Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Telah sampai masanya untuk Bani Melayu melakukan perubahan. Telah sampai masanya untuk menilai diri sendiri. Telah sampai masa untuk Bani Melayu sedar bahawa hanya mereka sebagai bani asal di Tanah Melayu ini yang boleh membawa perubahan.

Apa sahaja perubahan yang dicita-citakan tanpa sokongan Bani Melayu akan gagal. Saya merakamkan fakta ini bukan kerana saya dari suku Biduanda - Orang Asal Tanah Melayu.

Bani Cina dan Bani India dan yang lain tidak ada keupayaan untuk membawa apa-apa perubahan. Ini hukum sejarah. Anak watan, Bani Asal adalah kumpulan yang bertanggungjawab membawa perubahan kecuali mereka telah menjadi Red Indian dalam negara mereka sendiri. Atau mereka telah menjadi Melayu di Singapura. Atau mereka telah menjadi Arab Palestin di Israel.

Politik dunia hari ini, ekonomi dunia hari ini dan teknologi dunia hari ini tidak akan tertangguh untuk menunggu Bani Melayu berubah.

Bani Cina dan Bani India - bani pendatang ini telah hilang penghormatan mereka kepada Bani Melayu. Ini hakikat. Ini fakta sosial dan fakta politik yang sedang terjadi hari ini.

Kisah-kisah yang saya lampirkan ini adalah bukti dan hujah untuk menyokong pandangan saya.

Gambarkan, satu pasukan polis sedang membuat sekatan di Jalan Maarof, Bangsar pada malam Sabtu pagi Ahad. Kereta terhenti-henti. Apakah agaknya yang difikirkan oleh para pemandu kereta yang baru sahaja bercanda-canda di Telawi?

Saya amat yakin dalam fikiran semua pemandu yang diperlambatkan perjalanan mereka akan menganggap polis ini sedang ‘cari makan’.

Malah saya pernah bersama dalam kereta kawan saya seorang Bani China. Apa yang terkeluar dari dari mulut kawan saya ini apabila berhadapan dengan ‘road block’ adalah anggapan majoriti kaum pendatang terhadap anggota polis. Hampir 98 peratus anggota PDRM yang membuat sekatan jalan adalah Bani Melayu.

“Hujung bulan biasalah. Cari duit belanja.”

Saya mendengar dan merakamkan apa yang saya dengar. Dari babak-babak inilah timbulnya kesedaran bahawa saya wajib merungkai dan meneliti masalah persoalan nasional. Contoh sekatan jalan oleh polis ini hanyalah kisah kecil.

Beberapa bulan sesudah PRU12 saya dengan penuh harapan telah berbincang dengan seorang kawan tentang kemungkinan dan potensi yang boleh dibawa oleh Pakatan Rakyat.

Kawan saya ini sering berdampingan dengan para cukong. Kawan saya telah memberi ingatan jelas kepada saya bahawa saya wajib menyedari apa itu ahli politik. Kawan saya memberi penerangan tentang bagaimana para cukong melihat politikus Bani Melayu.

Mengikut pandangan kawan saya ini para cukong tidak mengira sama ada pak menteri itu dari Pakatan atau dari Barisan. Untuk para cukong semua mereka ini adalah Bani Melayu.

“Ini menteri, ini YB ada 'titun' (tidur) atau tak ada 'titun'.”

Ini adalah rukun iman para cukong yang menjalankan perniagaan di Tanah Melayu ini. Dari zaman berzaman para cukong telah mengumpul pengalaman dan membuat jaringan untuk memerangkap dan meluaskan perniagaan mereka.

Para cukong amat yakin bahawa sang YB dan sang menteri pasti tidur. Jika boleh tidur maknanya boleh dirasuah. Jika bukan dengan dinar, dirasuah dengan lendir. Ini hakikat.

Kisah-kisah pendek yang saya rakamkan ini sebenarnya adalah manifestasi kehilangan penghormatan dari yang lain terhadap yang asal. Dalam bahasa yang mudah, Bani Cina dan Bani India tidak lagi hormat pada tuan rumah Orang Asal Tanah Melayu.

Ini samalah seperti Bani Israel melihat seorang anak muda Palestin yang sedang berjalan. Dalam benak si Israel ini, anak muda Palestin ini pasti membawa bom dan akan menyerang.

Ini hakikat suasana sosial kepada mereka yang telah disingkir dari kota mereka. Ini akibat mereka yang tidak memiliki kuasa ekonomi.

Persoalan nasional di Tanah Melayu hari ini pada hemat saya sedang meruncing. Ini kerana kemarahan Bani Melayu terhadap keanggkuhan kaum pendatang ini telah lama terpendam. Kemarahan ini sedang membarah.

Selama ini Bani Melayu telah dipinggirkan dari pekan dan kota yang bukan milik mereka. Pekan dan bandar yang tidak pernah menjadi wilayah milik mereka. Bani Melayu merasa begitu terasing.

Justeru, peralihan politik dunia hari ini memaksa Bani Melayu yang rasional untuk menilai diri, berubah dan melakukan perubahan.

Peralihan politik dunia yang saya maksudkan ini ialah projek kuasa imperial Amerika. Kali ini Amerika sedang bekerjasama dengan Arab Saudi dalam satu projek untuk menawan dunia.

Amerika sedang menjalankan dasar war on terror atau perang lawan keganasan. Arab Saudi diikat sama sebagai tukang hulur duit. Amerika merekrut Saudi untuk tujuan menggunakan Islam. Saudi pula sedia bekerjasama kerana tanpa kuasa Amerika rejim itu akan runtuh sekelip mata.

Keganasan kini menjadi raison d’etre atau sebab musabab atau rukun wujudiah Amerika.

Walhal warga dunia yang rasional, yang membaca, yang mengkaji dan yang menggunakan akal fikiran tahu bahawa Osama, Al-Qaeda, Bako Haram, Isis, semua ini adalah projek CIA. Kumpulan pengganas ini adalah anak didik yang menetas atas tapak tangan CIA.

Ini fakta bukan labun Hishamuddin Rais. Kalau kurang yakin tentang apa yang saya tulis sila rujuk surat Hillary Clinton yang dibocorkan oleh WikiLeaks sebelum pemilihan presiden Amerika tahun lalu.

Manifestasi dari projek Amerika-Saudi ini ialah perang di Iraq, di Afghanistan, di Syria, di Yaman dan di Libya. Tujuan akhir projek ini ialah untuk menyerang Rusia, China dan Iran. Semua ini bertujuan untuk memastikan dunia ini akan tunduk bawah telunjuk Amerika.

Ini adalah rancangan asal kumpulan Neo-Con di Amerika. Rancangan ini dinamakan Project for New American Century (PNAC) yang diumumkan pada tahun 1997. Projek PNAC ini telah dirancang lama sebelum ledakan bangunan World Trade Center (WTC) berlaku pada 11 September 2001.

Ledakan permulaan

Ledakan WTC adalah permulaan rancangan PNAC ini.

Bagaimana perkara ini tersangkut dengan persoalan nasional di Tanah Melayu. Jawabnya cukup senang, cukup enteng. Kali ini kemarahan Bani Melayu itu akan dikahwinkan pula dengan Islam jenis Saudi.

Kalau bentrokan 13 Mei 1969, hanya kemarahan Bani Melayu yang tidak puas hati terhadap ekonomi yang dibolot oleh Bani China. Kali ini bentrokan akan memakai jubah hijau dari Arab Saudi.

Manifestasinya senang kita lihat. Apakah kita lupa tentang perebutan penggunaan nama Allah. Ini adalah manifestasi dari projek ini. Apakah kita lupa tentang kepala babi dalam masjid di Klang Lama? Apakah kita lupa gereja disimbah cat?

Dalam bulan ini saja kita lihat manifestasi dari projek ini. Kita lihat buku YB Hannah Yeoh menjadi heboh. Kita lihat bagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dilarang berbuka puasa.

Dan paling terbaru bagaimana muka depan akhbar The Star telah menimbulkan semangat takfiri. Walhal akhbar Utusan dan New Straits Times juga memaparkan gambar dan berita induk yang sama.

Pada hemat saya semua ini adalah persoalan nasional yang belum selesai. Kalau persoalan nasional ini tidak selesai maka projek gagal yang bernama Malaysia ini akan pecah runtuh terbarai.

Keadaan ini hanya boleh diselamatkan oleh Bani Melayu. Justeru tulisan-tulisan saya ini semuanya menjurus agar Bani Melayu membuat perubahan.

Apa perubahan yang wajib dilakukan oleh Bani Melayu ketika ini?

Jawabnya tidak lain dan tidak bukan ialah mengembalikan penghormatan Bani Cina dan Bani India kepada Bani Melayu.

Jangan silap faham apabila Bani Cina gila babi cuba mendapatkan darjah kebesaran Datuk atau Datuk Seri atau Tan Sri, bukan bermakna mereka hormat kepada budaya Bani Melayu. Ini sebenarnya satu penghinaan apabila darjah kebesaran raja Bani Melayu pun didakwa boleh dibeli dengan duit rasuah. Jika darjah kebesaran boleh dibeli, maka perdana menteri dan para menteri pun boleh sama dibeli.

Dalam suasana sedemikian telah sampai masa dan ketikanya untuk Bani Melayu menyingkirkan Najib-Rosmah. Kenapa tetiba meloncat kepada Najib-Rosmah?

Biar saya terangkan. Dari pemerhatian saya dua sosok ini sedang memporakperandakan Tanah Melayu. Dua sosok ini adalah manifestasi dari kemusnahan yang sedang berlaku di Tanah Melayu.

Bukankah Najib ini perdana menteri dan Rosmah ini wanita pertama? Mereka dihormati oleh anak semua bani.

Cukong senang hati

Yakinlah sesetengah Bani Cina dan Bani India amat amat suka hati, amat amat gembira jika pemimpin Bani Melayu semuanya berperangai seperti Najib, seperti Rosmah. Lihatlah bagaimana tanah KTM digadai di Singapura. Pastilah Lee Kuan Yew amat suka kepada Najib dan Rosmah. Lihatlah berapa kilo intan berlian yang dibeli oleh Rosmah. Ini yang saya maksudkan.

Para cukong amat amat senang dengan pemimpin Bani Melayu yang rasuah, bodoh dan tidak tahu menilai diri. Tetapi Najib ini lebih dari semua ini.

Najib, mengikut laporan TV Australia, telah dikaitkan dengan tiga kes bunuh. Najib dikaitkan dalam kes rasuah kapal selam Scorpene. Mengikut kata Mahathir bekas perdana menteri, si Najib ini ialah seorang pencuri. Najib didakwa mencuri duit 1MDB dan duit syarikat SRC International.

Najib tersenarai sebagai salah seorang dari lima pemimpin dunia yang paling dibenci melebihi Donald Trump. Ini bukan labun Hishamuddin Rais. Ini laporan majalah Times.

Ini belum ambil kira kes Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat menamakan MO1 (yang dikatakan Najib sendiri), Riza dan Jho Low dalam isu 1MDB.

Maka soalan kurun ini muncul. Adakah sosok Najib dan Rosmah ini akan dihormati oleh Bani Cina dan Bani India? Mustahil.

Penghormatan yang diberikan kepada Najib pada hari ini oleh Bani Cina dan Bani India dan para cukong hanya untuk membolehkan mereka terus menjarah dan membolot harta kekayaan negara ini. Tidak lebih dari itu.

Saya cukup yakin jika ahli United Malays National Organisation dapat menyingkirkan Najib dari kuasa, maka ini adalah tanda permulaan untuk membuka kembali hati Bani Cina dan Bani India agar kembali hormat kepada Bani Melayu.

Yakinlah politikus Bani Melayu yang rasuah adalah berita gembira untuk para cukong.

Yakinlah politikus yang ditakuti oleh para cukong dan Bani China dan Bani India ialah politikus Bani Melayu yang tegas, tidak makan duit, tidak makan lendir dan tidak dikaitkan dengan kes bunuh.

Bani Melayu memiliki budi bahasa yang tinggi - bersopan dan bersantun. Bani Melayu memiliki sifat bertolak ansur. Tapi yakinlah Bani Melayu juga telah menghadiahkan kepada dunia konsep amuk.

Selamat berpuasa. Tunggu lagi minggu hadapan untuk jalan penyelesaian. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS