Sebelum arwah ibu dan abah saya bertolak ke Mekah , mereka telah diberi kefahaman tentang perangai Arab Saudi yang akan mereka temui di Mekah dan Madinah. Penerangan ini diberikan oleh kaum keluarga yang telah menunaikan fardu haji lebih awal. Kisah dan tingkah laku perangai Arab Saudi ini hanya tersebar dari mulut ke mulut. Malah, semua bakal haji dari Malaysia telah sedia maklum serba sedikit tentang hal perangai Arab Saudi ini.
Tetapi ‘kisah' ini tidak pernah dihebohkan oleh media. Ia hanya menjadi ‘cerita-cerita rakyat'. Hujah penghalalan yang selalu kita dengar hanyalah: kerana itulah Muhamad dihantar ke Mekah... untuk mentamadunkan Arab.
Rasa saya 1,500 tahun adalah satu masa yang agak lama untuk proses melahirkan satu tamadun. Jika lembu atau kerbau dididik selama 1,500 tahun pasti lembu atau kerbau ini telah bijak bestari.
Tingkah laku lucah yang dilakukan terhadap warga asing yang menunaikan haji sering kita dengar. Kalau dibuku dan jilidkan telah melangit tingginya. Kisah-kisah keganasan yang dilakukan terhadap buruh import dari Pakistan, India dan Bangladesh yang memburuh di Arab Saudi akan meremangkan bulu roma. Keganasan seksual - rogol dan dera - terhadap pekerja wanita yang diimport dari Indonesia dan Filipina telah lama menjadi buah mulut.
Tetapi kenapa agaknya Hillary Clinton tidak bersuara tentang keganasan terhadap kaum sejenisnya. Kenapa CNN tidak membuat laporan? Kenapa Parlimen Eropah tidak bersuara? Kenapa agaknya media antarabangsa semuanya senyap sepi tidak bersuara tentang penindasan warga perempuan Saudi yang bukan sahaja tidak boleh mengundi malah tidak boleh berfikir. Jauh sekali untuk memandu kereta. Kenapa tidak ada tuntutan ‘pendemokrasian' dari Amerika terhadap Arab Saudi? Kenapa warga Iraq sahaja yang perlu demokrasi tetapi warga Saudi tidak perlu? Semua ini soalan yang wajib di jawab.
Untuk saya negara yang bernama Arab Saudi ini adalah ‘scam' yang paling besar yang sedang menimpa penganut agama Islam di seluruh dunia. Arab Saudi membuktikan bagaimana kesucian dan takwa para penganut agama Islam telah dieksploit oleh keluarga Ibnu Saud.
Dari sudut sejarah, di zaman Nabi Muhamad tidak ada raja di Arab Saudi. Dalam kitab awal Ibnu Hisham - As-Sirah an-Nabawiyyah - yang ditulis 200 tahun selepas Nabi Muhamad wafat tidak ada langsung disebutkan nama raja, darjat sultan atau daulat tuanku. Malah agama Islam secara radikal menentang kaum feudal kerana sistem feudal ini bercanggah dengan teologi Islam. Jadi dari mana munculnya Raja Saudi ini?
Sejarah merakamkan bahawa Arab Saudi ini dilahirkan dari perancangan kuasa imperial Anglo-Saxon sesudah perang dunia pertama. Semenanjung Arab ini seperti negara Telok dipimpin oleh pelbagai ketua suku dan ketua kabilah. Perbalahan dan peperangan antara suku dan kabilah sering berlaku di kalangan bangsa Arab ini. Maka di sinilah munculnya TE Lawrence seorang ejen dari Britain yang merancang untuk menjatuhkan kuasa imperial kerajaan Uthmaniah yang berpusat di Istanbul.
Dengan memberi sokongan kepada kabilah Abdul Aziz al-Saud, kekuatan kerajaan Uthmaniah di sebelah selatan - Jordan, Palestin, Syria dan Iraq - menjadi lemah. Pada 29 Oktober 1923 Turki menjadi republik. Secara resminya kuasa kerajaan Khalifah Uthmaniah dihapuskan pada 3 Mac 1924.
Akhirnya pada tahun 1932 lahirkan apa yang hari ini dikenali sebagai Kingdom of Saudi Arabia . TE Lawrence seorang ejen British yang juga seorang homoseksual telah memainkan peranan yang amat penting untuk mewujudkan Arab Saudi.
Di sini saya ingin membawa para pembaca untuk untuk memahami konsep yang dipanggil geopolitik. Geopolitik ini ialah politik kawasan, bumi, tanah atau wilayah yang dianggap strategik dan penting. Strategik kerana kedudukan wilayah ini dari segi ketenteraan. Penting kerana wujudnya sumber asli yang ditemui dalam wilayah ini.
Pada hemat saya, jika Arab Saudi mengeksport petai dan jering maka setiap hari kita akan membaca tentang kejahatan kaum kerabat Saud. Kita akan membaca bagaimana kaum kerabat Saudi ini berpoya-poya berjudi di London atau Paris. Atau kesah keluarga Saud bercanda-canda di kota-kota besar di Eropah. Tetapi hakikatnya bukan petai dan jering tetapi bahan bakar petrol.
Arab Saudi adalah negara kedua dalam dunia - sesudah Venezuela - yang memiliki simpanan minyak terbanyak yang masih belum dicarigali. Hari ini Arab Saudi adalah negara pengeksport utama - 12 juta tong sehari - minyak mentah dari Saudi memasuki pasaran dunia. Justeru Arab Saudi adalah kunci keselamatan sistem ekonomi kapitalis yang bergantung kuat dengan bahan bakar petrol.
Sayugia dikhabarkan di sini bahawa 15 daripada 19 orang pengganas yang menyerang WTC pada 9/11 di New York datang dari Arab Saudi. Menjadi amat pelik - tindak balas dari George Bush bukan terhadap Arab Saudi tetapi kepada Afghanistan dan Iraq. Ini hanya satu contoh yang jelas di mana kuasa imperial Anglo-Amerika akan memelihara ‘keldai' tunggangan mereka dalam percaturan geopolitik dunia hari ini.
Ramai warga Melayu Islam mungkin tidak menyedari bahawa keluarga diraja Saudi ini tidak ada sangkut paut dengan Islam. Mereka tidak memiliki pertalian teologi dengan Islam. Malah, yang sahih, pada ketika ini keluarga Saudi ini adalah tali barut dan ejen yang paling setia kepada kuasa imperial Anglo-Amerika.
Keluarga Saud ini bukan tidak pernah ditentang. Pada 20 November 1979 dahulu satu pemberontakan telah berlaku. Kaabah telah diambil alih selama dua minggu oleh kumpulan anak-anak muda yang menentang pemborosan, rasuah dan kelakuan kaum keluarga Saud. Keluarga Saud tergamam. Hanya dengan bantuan Amerika barulah pemberontakan ini dapat dipatahkan.
Untuk meneruskan kuasa feudalnya, untuk meredakan kebencian rakyat maka Raja Saudi kini menggelarkan diri mereka "Penjaga Dua Masjid". Ini hanyalah tembok untuk mengolah persetujuan penganut Islam seluruh dunia bahawa keluarga Saud ini berhak k eatas tanah suci Mekah dan Madinah.
Melalui duit minyak petrol keluarga Saud ini telah menabur pengaruh ke seluruh dunia. Mengembangkan faham kolot lagi jumud. Melalui pelbagai yayasan, melalui pelbagai bentuk anak-anak syarikat, kaum keluarga Saudi ini telah mendana masjid, sekolah dan pelbagai bentuk wakaf untuk memastikan penganut agama Islam terus dibodohkan. Warga Islam di seluruh dunia tidak akan mempersoalkan apa yang sedang mereka lakukan atas nama Islam.
Pemusnahan artifak-artifak sejarah yang membina ingatan bersama budaya Arab/Islam dari zaman sebelum Nabi hingga ke zaman Nabi telah dilakukan oleh keluarga Saud ini. Umum telah difahamkan bagaimana kota Mekah telah menjadi ‘vulgar/lucah' dengan Mek Donald dan Kentaki Fried Fak. Bertafakur atau berdoa di hadapan makam kaum keluarga Nabi dianggap ‘syirik' tetapi menyembah Mek Donal dan Kentuki dianggap salih.
Para pembaca jangan tersilap faham tujuan tulisan ini bukan hendak menghina Islam tetapi untuk menunjukkan bahawa keluarga Saud ini tidak ada sangkut paut dengan Islam dan rejim Saudi ini adalah sebahagian dari punca huru hara yang sedang berlaku di Timur Tengah.
Kaum pemodal dan kuasa imperialis Anglo-Amerika telah menggunakan Islam jenis Saudi ini untuk mematahkan perjuangan gerakan pembebasan warga Islam khususnya dan warga dunia amnya. Gerakan pembebasan Palestin telah dimandulkan. Gerakan demokrasi di Bahrain sedang diganyang dengan bantuan dolar Saudi.
Setelah memahami semua ini saya ingin membawa kembali para pembaca kepada keadaan yang sedang berlaku di bumi Arab. Saddam telah dimusnahkan kerana Saddam ingin menggantikan dolar sebagai duit pertukaran jual beli minyak. Gaddafi dimusnahkan kerana Gaddafi menentang pangkalan tentera Amerika didirikan di Afrika.
Kini Bashar perlu ditewaskan kerana dari segi geopolitik wilayah Syria ini amat penting untuk tentera Amerika masuk menyerang Iran. Semenjak zaman berzaman - dari sejarah Perang Salib - kita mengetahui bahawa Damsyik dalam negeri Syam adalah kota strategik. Pintu ke Amman, pintu belakang ke Baghdad, pintu ke Lebanon semua bermula di Damsyik. Justeru pada tahun 2008 yang lalu kota Damaskus telah dinobatkan sebagai kota budaya Arab.
Semenjak dari ribuan tahun wilayah Levant inilah yang menjadi titik mula tamadun dunia. Di wilayah ini tulisan dimulai. Di wilayah ini juga konsep Tuhan Yang Maha Esa ditemui. Sumer, Babil, Akkad adalah kota-kota kuno yang mengasaskan kemunculan kota Damaskus dan Baghdad yang akhirnya membawa Percerahan. Berbanding dengan Saudi - tidak ada apa-apa yang dapat dibanggakan.
Kuasa imperialis Anglo-Amerika dalam perancangan geopolitik untuk mengepong China dan Rusia kini sedang bekerjasama dengan Arab Saudi dan Isreal. Israel dan Arab Saudi dilihat sebagai ‘berseteru' tetapi dua negara sedang bekerjasama untuk mematahkan apa sahaja bentuk gerakan demokratik yang berkemungkinan muncul di bumi Arab.
Pada tahun 2007 kuasa imperialis Amerika telah memberikan 60 bilion dolar melalui apa yang dipanggil military-aid package atau bantuan ketenteran. Sebanyak 13 bilion dolar nilai senjata ini akan dihantarkan kepada Arab Saudi.
Amat jelas dari bantuan persenjataan ini Saudi amat penting dalam percaturan geopolitik Amerika. Kini senjata yang diterima dari Amerika sedang digunakan oleh gerombolan anti-Bashir. Senjata yang dibeli dipasaran gelap dibayar dengan duit petrodollar Saudi. Duit Saudi juga digunakan untuk merekrut tentera-tentera upahan yang dipanggil Free Syrian Army. Free di sini kerana mereka mendapat semua bantuan ‘free' dari Arab Saudi.
Dari segi ideologi pula, fahaman reaksionari feudal Saudi ini sedang dijaja dari Moroko ke Maldivess. Dari Bahrain kena Bukina Faso. Dari Jerico ke Jakarta. Dari Dubai ke Dungun. Ajaran kolot Islam jenis Saudi ini akan ditemui di negara yang ada warga beragama Islam.
Sekali lagi saya jelaskan bahawa penentangan Arab Saudi terhadap Bashar di Syria dan Ahmadinejad dari Iran bukan kerana Syiah atau kerana Sunni. Bukan juga untuk menegakkan syiar Islam. Penentangan ini lahir dari strategi geopolitik kuasa Anglo-Amerika yang kini sedang merancang untuk mengepong China dan menekan Rusia.
Justeru China dan Rusia telah menggunakan kuasa veto dan akan terus mengunakan kuasa veto jika ketetapan Bangsa Bangsa Bersatu dilihat sebagai topeng untuk menghalalkan tentera Nato menyerang Syria. China dan Rusia telah ‘tertipu' apabila ketetapan PBB telah menghalalkan tentera Nato menyerang Libya dan Gaddafi.