ULASAN Selayaknya pemimpin yang bercita-cita besar tetapi tewas seperti Anwar Ibrahim berasa kecewa dan tidak berpuas hati.
Beliau segera menggerakkan penyokong Pakatan Rakyat ke stadium Kelana Jaya malam ini, hanya tiga hari selepas pilihan raya umum berlalu, sebagai bantahan simbolik.
Tokoh PKR itu tidak seperti pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang lain, ketewasan dalam pilihan raya umum tidak disusuli dengan fasa menjeruk rasa dan bersantai selama beberapa bulan.
Anwar segera bangkit - jika dipandang sepintas lalu, kesegeraan yang tampak berang dan meroyan - satu gejala "politik baru" pembangkang.
Namun, beliau tidak kecewa dan meroyan seorang diri. Perdana menteri yang gagal ditumbangkannya Najib Abdul Razak juga kelihatannya masih terkejut dengan keputusan awal pagi Isnin lalu.
Hakikatnya, prestasi BN bawah pimpinan beliau jatuh merudum berbanding Abdullah Ahmad Badawi, yang diserang oleh Dr Mahathir Mohamad selama beberapa tahun sebelum Mac 2008.
Selain Mahathir sendiri, Najib malah turut dibantu oleh sekutu-sekutu mantan perdana menteri itu, Daim Zainuddin ( kiri ) dan Sanusi Junid.
Namun, kemerosotan BN tidak dapat dihalang-halang lagi. Seperti arus deras, ditahan di utara (Kedah), melimpah pula di selatan (Johor) dan timur (Terengganu dan Sarawak).
Bagaimanapun, Najib patut bersyukur kerana masih dapat mengangkat sumpah sebagai perdana menteri dalam keadaan kerajaannya menikmati majoriti "agak selesa", 22 kerusi parlimen.
'Madu & racun di tanganmu'
Tetapi perdana menteri rupa-rupanya masih tetap kecewa dan nada meroyannya - meroyan gaya orang menang - akibat kekecewaannya itu disebut "tsunami Cina".
Sehari selepas itu, akhbar-akhbar milik Umno mengukuhkan lagi kesasauannya dengan melaungkan slogan meroyannya itu.
Utusan Malaysia di muka depannya semalam bertanya "Apa lagi yang Cina mahu?", sementara tabloid sekutunya Kosmo! menuduh pengundi kaum itu sebagai "talam dua muka"!
Najib dan Umno membangkitkan isu perkauman atas sikap pengundi itu yang meninggalkan parti-parti komponen BN itu secara besar-besaran.
Maka, dikatakan ia satu "polarisasi" trend pengundian yang memerlukan "national reconciliation", perukunan semula hidup bernegara.
Seperti slogan 1Malaysia Najib yang menguatkan pertubuhan PERKASA, malan tokohnya diberi peluang mewakili BN, "national reconciliation" diikuti cercaan akhbar-akhbar Umno terhadap Cina.
Di sisi ini, lagu sindiran Anwar terhadap Najib mungkin ada benarnya: "madu di tangan kananmu, racun di tangan kirimu, aku tak tahu mana yang akan kau berikan padaku. Aku tak tahu, mana yang akan kau berikan padaku."
Lagu popular Indonesia yang sering dipentaskan Anwar ini dijawab oleh Najib sewaktu kempen pilihan raya lalu di Sabah.
Perdana menteri menjawab: BN-lah madunya, sementara Pakatan Rakyat-lah racunnya.
Menang jadi arang
Sebab itu pula pengundi mengekalkan status quo pilihan raya umum 2008 (kecuali tambahan tujuh kerusi parlimen): Pengundi "tak tahu, mana yang akan BN atau Pakatan berikan padaku".
Maka, Najib dan Anwar tidak faham kebingungan rakyat ini. Perdana menteri menyalahkan Cina, Pakatan menyalahkan sistem pilihan raya.
Selayaknya begitulah nasib kedua-dua tokoh ini yang sudah terkena sumpahan "menang jadi arang, alah jadi abu". Kedua-duanya dibakar hangit oleh pengundi.
Tetapi di pihak Najib dan Umno, Cina pula dijadikan arah sumpahannya.
Seperti Umno sering menyalahkan Melayu sebagai "pengkhianat bangsa" atau "tidak bersyukur" apabila pengundi kaum itu sendiri meninggalkan Umno dan mengkritik kerajaan BN.
Seperti Mahathir menuduh penentangnya dan Gerakan Reformasi 1998 sebagai "ejen negara asing" sewaktu kepimpinannya dipersoalkan habis-habisan.
Polarisasi antikerajaan, propembangkang
Dia perasan dan mengangkatkan dirinya sebagai "Malaysia" dan penentangnya "orang asing".
Seperti Umno perasan dialah Melayu dan membayangkan Melayu itulah Umno. PAS itu bukan Melayu dan sebagai sumber perpecahan serta pengkhianatan bangsa.
Tetapi sewaktu Cina berbondong-bondong menyokong MCA atau Gerakan, tidak pula kaum Tionghua dituduh mengamalkan "polarisasi" trend pengundian!
Tidakkah itu satu bentuk "polarisasi" juga apabila Melayu hanya menyokong Umno atau PAS; dan Cina menyokong DAP atau MCA?
Polarisasi ini, kalau inilah istilahnya, hanya polarisasi arus antikerajaan BN dengan arus prokerajaan BN.
Jadi, kenapa harus Cina pula dijadikan sasaran? Untuk menakut-nakutkan Melayu? Melayu mana yang ingin ditakut-takutkan itu - Melayu atau Umno?
FATHI ARIS OMAR seorang editor kanan di Malaysiakini.