Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Semenjak menghuni padang pasir semenanjung Arab (jazeera) ini, persekitaran baharu banyak mengubah selera dan citarasa, selain perspektif dan pengalaman dalam kehidupan perantauan.

Oleh kerana UAE ini dihuni oleh lebih 80 peratus ekspatriat, orang asing daripada lebih 200 negara, tentunya pelbagai dan beraneka jenis manusia, perangai dan masalah membawa anjakan paradigma.

Lupakan masalah kerana di mana-mana pun negara di dunia ada masalah, kecuali mungkin di Malaysia yang khabarnya sudah ada 11 juta warga asing, sama ada halal atau haram, status menjadi sebahagian daripada transformasi ke arah negara maju berpendapatan tinggi.

Pernah lebih sedekad lalu, ketua pengarah Imigresen Malaysia ketika itu datang ke UAE. Dalam perbualan, beliau merasa hairan bagaimana UAE yang hanya 20 peratus warganegara sendiri dapat mengawal 80 peratus warga asing secara total dan 'sempurna'.

Kehairanan itu tentunya berdasarkan pengalaman beliau menangani masalah kebanjiran pendatang haram ketika itu.

Jawapannya cukup jelas, seterang matahari di tengah hari.

Masalah imigresen di Malaysia dengarnya semakin kronik biarpun pelbagai langkah dan 'pemutihan' berulang dibuat. Lihat sahaja Kuala Lumpur di hari raya, seakan sebuah kota di Bangladesh.

Warga asing ini juga sudah mula memasuki pelbagai sektor termasuk perniagaan, sesuatu yang bakal membawa kemelut ekonomi buat warga sendiri, terutama orang Melayu yang terus terkebelakang kerana politik ketuanan yang makan diri.

Oleh kerana hampir separuh daripada ekspatriat di UAE datang dari benua Asia Selatan (India, Pakistan, Bangladesh, Nepal), selain Arab lain (Mesir terutamanya) dan Filipina, bukan mudah untuk kerajaan UAE mengawal warga asing.

Tetapi ketegasan, penguatkuasaan yang tegas, dan tiada rasuah, korupsi serta politikus yang berjuang demi kelangsungan perut, UAE tanpa menjual nama Islam sebagai jenama mampu menjadi antara negara paling selamat dan sejahtera.

Kes jenayah menghampiri sifar dan rumah kediaman tidak perlu jeriji seperti penjara. Kalau tertinggal barang, hampir pasti boleh ditemui semula.

Memang ada juga jenayah, terlalu kecil untuk disebut. Tidak juga hudud dilaksanakan. Itulah pentingnya penguatkuasaan yang mantap, tegas dan konsisten. Bukan mengikut musim dan keperluan politik.

Kawal pendatang asing

Memang sukar untuk mengawal pendatang asing tanpa penguatkuasaan ketat, lebih-lebih lagi kalau kepimpinan negara dituduh kleptokrat, rasuah dan syok sendiri dengan pelbagai akronim seperti IM4U, TN50, BR1M, KR1M dan slogan I love PM (love PM not Malaysia!)

Antara kenikmatan berada di UAE, selain pendapatan yang lebih tinggi buat ekspatriat Malaysia, adalah pelbagai aneka makanan dunia yang menambah keseronokan.

Tentunya, masakan India dan Pakistan popular kerana mereka majoriti.

Sebagai rakyat Malaysia yang sudah biasa dengan teh tarik dan roti canai untuk sarapan, tentunya selera yang sama kalau berada di mana-mana pun. Ada juga nasi lemak dijual di restoran kepunyaan rakyat Malaysia, tetapi harganya tentu harga premium.

Begitupun, semenjak menikmati teh karak atau teh masala, yang berasal dari India, ramai sudah menjadi ketagih, termasuk saya.

Teh karak adalah campuran teh hitam, susu segar, gula dan buah pelaga yang dimasak sekali dengan api yang sedang panasnya.

Teh masalah lebih banyak campuran seperti bunga cengkih, halia dan lada.

Hampir setiap pagi sebelum ke pejabat, saya dan isteri akan singgah di kafe kecil (seperti foto) untuk membeli roti canai dan teh karak. Kafe itu tiada meja. Semua pembeli makan dan minum dalam kereta sendiri.

Sepanjang 2km Jalan Universiti di Sharjah, ada dalam 10 kafe menjual teh karak. Memang popular di UAE.

Roti canai dibungkus dan tiada kuah kari atau dhal. Makan roti canai kosong dalam kereta.

Berpuluh-puluh kereta akan parkir dan pelayan akan datang menerima tempahan dan menghantar roti canai dan teh karak dalam cawan.

Mudah.

Begitu juga pada tengah hari, petang dan malam. Hampir semua kafe teh karak buka 24 jam. Setiap petang juga saya singgah di kafe untuk membeli teh karak. Ketagihan sukarela.

Ada tuan punya kafe yang menjadi jutawan dengan hanya menjual teh karak dan roti canai kosong.

Saya pernah bertanya pelayan sebuah kafe, katanya minimum sehari kafe itu menjual 7,000 cawan kertas teh karak.

Secawan kertas teh karak berharga Dhs1. Maknanya, Dhs7 ribu sehari untuk teh karak sahaja.

Ada kafe lain antara 5,000 ke 10,000 teh karak sehari!

Kerana itu, kadang-kadang saya terfikir, kalau sejak 18 tahun dahulu, baik juga saya buka kafe teh karak sahaja di UAE!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel satira ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS