Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam tulisan minggu lalu saya telah memperlihatkan bagaimana psikik Bani Melayu telah digunakan untuk menjadikan parti Demokratik Action Parti (DAP) sebagai ‘orang jahat’. Fitnah dan tohmah telah berjaya ditaburkan terhadap DAP. Dalam masa yang sama DAP juga telah terperangkap dalam sejarah dirinya sendiri. Ini telah meyakinkan Bani Melayu bahawa segala tohmah dan fitnah ini betul dan sahih.

Hari ini DAP terus dicap dan diserang sebagai musuh dalam usaha, taktik dan strategi induk United Malaya National Organisation untuk mendapatkan sokongan Bani Melayu.

DAP dilihat oleh Bani Melayu sebagai yang lain yang telah memporak perandakan tamadun Bani Melayu. DAP juga dilihat sebagai biduk yang sedang memisahkan kiambang.

Kalau kita menggunakan ilmu kajian naratrif filem, maka DAP ini dianggap sebagai ‘disruptor’ atau penggangu. Sang penggangu ini wajib ditumpaskan agar kiambang akan bertaut kembali.

Mari kita lihat sekali lagi filem High Noon arahan Fred Zinnemann yang dibuat pada tahun 1952. Kita akan bertemu dengan Gary Cooper. Sang penyelamat Gary Cooper bangun untuk menewaskan kumpulan samseng dan kaki busuk yang membuat kacau. Di akhir naratif orang kampung dapat diselamatkan oleh sang penyelamat.

Dalam naratif politik Malaysia sang penyelamat ialah United Malaya National Organisation. Musuh yang wajib terus diserang ialah DAP. Orang kampung yang wajib diselamatkan ialah Bani Melayu.

Apabila kita semua memahami suasana politik ini maka akan timbul satu persoalan hakiki. Bagaimana pula dengan Malaysian Chinese Association (MCA). Bukankah MCA ini juga parti Bani Cina. Apakah kabilah ini juga wajib ditakrif sebagai yang lain dalam badan politik Malaysia.

Betul dan sahih bahawa MCA juga ialah yang lain. Justeru jangan terperanjat apabila saya memberi jawapan kepada persoalan ini.

Berbanding dengan DAP parti MCA ini lebih licik dan amat seni racun politiknya. Kalau DAP berasal usul dari Singapura, parti MCA ini pula berasal dari Tanah Besar China. Satu gerombolan Bani Cina di Tanah Melayu muncul untuk menyokong Parti Kuomintang yang dikepali oleh Jeneral Chiang Kai-shek. Ini ketika berlaku perang saudara 1927-49 antara Parti Komunis China dan Parti Kuomintang.

Parti MCA ini berhaluan kanan, dan dianggap cawangan Parti Kuomintang. Kuomintang adalah parti pro kaum pemodal, justeru MCA disokong dan didanai oleh oleh tauke dan cukong di Tanah Melayu.

Awalnya ada kerja sama yang longgar antara gerombolan United Malays National Organsiation dengan puak MCA ini. Tetapi mereka berhadapan dengan musuh yang sama di zaman kolonial Inggeris. Mereka berhadapan dengan Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyokong perjuangan Parti Komunis China bawah pimpinan Mao Zedong.

Kuasa kolonial Inggeris dalam usaha untuk mengalah Parti Komunis Malaya dikatakan telah memaksa Tunku Abdul Rahman untuk bekerjasama dengan MCA. Dengan cara ini sokongan Bani Cina di Tanah Melayu kepada PKM dapat dikurangkan.

Dari suasana politik inilah muncul apa yang hari ini dipanggil – kontrak sosial - yang dipaksakan oleh Inggeris kepada Bani Melayu. Kontrak sosial ini memaksa Bani Melayu menerima Bani Cina dan Bani India untuk menjadi warga negara Tanah Melayu berasaskan ‘jus soli’. Ini berlaku pada tahun 1945.

Ini fakta sejarah bukan labun dari Hishamuddin Rais.

Hari ini kalau Presiden China Merah Xi Jinping mencadangkan agar 700,00 China pemilik kondo di Eco Park Johor diberi hak kerakyatan atas dasar jus soli, saya bertanya apakah parang panjang akan berterbangan sekali lagi?

Gerombolan MCA ini dengan modal dengan licik lagi halus telah menggunakan parti United Malays National Organisation. Dari sejarah kita dapat membaca bagaimana para cukong dan para tauke ini telah melabur dana memberi sokongan dolar dan ringgit kepada benggolan-benggolan pemimpin United Malays National Organsoiation.

Dengan bekerja sama dengan United Malays National Organisation parti Bani Cina ini telah menjauhkan diri dari psikik kemarahan dan ketidakpuasan hati Bani Melayu terhadap pendatang asing.

Sebagai pulangan dari pelaburan dan sokongan kepada United Malays National Organisation para cukong ini telah berjaya merembat tanah yang asal usulnya milik negara atau milik Bani Melayu. Justeru kita melihat bagaimana Bukit Genting tergadai menjadi ladang judi. Ini contoh terbaik gaya kerja gerombolan yang licik menyamar.

Akhirnya kita melihat semua pekan dan kota di Tanah Melayu ini menjadi hak milik cukong Bani Cina. Dari sini timbul persoalan hakiki, di mana Bani Melayu hari ini? Apa pengaruh pekan dan kota ini terhadap psikik Bani Melayu?

Persoalan ini wajib saya jawab secara teoritikal. Kaum Marxis memiliki teori alienation atau pengasingan untuk memahami sifat umat manusia dalam dunia moden hari ini.

Mengikut teori alienation ini kaum buruh bekerja membuat benda-benda yang mereka sendiri tidak gunakan. Pekerja dikilang kereta tidak menggunakan kereta. Pekerja membaiki helikopter tidak akan memiliki helikopter. Buruh yang membangunkan kondo lima bintang hanya akan pulang ke flat PPRT. Suasana ini ditambah pula dengan keadaan sekeliling apabila wujudnya orang kaya manakala diri mereka terus miskin memburuh. Suasana inilah dipanggil olek Karl Marx sebagai estarangmen/alinenation. Kaum buruh merasa terasing justeru hilang sifat kemanusiaan mereka.

Berasaskan teori ini saya ingin menambah dan mencelah atas pandangan Karl Marx dan kaum Marxis ini. Pandangan dan teori saya khusus mengenai Bani Melayu yang saya amati. Saya mengajukan, selain terasing, Bani Melayu juga diketepikan.

Mengenepikan Bani Melayu ini dilakukan secara terancang dan secara tidak terancang. Untuk memahami apa yang saya tulis kita semua wajib memahami apa makna kota dan apa tanda yang dibawa oleh kota. Dalam konteks dunia moden kota dan pekan adalah tanda dan simbol tamadun bangsa.

Kota dan pekan adalah wilayah kelahiran bentuk budaya, bentuk seni, gerakan intelektual dan gedung ilmu. Dari limpahan tanaman dan panen kaum tani luar bandar maka bandar dapat berkembang. Semuanya disokong oleh wilayah desa yang ekonominya seratus peratus pertanian.

Kota Paris muncul kerana kaum tani Perancis dari Lyon atau di Epernay menyokong kota ini. Brussel lahir membesar kerana kaum tani dari Liege atau dari Wavre bersedia mendirikan dan menyokong kota ini. Kota Baghdad dibina kerana sokongan warga dari Najaf atau Karbala atau Mosul. Kaherah berdiri gagah kerana sokongan kaum tani di lembah Sungai Nil yang subur. Dari kota-kota inilah lahirnya tamadun Perancis atau tamadun Belgium atau tamadun Iraq atau Mesir. Dari kotalah tamadun bersarang, menetas dan berkembang untuk mentakrif tamadun bangsa.

Hakikatnya pembudayaan negara bangsa lahir dari dalam kota.

Ini tidak berlaku di Tanah Melayu. Kota dan pekan di Tanah Melayu tidak melahirkan tamadun Melayu. Pekan saya Kuala Klawang di Jelebu adalah pekan Bani Cina, walhal di sekeliling pekan ini ada orang perkampungan Bani Melayu. Pekan Kuala Klawang wujud kerana sokongan ekonomi Bani Melayu. Tetapi warga pekan Kuala Klawang tidak ambil pot tentang ketamadunan bangsa - jauh sekali tentang sastera dan seni. Mustahil warga Kuala Klawang memikirkan ukiran bangunan mereka dengan kesinambungan Melaka atau Minang.

Justeru kota dan pekan kita dilihat sebagai hampeh yang tidak menggambarkan ketamaduan pemilik asal bumi ini. Kota Baghdad nampak Arabnya. Kota Lahore nampak Pujabinya. Kota Amsterdam nampak Belandanya. Kota Tehran nampak Parsinya. Tapi Kuala Lumpur tidak kelihatan Melayunya.

Ini maksud saya Bani Melayu diketepikan.

Keadaan ini berlaku di seluruh Tanah Melayu. Perhatikan rapi-rapi untuk memahami bahawa ini semua bukan labun Hishamuddin Rais.

Jika Karl Marx hadir di Kuala Lumpur hari ini pasti dia akan faham pencelahan saya ke atas teori keterasingan manusia moden. Bani Melayu bukan saja terasing malah mereka sedang diketepikan.

Saya memiliki bukti yang paling jelas bagaimana Bani Melayu dketepikan.

Gerombolan yang bertanggungjawab pastilah para cukong dan tauke yang sedang bekerjasama dengan benggolan dari parti Ketuanan Melayu. Dengan menggunakan slogan Ketuanan Melayu dan Hidup Melayu, parti United Malays National Organsiation sedang bersekongkol untuk memusnahkan rupa bentuk dan sejarah ketamaduan Bani Melayu.

Contoh terbaik kita lihat apa yang sedang berlaku dalam Kuala Lumpur.

Dengan lucah dan kurang ajar para cukong telah menghilangkan nama-nama Bani Melayu. Ke mana hilangnya Kampung Haji Abdullah Hukum? Apa terjadi dengan Kampung Pantai Dalam? Kenapa ada nama Bangsar South? Apa dia Gombak East.

Semua ini adalah niat jahat para cukong. Niat ini ialah untuk mengalih dan memupuskan babak-babak sejarah kota Kuala Lumpur dari tamadun Bani Melayu.

Semua ini menjadikan psikik Melayu terus tidak yakin kepada Bani Cina. Dengan licik lagi terancang pemusnah sejarah Bani Melayu ini telah berselindung di belakang jubah United Malays National Organisation.

Yakinlah semua ini sedang diperhatikan oleh mata Bani Melayu di kampung-kampung dan pedalaman dengan penuh kesedaran. Dan penuh kemarahan yang menunggu masa.

Sekali pandang mungkin ada yang menganggap apa yang saya timbulkan ini perkara remeh. Tetapi yakinlah ini sama seperti langkah Zionis Israel mengubah nama Tebing Barat kepada Judea dan Samaria. Hakikat mengubah nama Kampung Kerinchi untuk menjadi Bangsar South memiliki naik jahat. Yang menetaskan niat jahat ini adalah para cukong yang sedang menyediakan prasarana baru untuk kedatangan pemain baru.

Prasarana? Prasarana apa? Pemain baru?

Apakah para pembaca lupa tentang Eco City? Apakah pembaca lupa bagaimana tanah Keretapi Tanah Melayu di Tanjung Pagar hilang dirembat oleh Lee Kuan Yew? Apakah para pembaca lupa tentang projek pelabuhan Melaka. Apa tidak terbaca tentang tuduhan Mahathir terhadap Najib yang sedang menjual negara ini kepada Bani Cina - bukan Cina tempatan - bukan DAP atau MCA tapi China Merah.

Ada lagi Bani Cina yang akan datang? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS