Musim panas, Moscow, 1900. Seorang budak sekolah berusia 10 tahun menemani ibu bapanya menaiki kereta api di Stesen Kursk Moscow. Bila bersedia untuk bertolak, seorang lelaki yang memakai mantel dan diiringi seorang wanita datang bersalaman dengan ibu bapa.
Si budak memerhatikan perbualan orang dewasa di sekelilingnya. Dia tertarik pada lelaki bermantel itu yang bercakap Bahasa Jerman dalam gaya yang tersendiri.
Itulah pertemuan pertama Boris Pasternak yang muda dengan Rainer Maria Rilke, penyair dari Prague yang tersanjung dan tersayang. Wanita yang mengiringi Rilke di stesen kereta api ialah Lou Andreas-Salomé, kekasih Rilke (pada masa itu) dan teman rapat Nietzsche dan Freud.
Tiga puluh tahun kemudian, Pasternak mencatat pertemuan tersebut dalam autobiografinya, Safe Conduct , didedikasikan kepada Rilke yang telah pun meninggal dunia. Sejak pertemuan pertama, Pasternak amat terpengaruh dengan Rilke, sehingga memberi jiwanya kepada sastera dan menjadi salah seorang penyair Rusia yang terpenting di abad ke-20.
Pasternak – yang kini terkenal di mata dunia sebagai pengarang Doctor Zhivago , novel epik yang memenangi Hadiah Nobel pada tahun 1958 – adalah anak Leonid Pasternak, seorang pelukis pasca-Impressionis Rusia yang terkenal. Ibunya seorang pemain piano konsert.
Pasternak dibesarkan dalam suasana yang penuh dengan seni, sastera dan muzik. Selain Rilke, tetamu di rumah Pasternak termasuklah komposer Aleksandr Scriabin dan Sergei Rachmaninov.
Pasternak mencapai kematangannya melalui muzik.
Scriabin pernah memuji cubaan komposisi Pasternak yang muda dan menggalakkannya menceburi diri dalam bidang muzik. Tetapi Pasternak akhirnya memilih sastera sebagai bidang seninya.
Beliau juga amat mengagumi penyair Vladimir Mayakovsky, pelopor gerakan ‘Futurist’ yang digelar ‘penyair revolusi’.
Kepekaan Pasternak terhadap kerumitan irama, rentak dan teori muzik menyumbang kepada kehalusan pemuisiannya. Sebuah sajak Pasternak bermula:
Февраль. Достать чернил и плакать!
Писать о феврале навзрыд,
Пока грохочущая слякоть
Весною черною горит.
(Februari. Titiskan dakwat, air mata!
Catatkannya dalam tangisan,
Tatkala berderak lumpur salji
di musim semi bernyala hitam.)
Darah revolusi
Bagi Pasternak, ‘darah’ seorang penyair tidak lain daripada dakwatnya, sementara jiwa puisinya tertatah dengan titisan air mata. Tangisan itu lahir bukan daripada duka dan derita, tapi daripada pengalaman kehidupan yang sekaligus indah dan perit.
Semangat pemuisian Pasternak jauh berbeza dan bertentangan dengan arus realisme-sosial-revolusioner yang didukung dan disebarkan oleh rejim Soviet.
Menurut penggerak-penggerak realisme sosial-revolusioner, penciptaan seni harus memaparkan dan menggalakkan tumpahan darah dan peluh demi kemajuan masyarakat.
Keindahan alam, keluasan dunia, dan kehalusan jiwa manusia semua dikorbankan dalam estetik revolusioner yang menegaskan perjuangan sosial-politik sebagai matlamat utama dan terakhir manusia.
Malah, realisme-sosial-revolusioner itu – yang diiktiraf sebagai arus seni dan sastera rasmi Soviet Union pada tahun 1932 dan seterusnya diselaraskan oleh agensi dan birokrat kerajaan – seumpama darah yang membeku.
Ia bukanlah darah pejuang yang mengalir merah demi kebebasan tanah air, bukan juga semangat revolusioner membara Mayakovsky.
Pasternak sedar bahawa Revolusi Bolshevik pada Oktober 1917, yang mula-mula tercetus dengan semangat menuntut kebebasan daripada struktur monarki di bawah Tsar, beransur-ansur menjadi ideologi autoritarian yang membinasakan masyarakat dan kebudayaan Rusia.
