Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong  Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai BERSIH 2.0 memperlihatkan ketokohan dan kepemimpinan yang didahagakan oleh rakyat sekian lama.

Kematangan Seri Paduka Baginda dalam menyampaikan pendirian berhubung perhimpunan aman itu sekaligus mendinginkan hati rakyat dan menyejukkan keadaan yang semakin panas akibat kenyataan-kenyataan Perdana Menteri dan tangkapan-tangkapan polis terhadap penyokong BERSIH 2.0.

NONE Dalam kenyataan yang ringkas tetapi padat, Tuanku Mizan menintahkan supaya adalah lebih elok perhimpunan BERSIH 2.0 dibatalkan kerana ia membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan, walaupun niatnya baik.

Pada masa sama, Seri Paduka Baginda mengingati Najib dan kerajaan pimpinan beliau terhadap  keperluan menggalas amanah yang diberikan oleh rakyat secara adil dan bertanggungjawab.

Titah baginda: “Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasanpun.

NONE “Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

“Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik”.

Tersasar hayati ucapan

Walaupun media arus perdana menganggap titah Tuanku sebagai tamparan kepada penganjur perhimpunan BERSIH, mereka tersasar dalam menghayati semangat ucapan Seri Paduka Baginda.

Apa yang dinyatakan oleh Baginda amat jelas: biarlah segala permasalahan diselesaikan menerusi dialog dan rundingan yang telus dan adil supaya ia tidak mencetuskan sesuatu keadaan yang tidak diingini.

NONE Sayugia diingati BERSIH telah berunding dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk lebih setahun sebelum memutuskan untuk menganjur perhimpunan aman pada Sabtu ini.

Namun SPR tidak melayan rungutan-rungutan 62 Pertubuhan Bukan Kerajaan yang  bergabung di bawah naungan BERSIH.

Justeru, masalah seperti puluhan pengundi berlainan kaum berdaftar menggunakan alamat sama, pengundi biasa ditukar menjadi pengundi pos tanpa pengetahuan mereka hanya secebis daripada kepincangan yang dikesan dalam daftar SPR.  

NONE Apabila rundingan antara SPR dan BERSIH gagal, sepatutnya Perdana Menteri sendiri harus mengambil iktibar untuk memberikan perhatian kepada rungutan-rungutan yang dibawa oleh BERSIH.

Namun ini tidak dilakukan. Perdana Menteri sebaliknya menfitnah pengerusi BERSIH, Datuk S Ambiga sebagai musuh Islam semata-mata kerana menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang peguam dalam kes murtad Lina Joy.  

Mencetuskan ketegangan

PERKASA dan Pemuda Umno digerakkan untuk menganjur perarakan bagi menandingi perhimpunan BERSIH hanya untuk mencetuskan ketegangan.  

NONE Masjid-masjid di Kuala Lumpur dan Putrajaya pula diwajib membaca khutbah Jumaat yang melabelkan penganjur BERSIH sebagai pelampau yang sanggup mencederakan anggota pasukan keselamatan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam pula mendakwa beliau tidak dapat mengawal pesilat pertubuhan kebangsaan yang dipimpinnya daripada bertindak keras terhadap peserta BERSIH 2.0.

Rasanya tidak perlu mengulas mengenai kenyataan-kenyataan Ibrahim Ali atau dalang-dalang yang melancarkan demostrasi jalanan di Pulau Pinang atau yang membuat laporan polis terhadap BERSIH 2.0.

kedah pkr arrested by police bersih 020711 01 Pada masa sama, polis turut dikerah untuk menangkap beramai-ramai sesiapa sahaja yang memakai baju berlogo BERSIH. Lebih 200 orang ditahan dan pejabat seketariat BERSIH diserbu dan ratusan baju T dirampas.

Pemimpin-pemimpin pembangkang yang menyokong gerakan BERSIH disoalsiasat di bawah Akta Polis dan Akta Hasutan. Enam orang termasuk ahli parlimen Sungei Siput  Dr D Jayakumar ditahan di bawah Ordinan Darurat yang menetapkan penahanan tanpa perbicaraan.

Rakyat terima padah

Tanpa menunggu hasil siasatan, Jeyakumar dan rakan-rakannya dituduh oleh polis sebagai cuba menghidupkan fahaman komunis menerusi BERSIH.

NONE Siapakah yang harus bertanggungjawab kerana menimbulkan ketegangan ini?

Apakah yang dilakukan oleh BERSIH sehingga mengundang tohmahan dan tindakan polis sebegitu?

Adakah BERSIH melancarkan walaupun satu perhimpunan yang menggunakan kekerasan atau memusnahkan harta benda sebagai tindak balas?  Tidak.  Namun mereka yang menyokong gerakan itu menerima padah kerana terpalit dengan tohmahan yang direkayasa.  

Ketika Malaysia memerlukan kebijaksanaan, kematangan dan kepemimpinan untuk menangani tuntutan-tuntutan yang dibawa oleh BERSIH, Perdana Menteri memilih untuk menggalakkan budaya samseng dalam cubaan terdesak untuk menakut-nakutkan pendokong BERSIH 2,0.

rustam ali silat group bersih 2 Fitnah disebarkan menerusi khutbah Jumaat dan media arus perdana. Ugutan demi ugutan dibuat oleh persatuan pesilat dan “patriot-patriot” lain dengan restu Perdana Menteri dan Menteri Umno yang lain.

Amat sukar untuk meneka kenapa Najib tidak memilih untuk berdialog dengan penganjur BERSIH 2.0 tetapi bertindak untuk melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap mereka dengan menggunakan institusi media, polis dan masjid.

Aktivis tersohor

Jika beliau begitu bingkas berdialog dengan pemimpin-pemimpin Kristian tidak lama dahulu untuk meredakan kemarahan penganut agama berkenaan bersabit fitnah penubuhan negara Kristian, kenapa pula Perdana Menteri menjauhkan diri daripada penganjur BERSIH 2.0?

NONE Harus diingati, BERSIH 2.0 bukan merangkumi Pertubuhan Bukan Kerajaan sembarangan. Ia dibarisi oleh aktivis-aktivis tersohor yang sudah lama bergiat menyuburkan proses demokrasi di negara ini dan memerangi rasuah serta mendokong keadilan.

Selain daripada bekas Presiden Majlis Peguam S Ambiga, nama-nama seperti Maria Chin Abdullah, Marina Mahathir dan Zaid Kamaruddin harus meyakinkan kita akan keikhlasan gabungan ini mahukan sebuah pilihanraya bebas dan adil demi manfaat rakyat.

Nama-nama ini juga tentunya memberi keyakinan bahawa mereka bukan golongan yang sanggup bergerak di bawah telunjuk mana-mana pihak, khususnya pembangkang.

NONE Sayang, Najib kehilangan peluang keemasan untuk memperlihatkan kepemimpinan pada saat yang amat diperlukan.

Beliau berpeluang untuk meredakan keadaan, dan mengajak BERSIH 2.0 untuk berdialog secara ikhlas dengannya.

Tawaran jengkel

Namun beliau memilih jalan mudah untuk “melepaskan” segala aparatus kerajaan bagi menanam hasad dengki rakyat terhadap Bersih 2.0 dan menzalimi penyokong tertentu gabungan itu.

Rakyat hanya menarik nafas lega apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tampil untuk mengemudi jalan keluar daripada sebuah keadaan yang semakin gawat dengan pancaroba dan bahaya.

azlan “Berdialog secara ikhlas dan elakkan tindakan yang boleh merugikan negara,” itu antara teras titah Tuanku Mizan.

Apa pula jawapan Najib kepada titah diRaja itu:

 

“Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat... buatlah, tidak menjadi masalah”     

Kenyataan itu yang dibuat di depan pegawai-pegawai kerajaan semalam adalah tawaran yang menjengkelkan kepada penganjur BERSIH 2.0. Ia juga menyerlahkan kualiti kepemimpinan Perdana Menteri Malaysia keenam Datuk Seri Najib Razak.

       


ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.

 

Wira Arjuna adalah nama samaran seorang wartawan dan editor kanan yang berpengalaman luas dan pernah menerajui beberapa media arus perdana sebelum bersara menjadi pemerhati politik.

   

     


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS