Tidak dapat dinafikan bahawa Program Kongsi Raya Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2004 peringkat nasional dan negeri Barisan Nasional (BN) telah memberi peluang yang baik untuk kerajaan BN meraih sokongan pengundi berbilang kaum, terutama bangsa Cina menjelang pilihanraya umum akan datang.
Justeru itu, program yang sama telah diadakan di Kelantan pada 27 Januari lalu, meskipun tidak dibenarkan oleh Kerajaan PAS Kelantan. Menurut Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir, ia merupakan "majlis perjumpaan dan perhimpunan terbesar masyarakat Cina yang pernah diadakan di Kelantan".
Kerana program tersebut amat berguna bagi menggerakkan momentum politik BN, ia tentunya sangat diperlukan di Terengganu, kubu kuat PAS yang cuba dirampas semula selepas jatuh ke tangan PAS pada pilihanraya umum lalu.
Maka, kementerian Abdul Kadir pun menganjurkan program yang sama pada 6 Februari di Terengganu, dengan kerjasama MCA, Dewan Perhimpunan Cina Terengganu, Gabungan Persatuan Perniagaan dan Industri Cina Terengganu, serta beberapa persatuan Melayu dan India.
Dan sepertimana lazim dilakukan, artis popular pelbagai bangsa turut turut diundang untuk menghiburkan para pengunjung.