Tahukah anda bahawa setiap sen yang anda bayar sebagai cukai menyumbang kepada pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan awam?
Melapor pendapatan dan membayar cukai bukan sekadar kewajipan, tetapi juga tanggungjawab sosial yang tidak boleh diabaikan.
Kenapa Cukai Perlu Dibayar?
Hasil daripada cukai yang dikutip digunakan oleh kerajaan untuk mentadbir negara dan menyokong perbelanjaan pembangunan. Daripada memastikan keselamatan rakyat hingga membangunkan infrastruktur seperti jalan raya, hospital, dan sekolah, cukai memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Pada tahun 2023, LHDN berjaya mengumpul hasil cukai sebanyak RM183.3 bilion, satu rekod tertinggi dalam sejarah negara. Peningkatan kutipan ini mencerminkan usaha LHDN yang konsisten serta dasar ekonomi yang lebih kukuh. Hasil cukai ini juga mencerminkan peningkatan ekonomi digital, di mana lebih banyak individu dan perniagaan kecil kini menjana pendapatan melalui platform dalam talian.
Implikasi Kegagalan Melapor
Melaporkan dan membayar cukai tepat pada masanya membantu mengelakkan masalah yang lebih besar di kemudian hari. Kegagalan untuk melaporkan atau membayar tunggakan cukai boleh menyebabkan penalti yang berat, termasuk tindakan undang-undang ke atas pembayar cukai.
Sistem Aduan e-Pelarian Cukai untuk Kurangkan Ketirisan
Pihak LHDN turut menekankan komitmen untuk memperkukuh aktiviti pematuhan pada tahun 2024 bagi mencapai sasaran kutipan cukai RM197 bilion. Tema "Escalate The Passion" diperkenalkan bagi mendorong pegawai LHDN mencapai sasaran ini demi pembangunan negara yang berterusan.
Malah, tumpuan akan diberikan kepada isu ketirisan cukai membabitkan individu yang mempunyai aset dan kekayaan yang tidak setimpal dengan pelaporan cukai serta pendapatan dari Malaysia yang disimpan di dalam akaun luar negara yang belum dilapor.
Pada tahun ini, LHDN telah melaksanakan 10 siri Operasi Pematuhan Cukai (Ops) di beberapa buah negeri dan pemakluman kepada orang ramai telah dikeluarkan menerusi Kenyataan Media dari semasa ke semasa dalam usaha menangani isu ketidakpatuhan cukai dalam kalangan masyarakat.
LHDN sentiasa menjalankan aktiviti pematuhan cukai berteraskan konsep Awareness, Education and Services (AES). Aktiviti pematuhan ini adalah berdasarkan tahap penilaian risiko yang bersesuaian berasaskan daripada pelbagai sumber termasuk orang awam.
Bagi meningkatkan pematuhan cukai, LHDN telah melancarkan sistem aduan secara dalam talian pada 1 Januari 2023 dikenali sebagai e-Pelarian Cukai (e-PC). Sistem ini boleh diakses oleh orang awam menerusi https://epelariancukai.hasil.gov.my/.
Sistem ini adalah platform yang boleh digunakan oleh orang awam untuk membuat aduan berkenaan pelarian cukai terhadap indiviu atau syarikat yang melakukan kesalahan pelarian cukai. Menerusi sistem ini, terdapat banyak kes yang telah dilaporkan. Daripada sumber ini, LHDN memulakan siasatan ke atas aduan yang diterima daripada orang awam.
LHDN turut menjalankan pemantauan aktif di media sosial untuk mengenal pasti individu atau perniagaan digital yang mempamerkan kekayaan tetapi tidak melaporkan cukai dengan jujur. Bagi memantapkan usaha ini, Seksyen Ekonomi Digital dan Behavioural Insights (SEDBI) ditubuhkan untuk memantau aktiviti pempengaruh dan usahawan digital. SEDBI bertugas melaksanakan aktiviti nudging bagi memastikan pematuhan cukai dalam kalangan individu dan perniagaan digital. Seksyen ini menjalankan dua fungsi utama iaitu pengoperasian aktiviti cukai dan melaksanakan aktiviti nudging.
Langkah-langkah untuk Meningkatkan Kesedaran
Namun, tidak dinafikan bahawa masih terdapat masyarakat dan pembayar cukai yang melihat LHDN sebagai sebuah entiti yang ditakuti, sekali gus membantutkan usaha untuk mewujudkan persekitaran pematuhan yang maksimum.
Oleh itu, strategi LHDN pada tahun ini akan memberikan tumpuan kepada kategori atau tingkah laku pembayar cukai yang merangkumi:
Pembayar cukai dengan prestasi cemerlang dalam pelaporan dan pembayaran cukai;
Pembayar cukai yang mempunyai risiko pengelakan cukai;
Pembayar cukai atau individu yang menghasilkan pendapatan dalam talian;
Pembayar cukai atau syarikat yang mempunyai kes-kes ekonomi bayangan;Pembayar cukai atau syarikat dengan transaksi rentas sempadan; dan
Institusi atau organisasi yang diluluskan di bawah Seksyen 44(6)
LHDN turut memanfaatkan komunikasi digital dengan aktif menghebahkan maklumat melalui media sosial seperti Facebook, X, Instagram, dan TikTok, menjadikannya pendekatan yang mesra bagi mendekati pembayar cukai. Mereka bekerjasama dengan pempengaruh yang dilantik sebagai Rakan Strategik HASiL untuk menyampaikan mesej percukaian kepada pengikut.
Di samping itu juga, LHDN berusaha dalam menyediakan dan menambah baik laman rasmi dan portal berfungsi sebagai sumber maklumat lengkap percukaian. LHDN sentiasa menyediakan panduan terperinci, soalan lazim (FAQ) dan video penerangan yang memudahkan pembayar cukai memahami pelbagai aspek percukaian. Akses mudah ini memastikan maklumat sentiasa tersedia dan dapat diperolehi dengan cepat.
LHDN juga menjalankan program pendidikan cukai, termasuk seminar dan bengkel bagi individu dan pemilik perniagaan, dengan Bahagian Pendidikan Cukai bertanggungjawab menerangkan undang-undang percukaian dan prosedur pelaporan melalui e-Filing.
Antara program pendidikan ialah Seminar Kebangsaan Percukaian (SPK), yang memberi pendidikan percukaian kepada orang awam dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan cukai. SPK menfokuskan isu-isu terkini dan perubahan akta di bawah kendalian LHDN.
Bahagian ini juga mengadakan kolaborasi dengan Institusi Pendidikan melalui program HASiL Your Tax Buddy (HYTB) bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membentuk generasi celik cukai, terutama mahasiswa, dan meningkatkan pematuhan cukai secara sukarela.
Peranan Pembayar Cukai dalam Pembangunan Negara
Pembayar cukai memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan sosioekonomi negara. Kaitannya jelas: apabila rakyat memenuhi tanggungjawab cukai mereka, kerajaan akan mempunyai sumber yang mencukupi untuk melaksanakan inisiatif yang akan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Mari bersama-sama memastikan pembangunan negara yang berterusan dengan memenuhi tanggungjawab kita sebagai pembayar cukai. Layari https://www.hasil.gov.my/ untuk maklumat lanjut.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]