Antara lain, pentadbir Soviet melaksanakan dasar razoblacheniye , ‘menanggalkan topeng’ untuk mendedahkan adat resam dan budaya yang usang dan tidak maju.
Dasar demikian seakan sejenis penjajahan atas masyarakat sendiri, agar seluruh negara diselarikan dengan ideologi sempit pemimpin komunis dan birokratnya.
Lebih lagi, kebebasan golongan cendekiawan dan seniman – termasuk penyair agung ‘Zaman Perak Puisi Rusia’ Anna Akhmatova, Osip Mandelstam, Marina Tsvetaeva, dan Pasternak sendiri – amat terancam di bawah rejim Soviet. Nikolai Gumilev, suami pertama Akhmatova ditembak mati oleh Cheka, polis rahsia Bolshevik, pada tahun 1921.
Mandelstam ditahan pada tahun 1934 kerana telah melafazkan sebuah sajak yang memperolokkan Stalin. Beliau akhirnya dilepaskan tetapi beberapa tahun kemudian, beliau ditahan sekali lagi dan dihukum bekerja keras di sebuah gulag.
Beliau mati akibat kesakitan dalam perjalanan ke gulag itu pada tahun 1938. Tsvetaeva membunuh diri pada tahun 1941 selepas kematian seorang anak akibat kebuluran dan hukuman mati suaminya.
Pasternak dan Akhmatova pula dilarang menerbitkan buku-buku puisi kerana tidak selari dengan ideologi pentadbir. Pasternak terpaksa mencari nafkah sebagai seorang penterjemah; karya terjemahannya termasuklah drama-drama Shakespeare dan Goethe.
Sejarah dan cinta
Bagi Pasternak, revolusi bukanlah kemuncak sejarah manusia, sepertimana dihebohkan oleh propaganda Soviet.
Pasternak membezakan putaran sejarah yang bersifat organik dan semangat revolusi yang bersifat fanatik. Dalam karya agungnya, Doctor Zhivago ( kanan ), beliau menulis:
Tiada seorang pun yang mencipta sejarah. Sejarah tidak kelihatan, bagaikan rumput yang tumbuh tanpa dilihat. Perang dan revolusi, raja dan Robespierre, merupakan pelaku sejarah yang organik, raginya.
Namun revolusi dicipta oleh orang-orang tindakan bersemangat fanatik yang berakal sehala, genius dalam keupayaan mengongkong diri pada bidang yang terbatas.
Mereka mengubah susunan lama dalam beberapa jam atau hari, seluruh pergolakan mengambil beberapa minggu atau paling lama beberapa tahun, tetapi semangat fanatik yang mengilhamkan pergolakan tersebut disembah selama beberapa dekad selepas itu, selama berabad-abad.
Pasternak tetap tidak percaya kepada sistem dan ideologi ciptaan manusia. Sejarah manusia bergerak secara alami, dan kehidupan tidak terkandung dalam matlamat sosial-politik yang sempit.
“Apa yang ditetapkan, diaturkan, bersifat fakta, tidak mencukupi untuk merangkumi keseluruhan hakikat; kehidupan sentiasa melimpahi bibir setiap cawan.”
Sepertimana yang terbukti dalam autobiografinya dan Doctor Zhivago – sebuah kisah cinta dan sejarah yang epik – Pasternak percaya bahawa jiwa manusia mencapai kemuliaan melalui cinta.
“Kita semua menjadi insan dalam setakat mana kita telah menyayangi insan lain dan mempunyai peluang untuk berkasih sayang,” ujar Pasternak dalam autobiografinya.
Keupayaan untuk berkasih sayang terjalin erat dengan daya kreatif. Keengganan untuk menyayangi tanpa batasan adalah rintangan terhadap daya pengkaryaan seorang seniman.
Jiwa Pasternak yang halus dan manusiawi, yang menitis dakwat dan air mata, pernah digambarkan oleh Anna Akhmatova dalam sebuah sajak:
…dia dikurniakan dengan zaman
Kanak-kanak abadi, dengan cinta bintang berjaga,
Seluruh bumi diwariskan kepadanya
Yang dia berkongsi bersama semua.
PAULINE FAN penulis dan penterjemah.Terjemahan serpihan sajak dari Bahasa Rusia oleh penulis sendiri.