Paling Popular
Terkini

Pada pagi Ahad 12 Jun yang lalu, Mahathir Mohamad membocorkan satu maklumat penting. Pembocorkan maklumat dilakukan secara terbuka dalam ucap utama pembukaan forum 1MDB di Kuala Kangsar. Forum ini adalah sebahagian dari kempen pilihan raya kecil untuk menyokong Dr Ahmad Tarmizi calon Parti Amanah.

Mahathir membocorkan maklumat secara terbuka di hadapan 300 hadirin dalam dewan sebuah restoran di Kuala Kangsar. Mahathir membocorkan maklumat bagaimana dia telah berjumpa dengan Haji Hadi. Ini berlaku sebelum bulan puasa. Dalam pertemuan ini Mahathir telah memberi pencerahan kepada Hadi tentang tentang segala jenayah dan salah laku Najib.

Mahathir telah menerangkan tentang kes pembunuhan Altantuya. Telah diterangkan kes tekanan Singapura ke atas Najib dalam hal projek kereta api laju. Dijelaskan bagaimana Najib menjadi ‘lembik’ dan mengikut suruh arah Singapura tanpa memikirkan kedaulatan dan kemerdekaan Malaysia.

Paling penting Mahathir memberi penjelasan yang tuntas tentang peranan Najib dalam kes rompakan duit 1MDB.

Keluar masuk duit 1MDB ini mungkin agak payah untuk Haji Hadi memahami kerana ilmu pengetahuan Hadi yang terhad dalam bidang ekonomi. Maka Mahathir sebagai guru telah menerangkan sejelas mungkin, setuntas mungkin. Ini dilakukan agar Hadi akan membawa parti PAS bersama dalam satu saf rakyat Malaysia untuk menumbangkan Najib Rosmah.

Haji Hadi menolak cadangan Mahathir.

Penolakan ini kita dengari melalui kata-kata 'lek lok' Hadi tentang PAS. Menurut Hadi parti ini bukan mahu kuasa. Hadi sendiri tidak berniat ke Putrajaya. Dia hanya mahu jadi penasihat. Malah Haji Hadi menerangkan kepada rakyat Malaysia bahawa sebagai Parti Islam – PAS hanya mahu keredaan Allah dan menegakkan Islam.

Tentang heboh-heboh agenda Islam PAS inilah yang menjadi satu tanda tanya. Islam jenis PAS ini menjadikan rakyat Malaysia seram dan sekali gus menjadi lawak. Ajaran agama Islam menentang kezaliman. Islam menentang rasuah. Islam menuntut umatnya bangun berjuang menengakkan keadilan. Islam mengajukan kebajikan untuk umat manusia.

Satu dunia tahu Najib terlibat dalam banyak jenayah. Haji Hadi juga tahu kerana Mahathir telah memberi pencerahan. Mustahil Haji Hadi dan para pemimpin PAS tidak sedar perkara ini.

Kes ‘rompakan’ paling afdal apabila Najib telah berjaya merembat 2.6 bilion ringgit.

Duit ini masuk ke akaun peribadinya. Satu kes yang juga afdal lagi sahih ialah bagaimana 42 juta ringgit duit SRC - anak syarikat 1MDB - masuk ke akaun Najib tidak lama sebelum Najib Rosmah membuat kenduri nikah anak mereka.

Islam melarang penganutnya berbohong. Islam juga melarang penganutnya menipu. Islam juga melarang umatnya jadi bodoh. Justeru muncul satu persoalan dari 30 juta rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia bertanya kepada Haji Hadi yang mengaku dirinya sebagai tuan guru: bagaimana otak Tuan Haji Hadi dapat putar memutar fakta hinggakan semua jenayah Najib ini tidak kelihatan?

Politik sasau

Orang Melayu dan rakyat Malaysia menjadi hairan lagi pelik. Kenapa Haji Hadi tidak nampak semua jenayah ini. Ini pelik. Ini menjadikan Islam jenis Hadi ini amat amat pelik lagi memelikkan.

Saya membuka surah Haji Hadi ini kerana saya ingin menyambung kembali konsep pensejajaran semula yang telah saya ajukan minggu lepas.

Kelakuan PAS, terutama perangai Haji Hadi sesudah perginya Nik Aziz, mewajibkan kita semua yang cerah politik untuk mengambil dan membuat satu kesimpulan. Ini amat amat penting dalam usaha rakyat Malaysia untuk menendang Najib Rosmah dari terus berkuasa. Sekali gus menyelamatkan Malaysia dari terus dijarah oleh Najib Rosmah.

Justeru satu pensejajaran semula wajib dilakukan. Satu penyusunan semula politik tanah air wajib dilakukan.

Awal wahid sebelum pensejajaran ini dapat didirikan, satu kesimpulan yang tepat dan jitu wajib diambil terhadap Hadi.

Apakah fikrah Haji Hadi ini masih waras kerana kenyataan dan ucapan dari mulut Haji Hadi makin berkelintau. Apakah daya fikir Haji Hadi ini masih tersusun. Timbulnya soalan ini kerana putar belit politik yang dilakukan oleh Haji Hadi ini bukan saja melanggar ajaran agama anak semua bangsa malah kenyataan ini dilihat sebagai politik sasau.

Contoh terbaru ialah apabila mulut Hadi menetaskan kata kata: Kita tidak menentang Najib. Kita tidak mahu jatuhkan Najib. Sebaliknya kita menentang konsep pemerintahan yang dibawa oleh Najib.

Oo la la. Kenyatan sedemikian ini bukan sahaja tidak logik malah dilihat sahih sebagai kenyataan sasau. Kita tidak perlu menjadi Socrates atau Stephen Hawkins untuk melihat kesasauan kenyataan ini. Malah jika kenyataan Hadi ini diajukan kepada Stephen Hawkians pasti dia juga akan pening kepala memikirkan.

Dengan jelas Hadi berkata dia menentang konsep pemerintahan yang dibawa dan dikepalai oleh Najib. Kerajaan Malaysia sekarang bukan dipimpin oleh Samy Vellu atau Lokman Adam. Maka dengan fikrah logik jika seseorang menentang konsep pemerintahan itu maka yang wajib dilawan dan ditentang ialah kepala yang membawa konsep itu. Dalam kes sini bukan Samy Vellu dan bukan Lokman Adam. Yang memimpin Malaysia Najib.

Jadi, jika kita jatuhkan Najib maka kita berjaya memusnahkan konsep pemerintahan yang dibawa oleh Najib. Ini satu kesimpulan politik yang paling asas. Ini logik politik paling asas.

Tetapi logik Hadi berbelit-belit. Kerana itu kita mula mendengar suara Haji Desas bin Lebai Desus yang membuka surah tentang terputusnya beberapa jalur urat saraf Hadi. Ini berlaku ketika Hadi terjatuh akibat serangan jantung di Istanbul.

Saya bukan pakar saraf. Daripada pemerhatian, membaca kenyataan politik Hadi , menonton klip Hadi di Youtube dan melihat tindakan politiknya, maka apa yang disurahkan oleh Haji Desas itu agak meyakinkan. Ada unsur-unsur putus saraf.

Malah jika kita ambil apa yang telah disuarakan oleh Haji Hadi dalam ceramah di Kampung Banggol Peradong Kuala Terangganu pada 7 April 1981, maka kes Hadi putus uraf saraf ini masuk akal.

Fikrah cerah Amanat Hadi

Terbukti Haji Hadi pada tahun 1981 memiliki fikrah cerah. Haji Hadi dengan jelas telah menetaskan apa yang kini dikenali sebagai Amanat Haji Hadi. Pemikiran Hadi dalam amanat ini jelas membawa garis penentangan terhadap kemungkaran dan kebatilan yang diajukan oleh semua agama termasuk Islam.

Justeru, dalam metafora politik terkini saya ternampak ada persamaan antara Najib dengan Hadi.

Najib pada ketika ini sedang dilihat sebagai pemimpin yang sedang dikepong oleh jenayah-jenayah yang telah dilakukan. Najib kelihatan sasau dan hilang punca. Hasilnya makin jelas dilihat bagaimana Najib mengambil langkah politik bukan lagi untuk Malaysia tetapi untuk menyelamatkan diri.

Pentadbiran Najib hari ini bukan lagi berpandukan kebajikan rakyat. Najib hari ini mengambil langkah tindakan politik hanya bertujuan untuk menyelamatkan dirinya dari didakwa oleh mahkamah.

Malah semakin ramai ahli parti United Malays National Organisation telah hilang kepercayaan dengan Najib sebagai presiden parti mereka. Puluhan cawangan telah meluluskan resolusi menuntut Najib meletak jawatan sebagai presiden parti. Resolusi ini dilulus dalam mesyuarat agung parti yang baru selesai berjalan.

Ahli-ahli parti Ketuanan Melayu yang menentang Najib dalam parti telah menubuhkan kumpulan yang dikenali sebagai Gerakan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM). Ini satu fenomena politik yang mewajibkan kita mewujudkan pensejajaran baru.

Sama seperti Najib, ada penentang yang amat jelas terhadap kepimpinan Hadi. Parti Amanah adalah manifestasi penentangan ahli-ahli PAS terhadap Hadi. Ahli-ahli PAS ini tidak dapat lagi menerima garis perjuangan yang diajukan oleh Hadi.

Hadi dan Najib kini berkubang dalam satu kancah. Justeru dua orang ini sedang bekerjasama untuk menyelamatkan diri masing-masing. Hadi memerlukan Najib untuk Hudud. Najib memerlukan Hadi agar dia dapat terus berkuasa.

Jika Najib tergelincir dari kuasa, tim FBI akan masuk untuk menangkap bukan sahaja Najib malah ramai macai-macai Najib yang sekarang ini berjaya melarikan diri daripada pendakwaan walaupun PDRM, SPRM dan bank Negara mencari mereka.

Dari latar ini mari kita tambah pula dengan babak dua pilihan raya kecil yang sedang berjalan. Keputusan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan menjadi begitu penting. Pertempuran di dua wilayah ini adalah manifestasi pertempuran politik nasional dan juga pertempuran politik kepartian.

Apa yang akan berlaku di Sungai Besar dan di Kuala Kangsar akan memberi jawapan kepada pensejajaran semula politik Malaysia.

Berkurang sahaja undi PAS, ia memberi erti bahawa 'Amanat Hadi Bahagian Kedua' telah ditolak rakyat. Menurun sahaja undi United Malays National Organisation akan memperkuatkan lagi gerakan dalam parti untuk menjatuhkan Najib.

Jika AMANAH mendapat undi lebih daripada PAS maka PKR wajib mengambil keputusan muktamad untuk memutuskan hubungan dengan PAS.

Singkir Najib agenda pertama

Jika undi PAS jatuh merosot ini membuktikan secara jelas kepimpinan Hadi telah ditolak, bukan sahaja oleh bukan Melayu malah orang Melayu juga telah bosan dengan Hadi. Selagi Hadi masih memimpin PAS dengan dasar politik putus urat saraf, maka bekerjasama dengan PAS wajib dibaca sebagai politik sasau.

Pasti ramai akan tertanya-tanya, apa bentuk pensejajaran politik baru ini? Parti mana yang akan bersama dalam Pakatan Harapan?

Jawapannya cukup senang. Dalam pesejajaran politik baru ini agenda utama ialah untuk menyingkirkan Najib. Maka akan muncul persoalan kedua, persoalan ketiga dan dan dan hingga ke seratus. Yang wajib dituntaskan ialah agenda pertama. Yang lain mengikut kemudian.

Wajib disedari bahawa menyingkirkan Najib ini bukan bermakna merancang untuk ke Putrajaya atau menubuh kerajaan baru, atau siapa menjadi calon PRU14, atau parti mana dapat kerusi apa? Menyingkir Najib bukan semua ini. Menyingkir Najib ialah menamatkan Najib dan Rosmah daripada memiliki kuasa. Khalas


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS