Paling Popular
Terkini

Dalam forum membicarakan nasib bahasa kebangsaan pada 21 Mac di Universiti Selangor (UNISEL), saya digandingkan dengan sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Teo Kok Seong yang juga seorang tokoh pejuang bahasa.

Dalam forum tersebut beliau mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan “muzium bahasa Melayu” sebagai persediaan sebelum terpupusnya Bahasa Melayu kerana pemimpin Melayu sendiri sudah tidak sayangkan bahasa mereka.

Sebagai reaksi, saya mencelah mengatakan di ibu kota sendiri juga sudah tidak ada nilai bahasa kebangsaan yang boleh dibanggakan. Dengan berseloroh saya memberi contoh sekiranya kita ke Kuala Lumpur hari ini segalanya ditulis dalam bahasa asing.

Bermula kereta di hadapan kita dengan pelekat di cermin belakang “Do you have Honda?”, kedai tepi jalan dengan nama bookstore, trading hinggalah motor di hadapan kita dengan jaket di belakang tertulis “You Will Never Walk Alone”.

Itu belum lagi sekiranya kita masuk ke pusat membeli belah mega seperti KLCC, Pavillion, dan Mid Valley.

Mungkin inilah hakikat yang perlu kita telan, kisah perjuangan bahasa seumpama hikayat-hikayat Melayu lama yang dulu dibacakan untuk menyalakan api semangat perjuangan, kini mungkin hanya sebagai tatapan kisah dongeng oleh generasi kemudian.

Miskin nilai, budaya, bahasa

Kemiskinan bangsa Melayu yang ditinggalkan penjajah bukan hanya kemiskinan yang dilihat dari sisi pandang ekonomi semata-mata, malah turut merangkumi kemiskinan budaya dan bahasa termasuk miskinnya keyakinan terhadap bahasa dan budaya sendiri yang memerlukan lonjakan baharu.

Pada tahun 1955 mantan perdana menteri Indonesia allahyarham Bapak Mohammad Natsir dalam bukunya Capita Selecta dengan kritis menyatakan hal demikian:

Biasanya orang kita sudah memberi titel 'intelektual' itu khusus bagi mereka yang dapat berbahasa Belanda, sedangkan yang berbahasa Arab itu adalah 'kiai kampung' atau 'urang siak'. Sebenarnya duduk perkara bukan begitu. Di samping inteligensia kita yang ber 'mazhab' ke Leiden, Paris, London, dan Berlin ada satu golongan inteligensia yang berpedoman Kairo, Mekah, Aligarh, dan Delhi. Kedua golongan ini berhak mendapat penghargaan yang sama.

Adapun selama ini golongan intelektual yang kedua ini, berdiri agak terkebelakang dalam masyarakat hidup. Sebabnya bermacam-macam. Salah satunya, lantaran perebutan mencari kehidupan dalam masyarakat kita sekarang, memberi kesempatan lebih banyak kepada golongan intelektual yang berbahasa resmi, yakni bahasa Belanda.

“Mau tak mau timbullah dalam kalangan intelek yang bersifat ketimuran itu perasaan kecil, lantaran susah sehilir semudik seperti orang. Bukan lantaran 'bodoh' tetapi 'kalah stem'. Lantaran tak pandai memakai satu bahasa yang sekarang orang pandang tinggi derajatnya dari bahasa lain. Mereka susah memasuki alam pikiran dan sanubari dari golongan yang tidur, bangun, makan, minumnya boleh dikatakan bermimpi pun dalam bahasa Barat itu, yakni golongan yang sebenarnya tidak selamat pula dari perasaan tinggi tidak keruan.”

Ternyata sekitar tahun 1950-an ketika masyarakat berpadu membawa misi kemerdekaan, masih terdapat kelompongan yang ketara dalam mengisi kawah besar untuk membentuk ciri-ciri negara Malaya, khususnya soal jati diri negara dan bangsa.

Allahyarham Tun Abdul Razak merupakan pemimpin yang bertanggungjawab mencorak dan memperkaya rencah kebudayaan bangsa.

Malah sebelum merdeka, pada tahun 1955, allahyarham telah menghantar rombongan cendekiawan dan penulis ke Balai Pustaka Indonesia.

Visi rombongan adalah untuk mendalami khazanah penulisan dan kesusasteraan bahasa Melayu yang digunakan sejak ratusan tahun oleh penghuni rantau ini.

Balai Pustaka & Dewan Bahasa

Hasil daripada rombongan tersebut, Balai Pustaka ditubuhkan pada 22 Jun 1956 bawah Kementerian Pelajaran Malaysia, di Johor Bahru.

Tujuan penubuhan Balai Pustaka adalah untuk menggerak dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Ini merupakan jasa besar pemimpin negara yang bervisi dan berfikiran jauh. Beliau mampu melihat kepentingan pengembangan Bahasa Melayu menerusi pemerkasaan penulisan, persuratan, dan penggunaan yang lebih meluas menerusi Balai Pustaka ini akan dapat memperkukuh budaya bangsa sehingga mengakar sebagai reaksi kepada kemiskinan identiti dan budaya yang ditinggalkan penjajah.

Maka, atas sebab itu, penubuhan Balai Pustaka ini diberikan keutamaan yang paling tinggi dan terlebih awal, kemudian baru ditubuhkan badan-badan lain yang menyentuh aspek peningkatan taraf ekonomi bangsa Melayu seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) ditubuhkan pada Julai 1956, Majlis Amanah Rakyat (MARA) ditubuhkan pada 1 Mac 1966, serta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) pada 1966.

Justeru, Penubuhan Balai Pustaka ini telah mencoret peristiwa terpenting dalam sejarah negara apabila menjadi institusi pertama ditubuhkan dalam membantu kerajaan demi menggalas agenda bangsa menuju kemerdekaan.

Setelah Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung di Singapura dan Johor Bahru pada 16 hingga 21 September 1956, nama Balai Pustaka diubah kepada "Dewan Bahasa dan Pustaka" atas cadangan kongres tersebut.

Dan pada tahun 1957, DBP berpindah ke Kuala Lumpur. Pejabatnya ketika itu merupakan bekas wad sebuah hospital di Jalan Young.

Tidak terhenti di situ, DBP diberikan mandat dan peranan yang lebih besar pada tahun 1995. Matlamat penubuhannya yang tercatat dalam Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995) telah dikembangkan, antaranya untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi.

Maka, tidak dapat tidak peranan besar DBP ini adalah untuk memastikan Bahasa Melayu dikembangkan dan diperkayakan seiring dengan kekayaan khazanah ilmu dunia hari ini.

Namun, mengapa Bahasa Melayu yang hari ini yang sudah mencapai taraf “bahasa saintifik moden” semakin dimiskinkan? Malah sudah tidak dianggap layak untuk digunakan sebagai Bahasa Pengantar di sekolah dalam subjek Sains dan Matematik?

Maka, menerusi tindakan kerajaan memperkenal Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan Program Dwibahasa (DLP) berterusanlah kita untuk terus miskin dan semakin miskin.

Miskin akibat miskinnya sifat kita berbangga dengan bahasa, identiti, dan jati diri seperti yang dirakam allahyarham Pak Natsir.

Pada hakikatnya, fenomena kemiskinan bangsa ini akan terus miskin dan semakin miskin selagi kita tidak keluar dari layar wayang kulit atau gelanggang dikir barat orang politik.

Setelah sekian lama, kita yang memperjuang bahasa kebangsaan sering dijadikan bahan ketawa dan sorak oleh pemerintah yang menjadi tok dalang atau tukang karut yang berkuasa dan bermaharajalela mengawal segala pergerakan kita.

Kita tidak seperti kaum terdekat kita Tiong Hua yang sudah lama malah sejak merdeka keluar dari pentas wayang main-mainan orang politik.

Saya suka menyorot kembali peristiwa pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Ipoh-Mengelembu pada November 1957, tiga bulan selepas merdeka.

PRK parlimen tersebut diadakan susulan penyandangnya Tun Leong Yew Koh mengosongkan kerusi untuk dilantik sebagai Gabenor Melaka yang pertama.

Isyarat dalam PRK

Susulan penggubalan “Laporan Razak” pada tahun 1957, sebahagian besar masyarakat Tiong Hua melihatnya sebagai percubaan untuk mengawal pendidikan bahasa ibunda mereka di sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa Mandarin sebagai pengantar.

Maka, ekoran kegelisahan ini, pendidikan bahasa Cina telah menjadi isu besar dalam PRK tersebut.

Lantaran, persatuan-persatuan Cina bersama pengundi Cina telah bersepakat mengundi calon pembangkang iaitu Darma Raja Seenivasagam (DR Seenivasagam) daripada Parti Progresif Perak atau PPP (kini Parti Progresif Penduduk) dan menolak calon Perikatan daripada MCA.

Kekuatan kesepakatan mereka memberi isyarat “jangan sentuh bahasa ibunda kami” berhasil selepas DR. Seenivasagam memperoleh kemenangan dengan majoriti besar, sedangkan pada pilihanraya umum 1955, dua tahun sebelum itu Seenivasagam bukan hanya tewas malah hilang wang pertaruhan.

Luahan melalui undi juga dapat dilihat dengan jelas dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas pada November 2000 ketika kerajaan berkeras mahu melaksanakan projek Sekolah Wawasan.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ setiausaha agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Minggu depan: Lim Lian Geok Melayu?


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS