"Saya tidak meminta sesiapapun untuk mengambil kata-kata saya berkenaan sains perubahan cuaca: Saya fikir kesemua kita perlu memandang berat kata-kata 97 peratus saintis kaji cuaca, serta setiap akademi sains di dunia.
“Hal ini belum ditambah lagi dengan peringatan rejim antarabangsa seperti Bank Dunia dan Agensi Tenaga Antarabangsa, semuanya memberitahu amaran malapetaka kehancuran."
-- Naomi Klein, This changes everything (2014).
Hujan batu di negeri sendiri, hujan emas di negeri orang, baik lagi negeri sendiri. Begitulah peribahasa Melayu lama yang melambangkan semangat kecintaan terhadap tanah air yang amat mendalam.
Ia membawa rasa kepemilikan bersama yang utuh sehinggakan seseorang warga itu sanggup ditimpa hujan batu daripada menadah hujan emas.
Hujan batu dalam peribahasa itu melambangkan keadaan kesusahan, manakala hujan emas memberi makna keadaan hidup yang mencurah-curah kemewahannya.
Bagaimanapun, hujan batu memang benar-benar terjadi sebagai fenomena cuaca. Peribahasa mengambil kejadian alam sebagai ungkapan penyampaian maksudnya.
Hujan batu berupa ketulan-ketulan ais sebesar kerikil.
Awal bulan Jun 2016 ini, kita bernasib 'baik' untuk mengalami kejadian luar biasa cuaca yang biasanya hanya kita dengar dalam peribahasa yang tersebut tadi.
Makanya, sebagai fenomena cuaca ia sebenarnya agak luar biasa kerana ia sangat jarang-jarang terjadi.
Bagaimanapun, seperti hal-hal lain di Malaysia ini, masalah pencemaran alam sekitar atau perubahan cuaca kesan pemanasan global akibat buatan manusia - atau rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah – sering kali diremeh-remehkan kesan buruknya.
Dilaporkan media, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Madius Tangau memberi jaminan bahawa fenomena hujan batu di beberapa kawasan di ibu negara dan Selangor itu bukan sesuatu yang luar biasa.
Beliau berkata hujan batu boleh berlaku ketika hujan ribut petir yang kuat dan apabila awan kumulonimbus (sumber utama pembentukan hujan ribut petir) mencapai ketinggian 40,000 kaki.
Dilaporkan media juga, Pakar Klimatologi dan Oseanografi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Fredolin Tangang berkata proses pembangunan di Kuala Lumpur yang pesat serta perubahan iklim menghasilkan fenomena hujan ribut luar biasa akibat haba berada dalam keadaan udara lembap.
Analisis Fredolin
Mengulas fenomena hujan batu itu, Fredolin turut menjangkakan hujan ribut luar biasa mungkin akan kerap berlaku selepas ini.
Fredolin mencadangkan supaya kajian terperinci yang mengkaji faktor cuaca tempatan dilakukan supaya pihak berkaitan dapat meramal keadaan cuaca di masa akan datang.
Analisis Fredolin menepati laporan Panel Antarabangsa Mengenai Perubahan Cuaca Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (IPCC UN) 2014, yang menyebut kesan pemanasan global sedang berlaku di seluruh dunia.
Antara kesan buruk perubahan cuaca adalah membiaknya serangga perosak yang menggugat tanam-tanaman, selain berbahaya terhadap kesihatan manusia.
Barangkali, perubahan iklim menjadi punca nyamuk Aedes yang membawa virus denggi begitu banyak membiak.
Di sinilah bergunanya saranan Dr Fredolin agar kajian lanjut dilakukan, agar orang awam tidak membuat andaian semberono.
Pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan daripada Januari hingga 4 Jun 2016 berlaku peningkatan kes demam denggi sebanyak 2.6 peratus.
Ia melibatkan 50,600 kes, berbanding 49,313 kes bagi tempoh yang sama tahun 2015.
Berlaku 111 kematian untuk 2015, dan 144 kematian untuk tempoh yang sama tahun ini. Sebagai sebuah negara, kita memerlukan fokus.
Tumpuan kita sebagai manusia, seorang warga Malaysia atau rakyat dunia perlu diarahkan terhadap daya dan ikhtiar untuk menyelamatkan planet bumi ini.
Kita tidak boleh lagi meremeh-remehkan masalah perubahan cuaca yang berpunca daripada pemanasan bumi akibat perbuatan kerosakan tangan-tangan manusia sendiri.
Memandang ke hadapan, saya teruja mendengar berita titah sultan Pahang ketika merasmikan mesyuarat Dewan Undangan Negeri pada Mei lalu.
Sultan Ahmad Syah mengingatkan kerajaan negeri supaya menjaga aspek penjagaan alam sekitar dalam pembangunan di negeri Tok Gajah itu.
Ia sebagaimana pada masa lalu saya teruja membaca titah Sultan Kelantan yang mahukan Kelantan serius dalam isu alam sekitar.
Pada November 2014, Sultan Muhamad V bertitah aktiviti penebangan hutan dan perlombongan tanpa etika boleh memberi kesan serius terhadap kualiti air, sekali gus kualiti hidup rakyat.
Pada Jun 2011, media memberitakan lebih 300 penduduk Orang Asal di Pos Gob, Gua Musang, Kelantan diancam pencemaran sungai serius akibat pembalakan tidak terkawal.
Tangan yang merosakkan
Sungai sebagai sumber penghidupan mereka telah dicemar.
Namun penderitaan penduduk Orang Asal Pos Gob ini masih terus berlangsung - tanpa kepedulian yang serius secara umum - sehingga ke hari ini.
Pada 16 Jun 2016 yang lalu, Komas, sebuah NGO seni kreatif yang mempromosikan hak asasi manusia memuatkan kenyataan komuniti Orang Asal Pos Gob berkenaan masalah pembalakan yang berleluasa dan kini merenggut tanah adat mereka pula.
"Kami Komuniti Orang Asli Kampung Pos Gob ingin menyuarakan, kesusahan yang dihadapi oleh penduduk kampung yang tidak pernah dialami dahulu. Kami berasa amat sedih untuk melihat apa yang telah berlaku pada hutan dan tanah yang kami duduki sejak turun temurun daripada nenek moyang kami.
“Pada masa dahulu, kami tidak menghadapi sebarang masalah untuk mendapatkan hasil-hasil pencarian yang kami mahu."
"Apabila syarikat pembalakan memasuki kampung kami, kami komuniti Orang Asli berasa sempit dan berasa tidak senang sebab berlakunya pencemaran sungai, runtuhan tanah, tebangan kayu-kayan, kehilangan semua jenis tumbuh-tumbuhan dan sumber-sumber mata pencarian dan juga kehilangan adat sewang kami yang telah kami amalkan sejak turun-temurun dari nenek moyang kami."
Saya percaya, Ramadan yang mulia ini waktu yang baik untuk kita sama-sama merenung masalah pencemaran alam sekitar, perubahan iklim dan pemanasan global.
Moga nanti, jika hadir malapetaka alam kita tidak hanya menyalahkan kemurkaan ilahi kerana hudud PAS ditolak dalam dua pilihan raya kecil baru-baru ini.
Kita patut bermuhasabah melihat tangan-tangan yang merosakkan alam ini. Ya, tangan kita sendiri.