Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
KPM Tingkat Intervensi, Dorong Minat Pelajar Terhadap STEM
Diterbitkan:  Oct 29, 2024 3:32 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Negara memerlukan bakat yang dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk mengekalkan daya saing global negara.

Walau bagaimanapun, institusi pengajian tinggi (IPT) dikhuatiri menghadapi masalah mendapatkan pelajar mengikuti fakulti tertentu berkaitan STEM susulan kekurangan pelajar aliran sains tulen di sekolah pada masa ini.

Meningkatkan Penglibatan STEM Melalui Reformasi Pendidikan dan TVET

Kementerian Pendidikan (KPM) kini giat melaksanakan intervensi di semua peringkat untuk meningkatkan penglibatan murid dalam bidang STEM di seluruh negara, termasuk Pulau Pinang. Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyatakan bahawa intervensi ini adalah sebahagian daripada agenda reformasi pendidikan, dengan fokus menyeluruh untuk memastikan kemajuan dalam bidang STEM dapat dicapai dengan lebih berkesan.

Beliau berkata KPM menganjurkan Forum Jaringan Industri ke arah Kemampanan Pendidikan dan Latihan TVET buat julung-julung kali bagi menyokong usaha kerajaan meningkatkan minat pelajar terhadap STEM dan TVET.

"Ini kerana peningkatan penglibatan anak-anak dalam STEM itu, juga melibatkan pelajar di kolej vokasional dan sekolah menengah teknik kita yang mengambil subjek yang berkait rapat dengan teknikal dan juga kejuruteraan.

"Anak-anak kita juga mesti dibantu oleh kaunselor terlatih, untuk memastikan bahawa mereka mendapat sokongan sepenuhnya ketika memilih jurusan STEM itu," katanya selepas menghadiri Forum Jaringan Industri Ke Arah Kemampanan TVET KPM.

Forum ini seterusnya akan dilaksanakan di Kedah, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak

Difahamkan hanya 52 peratus pelajar di Pulau Pinang memilih STEM, walaupun negeri tersebut dikenali sebagai hab industri teknologi tinggi dengan ekosistem kukuh bagi membangunkan bakat STEM. Angka ini masih jauh daripada sasaran 60:40 bagi pelajar STEM berbanding jurusan sastera.

Sementara itu, Fadhlina juga berkata Forum Jaringan Industri Ke Arah Kemampanan TVET KPM itu akan diteruskan di negeri lain dengan seterusnya akan dilaksana di Kedah, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.

Forum tersebut bertujuan untuk membincangkan potensi pelajar TVET di bawah KPM melalui jaringan dan kerjasama pihak industri, dengan menjemput panel daripada individu berpengalaman dan terkemuka dalam bidang TVET.

la merupakan platform untuk perbincangan mengenai sinergi antara institusi TVET KPM dengan industri, dan memfokuskan lima kluster penting yang membentuk pembangunan TVET iaitu: 

  • Kualiti Program TVET

  • Kolaborasi Strategik TVET

  • Penjenamaan TVET 

  • Pembiayaan TVET 

  • Tadbir Urus Institusi

Fadhlina berkata KPM ambil perhatian pandangan dan input daripada ahli panel untuk menambah baik lagi pendekatan TVET.

Selain itu, beliau berkata KPM juga sedang memperluas rakan sinergi bagi memberikan pengalaman peningkatan kemahiran dan kemahiran semula kepada guru-guru institusi pendidikan TVET KPM, agar menguasai ilmu pada peringkat kemahiran industri supaya mereka seiring dan dapat menyampaikan pengajaran dengan lebih baik.

Fadhlina juga menegaskan kerajaan serius mengenai pemerkasaan bidang TVET, justeru ia dijadikan antara agenda reformasi pendidikan negara dan kenaikan kadar Geran Per Kapita (PCG) TVET dalam Belanjawan 2025 selepas 12 tahun, merupakan bukti komitmen kerajaan memperjuangkan bidang TVET sekaligus memastikan bidang tersebut menjadi arus perdana dan bukannya kelas kedua.

Semasa pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar PCG bagi TVET ditingkatkan 15 peratus menjadikan peruntukan keseluruhan PCG berjumlah lebih RM900 juta.

Forum tersebut menyaksikan Fadhlina menjadi moderator, manakala Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ViTrox Technologies Sdn Bhd Datuk Chu Jenn Weng, Ahli Lembaga Kehormat Malaysia Semiconductor Industry Association (MSIA) Datuk P’ng Soo Hong, Pengerusi Technology Depository Agency (TDA) merangkap Ahli Parlimen Bayan Baru YB Tuan Sim Tze Tsin, serta Pengarah Kanan Sumber Manusia APAC Dexcom Balan Krishnan menjadi panelis.

Selain forum, sesi menandatangani dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional KPM bersama rakan strategik juga diadakan, yang melibatkan sembilan syarikat dan agensi termasuk iaitu Famax Technology (M) Sdn. Bhd,  Orangeleaf Consulting Sdn. Bhd, Pusat Pembangunan Kemahiran Industri dan Pengurusan Kedah Darulaman (KISMEC), Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), Seikou Systec Sdn. Bhd, Universiti Teknikal MARA Sdn. Bhd,  Wallmaster Holdings Sdn. Bhd, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dan ViTrox Technologies Sdn. Bhd serta Academy ViTrox.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS