Pada 24 Jun yang lalu warga United Kingdom (UK) telah menjalankan pungutan suara: terus bersama Kesatuan Eropah (EU) atau keluar daripadanya. Pungutan suara ini dikenali sebagai Brexit.
Kita semua telah membaca, mendengar dan menonton di kaca TV dan tahu apa jawapan warga UK.
Tulisan ini bertujuan memberi pencerahan untuk memahami latar belakang EU, untuk memberi satu lagi jalur pandangan tentang apa yang telah berlaku.
Paling penting untuk meneliti perkara-perkara yang tersorok dan yang sengaja disorokkan dalam EU dan Brexit ini.
Media Eropah berbondong-bondong – yang kanan dan yang liberal – mengambil garis bahawa UK wajib terus berada dalam EU.
Media-media ini telah berdendang tentang ‘bahaya’ jika UK meninggalkan EU. Sahinggakan di UK, akhbar liberal rasional seperti The Guardian dan juga BBC mengambil garis yang sama.
Kerana hampir semua media Eropah cuba menghalang UK dari keluar dari EU, maka kita wajib bertanya apa sebenarnya Brexit ini? Apa itu EU?
Dan kenapa UK keluar dari EU membahayakan Eropah?
Daripada segi sejarah, EU muncul sesudah Perang Dunia Kedua. Berjuta-juta warga Eropah telah gugur selepas berbantai sesama sendiri dalam dua perang dunia.
Maka, pada tahun 1948 diadakan Kongres Hague melibatkan enam negara.
Belgium, Belanda, Luxembourg, Jerman Barat, Perancis dan Itali telah membuat perjanjian perniagaan. Di sini jelas ekonomi adalah punca segala punca.
Telah diuar-uarkan bagaimana Eropah akan menjadi aman damai permai jika pertelagahan tidak wujud. Perang akan lenyap.
Eropah yang menjadi panggung dua perang dunia akan menjadi wilayah contoh. Diimpikan warga Eropah akan bekerjasama untuk kesejahteraan umat manusia. Apakah ini tepat dan benar?
Daripada satu segi, hingga ke satu tahap, memang benar apa yang dipropagandakan. Ekonomi Eropah maju jaya. Taraf hidup rakyat baik. Tetapi, di sebalik propaganda ini ada lagi satu projek rahsia terbuka.
Ketika EU mula meluas, Perang Dingin sudah bermula. Rusia yang memimpin USSR dan blok Sosialis Eropah Timur dilihat sebagai musuh. Sesudah tamat Perang Dunia Kedua, kuasa imperial Britain jatuh ke tangan Amerika.
Amerika yang memonopoli bom atom menjadi kuasa empayar baru. Maka, muncullah konsep kuasa imperial Anglo-Amerika.
Sesudah Perang Dunia Kedua, negara-negara kapitalis di Asia, Afrika dan Amerika Latin dijajah semula oleh kuasa baru - kuasa imperial Anglo-Amerika. Imperialis Great Britain telah digantikan dengan imperialis Amerika.
Sistem ekonomi kapitalis tetap kapitalis kecuali di Eropah Timur, di China, Cuba, Korea Utara dan di Vietnam.
Kempen 'orang jahat'
Di belakang projek EU ini ialah kuasa imperialis Anglo-Amerika. Amerika menyokong kuat kewujudan EU.
Ketika Perang Dingin berjalan negara-negara EU ini menjadi tempat Amerika mendirikan pangkalan tentera – darat, laut dan udara. Amerika memasang bom nuklear dan peluru berpandu di negara-negara EU.
Bom nuklear dan soldadu Amerika dapat bergerak di Eropah kerana negara EU ini bekerjasama dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato). Ini adalah perjanjian ketenteraan Eropah Barat dengan Amerika. Hakikatnya negara EU telah menjadi tanah jajahan Amerika.
Nato melihat Rusia dan blok Sosialis sebagai musuh mereka. Justeru senjata nuklear dan peluru berpandu semuanya diarahkan ke Moscow. Suasana ini meruncingkan keadaan Perang Dingin.
Ini ditambah pula dengan Perang Vietnam yang menyaksikan kuasa bala tentera Amerika dibantai oleh gerila yang dibantu oleh Rusia dan blok Sosialis.
Pada awalnya Perancis bawah Presiden Charles de Gaulle (1958-1969) tidak bersetuju dengan rancangan Amerika yang mahu menjadikan Eropah tanah jajahan.
Justeru Perancis menarik diri daripada Nato. Tetapi hari ini tidak ada negara Eropah yang berani berdiri merdeka seperti Perancis bawah pimpinan de Gaulle.
Sesudah Tembok Berlin runtuh pada tahun 1989, Jerman Barat dan Jerman Timur bersatu. Blok Rusia runtuh.
Suasana ini menjemput banyak negara Eropah Timur untuk menjadi warga EU. Daripada sini muncullah EU yang terdiri dari 28 buah negara. Hari ini ia telah menjadi 27 tolak satu (tanpa UK).
Justeru apabila warga UK bersuara untuk keluar daripada EU, ini bermakna mereka secara tidak sedar atau secara tidak sedar telah mensabotaj rancangan induk kuasa imperial Anglo-Amerika.
Apabila UK keluar EU, bermakna segara perancangan licik kuasa imperial Amerika yang mahu mendominasi Eropah digagalkan.
Perkara ini bukan susah untuk difahami. Kita lihat siapa yang datang untuk menyokong dan berkempen untuk meyakinkan warga UK agar tidak meninggalkan Eropah.
Yang datang menyokong kempen untuk terus dalam EU ialah: Barack Obama, George Soros, setiausaha Nato, pengerusi IMF dan Bank Dunia, akhbar Financial Times, majalah Economist.
