Suaram ialah sebuah NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia. Pada tahun 1987, Mahathir Mohamad melancarkan Operasi Lalang dan menangkap 106 musuh politiknya. Kerana Mahathir menggunakan ISA menentang musuh politiknya maka Suaram ditubuhkan. Justeru, tidak salah kalau umum berkata "Suaram ini ditubuhkan oleh Mahathir sendiri".
Satu perkara yang wajib diberitahu kepada warga, dalam negara Malaysia yang kurang hak kebebasan ini amat-amat susah untuk menubuhkan NGO bawah lembaga Pendaftar Pertubuhan. Lebih senang mendirikan perniagaan rumah judi dan membuka ‘kedai lendir' dari mendirikan NGO.
Kerana tekanan, banyak NGO di Malaysia ini ditubuhkan bawah lembaga Pendaftar Syarikat. Suaram dikata ‘berniaga' melalui Suara Inisiatif Sdn Bhd. Ini kerana tidak dapat mendafar diri sebagai pertubuhan. Hanya dengan mendaftar sebagai sebuah syarikat barulah NGO ini dapat bergerak halal.
Pada ketika ini Suaram dan banyak NGO di Malaysia sedang diserang dan menerima pelbagai tuduhan. Sebenarnya Suaram diserang kerana membawa kes dakwaan rasuah pembelian kapal selam Scorpene ke mahkamah Perancis. Kes ini pula berkait rapat dengan kes pembunuhan Altantuya - gadis cun dari Mongolia.
Kes Scorpene di Mahkamah Perancis yang sedang berjalan. Dari laporan awal telah disahkan bahawa mahkmah akan memanggil Balasubramaniam, ayah mendiang Altantuya Profesor Shaaribu, Najib Razak dan Razak Baginda sebagai saksi.
Saheh dan jelas, kes Scorpene di Paris menjadi sebab utama serangan datang bertubi ke atas Suaram. Mahkamah Paris akan membicarakan sama ada benar dakwaan Najib Razak dan Razak Baginda meminta ‘duit sogokan' dari syarikat DCNI - pembuat kapal selam. Bukan kecik anak duit yang didakwa diminta oleh Najib. Laporan awal dari mahkamah menunjukkan Najib meminta 3 bilion ringgit dari DCNI.
Najib dan Razak Baginda boleh mengabaikan sepina untuk tidak datang ke Paris. Tetapi impak dari sepina ini cukup besar. Bayangkan perdana menteri Malaysia ada saman ‘ wanted' dari mahkamah Paris. Kes rasuah ini pula melibatkan pembunuhan seorang minah cun dan bergetah. Berita ini pasti akan menggemparkan dunia gosip Eropah. Ini lebih hebat dari gambar kontroversi Duchess of Cambridge. Oleh kerana ini Suaram wajib ditalkinkan kerana meletakkan bom jangka dalam beg Rosmah Mansor.
Bagaimana pula dengan peranan Pak Cik Soros? Betulkah si Soros ini memberi dana kepada Suaram? Apa tujuan memberi dana ini? Apa pula peranan Yahudi dan Amerika dalam membiayai NGO di Malaysia?
Selama berpuluh-puluh tahun manusia Melayu-Islam dijulingkan pandangan mereka dengan tuduhan bahawa Yahudi pembawa masalah. Dari pak lebai di kampung, kepada ustaz di sekolah, kepada YB di parlimen, jika ada sahaja masalah maka semuanya berpunca dari Yahudi. Akhbar dan media pula sering bertandak memperkukuhkan pandangan rasis ini.
Memang betul Soros itu seorang Yahudi. Sama juga seperti Nabi Isa, Nabi Musa, Nabu Yakub, Nabi Yahya - kesemua mereka ini berketurunan Yahudi. Tetapi bukan keyahudian Soros yang dipertikaikan. Yang menjadi puncanya ialah duit Soros yang bergantang-gantang itu disalurkan kepada badan NGO yang bergerak di seluruh dunia.
Sekali lagi saya ingin terangkan bahawa Yahudi itu bangsa dan agamanya ialah Judaisme. Ada Yahudi beragama dan banyak juga Yahudi yang tidak beragama.
Yang membuat huru hara dalam dunia hari ini ialah Zionisme. Zionisme gerakan politik. Gerakan politik inilah yang menjajah bumi Palestin. Ramai Yahudi menentang Zionisme. Ramai Yahudi tidak bersetuju dengan penubuhan Israel.
Gerakan Zioniss Antarabangsa berkerja rapat dengan kapitalis antarabangsa. Kaum Zionis dan kaum kapitalis ini tidak ada agama, bangsa, bahasa atau negara. Tuhan kaum Zionis dan kaum Kapiltalis ialah dolar, riyal dan ringgit.
Sayugia diingatkan ramai Yahudi menentang Zionisme. Sayugia diingatkan selain dari New York, Tehran ialah kota yang paling ramai didiami oleh Yahudi. Malah Pak Cik Soros sendiri tidak menyokong gerakan Zionis dan tidak mengidentifikasi dirinya sebagai warga Israel. Soros warga Amerika - imigran yang berasal usul dari Hungary.
