Minggu lalu saya telah bersurah tentang bagaimana Bani Melayu telah dipaksa dengan Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Bagaimana alam Melayu dipecah perintah melalui Perjanjian Anglo-Dutch 1824 dan Perjanjian Anglo-Thai 1909.
Satu demi satu negeri di Semenanjung Tanah Melayu jatuh ke tangan kolonial Inggeris. Akhirnya Bani Melayu semenanjung juga telah dipaksa menerima kedatangan Bani Cina dan Bani India dari China dan Bharat. Mereka dibawa oleh kolonial Inggeris untuk dijadikan tenaga buruh.
Bani Cina untuk memburuh di lombong bijih. Memburuh di pelabuhan. Bani India memburuh di ladang getah milik Inggeris. Kedatangan dua bani ini telah mengubah badan politik Bani Melayu. Semenanjung Tanah Melayu tidak jadi tanah Melayu lagi.
Babak sejarah inilah yang menimbulkan persoalan nasional. Rentetan dari babak-babak inilah yang menimbulkan persoalan nasional yang saya cuba rungkai. Merungkai untuk mencari jalan penyelesaian.
Sebelum kita bertemu jalan penyelesaian, wajib untuk kita semua mengenali persoalan yang dihadapi. Seperti doktor, bomoh dan tabib, sebelum memberi ubat, jampi atau serapah, wajib diketahui hantu apa yang merasuk. Kuman mana yang menyerang. Virus apa yang menggigit.
Wajib saya nyatakan bahawa persoalan nasional yang saya timbulkan pada tahun 2017 ini bukan satu yang baru. Saya hanya mengulang buka. Saya hanya menokok tambah dengan pandangan dan pendekatan teori baru.
Apabila pencerahan sampai ke Tanah Melayu, apabila api suluh bacaan mula tersebar, kesedaran mula timbul di kalangan pemimpin Bani Melayu. Kolonial Inggeris memerlukan aparacik - tenaga tempatan untuk terus merompak harta kekayaan tanah Melayu. Maka sekolah dibuka.
Untuk mewujudkan budak suruhan yang setia kepada penjajah, kolonial Inggeris telah mendirikan MCKK - Kolej Melayu Kuala Kangsar pada 1905. Untuk kaum tani Melayu ditubuhkan SITC – Sultan Idris Training College pada tahun 1922.
Dari sini kita mula melihat kelahiran kelompok politik dan kumpulan politik dan sosial.
Kesedaran siapa aku. Kesedaran di mana aku muncul apabila bertemu dengan yang lain. Hakikat dan teorinya yang lainlah yang bertanggungjawab melahirkan kesedaran diri. Yang lain jugalah yang melahirkan jati diri. Yang lain juga melahirkan semangat kesedaran berkelompok. Kelainan ini menimbulkan semangat nasional. Semangat nasionalis ini muncul mengembang kerana berhadapan dengan yang lain.
Sejarah merakamkan bahawa Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan pada 30 April 1930. Awas dan waspada, tujuan asal PKM ialah untuk mempertahan dan membela hak kaum buruh Bani Cina di Tanah Melayu, terutama di wilayah industri dan pelabuhan Singapura. Hanya di kemudian hari PKM beralih dasar untuk memperjuangkan hak kaum buruh dan tani di Tanah Melayu.
Parti siasah anak bumi yang pertama lahir di Tanah Melayu ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuhkan pada tahun 1939. KMM lahir ketika gelombang api kebangkitan anak-anak tanah jajahan sedang bangun melawan kuasa kolonial.
Di Asia, Afrika dan di Amerika Latin, anak tanah jajahan mula bangun untuk menghalau kuasa penjajah. Kuasa kolonial Inggeris, Itali, Perancis, Portugis dan Sepanyol sedang dihambat.
Tahun-tahun empat puluhan ialah tahun kebangkitan nasionalisme di seluruh dunia. Di Jerman, kerana tidak puas hati, Bani Jerman hasil dari Perang Dunia Pertama telah membuka jalan membawa kelahiran Hitler. Sikap kolonial Inggeris yang mahu meminggirkan Jepun telah melahirkan Tojo dan konco-konconya di Tokyo.
Di Tanah Melayu kita bertemu dengan Dr Burhanuddin, dengan Ibrahim Yacob, dengan Ahmad Boestaman, dengan Ishak Muhamad, dengan Aishah Ghani, dengan Shamsiah Fakeh, dengan Ghafar Baba - antara lain.
Sosok-sosok ini menganggap diri mereka penerus perjuangan nasionalisme Melayu. Menganggap mereka menyambung perjuangan suci antikolonial Dol Said, Tok Janggut, Tok Sagor, Maharajalela, Tok Bahaman, Rahman Limbong - antara lain.
Tetapi, awas dan waspada, ketika ini nasionalisme Melayu berhadapan dengan yang lain.
Ini perbezaan hakiki antara zaman Dol Said atau zaman Tok Janggut dengan zaman Boestamam. Ketika Tok Janggut atau Tok Bahaman bangun berjuang, yang lain hanyalah Inggeris dan sepoi dan soldadu upahan dari India. Musuh dapat dilihat jelas. Amat senang mengarahkan mata keris dan tombak ke dada musuh.
Tetapi di zaman Burhanuddin, di zaman Boestamam, nasionalisme Melayu berhadapan pula dengan yang lian – Bani Cina dan Bani India.
Apakah mereka yang lain ini musuh? Apakah mereka yang lain ini kawan? Ini adalah persoalan nasional dari dulu hingga ke hari ini yang masih belum mendapat jawapan tuntas untuk Bani Melayu.
Jika kita kaji, maka kita akan dapati kehadiran Bani Cina dan Bani India ini sebenarnya telah membantutkan nasionalisme Melayu. Perjuangan anak tanah jajahan di Asia, Afrika dan Amerika Latin, semuanya menuntut kemerdekaan. Merdeka jugalah slogan dan laungan perjuangan KMM. Tetapi laungan merdeka KMM di Tanah Melayu tidak sampai ke penghujung yang tepat - not into its rightful conclusion.
Lihat bagaimana Bung Karno dengan bambu runcing telah melaungkan merdeka. Akhirnya Bung Karno berjaya membawa ribuan pulau-pulau bawah bendera Pancasila. Negara bangsa Indonesia - Bhinneka Tunggal Ika - tegak berdiri pada tahun 1947.
Di Filipina, Jose Rizal walau pun ke tali gantung tetapi laungan merdeka dan sajaknya Noli Me Tangere telah membakar semangat anak-anak muda untuk bangun melawan Sepanyol dan Amerika. Nasionalisme Melayu Filipina ini berjaya menyatukan ribuan pulau-pulau dalam satu negara bangsa yang akhirnya wujud pada 1946.
Di Tanah Melayu, laungan merdeka ini tidak kompak. Yang menyahut laungan KMM hanya Bani Melayu. Ke mana arah yang lain? Apakah mereka tidak mendengar laungan KMM?
Sejarah merakamkan bagaimana ketika KMM melaungkan merdeka, Bani Cina dan India sibuk dengan perjuangan tanah asal usul mereka. Cinta mereka kepada Tiongkok masih tebal. Cinta mereka pada Bharat masih tebal. Kesetiaan kepada tanah Melayu nil, zero dan sifar.
Bani India di Tanah Melayu sibuk dengan politik Bharat. Pertempuran ideologi antara garis Mahatma Ghandi dengan Chandra Bose merebak ke Tanah Melayu. Manakala Bani Cina di Tanah Melayu sibuk mengumpul dana sama ada untuk Parti Komunis China yang dipimpin oleh Mao Zedong atau dana untuk Parti Kuomintang bawah Chiang Kai-shek. Ketika ini Mao dan Chiang sedang bertempur.
Hakikatnya politik tanah asal usul masih membara tebal.
Apa yang saya tulis ini bukan surah dongeng dari Hishamuddin Rais. Ini fakta sejarah. Inilah yang telah membantutkan semangat nasionalisme Melayu hingga ia gagal untuk menuju ke matlamat terakhir.
Unsur-unsur kesangsian Bani Melayu terhadap yang lain ini telah mula tertanam pada zaman kebangkitan nasionalisme Melayu. Apa yang berlaku di hadapan mata Bani Melayu menimbulkan soalan di manakah kesetiaan Bani Cina dan Bani India? Apakah kepada Chandra Bose, kepada Ghandi atau kepada Chiang Kai-sheik atau kepada Mao Zedong.
Kemudian, lanjutan babak-babak sejarah akan merakamkan bagaimana kesangsian ini mula merebak dan mula membeku. Kesangsian yang membeku inilah melahirkan persoalan nasional.
Gelombang nasionalisme pada tahun-tahun sebelum perang Perang Dunia Kedua cukup rancak. Eropah bergolak. Ekonomi Amerika menggelombang sebelum meledak pada tahun 1929.
Di Tanah Melayu keadaan sama seperti politik kita hari ini, semuanya terpencar-pencar, terpisah-pisah. Kelompok A membantu kelompok A. Kaum buruh industri dari Bani Cina. Buruh ladang getah dari Bani India. Manakala Bani Melayu terus menjadi pesawah, peladang kecilan dan nelayan. Semua terpisah-pisah. Cukup molek untuk strategi pisah dan perintah.
Maka timbul pertanyaan, apakah ketika ini tidak ada fikrah rasional yang ingin mendobrak musuh yang satu - kolonial Inggeris? Apakah ketika ini tidak ada kesedaran bahawa musuh utama ketika ini ialah Inggeris. Apakah tidak ada sang pemikir yang memikirkan siapa musuh utama dan siapa musuh kedua?
Jawabnya pasti ada. PKM walaupun mengumpul dana untuk Mao dan Parti Komunis China tetapi telah wujud kesedaran bahawa wajib diwujudkan satu garis politik yang tepat untuk Tanah Melayu.
Garis politik PKM ini telah cuba memimpin perjuangan pembebasan. PKM telah cuba membawa satu pendekatan baru. Mengikut ajaran Marx dan Engels, kaum buruh ini tidak bertanah air. Di mana buruh memburuh di sana tanah air mereka. Kaum buruh adalah internasionalis. Dengan slogan “Kaum Buruh Bersatulah”, PKM berharap masalah nasional ini dapat diselesaikan.
Sabar dahulu wahai kawanku. Tidak mudah. Masalah bani bani ini bukan semudah tulisan Karl Marx atau tulisan Mao Zedong yang mengajukan perjuangan kelas. Yang mengajukan semangat setiakawan kelas. PKM berharap kesedaran kelas akan melahirkan kesatuan bangsa-bangsa.
Yang tertindas bersatulah!
Slogan ini tidak mudah untuk dikotakan. Wujudiah insan memerlukan lebih dari kelas. Manakala dalam kes Bani Melayu kehadiran yang lain ini telah menimbulkan kesangsian. Kesangsian ini telah merebak dan mengenap.
Kesangsian yang mengenap tenang ini telah menimbulkan psikik Melayu. Apa itu psikik Melayu? Tunggu minggu depan.
HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.