Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Barangkali ada benarnya ungkapan mutiara kata, “jangan terlalu disedihkan terhadap apa yang luput menghilang dan jangan terlalu gembira dengan apa yang didapatkan kerana segalanya tidak kekal.”

Begitulah, segalanya sementara untuk yang bernama kehidupan, sebuah pertemuan dan suatu perpisahan; kuasa, pangkat, harta, darjat; malah alam yang kita diami ini, jika tidak betul kita memeliharanya.

Namun demikian bukanlah bermakna sebagai manusia yang menuju ketiadaan itu kita bekerja keras ke arah kemusnahan alam sekitar, menyumbang kepada pencemaran, menebang hutan, pembalakan dan pembakaran rimba belantara, kepupusan spesis haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Misalnya spesis harimau yang dibangga-banggakan sebagai ikon sukan bola sepak negara sebagai Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) kini sedang berdepan kepupusan.

Harimau Malaya yang mendiami kawasan selatan dan tengah semenanjung Malaysia telah diklasifikasikan badan gabungan pertubuhan-pertubuhan pemeliharaan alam semulajadi antarabangsa, International Union for Conservation of Nature (IUCN) dalam senarai merah spesis haiwan paling terancam.

Dijangkakan cuma tinggal kurang daripada 250 ekor harimau dewasa sahaja berasaskan penilaian yang dibuat pada tahun 2014, dengan tren pembiakan yang semakin berkurangan. Menyedihkan.

Perubahan cuaca akibat pemanasan bumi yang berpunca daripada kegiatan manusia, khususnya dalam pelepasan gas karbon – secara umumnya kita semua terlibat – akan menjadi lebih buruk lagi buat masa-masa mendatang.

Jangka waktu lima puluh ke seratus tahun diukur pendek dalam perjalanan peradaban manusia. Sanggupkah pengorbanan dilakukan demi kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan?

Selagi ada daya dan harapan, umat manusia masih belum terlambat untuk memperlahankan kesan terburuk perubahan cuaca ini, yang dijangkakan melanda dunia dalam kemuncak kesannya – malapetaka cuaca – di antara tahun-tahun 2050-2100, lima ke enam dekad dari sekarang.

Para saintis menganggarkan menjelang tahun 2100, lebih 150 juta orang yang tinggal di kawasan pesisiran pantai akan ditenggelami air, akibat peningkatan paras laut. Siapa yang perlu menanggung beban kos ekonomi dan apakah penyelesaian masalah sosial serta politik akibat keadaan tersebut?

Keadaan yang sedang terjadi dan sedang kita semua rasai – banjir besar awal tahun ini, dan masalah jerebu yang baru berakhir sebulan dua ini – meski kadar kesannya dianggap masih kecil daripada yang dijangkakan nanti.

Misalnya kos kerugian yang ditanggung Indonesia akibat masalah jerebu dan pembakaran hutan dianggarkan berjumlah AS$ 15.72 bilion. Menurut Bank Dunia, ianya dua kali ganda daripada kos pembinaan semula Acheh selepas tsunami 2004 lalu.

Beberapa bulan dulu saya sempat membaca laporan khas akhbar The Guardian yang melaporkan masalah kemiskinan di Beattyville yang menyayat hati.

Bandar ini terabai akibat penutupan industri arang batu. Peralihan daripada industri arang batu kepada industri tenaga yang bersih dan mesra alam memakan korban yang bukan sedikit.

Maklum balas politik antarabangsa terhadap perubahan cuaca bermula dengan Sidang Kemuncak Rio pada tahun 1992.

Persidangan itu menghasilkan Konvensyen Rio yang antara lainnya menerima pakai Kerangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu terhadap Perubahan Cuaca (UN Framework on Climate Change – UNFCCC).

Rangka kerja itu bertujuan menstabilkan penimbunan pelepasan gas rumah hijau akibat kegiatan manusia pada atmosfera bumi.

Kemudian pada tahun 1997, Protokol Kyoto menjadi perjanjian antarabangsa yang memanjangkan komitmen UNFCC 1992. Ia memperakui kewujudan pemanasan global dan pelepasan gas karbon CO2 buatan manusia yang menjadi penyebabnya.

UNFCC yang berkuatkuasa pada 1994, kini memiliki keanggotaan sejagat sebanyak 195 buah negara. Setiap tahun, Conference Of Parties (COP) akan bersidang bagi meninjau kajian semula pelaksanaan konvensyen tersebut.

Malaysia terlibat dalam sidang bersejarah UNFCC di Paris (COP 21) yang baru selesai berlangsung pada Sabtu, 12 Disember 2015 lalu. Ia berakhir dengan perjanjian yang bakal berkuatkuasa pada 2020.

Negara-negara di seluruh dunia telah berjanji untuk melakukan sesuatu yang tidak mustahil tetapi sangat-sangat sukar terjadi – memastikan peningkatan suhu kurang dari dua darjah Celcius sepanjang abad ini, dan kurang dari 1.5 darjah Celcius daripada tahap suhu yang direkod pada zaman sebelum era revolusi industri.

Negara maju dan kaya pula berjanji menyediakan dana tahunan sebanyak 100 bilion dollar AS bagi membiayai ikhtiar berkaitan perubahan cuaca mulai tahun 2020.

Maksudnya dunia perlu pantas bergerak ke arah tenaga bersih, tanpa mengeluarkan gas rumah hijau (seperti karbon monoksida) di antara tahun 2050 dan 2080. Mampukah Malaysia meninggalkan bahan bakar arang batu (IPP), minyak dan gas petroleum sebagai nadi ekonomi dan kehidupannya?

Apakah nasib Petronas? Adakah Kemaman, Bintulu dan Miri akan bertukar menjadi Beattyville?

Seperti mendung cuaca tengkujuh, tidak kesemuanya muram dan menyugulkan. Memanglah kemodenan sains dan teknologi menjadi punca perubahan iklim, tetapi sains dan teknologi juga telah menunjukkan permasalahan serta menyediakan penyelesaian-penyelesaiannya.

Segalanya bergantung pada kehendak individu, masyarakat dan iltizam kepimpinan politik.

Umumnya buat warga Malaysia, khususnya umat Melayu Islam, persoalan-persoalan perubahan iklim – akibat pemanasan bumi berpunca daripada kegiatan manusia – dilihat sebagai tidak penting, apatah lagi kesan terburuk perubahan cuaca masih belum berlaku.

Sementara itu bergembiralah kita dengan isu-isu kaum dan agama yang dimainkan serta sama-samalah kita bersedih dengan undang-undang kediktatoran Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang baru diluluskan Parlimen.

Dengan demikian kedudukan PM Najib Razak akan bertambah kukuh di dalam kerajaan dan Umno, paling pendek untuk tempoh sepuluh tahun akan datang, begitulah sebagaimana yang dirancangkan mereka.

Dunia belum kiamat. Kita belum lagi terlambat menyelamatkan segala yang tersisa. Hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih. Tepuk dada, tanyalah selera. Apa macam, ada berani?


RAHMAT HARON seorang seniman outsider.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS