Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Deklarasi Rakyat yang ditanda tangani oleh 56 sosok pada Jumaat 4 Mach 2016 lalu kini telah menjadi dokumen sejarah. Dokumen ini sedang heboh dibincangkan. Dari poros kiri, kanan dan tengah, semua memiliki pandangan tentang dokumen ini. Dalam masa yang sama sokongan terhadap dokumen ini juga semakin melambak masuk.

Hakikatnya ombak Deklarasi Rakyat ini sedang mengampuh dan mengocak landskap politik Malaysia. Malah dari apa yang saya perhatikan dokumen ini akan membuka satu landskap politik baru untuk anak semua bangsa di Malaysia.

Saya berani berkata demikian kerana heboh politik dan reaksi dari puak yang menentang semakin galak. Heboh bergolek bantal dari United Malays National Organisation sedang menjadi lawak geli lagi menyeramkan.

Pada awalnya kita melihat bagaimana tindak balas United Malays National Organisation. Apabila dimasyhurkan dokumen ini, dengan serta merta muncul satu kenyataan marah dari raja yang bukan tengku yang mahu Muhyiddin dan Mukhriz ditendang keluar dari parti. Kemudian menteri Shahidan pula mengeluarkan kenyataan mahu ‘berkasih sayang’. Ada pula suara cadangan untuk memanggil mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi sebagai jawapan.

Paling indah lagi murni ialah lawak berdiri dari menteri Nazri Aziz yang mengatakan Deklarasi Rakyat ini tidak memberi apa-apa makna kepada United Malays National Organisation.

Sayugia diingati, hukum politik mengajar kita: kalau musuh menyerang itu satu perkara yang baik. Itu tanda apa yang kita lakukan tepat menuju ke dada musuh. Jika musuh tidak menyerang maka kita wajib takut kerana ini bermakna apa yang kita lakukan adalah kerja bodoh yang tidak menyakiti musuh. Atau kita telah mula bersama dengan musuh justeru musuh tidak lagi menyerang.

Ini adalah hukum politik yang tepat dan ilmiah. Hukum ini tidak akan berubah-ubah sama seperti kandungan air tidak akan berubah sampai kiamat. Air terbentuk sebagai H2O.

Dari media United Malays National Organisation kita melihat bagaimana mereka berpeluh ketiak berusaha mengolah persepsi tentang Deklarasi Rakyat. Seperti biasa isu Cina dan parti DAP digunakan. Gambar Mahathir duduk di sebelah Kit Siang dijadikan bukti bagaimana Kit Siang telah berjaya memperkudakan Mahathir. Maka dokumen ini dicinakan untuk dipanggil Deklarasi Mahathir-Lim Kit Siang.

Berita juga mula melaporkan bagaimana Deklarasi Rakyat ini cuba digambarkan sebagai agenda Cina yang berniat jahat untuk menjatuhkan Najib seorang pemimpin Melayu.

Tetapi hakikatnya pada 4 Mac yang lalu Mahathir diapit oleh dua Melayu yang bernama Muhyiddin Yasin dan Azmin Ali. Bersama di kerusi hadapan ialah Mat Sabu, Husam Musa, Sanusi Junid, Mustaffa Ali, Zaid Ibrahim dan Mahfuz Omar. Pada pembacaan saya semua sosok ini bukan Cina. Sosok China yang paling rapat dengan Mahathir bukan Lim Kit Siang seperti yang diuar-uarkan tetapi Tun Ling Liong Sik.

Gambar yang dirakam pada hari menanda tangani Deklarasi Rakyat membuktikan tohmah agenda Cina ini meleset. Pengolahan berbentuk perkauman ini tidak begitu berjaya. Apabila propaganda ini meleset maka dokumen ini dialih nama untuk menjadi Deklarasi Mahathir. Bekas presiden Parti Ketuanan Melayu ini dinobatkan sebagai sebagai pengkhianat. Apa yang dikhianati oleh Mahathir walah'ualam bi sawab .

Kenapa Jamal datang berdemo?

Pengolahan garis perkauman ini adalah asas dan induk ideologi parti Ketuanan Melayu. Strategi menggunakan naratif Cina mengkudakan Melayu ini dimainkan dengan tujuan untuk mendirikan tembok agar ahli parti United Malaya National Organisation tidak akan berani merentas menyeberang untuk menandatangani Deklarasi Rakyat ini.

Ketika tulisan ini digarap, Deklarasi Rakyat telah masuk minggu ketiga. Heboh semakin heboh. Kita terus membaca bermacam-macam kenyataan dari pelbagai sektor parti United Malays National Organisation. Semua seirama bersuara untuk memperlekehkan dokumen ini.

Paling akhir ialah kenyataan Zahid Hamidi yang menasihatkan ahli parti Ketuanan Melayu agar jangan terpengaruh dengan kitab lama. Kitab lama ini pastilah Mahathir Muhamad. Menurut Zahid semua ahli parti wajib menyokong pemimpin yang ada. Ini maknanya semua ahli parti wajib sokong Najib.

Jelas kelihatan serangan amat kuat dan kencang terhadap Deklarasi Rakyat. Serangan memperlekeh dokumen ini membuktikan bahawa dokumen ini sedang mengancam United Malays National Organisation.

Jika dokumen ini tidak membawa apa-apa makna seperti kata Nazri Aziz maka kenapa perlu Jamal Ikan Bakar datang menunjuk perasaan di hadapan pejabat Mahathir Muhamad?

Dilaporkan seramai 500 sosok telah datang menunjuk perasaan di Putrajaya. Bekas Presiden United Malays National Organisation telah dituduh sebagai pengkhianat bangsa. Membawa 500 orang untuk berdemo adalah satu pencapaian demo yang amat cemerlang. Harus diakui bukan senang untuk mengumpul dan mengajak warga turun berdemo terutama dalam suhu cuaca yang begini panas.

Justeru, apa sebenarnya yang sedang memporak peranda dan mengharubirukan pemikiran pemimpin United Malays National Organisation? Daripada berita-berita yang dibaca, ramai pemimpin parti Ketuanan Melayu sedang mengelabah. Kenyataan pimpinan parti ini bersimpang siur. Tidak tentu hala, kelihatan hilang punca.

Jawabnya senang sahaja. Semua ini terjadi kerana Deklarasi Rakyat. Babak politik yang sedang berlaku hanyalah reaksi terhadap dokumen ini.

Babak politik yang sedang terbuka di hadapan mata kita membuktikan bahawa strategi menggalang barisan bersatu atau united front telah berjaya. Strategi barisan bersatu ini kini telah dilihat dan difahami umum. Sedikit demi sedikit pencerahan telah berjaya menerangkan apa itu barisan bersatu.

Awas! Barisan bersatu ini juga ada lawannya. Baik lawanya jahat. Jantan lawannya betina. Panas lawannya sejuk. Tinggi lawannya rendah. Untuk memahami secara tuntas tentang taktik dan strategi barisan bersatu kita juga wajib memahami apa dia lawan barisan bersatu. Apakah dia musuh dan seteru barisan bersatu?

Lawan barisan bersatu ialah divide et empera . Divide et empera ialah bahasa Latin. Maknanya pecah dan perintah.

Strategi kuno

Kita ambil dari bahasa Latin kerana strategi pecah dan perintah ini telah digunakan dari zaman empayar kuno Iskandar Zulkarnain. Taktik ini telah digunakan oleh empayar Rom, telah digunakan oleh empayar Parsi, telah digunakan oleh Napoleon. Malah pecah dan perintah adalah strategi politik dan strategi perang yang digunakan oleh kuasa penjajah hingga ke hari ini. Sesiapa tidak memahami akan strategi ini pastikan akan menjadi hamba dalam kancah politik. Tidak ada empayar dapat bertahan tanpa menggunakan divide et empera .

Pada 11 Ogos 1509 de Sequire dari Goa telah sampai ke Melaka. Pada 24 Ogos 1511 Alfonso de Abuquergue mengambil alih Melaka. Kerajaan Melayu Melaka jatuh ke tangan Benggali Putih - nama Portugis ketika itu. Portugis memerintah Melaka selama 130 tahun.

Pada tahun 1641 Belanda telah bekerjasama dengan kerajaan Johor dan berjaya menawan Melaka. Saya ulangi sekali lagi: kerjasama Johor dengan Belanda untuk menewaskan Portugis. Ini fakta sejarah. Ada kerjasama Johor dan Belanda untuk untuk menjatuhkan kuasa imperial Portugis. Apa yang dilakukan oleh Belanda ialah penggalangan barisan bersatu untuk untuk mengalahkan musuh.

Belanda tahu betapa pentingnya taktik barisan bersatu untuk mengalahkan Portugis. Maka untuk terus berkuasa Belanda telah mengamalkan strategi yang berlawanan dengan strategi barisan bersatu. Belanda menggunakan divide et empera - pecah dan perintah. Melalui strategi ini empayar Belanda telah tidak dapat dialahkan di alam Melayu.

Kota Melaka, bandar kosmopolitan dan kota perniagaan yang amat penting pada zaman itu terus menjadi punca ekonomi Belanda. Melaka seperti Wall Street New York menjadi kota berahi yang dicemburui - tempat jual beli rempah rampai, bijih dan emas. Dari Melaka barangan bumi tropika ini dihantar ke Venice dan Genoa - dua kota Eropah yang menjadi pusat perniagaan pada ketika itu.

Apakah tidak ada kerajaan, raja atau pembesar Melayu lain yang memberahikan untuk menawan kembali Melaka?

Jawabnya ada. Setiap raja dan pembesar Melayu cemburu dan berahikan kekayaan Melaka. Pada tahun 1641 Naning berperang dengan Belanda. Sepuluh tahun kemudian Perak datang menyerang Belanda di Melaka. Pada tahun 1882 Johor yang pernah menjadi kawan Belanda datang juga menyerang Melaka. Pada tahun 1784 Selangor datang menyerang Belanda di Melaka.

Semua serangan yang rancang dan dijalankan oleh musuh Belanda ditewaskan. Bukan kerana Perak, atau Johor tidak cukup bala tentera. Atau Belanda terlalu kuat. Sebab utama ialah kerana tidak ada satu pun kerajaan Melayu pada ketika itu menggunakan taktik dan strategi barisan bersatu.

Johor menyerang bersendirian. Perak datang menyerang dengan rakyat Perak. Tidak terfikir oleh kerajaan Melayu ini untuk mengalang kerjasama untuk mengalahkan Belanda. Bayangkan jika Aceh, Perak, Johor mendirikan barisan bersatu - Belanda telah lingkup dengan serta merta.

Justeru, Belanda dengan licik telah menggunakan divide et empera - pecah dan perintah. Kuasa politik Melayu di Alam Melayu ketika ini dipecah-pecah untuk senang diperintah.

Hari ini sekali lagi sejarah berulang. Musuh anak semua bangsa pada ketika ini bukan Bengali Putih, bukan Belanda, bukan Inggeris, bukan Jepun tetapi Najib Rosmah. Najib Rosmah sedang membawa porak peranda kepada politik dan ekonomi Malaysia.

Untuk mengundurkan Najib dari tampuk kuasa anak semua bangsa di Malaysia tidak ada jalan lain melainkan menggalang barisan bersatu yang maha luas. Penggalangan ini hanya diikat dengan satu tujuan: menyingkirkan Najib daripada menjadi perdana menteri.

Jika tidak, sama seperti anak Melaka kita akan dipecah dan diperintah untuk terus dijajah, bukan oleh Benggali Putih atau Belanda tetapi oleh Najib dan Rosmah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS