Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Pengguna mempunyai akses kepada harga mampu milik
Diterbitkan:  Nov 8, 2024 7:22 PM
Dikemaskini: 2:57 PM

Apabila pengendali rangkaian mudah alih, MNO yang akan melaksanakan rangkaian 5G kedua negara U Mobile dipilih Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pemilihan itu diyakini memberi lebih banyak persaingan dalam landskap telekomunikasi, sekali gus mendorong inovasi dan peningkatan kualiti perkhidmatan. 

Bukan setakat itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kecerdasan Buatan, Universiti Teknologi Malaysia, Azizul Azizan berkata, dengan adanya rangkaian 5G kedua seperti U Mobile, pengguna mempunyai akses kepada harga mampu milik serta peluang mendapatkan liputan meluas yang lebih baik.

“Apabila melihat dasar yang diputuskan kerajaan, jelas di sini mereka mahukan lebih persaingan melalui Rangkaian Borong Tunggal (Single Wholesale Network - SWN) sedia ada kepada Pendekatan dwi rangkaian (Dual Network - DN).

“Justeru, apabila industri mempunyai lebih banyak pilihan untuk memilih penyedia rangkaian 5G, seharusnya berlaku pengurangan kos kepada pengguna, ini adalah kesan apabila berlaku persaingan.

“Kita menjangkakan perubahan juga seharusnya berlaku kepada kualiti jaringan. Sebagai pengendali kedua, mereka akan memastikan rangkaian mereka juga lebih baik daripada pesaing sedia ada. Jadi, secara umum, jika mahu menyedia perkhidmatan baru, rangkaian itu akan dioptimumkan,” katanya.

Menurut Azizul, Digital Nasional Berhad dipuji apabila berjaya menyediakan perkhidmatan 5G untuk tempoh dua tahun hingga kini dengan baik apabila lebih 80 peratus jaringan disediakan pada kawasan populasi tinggi. 

Namun, katanya, ketika peringkat awal, pengguna belum berasa selesa kerana rangkaian itu belum dioptimumkan.

“Jadi, dengan ada persaingan yang mungkin lebih panjang, kita akan melihat persaingan ini beri kesan kepada pengguna dari sudut rangkaian lebih baik. Pengguna tidak kisah hal selain itu, yang penting mereka membayar untuk menerima jaringan dan kualiti lebih baik. 

“Dari sudut industri, secara umum, industri telekomunikasi mahukan autonomi pada rangkaian.

“Apabila ada rangkaian sendiri, mereka boleh kawal pengoptimuman dengan lebih baik. 

“Kesimpulannya, persaingan ini membawa kesan positif kepada pengguna, namun kepada industri ia membawa cabaran yang sangat besar,” katanya.

Bagi Azizul, U Mobile tidak boleh bersendirian malah boleh mewujudkan kerjasama dengan rangkaian lain yang menyediakan akses gentian fiber optik bagi merapatkan jurang digital melalui infrastruktur lebih baik serta jangkauan lebih meluas terutama di kawasan bandar.

Menurutnya, sekiranya U Mobile ingin mendapatkan rangkaian menyeluruh meliputi semua kawasan terutama di bandar, penyedia kedua itu memerlukan kerjasama daripada pemilik menara komunikasi lain untuk berkongsi rangkaian radio.

“Saya melihat penyedia infrastruktur fiber misalnya Telekom Malaysia, Time dan Maxis yang mempunyai gentian fiber optik boleh mendapat manfaat di sini kerana ada penyedia rangkaian kedua yang memerlukan perkhidmatan mereka untuk menghantar data ke rangkaian.

“Dengan 5G, kita tidak boleh melaksanakan infrastruktur sama dengan 4G atau 3G, kerana 5G sifatnya untuk beri kualiti yang baik malah agak mahal untuk mengeluarkan modal bagi menambah menara komunikasi baru. Ini adalah cabaran buat U Mobile apabila terpilih, adakah mereka mampu?

“Tetapi semua butiran ini sudah ada pada proposal teknikal yang dihantar kepada SKMM sebagai badan kawal selia. Mereka (U Mobile) perlu memastikan komitmen mereka dipenuhi.

“Sekiranya gagal selepas setahun dua, mereka wajar diberikan penalti sekiranya gagal memenuhi komitmen,” katanya.

SOALAN-SOALAN LAZIM (FAQ) RANGKAIAN 5G KEDUA MALAYSIA 

1. Apakah ‘Rangkaian 5G Kedua’ dan mengapa Malaysia memerlukannya?

Rangkaian 5G kedua merujuk kepada infrastruktur 5G tambahan yang melengkapi model Rangkaian Borong Tunggal (Single Wholesale Network - SWN) sedia ada yang disediakan oleh Digital Nasional Berhad (DNB). Pendekatan dwi rangkaian (Dual Network - DN) ini memberi lebih banyak persaingan dalam landskap telekomunikasi, yang mendorong inovasi dan peningkatan kualiti perkhidmatan. 

Dengan adanya rangkaian 5G kedua, Malaysia dapat mempelbagaikan pilihan perkhidmatan, memastikan pengguna mempunyai akses kepada harga yang lebih kompetitif serta liputan yang lebih baik. Langkah ini penting untuk merapatkan jurang digital dan memacu pertumbuhan ekonomi melalui infrastruktur digital yang lebih baik dan jangkauan yang lebih meluas, terutama di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan di kawasan luar bandar. 

2. Apakah SWN dan mengapa Malaysia perlu mempunyai Dwi Rangkaian ? 

Single Wholesale Network (SWN) adalah model yang menggunakan Digital Nasional Berhad (DNB) sebagai pengendali untuk mengurus dan menyediakan perkhidmatan rangkaian 5G kepada semua pengendali rangkaian mudah alih (MNO) secara borong. Model ini diperkenalkan untuk mempercepatkan pelaksanaan teknologi 5G di Malaysia. 

Walau bagaimanapun, keperluan untuk dwi rangkaian timbul menerusi hasrat untuk menggalakkan persaingan yang boleh mendorong perkhidmatan yang lebih baik, inovasi, dan harga yang lebih berpatutan untuk pengguna. Pendekatan dwi rangkaian juga mengurangkan risiko dengan memastikan kesinambungan dan ketahanan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada infrastruktur telekomunikasi negara secara keseluruhan. 

3. Apakah kriteria pemilihan U Mobile Sdn Bhd dalam Rangkaian 5G Kedua? 

MCMC membuat keputusan berdasarkan aspek seperti pelan perniagaan, pelan teknikal rangkaian, serta prestasi syarikat telekomunikasi tersebut dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada Kerajaan mahupun pelanggan. Selain itu, MCMC turut mengambil kira aspek peningkatan persaingan untuk pengalaman pengguna yang lebih baik. 

4. Adakah akan berlaku monopoli dengan rangkaian ke-2 ini? 

Tidak, rangkaian kedua ini dilihat akan meningkatkan daya saing dalam penyediaan rangkaian 5G negara dan seterusnya memberi pilihan kepada rakyat. 

5. Adakah DNB akan mengekalkan peranan dan tanggungjawab semasanya? 

Ya, DNB akan kekal dan terus beroperasi seperti biasa sebagai sebahagian daripada dwi rangkaian 5G. 

6. Adakah rangkaian 5G kedua dibangunkan melibatkan dana awam dan kos kepada Kerajaan? 

Tidak. Rangkaian kedua ini adalah swasta sepenuhnya. Tiada dana awam yang akan diperuntukkan untuk penyediaan rangkaian 5G kedua negara. 

U Mobile Sdn Bhd akan diperuntukkan dengan jalur-jalur spektrum 5G bagi membangunkan rangkaian 5G kedua tersebut. U Mobile Sdn Bhd juga akan dikenakan fi berkaitan, selaras dengan Akta Komunikasi  dan Multimedia 1998 dan Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS