Minggu lalu saya telah menerangkan apa makna manifestasi. Saya ulangi sekali lagi, manifestasi adalah hasil atau akibat dari satu satu perkara. Ada perkara lain yang melahirkan akibat itu. Manifestasi bukan pemula, bukan penyebab dan bukan punca. Tanah runtuh bukan runtuh tanpa sebab. Tanah runtuh kerana pembalakan. Pembalakan menjadi punca, menjadi penyebab.
Justeru tanah runtuh hanya manifestasi proses pembalakan yang telah berjalan lama.
Maka dalam persoalan nasional ini saya mahu mencari sebab. Saya mahu mencari punca. Saya mahu mencari penyebab. Ertinya, saya mahu mencari proses yang menyebabkan tanah runtuh. Tanpa menemui penyebab, tanpa mengetahui punca, maka kita tidak dapat memahami, merungkai dan cuba menyelesaikan persoalan nasional ini.
Minggu lalu juga saya telah mengaju dan membuka teori the other atau yang lain. Teori ini amat amat penting dalam merungkai persoalan nasional. Ini kunci untuk kita memahami apa dia persoalan nasional dan kenapa kita berada dalam keadaan kita di hari ini.
Untuk sambungan, minggu ini saya paparkan kembali perenggan akhir tulisan saya minggu lalu:
Untuk mencari jalan penyelesaian, kita wajib melihat kembali babak-babak sejarah. Merungkai kembali bagaimana kita menjadi kita seperti hari ini. Bolehkah biduk lalu kiambang bertaut?
Apa dia babak babak sejarah yang wajib dirungkai? Siapa dalam biduk dan dari mana datangnya kiambang?
Negara yang kita panggil Malaysia ini adalah hasil sejarah pascakolonial. Pengalaman pascakolonial kita ini bukan terpencil. Kita tidak unik. Banyak negara-negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin wujud hasil dari pencerobohan kolonial Eropah.
Setiap negara bekas tanah jajahan memiliki permasalahan sendiri. Tahi dan najis yang telah ditinggalkan oleh penjajah bersepah-sepah. Ada masalah yang kita - bekas tanah jajahan - sesama merasai. Dan ada masalah khusus yang hanya kita di Tanah Melayu sahaja mengalaminya. Ertinya ada masalah umum dan ada masalah khusus, ada generaliti dan ada partikulariti.
Dari segi sejarah Tanah Melayu, si pembawa masalah ini ialah yang lain. Dari segi teori dan fakta, yang lain itu ialah orang luar yang masuk ke Tanah Melayu. Orang luar ini ialah penjajah Barat.
Ada satu perkara yang wajib saya jelaskan di sini. Apabila saya menyebut Tanah Melayu, dalam istilah saya, termasuk Temasek dengan nama barunya Singapura. Singapura untuk saya adalah sebahagian dari Tanah Melayu.
Harus juga saya terangkan bahawa Bani Melayu ini bukan hanya di Tanah Melayu, ia merangkumi Bumi Alam Melayu yang juga dipanggil nusantara. Dalam konteks ilmu alam moden, ia mencakupi Indonesia, Patani, Brunai dan Filipina. Ini adalah dunia alam Melayu.
Kiambang dunia Melayu ini mula retak dengan masuknya biduk - penjajah Barat - Portugis, Belanda, Sepanyol dan Inggeris. Maka dunia alam Melayu terpisah-pisah hingga ke hari ini.
Justeru yang lain yang pertama memasuki Tanah Melayu dan membuat kacau bilau ialah Portugis atau Benggali Putih. Ini diikuti oleh Belanda. Tetapi dua kuasa kolonial Barat ini hanya berpusat di Melaka dan wilayah pesisiran dan pelabuhan. Portugis dan Belanda tidak masuk menerobos ke wilayah pedalaman. Menerjah masuk ke wilayah pedalaman ini bermula dengan kolonial Inggeris.
Wajib kita sedari bahawa semua kuasa luar yang datang ke Tanah Melayu membawa niat dan cita-cita untuk menjarah, merompak dan mencuri harta kekayaan Tanah Melayu atas nama perniagaan.
Kemudaratan yang paling hakiki yang telah hinggap ke Tanah Melayu telah dibawa oleh Inggeris. Inggeris adalah yang lain dan telah menjadi biduk yang memporak perandakan Tanah Melayu hingga ke hari ini.
Persoalan nasional Tanah Melayu yang saya timbulkan hari ini wujud disebabkan oleh kuasa kolonial Inggeris.
Bagaimana ini berlaku?
Perjanjian Anglo-Dutch 1824 adalah garis pemisah bumi alam Melayu. Bukit Siguntang Mahameru, tempat kelahiran Wan Empok dan Wan Malini - tempat bermulanya konsep Melayu kini jatuh ke tangan Belanda. Selat Melaka terpecah dua.
Perjanjian Anglo-Thai 1909 memisahkan wilayah-wilayah Patani. Kerajaan Melayu Patani jatuh ke tangan Siam. Justeru hingga ke hari ini rakyat Patani sedang melancarkan Perang Pembebasan Patani.
Di Tanah Melayu, kuasa kolonial Inggeris telah menjarah dan merompak harta kekayaan. Untuk menjalankan skim cepat kaya, kuasa kolonial Inggeris memerlukan buruh. Maka Inggeris membawa masuk Bani China dan Bani India.
Melalui kuasa senjata, gerombolan yang lain ini telah membawa masuk dua lagi gerombolan yang lain.
Kemasukan Bani China dan Bani India ini telah mengubah rupa bentuk Tanah Melayu. Maka dari detik kemasukan Bani India dan Bani China inilah bermulanya persoalan nasional yang tidak sudah-sudah hingga ke hari ini. Inilah punca yang melahirkan persoalan nasional. Kemasukan virus asing ke dalam tubuh badan telah membawa mudarat yang maha sangat.
Ketika Bani China dan Bani India dibawa masuk ke Tanah Melayu, fikrah dan intelektual Bani Melayu secara kelompok masih belum berkembang. Bani Melayu masih hidup aman damai dalam sistem feudal yang paling asas. Hidup kelompok bermasyarakat tanpa penggunaan dinar dan rial adalah cara hidup Bani Melayu ketika itu.
Biar saya jelaskan lagi rasa dan suasana ketika Bani India dan Bani China dibawa masuk oleh Inggeris. Suasana atau ambiance politik ketika itu samalah seperti apa yang berlaku pada tahun 60-an di Sabah dan Sarawak.
Ini ketika Suruhanjaya Cobbold sedang menjalankan pungutan suara untuk Sabah dan Sarawak bersama mendirikan Malaysia. Pada ketika itu anak jati Sabah dan Sarawak masih belum tinggi pembelajaran. Tidak ramai yang berpendidikan tinggi. Jika ada mereka hanyalah perkakas kolonial.
Justeru hari ini 2017, kita lihat sentimen Sabah untuk Bani Sabah dan Sarawak untuk Bani Sarawak makin merebak. Semangat nasionalisme Borneo semakin membara. Ini kerana pada hari ini telah wujud para pemikir dan intelektual anak jati Sabah dan Sarawak. Mereka melihat pada ketika ini mereka juga berhadapan juga dengan persoalan nasional hasil kewujudan Malaysia.
Sabah berhadapan dengan pendatang haram dari Filipina. Ini contoh persoalan nasional Sabah yang sama sedang membarah seperti yang sedang kita hadapi di Tanah Melayu.
Untuk Sabah dan Sarawak, tragedi mereka bermula pada tahun 1962. Bayangkan betapa gelapnya Bani Melayu di Tanah Melayu ketika Inggeris membawa masuk yang lain. Babak ini terjadi dalam kurun ke-19. Bani Melayu secara rambang tidak tahu apa-apa pada ketika itu.
Perjanjian Pangkor 1874 telah membolehkan Inggeris menjarah Tanah Melayu. Penjarahan ini dapat dijalankan melalui kekuatan senjata. Inggeris sesuka hati telah membawa masuk buruh dari India dan China.
Wajib kita sedari ketika Pejanjian Pangkor ditandatangani belum ada pemikir Melayu, belum ada intelektual Melayu, belum wujud ulama Melayu yang bangun menentang.
Apa yang saya rakamkan ini adalah fakta sejarah.
Untuk memahami semua ini maka saya munculkan satu metafora. Pada tahun 1970, Lim Goh Tong telah membuat tempat perjudian di Genting. Tanah kerajaan Pahang telah diberikan oleh PM Razak itu untuk sarang perjudian.
Apa yang ingin saya timbulkan, apakah pada tahun 2017 ini Najib akan berani memberikan tanah untuk satu lagi perjudian Genting? Apakah Najib akan ditentang? Apakah Najib akan diberi laluan mudah seperti mudahnya Inggeris membawa masuk buruh dari China dan India.
Metafora ini bertujuan untuk saya menimbulkan persoalan bahawa ketika Bani Melayu bodoh tanpa ilmu pengetahuan, ketika itulah kuasa kolonial Inggeris telah membawa masuk yang lain ke Tanah Melayu.
Saya timbulkan ini kerana apa yang berlaku sesudah kemasukan Bani China dan Bani India ke Tanah Melayu ialah mereka telah diberi hak kerakyatan.
Persoalan hak kerakyatan diagih kepada yang lain ini telah dipaksakan ke atas Bani Melayu.
Tentang hak kerakyatan ini biar saya bersurah untuk melihat bagaimana hak kerakyatan boleh didapati di UK atau di Amerika untuk kita jadikan perbandingan.
Dunia mengenali Albert Einstein seorang saintis yang maha hebat. Einstein dilahirkan di Jerman pada tahun 1879. Ertinya dia warganegara Jerman. Dia hanya menjadi warga Amerika pada tahun 1940. Sebelum diterima menjadi warga negara Amerika, si bijak ini juga wajib melalui proses mempelajari sejarah dan budaya Amerika. Dia wajib lulus peperiksaan. Dia wajib tahu Bahasa Inggeris. Semua ini wajib dilalui sebelum mendapat hak kerakyatan, walaupun Einstein ini pemikir dunia terulung.
Apakah ini berlaku ketika Bani China dan Bani India menjadi rakyat Tanah Melayu sebelum merdeka 1957?
Kalau kita ke Brunei kita akan bertemu dengan orang Melayu dari Malaysia atau orang Cina dari Sarawak yang telah berpuluh tahun tinggal di Brunei. Mustahil mereka akan mendapat status kerakyatan Berunai. Brunei adalah untuk anak jati Brunei.
Jika kita ke Kuwait, Dubai atau Abu Dhabi, kita akan bertemu warga bukan Arab yang telah bertahun-tahun duduk di wilayah ini. Tapi mustahil mereka akan diterima sebagai warga negara. Kuwait untuk Arab Kuwait.
Konsep jus soli telah dipaksakan oleh Suruhanjaya Reid ke atas Bani Melayu. Ini samalah seperti warga Sabah dan Sarawak telah dipaksa menerima Suruhanjaya Cobbold. Pada hemat saya ini adalah satu kesilapan yang melahirkan tragedi yang menghempap Tanah Melayu hingga ke hari ini.
Apa seterusnya akan berlaku? Tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.