Di luar sedang hujan menggila, seraya menggendong anak lelakiku, mata tertancap kepada lukis-komik Amin Landak yang dipamer di ruang kecil Circle, Publika. Ia merupakan pameran solo pertama Amin Landak selaku pekartun.
Tiba-tiba sahaja aku disapa Noor Rahmat Shah Haron, atau seniman yang lebih dikenal Rahmat Haron. Kami saling bersalaman dan menukar bual basa-basi tentang hidup. Kemudian Rahmat memberitahu, ‘Boleh tunggu, aku nak dapatkan buku puisi aku.”
Aku bilang, “Aku tunggu.”
Entah berapa dekad sekali kami bertemu, berjabat tangan kemudian masing-masing menghilang membawa kekuatan seni masing-masing.
Dan Rahmat beredar, kembali dalam sepuluh minit, menulis sesuatu di halaman pertama kumpulan puisi ‘Yang Terbangsatkan: Sajak-Sajak 1995-2016’ [Rahmat Haron. 2017. Yang Terbangsatkan. Teratak Nuromar. Ipoh.].
Walau Rahmat ingin memberinya percuma, sebagai cendera daripada seorang pengarang kepada pengarang lainnya, aku bertegas membayar.
Hasil seni harus berbudi kepada tuannya. Sungguh kemudian aku merasai ia berbaloi.
Petang Sabtu itu membawa ke larut malam, awal pagi Ahad – aku mengulit puisi nukilan Rahmat. Ternyata aku kecanduan puisi-puisi Mat.
Selama ini, puisi yang benar-benar memikat buatku hanyalah hasil T Alias Taib, WS Rendra, Wiji Thukul, Bei Dao dan Paul Celan. Kali ini aku tak segan mengakui, senarai penyair yang aku gemari kini sudah bertambah – Rahmat Haron.
Mengapakah aku jatuh cinta serta-merta dengan puisi-puisinya? Barangkali kerana ada larik dan warna A Samad Said pada puisi-puisi Rahmat.
Walau aku sukar menulis puisi, dalam banyak hal aku terasuh oleh puisi Pak Samad. Mungkin kerana kami berkongsi mentor yang sama. Jurus dan kilas Pak Samad sebagai misalan tercurah pada penggalan puisi ‘Bila Harinya Gelap’ ini:
Kemudian, dia melihat bulan di telan naga,
bulan jadi debu luruh di langit geruh – malam menikam
hatinya, hempedunya pecah, ia racun yang pahit.
Apa yang benar-benar berbekas ialah puisi-puisi Rahmat mengatasi semua pelajaran yang kita tahu tentang puisi; metafora, simile, ritma dan bermacam-macam yang lain.
Aneka unsur itu tidak penting lagi, persetankan saja. Puisi-puisi Rahmat menancap jiwa yang membaca, kerana serasa keikhlasan pada baitnya.
Lebih aku gemari ialah, Rahmat tidak sahaja bermakna dengan puisi pekiknya – melihat sekali imbas Rahmat akan membuat kita menyangka dia hanya terasosiasi dengan puisi pekik – akan tetapi puisi bisiknya serasa amat syahdu, haru; sementara puisi pekiknya terasa padu, seru.
Puisi Bisik
Ambil puisi bisik Rahmat berjudul ‘Selamat Malam Perempuan’, antara bait yang membuat diri pegun:
pelita kita kusam tak bersumbu
asmara kita karam tak bercumbu
gelap, itulah ia senyap
aku lumpuh, guruh di langit ini tiada
hanya angin, hanya dingin
hanya ribut tak berbunyi
kusut tak bersuara
[Rahmat Haron. 2017. Yang Terbangsatkan. Teratak Nuromar. Ipoh. Hlm. 50.].
Juga baca puisi bertajuk ‘Jatuh Cinta’ yang ringkas, polos tetapi terasa mendatang belas, jiwa diramas, di hujungnya serasa berbekas kerana puisi imbas itu tertuang ikhlas:
Hujan petang, kita menunggu datangnya bas
sama-sama kita menaikinya,
senyuman yang berbalas,
cuma sebentar memberi bekas,
engkau telahpun turun ke perhentian
dan aku meneruskan perjalanan
bersama ingatan warna-warni bajumu, khaki hitam,
hawa dingin dan abjad-abjad kata dari buku
tentang kehijauan
[Rahmat Haron. 2017. Yang Terbangsatkan. Teratak Nuromar. Ipoh. Hlm. 176.].
Puisi-puisi di atas memberikan kita ruang kecil untuk menyelam Rahmat ke dasar-dasarnya, di sebalik rambutnya yang berpintalan, lengan yang bertatoo, sekaki payung, dan senyumnya yang mesra – ada raga yang sangat halus, indah dan memerlu perhatian.
Sungguh aku bersyukur membayar buku puisi ini, meski berharga sedikit, tetapi untuk penggemar puisi tulen akan mengabaikan nilai dan menikmati setiap lorekan Rahmat.
Terima kasih untuk Teratak Nuromar yang berani menerbitkan buku puisi dengan kulit keras kerana menerbitkan puisi ibarat membunuh diri. Makanya, Rahmat yang aku pernah lihat dari jauh ketika di Universiti Malaya dahulu - kenal tapi tidak akrab - jatuh hati aku sebagai peminat atau penggemarnya. Jika aku menulis sebuah ulasan, kerana aku betul-betul suka, bukan kerana terpaksa.
Puisi Pekik
Puisi-puisi pekik sentuhan Rahmat memang majestik. Ia adalah kekuatan Rahmat, kita malah boleh membayangkan Rahmat mendeklamasikannya dengan penuh tertib persembahan. Puisi ‘Keranamu Malaysia’ sebagai contoh adalah jumlah dan jemaah isu-isu massa dalam masyarakat kita yang makin bobrok.
Atau puisi beliau yang paling aku senangi ialah ‘Catatan Karut Si Hati Herot’, ia menjadikan Rahmat jauh mengatasi penyair bertaraf SEA sedia ada dari segi kedalaman peka dan kejujuran bersuara:
Aku purba tercicir dijinjit semut, di bawah sakit terduduk, di belakang hulu tertinggal, di kuala disauk terhempuk, di laut dihempas badai, di pantai terbantai teruk, sebu di ladang tebu, resah di estet getah, menjerit di felda sawit, badi di kampong padi, rentan di sungai ikan, bentan di bukit haiwan, hanyir di pinggir bandar hamis, tersudut di pekan tertekan, sebal di hutan tebal
[Rahmat Haron. 2017. Yang Terbangsatkan. Teratak Nuromar. Ipoh. Hlm. 97.].
Dalam puisi ‘Rakyat’ serasa pekik yang nyaring itu menjadi ngauman yang bergemaan:
Bukan peta, bahasa, nama dan bendera. Tanah dan air kita pada perusahaan besar dan kaya. Tanah dan air kita pada negara kuasa tentera. Tanah dan air kita pada polis, senjata dan penjara. Tanah dan air kita pada pemimpin pengarah, ketua, pengurus dan undang-undangnya. Tanah dan air kita pada perasuah penyalahguna kuasa. Tanah dan air kita di tangan zalim, kejam dan ganas. Tanah dan air kita di pagar kunci tamak haloba benci. Tanah dan air kita ditipu sabda ucapan suci pelawak komedi politik. Tanah dan air kita dikaburi iklan gambar dan tivi
[Rahmat Haron. 2017. Yang Terbangsatkan. Teratak Nuromar. Ipoh. Hlm. 135.].
Membaca puisi ‘Matematik dan Sains Sebuah Keranda’ mengingatkanku hari hujan tatkala demonstran berarak dari Istana Negara, diburu gas pemedih mata yang ditebar di Masjid Negara.
Rahmat berada di situ. Aku pernah berada di situ, meski kami saling tak bertemu tetapi bertaut oleh insiden yang mustahak itu. Puisi Rahmat berkembang subur tahun demi tahun dari realisme penuh maki nista, kepada tonil surealisme yang radikal. Puisi-puisinya tumbuh dari coret yang tiada kejelasan makna kepada gagasan yang dapat menjentik wacana.
Puisi-puisinya yang lebih ke hujung, 2016, seperti ‘Sajak Propaganda Hari Wanita Tentang Bunga dan Perempuan’ membawa kita, atau paling tidak aku menempuh pertanyaan, rahmat apakah yang mengucur Rahmat?
Di tengah sela puisi tentang pembelaan wanita, Rahmat memesan tentang Siti Hajar dalam puisi itu, bahawa ia adalah ikon ‘bunga’ yang mendapat tempat di samping kaabah:
Di sebelah binaan Ka’abah bukan makam para raja dan penguasa,
Tidak juga kubur jantan-jantan ternama, gagah dan perkasa,
Di situ bersemadi sebuah pusara,
Dan aku teringat kata-kata Ali Shariati:
"Dari sekian ramai manusia, terpilih seorang perempuan,
Dari sekian ramai perempuan, terpilih seorang hamba,
Dari sekian ramai hamba, terpilih yang gelap kulitnya”
[Rahmat Haron. 2017. Yang Terbangsatkan. Teratak Nuromar. Ipoh. Hlm. 189.].
Husin
Akan tetapi, di tengah puisi bisik dan pekik itu ada puisi yang berimbangan nadanya, yang sangat wasatiyyah sifatnya. Nada puisi itu menggugah, tetapi bahasanya lena dan nyaman. Puisi berjudul ‘Nota Buat Dia Tidak Sekadar Sekuntum Mawar Merah dan Sebuah Puisi di Bulan Februari’ menghimbau inti sebuah perjuangan, tonik kuat suatu cinta yang sukar difahami pencinta yang gagal atau tidak kesampaian.
Bait-bait di bawah ini membuat aku terlongo, pengsan, dan sedar kembali tetapi kemudian mengongoi dan pengsan lagi:
Hari ini dulu-dulu Februari adalah Muharam,
Dan kota Roma adalah Karbala,
Hari ini dulu-dulu Husin adalah kekasih kita,
"Kau katakan pada sejarah dan setiap insan,
Kau khabarkan pada langit dan rembulan
Pada tirani dan sekutu syaitan,”
Akan tumbuh kuntuman bunga keadilan,
Valentinus si wali adalah kekasih Isa,
Isa al-Masih adalah kekasih Ali,
Ali adalah kekasih Fathimah,
Fathimah adalah kekasih Zainab,
Zainab adalah kekasih Hasan,
Hasan adalah kekasih Husin,
Husin adalah kekasih kita
[Rahmat Haron. 2017. Yang Terbangsatkan. Teratak Nuromar. Ipoh. Hlm. 125.];
Terima kasih Rahmat. Semoga panjang umur. Usia panjang yang disolawati lebih bermakna dari usia panjang yang tidak berbuat bakti.
InsyaAllah penyair budiman menjadi bendera bangsa walau tidak dipeduli semasa hayatnya. Semoga dikurniakan kekuatan mengarang bermacam-macam lagi puisi yang indah dan penuh erti. Terima kasih ‘pseudo sufi’ kerana memberi aku ‘pseudo liberalis’ satu pengertian:
Islam yang menindas tetapi (konon) mengaku sederhana akan (tetap) kalah. Yang batil akan tewas. Di ruang seni, meski penguasa banyak dan giat melarang; bumi tetap dibaja seniman ‘yang terbangsatkan’; tetapi seperti ingatan Rahmat di halaman akhir buku puisinya:
Moga-moga besok adalah hari yang baik.
Aku menyahut dengan ‘Amin.’
FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia