Minggu lalu saya membuka persoalan konsep budaya penakrif. Budaya penakrif ialah budaya induk. Dalam semua negara bangsa wujud budaya induk yang mengikat dan menyimpai negara bangsa. Budaya induk yang perlu diterap, dikembang dan diampuhkan di Tanah Melayu ialah budaya Melayu. Ini kerana budaya Cina dan India, Bangla dan, dan, dan, adalah budaya pendatang.
Budaya penakrif lahir dari pasir, dari lumpur, dari hutan, dari sungai, dari sawah, dari paya alam Melayu.
Di mana-mana di pelosok dunia ini – di Eropah, di Afrika atau di Arab – budaya penakrif adalah budaya asal. Yang datang kemudian akan memperkayakan budaya penakrif yang sedia wujud. Yang datang kemudian dirayakan bersama.
Ada berapa negara terkecuali dari hukum sosial ini. Ia agak berbeza dengan apa yang berlaku di negara-negara yang ditakrif sebagai negara pendatang atau settler state. Contoh negara settler state ialah Kanada, Amerika Utara, Australia, New Zealand, Israel dan Singapura.
Kita menyaksikan bagaimana dalam negara pendatang ini budaya asal tenggelam atau hampir pupus. Atau hari ini hanya dijadikan bahan tarikan pelancong. Bani Melayu di Singapura, Bani Maori di New Zealand, Bani Red Indian di Amerika, Bani Abo di Australia dan Bani Palestin di Israel. Di negara-negara ini budaya asal telah ditenggelami oleh pendatang baru - kaum imigran - yang jumlahnya cukup tinggi. Jumlah besar ini akhirnya berjaya menumpaskan yang asal.
Tetapi kenapa di Tanah Melayu, majoritinya Bani Melayu tetapi kelihatan budaya Melayu gagal untuk menjadi budaya penakrif?
Jawabnya ekonomi, ekonomi dan ekonomi.
Dan dalam tulisan ini saya ingin menerangkan bagaimana ekonomi menggagalkan kemunculan budaya penakrif Bani Melayu yang kompak, tersusun dan berwibawa.
Ketika Siam, Belanda, Portugis, Inggeris dan Jepun datang menjarah ke Tanah Melayu, Bani Melayu telah memiliki adat istiadat dan budaya. Malah sebelum Islam Arab datang, Bani Melayu telah memiliki agama, kepercayaan dan Dewata Mulia Raya.
Dewata Mulia Raya ini saya ajukan ini dibuktikan wujud melalui bahan arkeologi di Lembah Bujang Kedah. Saya juga mengajukan batu bersurat Kuala Berang sebagai artifak bertulis tentang kewujudan Dewata Mulia Raya - tuhan Bani Melayu sebelum masuk Islam.
Tamadun Bani Melayu berasaskan ekonomi pertanian di era Lembah Bujang. Bani Melayu ke sawah berpadi. Ke hutan mencari buruan. Ke laut, sungai dan paya untuk menimba ikan. Malah lebih tepat lagi pada ketika itu ekonomi Bani Melayu tidak bergantung pada mata wang. Jual beli dalam pemahaman kita hari ini tidak wujud. Jual beli yang wujud ialah ekonomi bertukaran atau butter trade. Ini asas ekonomi sebelum sampainya sistem ekonomi kapitalisme yang dibawa oleh Inggeris.
Inggeris memperkenalkan sistem ekonomi kapitalis. Ini untuk memastikan kekayaan Tanah Melayu ini dapat dipunggah untuk membina kota London dan budaya Anglo-Saxon.
Kedatangan Bani Cina dan Bani India - yang di bawa dari Tanah Besar China dan Bharat ini bertujuan untuk menjarah dan merampok harta kekayaan Tanah Melayu dan memunggah kekayaan ini ke London.
Kuasa ringgit, pitis, kupang
Penjarahan ini hanya boleh dilakukan dengan bantuan kaum buruh Tanah Besar China dan Bharat. Bani Melayu yang hidupnya ‘lumayan’ tidak mahu menjadi hamba Inggeris. Berbanding dengan Bani India yang di paksa atau Bani Cina yang merempat kebuluran dari Tanah Besar.
Maka adalah logik bagi Inggeris untuk menggunakan pertukaran tenaga buruh dengan ringgit dan sterling. Maka sistem ekonomi kapitalis diperkenal. Kuasa ringgit, pitis, kupang mula memasuki ke alam Melayu.
Bani Cina dan Bani India adalah kumpulan terawal yang dimajukan dalam sistem ekonomi kapitalis ini. Jangan silap faham, Bani Cina yang duduk di pekan dan bandar telah lebih awal menikmati kebajikan yang diwujudkan oleh sistem kapitalis. Ini kerana Tuan Elis dan Tuan Evon, Tuan OCPD dan Tuan DO semuanya duduk dalam pekan dan bandar. Justeru Bani Cina menikmati lebih awal air dalam besi dan api dalam kaca.
Ekonomi kapitalis ini lebih kukuh dan lebih rakus dari ekonomi pertanian cukup makan cukup pakai Bani Melayu. Ini hakikat dari hukum evolusi perkembangan ekonomi.
Kekuatan awal ekonomi kapitalis Bani Cina ini telah dibantu pula oleh jumlah Bani Cina yang masuk ke Tanah Melayu. Sebahagian dibawa secara rasmi oleh Inggeris. Ramai juga yang datang sama seperti Bangla, Nigeria, Myanmar dan Vietnam yang hari ini menceroboh masuk secara haram ke alam Melayu.
Justeru bandar dan pekan di seluruh Tanah Melayu dimiliki oleh Bani Cina. Dengan jumlah yang besar, akhirnya Bani China tidak ambil pot terhadap budaya Bani Melayu. Kekuatan ekonomi dan jumlah adalah hukum sosial yang membuatkan Bani Cina ini lebih angkuh jika dibandingkan dengan Bani Cina yang berada di Indonesia atau di Siam.
Kalau di Indonesia, mustahil ada Bani Cina yang tidak tahu bertutur dalam Bahasa Indonesia. Mustahil. Tapi di Tanah Melayu masih wujud.
Di United Kingdom, di Belgium atau di Perancis, jika ada Bani Cina atau bani apa pun yang tidak mahu belajar bahasa Inggeris, Flemsih atau Perancis, maka mereka akan ‘mampus kering’. Ini kerana wujudnya budaya penakrif yang secara tersendiri memaksa si pendatang halal atau pendatang haram untuk belajar berkomunikasi dengan menggunakan bahasa tempatan.
Contoh terbaik ialah kes Hishamuddin Rais. Apabila saya diberi suaka politik di Belgium, saya ditempatkan dalam satu perumahan. Saya berkongsi dapur dengan Bani Iran, Bani Angola, Bani Chile, Bani Vietnam dan Bani Cambodia. Dalam minggu ketiga sesudah saya sampai, saya dan yang lain-lain telah mula belajar bahasa Perancis.
Pendatang baru ke Belgium tidak ada pilihan. Jika kamu tidak tahu bahasa Perancis atau Flemish, maka kamu sendiri akan mati kering.
Ini tidak berlaku di Tanah Melayu.
Jangan silap faham, apabila saya mengajukan betapa wajibnya diwujudkan budaya penakrif di Tanah Melayu, bukan bermakna tarian singa, kuil atau tok pekong akan di lupus atau runtuh. Tidak. Ini bukan tujuan budaya penakrif.
'Bukan hegemoni Bani Melayu'
Di sinilah wacana kita - anak semua bangsa - di Tanah Melayu ini selalu terpesong. Sengaja dipesongkan dengan niat jahat oleh sosok-sosok dan kumpulan yang tidak mahu mewujudkan budaya penakrif. Bahasa Tamil, bahasa Tionghua, tarian singa, membawa kavadi, bergendang ketika ke kubur, semua ini hanya bentuk budaya. Ini manifestasi budaya. Ini bukan budaya penakrif.
Jangan silap faham, bukan bentuk budaya yang saya tentang. Saya tidak menentang apa-apa. Saya hanya menganalisis dan mengajukan sesuatu. Justeru bukan bentuk budaya yang saya persoalkan. Yang saya ajukan ialah betapa perlunya budaya penakrif/core culture yang dominan untuk membidani kelahiran satu negara bangsa.
Di Tanah Melayu yang majmuk, di Sabah Sarawak yang penuh dengan bahasa dan kepelbagaian pastilah bentuk-bentuk seni ini akan dirayakan. Kepelbagaian ini adalah keindahan. Tetapi dalam masa yang sama budaya induk - budaya penakrif - wajib wujud sebagai juru mudi negara bangsa.
Ini bukan hegemoni Bani Melayu. Ini hukum alam semula jadi. Kalau pendatang datang ke United Kingdom maka budaya penakrifnya pastilah budaya Anglo-Saxon. Kalau ke Perancis pastilah budaya penakrifnya Celtic dan Germanic. Kalau ke Iran dimana wujud Bani Kurds, Bani Baluci, Bani Arab, Bani Turks, Bani Azaibajani, maka budaya penakrifnya tetap budaya Parsi. Begitu juga di Turki - ada Arab, ada Kurdish, ada Armenian - tapi budaya penakrif tetap budaya Turks.
Bani Melayu cukup arif dalam hal ini. Datuk nenek moyang Bani Melayu dari zaman berzaman telah meninggalkan ajaran di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Ke kandang kerbau kita menguak ke kandang kambing kita membebek. Ini pandangan yang saintifik dan logik.
Mereka kaum pendatang wajib menerima hakikat ini. Saya tidak tahu apakah Bani Cina dan Bani India ini sama seperti sikap Belanda minta tanah? (Ini kesah yang lain).
Saya cukup yakin pemimpin United Malays Nantional Organisation juga sedar hal ekonomi ini. Parti ini pada awal sejarahnya telah didanai dan dibantu oleh kuasa penjajah Inggeris. Kemudian parti ini untuk pilihan raya 1955, 1959, 1964 yang memerlukan perbelanjaan telah didanai oleh para cukong, tauke Bani Cina yang duduk di bandar dan pekan.
Ini fakta bukan labun Hishamuddin Rais. Malah Tun Musa Hitam pernah bercerita tentang hal ini.
Bentrokan Mei 13 1969 itu sebenarnya adalah manifestasi persoalan nasional yang belum selesai. Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah juga manifestasi dari persoalan nasional yang saya timbulkan ini.
Persoalan nasional ini perlu mencari jalan penyelesaian. Hari ini semakin ramai Bani Melayu sedar bahawa mereka masih ketinggalan dalam hal ekonomi. Mereka diketepikan dari pekan, bandar dan kota.
Bandar bandar masih lagi dimiliki oleh yang lain. Walhal bandar adalah tempat dan pusat kemunculan gerakan intelektual, gerakan bahasa dan gerakkan budaya. Paria ialah kota budaya dan kota intelektual Bani Perancis. London adalah kota intelektual dan kota budaya Bani Inggeris. Edinburgh ialah kota budaya dan kota intelektual Bani Scot.
Keangkuhan di Bangsar South
Jika Ipoh, Penang dan Kuala Lumpur masih dimiliki oleh yang lain, maka mustahil budaya Melayu akan berjaya menjadi budaya penakrif.
Kelucahan dan keangkuhan yang lain ini semakin menjadi-jadi. Sejarah dan nama-nama asal kampung Bani Melayu seperti Kampung Kerinchi dan Pantai Dalam telah diubah untuk menjadi Bangsar South. Ini hanya satu contoh.
Ini berlaku kerana Bani Melayu gagal mewujudkan budaya penakrif. Budaya penakrif ini digagalkan kerana Bani Melayu tidak menguasai ekonomi. Hari ini dikuliah dan diheboh-hebohkan bahawa Bani Melayu bergantung dengan kuasa politik.
Kuasa politik Bani Melayu ini amat rapuh. Parti Ketuanan Melayu yang dilihat berkuasa, walaupun dengan slogan Hidup Melayu, pada hakikatnya parti ini sedang ditaja oleh mereka yang menentang kelahiran budaya penakrif.
Maka akhirnaya kita kembali kepada persoalan awal – ekonomi, ekonomi, ekonomi. Adakah Bani Melayu akan menemui jalan keluar? Tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.