon k'jaan tanding PRU
Sama ada mereka bodoh atau keliru, apabila pilihan raya, tiada calon kerajaan yang bertanding. Hanya parti-parti berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Kerajaan tidak wujud dan kalau para politikus menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen, itu tentunya tidak mengikut perlembagaan dan undang-undang, apalagi ajaran Islam.
Ada juga di kalangan sahabat seangkatan yang mengingatkan kami, yang pernah dihantar 'bercuti di luar negara' sebagai pelajar untuk terus setia dengan parti yang dikatakan menghantar pelajar dengan biasiswa bawah hak-hak keistimewaan orang Melayu.
Maksudnya mungkin, mesti setia sebagai hamba abdi sampai ke akhirat walaupun biasiswa itu bukan dari duit politikus dan parti yang memerintah.
Biasiswa, malah gaji para menteri dan penjawat awam dibayar oleh rakyat yang membayar cukai.
Mereka, menteri dan penjawat awam diberi amanah untuk menguruskan dana kewangan negara hasil cukai, termasuk cukai pendapatan rakyat yang setia kepada raja dan negara.
Kalau memberi biasiswa, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) atau bantuan kewangan seperti melupuskan hutang peneroka Felda, semuanya duit kerajaan dari kutipan cukai.
Apakah satu kebodohan untuk setia membuta tuli kepada parti dan kerajaan seperti kata bekas penasihat dan broker kapal selam, yang pelajar hari ini macam kerbau, dicucuk hidung.
Malah penulis terkenal lain mengatakan rakyat lebih rela menjadi hamba kerana sistem pemerintahan.
Mengapa bodoh untuk setia kepada parti dan politikus yang tidak setia kepada raja dan negara, tidak meluhurkan perlembagaan negara dan tidak mendaulatkan undang-undang negara.
Setia yang tidak membawa ke syurga kerana ajaran Islam juga menyuruh kita mengikuti perintah tuhan, dan tidak menjadi 'walaun' yang setianya seperti kerbau dicucuk hidung.
Diperlakukan seperti hamba dengan minda yang dipenjarakan.
Melucukan yang pemimpin parti kebangsaan yang mati hidup semula itu yang telah menjadi presiden selama 22 tahun sendiri tidak setia dan mahu menguburkan parti ketuanan bernama penjajah itu di pilihan raya akan datang.
Kalau setianya kerana terpaksa demi membalas budi, tentunya Nabi Musa tidak melawan firaun. Setia Nabi Musa kepada tuhan, tentunya menepati juga Rukunegara, kepercayaan kepada tuhan.
Lebih dari itu, setelah kami dihantar 'bercuti ke luar negara', contohnya saya ke New Zealand, pulang bekerja di tanah air dan membayar pelbagai cukai, rasanya semua kos biasiswa telah pun dibayar balik.
Ungkit sampai ke liang lahad
Tanggungjawab sebagai rakyat yang setia kepada raja dan negara sudah disempurnakan.
Mengapa mahu diungkit-ungkit sehingga ke liang lahad? Apakah kami tidak boleh berfikir di luar tempurung kesetiaan Hang Tuah?
Ini abad ke-21 yang mana, sosial media lebih berpengaruh dari media perdana kepunyaan parti pemerintah.
Menjelang ulang tahun kemerdekaan negara yang ke enam puluh dengan tema Sehati Sejiwa, eloklah Rukunegara yang diikrarkan bukan sekadar upacara majlis tanpa apa-apa makna.
Saya setia kepada raja yang adil dan negara yang berdaulat, Malaysia. Dan tidak mahu menjadi Hang Tuah yang setianya menjadikan dia pengkhianat kepada negara!
MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.