Berdasarkan nama-nama ini, kita sudah dapat mencium bahawa mereka semua ini adalah ‘orang jahat’.
Kalau orang jahat sokong kerja kita bermakna kerja yang kita buat tidak baik. Maka apabila kaum pemodal kapitalis berbondong berkempen agar UK jangan keluar EU, maka kita wajib sedar keluar EU adalah langkah bijak untuk menggagalkan projek kapitalis.
Betul dan tepat - apabila 52 peratus warga UK memilih untuk keluar EU - nilai pound sterling jatuh.
Pasaran saham tunggang-langgang
Pasaran saham Eropah tunggang-langgang. Pasaran saham Amerika dan Jepun tunggang terbalik. Apa maknanya ini?
Ini bermakna rancangan kaum pemodal, ini bermakna rancangan kuasa imperialis Amerika untuk mendominasi Eropah dan dunia, telah digagalkan.
Ini bermakna projek kaum kapitalis telah berjaya dibantutkan. Apabila kaum kapitalis dalam kesusahan, ini bermakna rakyat dunia mendapat rahmat.
Apa yang jelas projek dunia baru bawah telunjuk Amerika telah gagal di Eropah.
Harus difahami dan wajib diingat, kuasa imperial ini dikenali sebagai kuasa Anglo-Amerika. Ada kerjasama yang intim antara pemodal British dan kaum pemodal Amerika.
Mereka menetas dari reban yang sama. Yang di Amerika itu berasal usul dari United Kingdom juga. Mereka muntah kedarah melalui Bank of England.
Sebelum wujud Wall Street kaum kapitalis ini menjarah harta kekayaan dunia melalui City of London.
Apa yang berlaku apabila hanya 48 peratus warga UK yang bersetuju mahu terus menetap dalam EU?
Media propemodal yang sebelum hari pungutan suara telah menakut-nakutkan warga UK tentang malapetaka jika UK meninggalkan EU.
Apabila keputusan sampai, media membuat propaganda untuk membuktikan bahawa warga yang menolak EU ini adalah rasis. Tidak mahu menerima ‘orang lain’ masuk ke dalam UK.
Kenyataan pemimpin parti kanan Eropah diberi layanan muka hadapan seolah-olah projek tinggalkan EU ini adalah projek parti kanan.
Justeru kita hanya membaca ucapan tahniah kepada warga UK yang berjaya meninggalkan EU daripada Marine Le Pen - parti Front Nasional Perancis, daripada Geert Wilders, Freedom Party Belanda dan juga Heinz-Christian Strache, pemimpin Freedom Partry Austria.
Semua ini pemimpin parti berhaluan kanan.
Suara intelektual kiri seperti Tarik Ali, Pual Craig Roberts atau Socilist Workers Party yang menyokong kempen keluar EU langsung tidak dipungut oleh media arus perdana.
Memang betul ada agenda menolak kemasukan pendatang baru dalam kempen Brexit. Memang betul terlalu ramai warga asing meluru masuk ke UK.
Ini hasil dari perjanjian EU. Warga EU boleh keluar masuk ke mana sahaja dalam 27 negeri ini. Mereka boleh mencari pekerjaan dan boleh bermastautin.
Hakikatnya EU telah menjadi satu negara tanpa sempadan.
Cuba tanya diri sendiri, apabila Zahid Hamidi awal tahun ini merancang untuk membawa masuk 1.5 juta Bangladesh ke Malaysia, kita menentang langkah ini. Apakah kita rasis?
Ahli parlimen 'patung mainan'
Apabila watak kampung dan pekan kita, tempat tinggal kita, kondo kita mula dipenuhi oleh warga Nigeria dan kita merasa tidak selesa, adakah kita rasis?
Justeru, mempertahankan tanah air sendiri daripada berubah bentuk dan demografi pasti bukan sikap rasis.
Berita yang amat-amat memberangsangkan apabila UK meningglkan EU ialah sentimen anti-EU dan anti-Brussels makin melonjak.
Kempen keluar EU di UK telah membawa pencerahan. Ramai warga Eropah baru sedar bahawa undang-undang dan hukum-hakam di EU bukan dibuat oleh parlimen Eropah tetapi birokrat yang digaji dan tidak dipilih oleh suara ramai.
Anggota parlimen EU hanya patung mainan. Hukum-hakam muncul dihasilkan oleh para pelobi kaum pemodal.
Pencerahan sedemikian telah menaikkan semangat warga Belanda, Itali dan Portugal untuk mengadakan pungutan suara seperti yang dijalankan di UK.
Jika ini berlaku, maka rancangan besar imperialis Amerika untuk menjadikan Eropah sebagai koloni dan Rusia sebagai musuh telah gagal.
Kenapa pula Brexit ini penting untuk kita fahami?
Jangan lupa kalau kita di Malaysia ada TPPA. Dalam perjanjian TPPA ini Najib telah menjual Malaysia kepada kaum pemodal Amerika.
Rakyat Eropah juga hampir terjual sama melalui Transatlantic Trade and Investment Partnership (TTIP).
Brexit telah menyelamatkan warga Eropah. Apabila UK keluar EU, maka projek TTIP ini boleh dianggap telah musnah.
Kejayaan warga UK meninggalkan EU adalah kekalahan kuasa imperialis Anglo-Amerika. Kekalahan kekalahan kuasa imperialis Anglo-Amerika adalah kemenangan rakyat dunia.
Gagalnya TTIP ini akan membawa pengaruh untuk rakyat Asia dan kita di Malaysia khasnya untuk menggagalkan projek TPPA milik imperialis Amerika.