Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada Februari 1997, kerajaan mengumumkan hasrat untuk menubuhkan tujuh buah Sekolah Wawasan sebagai sebahagian daripada projek pembentukan bangsa Malaysia untuk menggabungkan tiga kumpulan etnik utama. 

Konsep ini memerlukan pembentukan tiga buah sekolah yang dapat mewakili bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Tamil di kawasan yang sama. 

Walaupun ketiga-tiga sekolah ini terletak dalam lingkungan sama, setiap satu akan mempunyai pentadbirannya sendiri untuk memastikan jati diri budaya masing-masing terus kekal. 

Ruang seperti dewan, kantin dan padang akan dikongsi sama semua pelajar untuk mereka berinteraksi sesama sendiri.

Bagaimanapun, projek ini dikecam hebat oleh pertubuhan Cina termasuk Dong Jiao Zong yang dilihat sebagai usaha terancang untuk memusnahkan sekolah vernakular. 

Kekhuatiran utama kelompok ini adalah cubaan pentadbiran sekolah Cina untuk diletakkan di bawah penguasaan Kementerian Pendidikan dan bukannya di bawah penguasaan lembaga pengelola sekolah yang terdiri dari ahli pendidikan Cina dan ibu bapa yang bebas.

Akibat sikap keras kerajaan untuk meneruskan projek ini, masyarakat Cina berkempen secara senyap membawa isu Sekolah Wawasan ini sebagai isu besar yang akan menjejaskan masa depan bahasa dan pendidikan bangsa mereka.

Setahun sebelum PRK Lunas, iaitu pada tahun 1999, calon BN daripada MIC memenangi DUN tersebut dengan majoriti besar iaitu 4,700 undi. 

Namun, menerusi isu besar Sekolah Wawasan yang ingin dilaksanakan oleh Dr Mahathir Mohamad menyebabkan kekalahan mengejut BN kepada calon PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Sebanyak 37 peratus pengundi Cina dalam kawasan Lunas telah bertindak tidak mengundi calon BN.

Kedua-dua PRK ini menjelaskan bagaimana kekuatan kaum Tiong Hua mematahkan dua perancangan kerajaan untuk menggugat bahasa ibunda mereka dengan mudah.

Ini kerana mereka tidak pernah meletakkan diri mereka sebagai alat untuk dipermainkan pemerintah.

Hilang kewarganegaraan

Perjuangan bahasa kaum Tiong Hua juga bukan hanya perjuangan kecil tetapi cukup luar biasa. 

Pengorbanan seorang bapa pendidikan bangsa Cina Lim Lian Geok memberi cerminan kesungguhan dan keseriusan kaum tersebut memperjuangkan nasib bahasa mereka.

Kelantangan beliau dalam memperjuang nasib pendidikan dan bahasa ibunda kaum Cina mencapai kemuncak apabila kerajaan telah menarik status kewarganegaraan Malaya beliau pada 12 Ogos 1961 dan status guru berdaftar pada 19 Ogos 1961. 

Sosok yang diberi gelar “Zu Hun” atau jiwa kepada kaum Cina di Malaysia ini telah memainkan peranan utama dalam penubuhanshètuán besar Cina iaitu United Chinese School Teachers Association (UCSTA) atau Jiao Zong menerusi mesyuarat bersama ahli pendidikan Cina pada 24 Disember 1951. 

Perjuangan bahasa ibunda menerusi platform yang ditubuhkan beliau UCSTA atau Jiao Zong ini terus kekal sebagai kumpulan pendesak yang lantang mempertahankan bahasa ibunda kaum Cina. 

Malah hari ini Jiao Zong semakin berkembang bekerjasama dengan United Chinese School Committees Association of Malaysia (UCSCAM) yang juga dikenali sebagai Dong Zong di mana kedua-duanya digabungkan atas nama Dong Jiao Zong. 

Bagaimanapun terdapat pertikaian sesetengah pihak termasuk seorang peguam veteran Chin Tee Fut dalam buku beliau Masa Kini dan Masa Lepas Saya berhubung perjuangan Lim Lian Geok.

Ini susulan beliau dianggap sebagai individu yang memusnahkan masa depan ramai pelajar sekolah menengah persendirian confucian di ibu negara kerana membantah pengajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Ia menyebabkan pelajar yang menamatkan pembelajaran di sekolah itu kehilangan kemampuan bersaing dalam masyarakat, serta gagal melanjutkan pengajian.

Namun, generasi pelajar sekolah Cina hingga hari ini terus ditanam dengan semangat Lim Lian Geok atau “Lin Lianyu Jingshen”menerusi sambutan tahunan dengan nama “Huajiao Jie” (Festival Pendidikan Cina) daripada pelbagai perspektif merangkumi budaya, pertubuhan Cina, kemerdekaan kaum Cina dan pembangunan individu Cina.

Hingga hari ini nama dan perjuangan beliau diabadikan sebagai simbol buat generasi muda.

Malah nama beliau diangkat dalam platform perjuangan kebudayaan Cina dengan nama “LLG Cultural Development Centre” (LLG) sempena nama Lim Lian Geok.

Ini termasuk platform lain termasuk Anugerah Semangat Lim Lian Geok kepada individu atau sekolah yang dedikasi memperjuang pendidikan dan budaya bangsa Cina tanpa rasa takut.

Perjuangan serta kesungguhan mereka mengangkat nama pejuang terdahulu sebagai simbol besar buat generasi muda tanpa perlu pengiktirafan kerajaan telah memberi jawapan mengapa setiap lembaran kisah perjuangan bahasa ibunda masyarakat Cina sering diamati dengan penuh kesedaran.

Ia tidak seperti perjuangan bahasa Melayu yang semakin lama semakin tinggi tahap dongengan coretannya. 

Hari ini wajah semangat mendiang Lim Lian Geok masih boleh tersenyum apabila perjuangan beliau terus kekal relevan dan diabadikan buat generasi akan datang sebagai satu nilai yang amat berharga yang wajib disambung. 

Namun, bagaimana dengan wajah semangat pejuang bahasa kita seperti Allahyarham Datuk Dr Hassan Ahmad dan allahyarham Tun Syed Nasir? 

Nukilan dan simbol perjuangan kaum Tiong Hua ini memperlihatkan keberanian mereka “berentap di lereng yang curam”. 

Dan keberanian mereka ini menjadikan perjuangan mereka sentiasa relevan. Segalanya kerana mereka tidak bergantung leher dengan pemerintah untuk dijerut sebaliknya bebas dan lantang bersuara walau sebesar mana risiko yang bakal mereka hadapi. 

Justeru, bagi pejuang bahasa kebangsaan, selagi mana kita masih terikat dalam gelanggang dikir barat dan layar wayang kulit pemerintah serta sentiasa hanya berani bermain di lereng yang selamat, coretan kisah perjuangan bahasa kebangsaan akan terus menjadi kisah dongeng.

Ini akan terus berlaku walau sudah tiga kali kita mengusung Keranda 152 dari satu generasi ke generasi bermula pada 3 Mac 1967, diikuti 7 Mac 2009, dan 26 Mac 2016. 

Satu kisah dongeng bukan untuk tatapan pewaris pejuang untuk dibakar semangat tetapi sekadar dibacakan di samping pewaris bangsa untuk dilelapkan mata setiap malam di sisi pembaringan.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ setiausaha agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Bahagian 1: Bahasa Melayu: Jalan ke muzium


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS