Sewaktu Tahun Baharu Cina lepas, saudara jauh kami, Pak Cik Jason dan keluarga yang merancang bercuti di Taipeh gagal menemukan mana-mana kedai haiwan peliharaan yang sudi mengambil khidmat penjagaan anjing. Mak Cik Macy menyalahkan suaminya kerana terkial-kial mencari pusat penjagaan haiwan sedangkan percutian itu sudah dirancang lama.
Fikir punya fikir, Mak Andakku menyanggup untuk memelihara dua ekor anjing jenis Yorkshire Terrier selama sepuluh hari. Keluarga Pak Cik Jasonku pun bertolak ke Taiwan. Masalah tidak reda. Persetujuan Mak Andak menimbulkan kemarahan Pak Andakku yang ketika keputusan dibuat tidak berada di Malaysia, dan tidak dirundingi. Pak Andak menganggap jilatan anjing adalah najis, dan tidak mematuhi kehendak agamawan yang menuntut supaya akur dengan mazhab Syafie. Perkelahian Mak Andak dan Pak Andak menjadi sangat sengit sehingga Mak Andak menelefonku, dan aku terpaksa pulang ke Melaka untuk menjadi hakim, atau orang tengah menyelesaikan masalah yang kini berbiak.
Sebaik sahaja aku melangkah masuk ke rumah teres dua tingkat di Taman Merdeka itu, Summer of Love, anjing betina jenis Yorkshire Terrier itu menyalak tidak henti. Seakan-akan meminta dikasihani. Sementara jantannya, Autumn of Love hanya mengongoi malas. Kedua-duanya terikat.
“Fadzil mana?” Tanyaku kepada Mak Andak, merujuk sepupuku, iaitu anak tunggal mereka. Pak Andak bermuka masam di atas sofa ruang tamu. Aku mengucup tangan kedua-dua ibu dan bapa saudaraku.
“Fadzil ke kedai haiwan, beli makanan anjing.”
Belum sempat aku duduk, Pak Andak sudah menyembur soalan. “Pak Andak pegang fatwa Jabatan Agama. Mak Andak kau nak jadi feminis.”
Mak Andak dengan muka meluat bingkas ke dapur. “Aku buatkan Milo.” Ujarnya ringkas.
Aku tertawa kecil. “Jadi feminis tak ada kena mengena dengan bela anjing.”
“Pak Andak pegang Jabatan Agama mana?”
Pak Andak membalas sepatah dengan nada perli. “Iran. Jabatan Agama Iran.”
Aku tertawa lagi, kemudian menyambung, “Yak bok te, Mak Andak orang Kelantan. Dia orang KB. Hal atau debat mengenai boleh atau tidak pelihara anjing, najis atau tidak jilatan anjing ini sudah selesai dalam tahun 1937 di Istana Sri Cemerlang, di hadapan Tengku Ibrahim Ibnu Sultan Muhammad IV dan Sultan Ismail Ibnu Sultan Muhammad IV. Dah selesai. Pak Andak nak cerita apa lagi.”
“Habis kena samak ke tak?” Nada Pak Andak masih tinggi.
Aku menarik nafas tenang. Dalam hatiku ada suara, “habislah dikecam liberal selepas ini”.
“Begini Pak Andak. Dalam tahun 1935 tak silap saya. Raja Kelantan, Tengku Ibrahim telah memanggil seorang ulama Kelantan yang terkenal bernama Haji Nik Abdullah Haji Wan Musa. Baginda menyatakan hasrat untuk memelihara anjing. Soalan baginda ialah, bolehkah?”
Ingatanku membayangkan wajah Haji Nik Abdullah kira-kira 80 tahun lampau yang memberitahu betapa bolehnya memelihara anjing khusus untuk menjaga keselamatan rumahtangga. Beliau juga menerangkan jilatan anjing itu wajib disamak menurut mazhab Syafie, tetapi menurut Imam Malik ia tak perlu disamak. Haji Nik Abdullah adalah ulama yang berpegang kepada tidak mengapa melakukan talfik atau campur aduk hukum antara empat mazhab dalam Ahlus Sunnah wal Jamaah.
Sudah tentu, pandangan Haji Nik Abdullah ini dianggap satu pandangan Kaum Muda yang menerima kecaman hebat oleh ulama tradisional termasuklah Mufti Kelantan pada masa itu iaitu Haji Ibrahim Haji Yussof. Turut bersama-sama beliau adalah ulama seperti Haji Ahmad Mahir, Haji Abdullah Tahir dan Haji Ahmad Manan. Mereka mengkritik pandangan Haji Nik Abdullah itu sehingga masjid, surau dan balai pembelajaran agama di sekitar Kota Bharu menjadi geger.
Haji Nik Abdullah meninggal dunia tidak berapa lama itu, tetapi debat mengenai anjing berterusan. Bapa Haji Nik Abdullah iaitu Haji Wan Musa meneruskan pandangan anaknya, dan mempertahankan pendekatan talfik atau campur aduk hukum antara empat mazhab. Ini bermakna jika ada orang Islam yang ingin memelihara anjing, dan ingin memindah hukum dalam urusan ini dengan mengikut mazhab Maliki, maka tidak ada masalah, tidak perlu bertaubat dan tidak wajar dikecam.
Pertelingkahan para ulama mengenai isu jilatan anjing ini menjadi bertambah panas sehingga Sultan Ismail Ibnu Sultan Muhammad IV memutuskan untuk melakukan permuafakatan pada tahun 1936 di Istana Jahar.
Usaha baginda itu gagal. Baginda Sultan Ismail yang ingin memelihara anjing telah menganjurkan satu lagi permuafakatan, atau mungkin debat pada tahun 1937 kali ini di Istana Sri Cemerlang. Kumpulan ulama yang mempertahankan pendekatan talfik adalah Haji Wan Musa sendiri, dan dua orang tetamu beliau; Haji Abas Taha seorang ulama dan Kadi Besar Singapura serta Dr Burhanuddin al Hilmi, yang kemudian menjadi Presiden Partai Persatuan Islam Setanah Melayu (PAS). Dr Burhanuddin pada ketika itu adalah Setiausaha Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Debat itu telah dihadiri oleh ramai ahli masyarakat. Menurut laporan sejarah, perkarangan istana dipenuhi orang ramai dan ia menjadi debat yang sangat hangat. Sultan Ismail sendiri tidak dapat menjadi orang tengah dalam debat itu. Baginda hanya berserah kepada orang ramai untuk mengikut hukum dari agamawan konservatif atau ulama yang lebih progresif.
Pertentangan pandangan ulama ini mendorong Haji Abas Taha kembali ke Singapura dan menulis sebuah kitab berjudul Risalah Penting untuk menegakkan pandangan beliau. Haji Wan Musa turut menulis sebuah karangan yang memuatkan pendapat Mufti Besar Mesir, Sheikh Al Marori.
Akhirnya Sultan Ismail menitahkan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menghantar tiga pertanyaan kepada Syed Muhamad Mustafa al Maghari, iaitu Sheikh Al Azhar di Mesir. Jawapan Sheikhul Azhar itu tiba di Kota Bharu pada 1 April 1937 yang mengesahkan pendekatan Haji Nik Abdullah dan ayahnya Haji Wan Musa. Iaitu dibolehkan menggunakan konsep talfik di dalam urusan hukum harian, dan dalam hal ini memelihara anjing untuk keselamatan, atau dalam konteks Mak Andak, menolongkan Pak Cik Jason dan Mak Cik Macy ternyata murni sekali.
Meskipun debat anjing pada tahun 1937 di Kota Bharu itu tiada pemenang, ia memberikan satu pelajaran besar kepada penganut Islam di Malaysia, khusus di Kelantan. Sesungguhnya melihat perspektif fikah secara lebih luas dan tanpa perlu jumud, terikat dan terkurung oleh satu mazhab sangat diperlukan sejak tahun 1937, malah lebih lagi pada tahun 2017 ini.
“Pak Andak mungkin pegang fatwa mufti Kelantan, Haji Ibrahim; tetapi Mak Andak pegang fatwa Sheikhul Azhar dan Mufti Besar Mesir yang kalau ikutkan lebih hebatlah...sebab mereka orang Arab.” Aku menyimpulkan pandangan.
Pak Andak yang tidak berpuas hati telah keluar rumah pada pagi itu. Dia sempat menyeranah, “Ulama anjing!”
Tentulah debat anjing tidak berakhir 80 tahun lamanya. Ia menunjukkan betapa ketempurungan cara fikir ulama dulu dan kini, yang tidak berdaya mencari dan menggunakan pendekatan baharu apatah lagi yang progresif.
Mak Andak yang berpuas hati dan terasa menang memasakkan aku nasi beriyaninya yang masyhur sebelum aku pulang ke Bangi.
“Orang mungkin kata Mak Andak liberal, mungkin feminis...Mak Andak jangan rasa gusar.” Kataku memujuk.
“Tak eh. Mak Andak tak rasa sedih pun. Mak Andak rasa macam wali Allah, macam Ashabul Kahfi, mereka tidur 300 tahun sebelah anjing.” Mak Andakku berseloroh.
Sebelum pulang aku sempat membelai Summer of Love. Anjing baka Inggeris yang comel itu memang manja. Kasihan kalau dipelihara di kedai penjagaan binatang yang ambil mudah.
Sepanjang perjalanan dari tol Air Keroh ke tol Kajang, hanya satu yang termuat dalam kepalaku; mengapakah ulama seperti mufti suka mendebatkan hal ranting dan bukan hal pokok.
Hal pokok seperti haram dan najisnya jilatan korupsi dan rasuah tidak pula timbul. Yang itu haram nyata dan terang, tiada pendekatan talfik dapat membenarkannya. Itu ulama apa pun, baik konservatif baik progresif harus setuju. Baik Kaum Muda atau Kaum Tua harus akur. Mengapakah hal debat anjing masih dipermasalahkan setelah 80 tahun? Mengapakah kezaliman masih terus dan kian melingkar dalam masyarakat?
Hamun Pak Andak kembali menyerbu benak, ‘ulama anjing’.
Astaghfirullah.
FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.