Lalu timbul persoalan kenapa Soros - yang kaya raya sebagai peniaga mata wang - memfaraidkan banyak hartanya kepada NGO. Soros bukan sosok sosialis jauh sekali untuk bersimpati kepada gerakan komunis.
Soros seorang kapitalis yang percaya bahawa peranan kerajaan/daulah/ state dalam urus niaga perlu dikurangkan. Soros yakin hanya melalui perdagangan bebas barulah negara dapat maju berkembang. Soros berkeyakinan jika sebuah negara itu mengamalkan demokrasi maka warganya boleh memperbaiki kehidupan.
Keyakinan Soros ini lahir dari pengalaman dirinya yang lahir dan membesar di Hungary - negara sosialis di mana daulah memiliki kuasa mutlak. Soros berpindah ke Amerika dan berjaya mengumpul harta. Dari pengalaman peribadi ini Soros yakin kebebasan individu adalah rukun kejayaan. Juga sebagai seorang kapitalis, Soros tidak mahu campur tangan kerajaan/daulah dalam urusan perniagaan.
Berapa banyak harta kekayaan Pak Cik Soros bukan agenda kita. Apa yang ingin saya terangkan, wujudnya garis pertemuan antara falsafah Soros yang mahukan dunia ini bebas dan gerakan NGO yang juga memperjuangkan demokrasi dan hak asasi.
NGO di Malaysia mahukan sebuah negara yang adil, bebas dan demokratik. NGO di Malaysia mahu pilihan raya yang bebas dan adil. NGO Malaysia mahu media yang bebas tanpa sekatan. NGO Malaysia menolak tahanan tanpa bicara. Semua nilai-nilai yang dihayati oleh Pak Cik Soros.
Justeru George Soros, seorang Yahudi peniaga mata wang mengarahkan Open Society Institute (OSI) untuk menghulurkan dana kepada NGO di Malaysia. Maka dari jalur inilah Suaram mendapat sebahagian dari dana sokongan.
Sokongan dana dari Pak Cik Soros ini bukan hanya ke Malaysia, malah di Afrika, di negara Arab, di Amerika Latin, di Eropah Timur - Yayasan Soros telah mencurahkan dana untuk mengembangkan demokrasi.
Kenapa sekarang timbul hal Pak Cik Soros ini? Agenda anti NGO yang dilancarkan oleh United Malays National Organisation ini memiliki latar yang menarik. Parti politik ini sedang dalam keadaan nazak. Semenjak kekalahan dalam pilihan raya umum ke-12 (PRU12), parti politik ini melakukan pelbagai kerenah untuk mengembalikan sokongan rakyat terutama manusia Melayu.
United Malays National Organsiation didakwa bersubahat dalam pelbagai perbuatan khianat, termasuk insiden terhadap rumah ibadat. Semua yang diharap-harapkan untuk menaikkan kemarahan orang Melayu dilakukan. Semua yang dirancang untuk menimbulkan ketegangan bangsa-bangsa telah dilakukan oleh budak suruh atau anak syarikat parti ini.
Hasilnya meleset. Orang Melayu tidak ambil pot. Orang Melayu tidak mengamuk bila ditemui kepala babi dalam masjid. Orang Melayu buat 'dek' apabila surau dan masjid di simbah cat. Apa sudah jadi? Jawabnya ialah orang Melayu sedar bahawa semua yang berlaku rancangan dan komplot dari United Malays National Organisation untuk mencari sokongan Melayu.
Lalu, majlis fatwa berfatwa. Lalu Mufti bermufti-muftian dengan suara khutbahnya. Jabatan agama membuat arahan. Iman tua dan Imam muda membebel. Sultan telah bertitah. Semua meminta agar orang Melayu bersatu. Semua meminta agar orang Melayu memberikan sokongan kepada United Malays National Organisation. Hasilnya zero, zilch, sifar... orang Melayu tidak ambil pot.
Bayangkan betapa gementarnya tubuh badan pemimpin United Malays National Organisation apabila menghadapi hakikat yang pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan dijalankan tidak lama lagi. Pengundi hina telah lama lari. Pengundi India pecah terbarai. Di Sabah dan Sarawak nasionalisme Kadazan dan Dayak sedang melonjak. Semangat anti-semenanjung kian merebak. Semua ini tanda-tanda parti Ketuanan Melayu ini akan lingkup.
Maka keluarlah seekor kaldai tua dengan teori Yahudi dan George Soros. Sayang sekali si keldai tua ini tidak sedar zaman telah beredar. Pada satu ketika dahulu si keldai tua ini amat bijak dengan auta putar belit, tetapi hari ini segala autanya diketahui umum.
Setiap hari Mahathir mengeluarkan fatwa tentang Melayu hilang kuasa, tentang Melayu akan jadi hamba, tentang Melayu tidak berterima kasih, tentang Melayu tidak bersyukur, tentang Melayu akan jadi kuda Cina, tentang kuasa politik Melayu kian mengecil.
Mahathir bersedih. Dia merayu. Dia menangis pilu di Mingguan Malaysia . Dia mengingatkan bahaya Soros dan Yahudi kepada orang Melayu. Auta punya auta - kelentong punya kelentong - Mahathir terlupa bahawa Yayasan Perdana yang dipimpin oleh dirinya sendiri pernah meminta duit dari Pak Cik Soros. Tunggu ceritanya minggu hadapan.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini .